Tuah

Pakar: Hang Tuah wujud, pernah perintah Temasek
Pensyarah NUS tukil bukti surat-menyurat di Okinawa daripada Laksamana Melaka

Puad Ibrahim
11 Julai 2016




BENTENG LAMA: Dr Miksic menunjukkan peta lama bertarikh 1825, yang menunjukkan benteng pertahanan lama kerajaan Kesultanan Singapura yang pernah wujud pada abad ke-14 mengelilingi Bukit Larangan atau Fort Canning Hill. – Foto SHAKIR SAIFUDDIN

Baru-baru ini, kewujudan Laksamana Hang Tuah sekali lagi dipersoal akibat ketiadaan bukti arkeologi. Namun, profesor sejarah dan arkeologi Universiti Nasional Singapura (NUS) yakin bukan sahaja Hang Tuah dipercayai ada, bahkan pernah memerintah Singapura. Ikuti laporan PUAD IBRAHIM (puad@sph.com.sg)

SINGAPURA mungkin sebuah pusat pelabuhan utama bagi Empayar Melaka pada abad ke-15 yang ditadbir seorang laksamana yang dipercayai Hang Tuah.

Laksamana itu dikatakan bukan sahaja berkuasa memerintah pulau ini dan mentadbir pelabuhan tersebut, bahkan mengetuai angkatan laut Kesultanan Melaka yang menjadikan Singapura pangkalannya.

Sebagai Laksamana, Hang Tuah juga menjadikan pulau ini tempat tinggalnya, kata pakar sejarah dan arkeologi Singapura, Profesor John Miksic.

Baru-baru ini, kewujudan Hang Tuah sekali lagi dipersoal kerana tiadanya bukti arkeologi yang mengaitkan kehidupannya, seperti yang dilaporkan media seberang tambak Mei lalu.

Ia menukil Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia sebagai mengesahkan bukti arkeologi mengaitkan kewujudan Laksanama Hang Tuah masih belum ditemui.

Walaupun akur dengan ketiadaan bukti tersebut, Dr Miksic tetap percaya Hang Tuah wujud bahkan pernah bermastautin di Singapura berdasarkan surat-menyurat yang ditemui di Pulau Okinawa.

"Orang seperti Hang Tuah pasti ada. Jabatannya sebagai Laksamana ada. Gelarannya juga sebagai Sri Bija Diraja, kita ketahui pasti ada. Orang yang namanya Hang Tuah belum dapat diperkuat dengan data dari sumber selain daripada Sejarah Melayu. Tapi tidak ada alasan untuk percaya bahawa orang dengan nama itu tidak ada," ujarnya.

Menurut beliau, watak Hang Tuah itu sering disebut dalam sumber-sumber asing seperti dokumen dari China dan Okinawa di Jepun, selain Sejarah Melayu.

"Itu yang paling menentukan, sebab ternyata pada akhir abad ke-15, Laksamana dari Singapura itu berhak mengirim surat atas namanya sendiri kepada raja asing. Surat itu masih ada di Okinawa...

"...Masih ada surat-surat di Okinawa yang dikirimkan dari Laksamana Melaka, tanpa nama, hanya gelarannya yang disebut. Tapi dia yang berhak bertindak atas nama Sultan," tambah Profesor Jabatan Pengajian Asia Tenggara Universiti Nasional Singapura (NUS) itu, yang ditemui baru-baru ini untuk mengesahkan kewujudan Laksamana mahsyur itu.

Dr Miksic mengajar di NUS sejak 1987. Sebelum itu, beliau mengajar di Universiti Gadjah Mada, Indonesia, selama enam tahun.

Memberi perincian Singapura sebagai pusat pelabuhan Empayar Melaka, Dr Miksic menegaskan ia jelas dilaporkan perwira angkatan armada Laksamana Zheng He (Cheng Ho) dari China pada 1435.

Menurut Profesor Miksic, setelah tertubuhnya Kesultanan Melaka, Singapura tetap wujud dan tidak musnah akibat serangan Majapahit.

Sebelum ini, sejarah menyatakan Singapura musnah selepas serangan itu, yang dilakukan agar dapat menangkap sultan terakhir Singapura, Sultan Iskandar Shah. Kenyataan itu dibuktikan bukan sahaja dari segi sejarah, malah arkeologi.

Ia menunjukkan Singapura, atau ketika itu masih dipanggil Temasek, merupakan sebuah pelabuhan yang memainkan peranan penting dalam hubungan luar negara.

Singapura juga dikatakan pusat pemindahan kapal dan sangat strategik dalam struktur kerajaan Melaka - tempat bagi orang seperti dari tanah Jawa atau Sumatrea contohnya datang ke Singapura dengan menaiki kapal, sebelum berpindah ke kapal lain menuju ke tempat lain seperti India atau China.

Angkatan laut Kesultanan Melaka pula ditempatkan di Singapura disebabkan kedudukan pulau ini lebih strategik berbanding Melaka yang terbuka dan mudah diserang.

Selain melindungi perairan Selat Melaka dan sekitarnya, angkatan tersebut dikerah membasmi kegiatan melanun di perairan Singapura.

Hang Tuah juga mempunyai kuasa memerintah Singapura.

"Jelas beliau juga harus mengadap ke Istana kalau ada upacara atau ada tugas lain, yang bererti harus ketemu dengan Raja, Sultan atau Bendahara, misalnya. Tetapi hari-hari tempat tinggalnya di Singapura," kata Dr Miksic.

beritahariansg


Rekod kewujudan Hang Tuah banyak di luar negara: Khoo Kay Kim
December 4, 2015


KUALA LUMPUR, Jumaat – Pakar Sejarah, Profesor Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim yakin banyak lagi rekod menunjukkan kewujudan legenda pahlawan Melayu, Hang Tuah, ‘tersembunyi’ di seluruh dunia.

Bagaimanapun, katanya, kegagalan pengkaji di Malaysia untuk menguasai pelbagai bahasa menghalang usaha mengesan dan mendedahkan artifak sejarah mengenai Hang Tuah.

“Sejarah Malaysia mempunyai rekod dan data dalam pelbagai bahasa. Walau bagaimanapun, orang-orang kita tak belajar banyak bahasa.

“Justeru, dalam usaha untuk melakukan penyelidikan seperti ini, rakyat negara kita perlu mempelajari pelbagai bahasa,” kata Khoo.

Sambil mendedahkan terdapat dokumen yang disembunyikan dalam arkib di New Delhi berkenaan sejarah Hang Tuah, beliau berkata selama ini tidak ada siapa yang membuat kajian berhubung perkara ini.

Ia berlaku disebabkan keengganan penyelidik Malaysia untuk belajar bahasa lain sekaligus menyebabkan penemuan ilmu dalam bidang ini agak terhad.

“Jadi Malaysia perlu menghantar seseorang ke New Delhi untuk buat kajian. Ini kerana jika hanya berdasarkan penyelidikan di Malaysia, ianya tidak cukup,” katanya.

Sebelum ini terdapat banyak perdebatan sama ada Hang Tuah adalah seorang tokoh sejarah sebenar, wira atau mitos semata-mata.

Bagaimanapun sepasukan penyelidik Universiti Putra Malaysia (UPM) baru-baru ini berjaya menemukan tiga sumber utama untuk membuktikan kewujudan pahlawan Melaka, Laksamana Hang Tuah sebagai satu sejarah dan bukannya kisah dongeng.

Pensyarah Fakulti Bahasa Mo den dan Komunikasi UPM, Prof. Emeritus Dr. Hashim Musa berkata, tiga sumber tersebut terdiri daripada satu dokumen dan satu artifak yang diterima daripada kerajaan Ryukyu serta satu dokumen dari Portugal.

Katanya, dua dokumen tersebut merupakan dokumen rasmi kerajaan Ryukyu, Rekidai Hoan, yang mencatatkan hubungan kerajaan bebas itu dengan Korea dan negara-negara Asia Tenggara serta catatan pengembaraan Alfonso de Albuquerque yang diterbitkan pada 1774.

ismaweb


Comments