29 Jul 2016

sejenak bersama noordin hassan

“Dengan “Bukan Lalang Di Tiup Angin” saya harap dapat
membentangkan kepada masyarakat sebuah drama yang mempunyai
identiti yang tersendiri. Harus berlainan daripada bentuk Barat …
Sekurang-kurangnya ada ciri-ciri bangsa dan kebudayaan kita … Dalam
pada itu pun, pengaruh Barat ada juga di sana sini sebab pengaruhnya
pada diri saya amat kuat.” --- Noordin Hassan




Retrospektif teater Noordin Hassan
Ku Seman
25 Januari 2009

Sasterawan Negara Datuk Noordin Hassan menghasilkan naskhah teater Jangan Bunuh Rama-Rama selepas tragedi berdarah 13 Mei 1969. Tidak lama selepas itu mementaskan di Maktab Perguruan Sultan Idris (MPSI) yang kini menjadi Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI) di Tanjung Malim. Jangan Bunuh Rama-Rama pernah dianggap sebagai perintis teater kontemporari Malaysia.

Tetapi semasa ditemui kira-kira 25 tahun lalu, Noordin enggan mengkelaskan jenis teaternya dan memberikan maksud yang terkandung dalam Jangan Bunuh Rama-Rama. Waktu itu Noordin hanya berkata, "Sebagai pegawai kerajaan, banyak yak saya tidak boleh bercakap, teater itu adalah apa yang saya hendak luahkan."

Pendekatan beberapa teater Noordin selepas Jangan Bunuh Rama-Rama dikatakan meninggalkan gaya sandiwara yang mendominasi pementasan ketika itu. Noordin dan Jangan Bunuh Rama-Rama menjadi satu mercu tanda penting bagi teater negara ini yang kemudiannya disusuli dengan beberapa karya Noordin yang mengukuhkan pendekatan kontemporari itu.

Selepas Jangan Bunuh Rama-Rama, Noordin menghasilkan 1400 sempena tahun 1400 Hijrah, Cindai, Malam Ini Penyu Menangis, Anak Tanjung, Sirih Bertepuk Pinang Menari, Intan Tercanai, Peran dan Di mana Setangginya. Cuma naskhah Di Mana Setangginya yang belum dipentaskan selepas perancangan untuk dipentaskan di Istana Budaya beberapa tahun lalu ditolak.

Kalau diperhatikan semua karya teater Noordin akan memasukkan elemen muzik, tarian dan sedikit bangsawan dengan wujudnya badut sebagai narator kepada pementasan berkenaan. Ini sangat jelas pada teater Sirih Bertepuk Pinang Menari yang menampilkan Pengerusi Aswara, Datuk Dr. Ghouse Nasaruddin sebagai penjual air serbat yang menjadi badut dan narator. Sementara teater Anak Tanjung, secara sinikal Noordin meletakkan penonton sebagai banduan yang menonton persembahan rakan-rakan mereka dalam penjara.

Noordin yang dikenali kalangan penggiat teater sebagai "Cikgu Noordin" sudah genap usia 80 tahun pada 18 Januari lalu. Sebagai hadiah hari lahir ke 80 tahun, Aswara menerusi Fakulti Teater mementaskan teater kolaj Saya... Dari Hujung Kota arahan Rohani Yousoff. Rohani antara pelakon yang sinonim dengan teater Noordin seperti Anak Tanjung dan Cindai. Teater kolaj ini adalah gabungan fragmen daripada teater 1400, Cindai, Malam Ini Penyu Menangis, Di Mana Setangginya, Sirih Bertepuk Pinang Menari, Intan Tercanai, Jangan Bunuh Rama-Rama dan Peran.

Pementasan yang diadakan di Panggung Eksperimen Aswara hingga 20 Januari lalu itu sangat signifikan sebagai sebuah retrospektif karya teater Noordin Hassan. Saya... Dari Hujung Kota adalah menoleh karya-karya besar yang pernah kita miliki. Malah mengingatkan konsep teater fitrah yang diperkenalkan oleh Noordin kerana naskhah Noordin menjurus kepada penerapan nilai-nilai keislaman dalam kerangka budaya dan juga politik. Noordin seorang pengkritik sosial yang tajam, beliau melontarkan kritikan itu dalam bunga bahasa yang berlapis dan indah.

Saya... Dari Hujung Kota adalah sebuah muzikal yang berakar teras sosio budaya Melayu. Ketika istilah "muzikal" dipergunakan secara sewenang-wenang hingga ke tahap sangat mengelirukan, muzikal di tangan Rohani memberikan karakter kepada muzik, tari dan korus. Konsep muzikal tidak dipermudahkan ke tahap sekadar menampal kepada pementasan ini. Teater kolaj ini sebuah teater kecil yang besar. Ia kecil daripada saiz dan riuh rendah tetapi besar daripada segi pengisian, apa lagi sebagai retrospektif kepada seorang sasterawan besar.

Teater kita terlalu banyak riuh rendah dan strategi pemasaran yang agresif. Strategi itu bagus tetapi untuk menjual produk, isi kandungan sangat penting supaya khalayak tidak terasa terperdaya dengan gahnya promosi dan publisiti. Saya....Dari Hujung Kota agak senyap, kebetulan pula pelakon-pelakonnya tidak ada nama di layar yang memperagakan kejora.

Kalau Noordin sentiasa sarat dengan kritikan sosial, teater kolaj ini juga dibina daripada fragmen-fragmen terpilih untuk menyampaikan kritikan yang ada dalam karya-karya Noordin. Saya .... Dari Hujung Kota mengenai manusia yang diberi kekayaan harta benda dan kuasa tetapi terlupa kepada orang lain kerana terlalu mementingkan diri sendiri. Tuhan memberikan semua yang diimpikan manusia cuma manusia yang selalu lupa bahawa tidak semua yang diberikan adalah milik peribadi, sebaliknya milik semua.

Dalam lagu, muzik dan tari, pendekatan teater ini dibina dengan baik dan tidak terasing dengan gaya yang dipegang oleh Noordin sejak Jangan Bunuh Rama-Rama. Rohani sebagai pengarah mengambil konsep teater tradisional randai iaitu persembahan dalam satu bulatan yang terdiri daripada pemain watak , penari dan juga korus. Muzik diangkat daripada nuansa muzik tradisional dan dipersembahkan secara langsung di depan penonton.

Walaupun sebuah teater kolaj tetapi kelicinan persembahan terpelihara dan tidak terasa antaranya adalah fragmen daripada teater yang berbeza. Pelakon utama terdiri daripada Mazlan Tahir yang melakonkan watak Pak Ku fragmen dari teater Cindai , Mohd Adika Zainal, Haf Dzi Sofi dan Tania Zalina Zainal Abidin.

Aswara khususnya Fakulti Teater telah melakukan satu yang baik sebagai mengingati sumbangan seorang Sasterawan Negara. Mengingati cara begini mungkin lebih melekat di ingatan daripada menganjurkan acara-acara yang tidak menyentuh tentang karya-karya mereka. Seorang sasterawan hanya akan merasa gembira dan puas hati apabila karya-karyanya terus dimanfaatkan dalam melepasi batas zaman ke zaman.

Dalam temubual dengan Noordin hampir 25 tahun lalu, inilah yang beliau tekankan kerana katanya, sasterawan tidak meninggalkan harta yang bertimbun. Sasterawan meninggalkan karya yang dialirkan pemikirannya untuk generasi selepasnya.

utusanonline



Rajuk Cikgu Noordin terubat, Mana Setangginya dipentaskan selepas 10 tahun
SITI AZIRA ABD. AZIZ
29 April 2009



Teater Mana Setangginya akan dipentaskan mulai 13 hingga 21 Jun depan, pukul 8.30 malam, di Panggung Sari, Istana Budaya. -foto mStar oleh SITI AZIRA
Teater Mana Setangginya akan dipentaskan mulai 13 hingga 21 Jun depan, pukul 8.30 malam, di Panggung Sari, Istana Budaya. -foto mStar oleh SITI AZIRA

SELEPAS kira-kira tiga kali tidak jadi dipentaskan, akhirnya naskhah Mana Setangginya karya Sasterawan Negara (SN) Datuk Noordin Hassan, 80, akan dipentaskan di Istana Budaya (IB) pada 13 hingga 21 Jun depan.

Naskhah ini merupakan karya agung ke-7 Datuk Noordin atau yang lebih mesra dengan panggilan 'Cikgu Noordin' bakal diarahkan oleh pengarah teater tersohor Zaifri Husin, 43.

Naskhah ini sepatutnya dipentaskan pada September 1999 sempena pembukaan IB tetapi tidak menjadi kenyataan.

Naskhah Mana Setangginya merupakan antara Edisi Khas SN bertajuk Mana Setangginya- Kumpulan Drama Pilihan Noordin Hassan yang dibukukan dan berada di pasaran sejak tahun 2001.

Daripada empat karya Noordin Hassan yang dikumpulkan itu, hanya naskhah Disentuh Bulan Pun, Selendang Umi dan Malam Ini Penyu Menangis yang telah dipentaskan.

Mana Setangginya dikatakan sebuah naskhah yang hebat dan mampu mencipta sejarah drama Malaysia.

Mungkinkah disebabkan itu Mana Setangginya lambat dipentaskan kerana sukar hendak mencari pengarah yang betul-betul berani menyahut cabaran mengangkat naskhah ini di pentas teater.

Ditanya kepada pengarahnya tentang apakah yang memberinya kekuatan untuk mengarah teater Mana Setangginya, Zaifri berkata dia menerimanya setelah diberi mandat besar oleh Noordin Hassan yang digelar sebagai ‘cikgu’ itu.

“Pada peringkat awalnya, saya tidak berani sebab naskhah ini agak besar dan membabitkan nama Seniman Negara Datuk Noordin Hassan di mana dia lebih lain dari yang biasa.

“Saya takut sekiranya ia tidak sampai seperti apa yang beliau inginkan. Tetapi setelah dia sendiri yang menelefon dan memberi mandat serta menyokong saya, jadi saya beranilah menerima tanggungjawab ini,” jawab Zaifri ketika sidang media di Istana Budaya semalam.

Sebelum ini Zaifri pernah mengarah teater Sarah karya Noordin di Stor Teater Dewan Bahasa Pustaka (DBP).

“Jika dibandingkan antara Sarah dan Mana Setangginya, saya rasa teks Mana Setangginya lebih besar daripada teks Sarah. Namun begitu saya dapat rasakan yang Sarah boleh dibuat dalam persembahan besar.

“Mana Setangginya berlandaskan kitab Taurat yang memasukkan isu kuasa, fitnah, penganiayaan dan kejatuhan seseorang.

“Cikgu suka ambil rujukan seperti itu. Kalau kita baca sepintas lalu, kita dapat nampak bagaimana dia garapkan dan isu yang digunakan.

“Tidak banyak perubahan yang saya akan lakukan sebab Cikgu Noordin tidak suka karyanya ditukar-tukar.

“Saya akan cari pendekatan terbaik supaya orang faham, agar teks ini lebih senang didengar dengan penggunaan muzik, set, efek dan visual yang lebih membuatkan teks ini lebih menarik,” ulas Zaifri.

Mana Setangginya yang akan dipentaskan kira-kira dua jam itu mengisahkan tentang sebuah perkampungan nelayan di tepi pantai.

Penduduknya menyara hidup dengan menangkap ikan dan menjual hasil pohon setanggi.

Nelayan ini dilarang untuk menangkap ikan pada hari Sabtu, iaitu hari beribadat.

Kumpulan nelayan yang derhaka di bawah pimpinan Hawar telah berpindah ke atas bukit.

Walaupun hidup mewah, mereka melanggar perintah. Kedatangan Uzza selaku orang asing telah membawa falsafah baru dalam kehidupan mereka.

Juda, iaitu anak kepada Hawar mengahwini kekasihnya Iriam, iaitu anak kepada Ibra.

Tetapi Silbi dan Subhat telah menabur fitnah akan asal-usul Iriam. Juda bermuka-muka akan kebaikannya untuk mengaburi penduduk kampung.

Lantaran itu, beliau dan ayahnya mahu kampung-kampung nelayan yang bertaburan mengiktirafkan kedudukan mereka selaku ‘raja’.

Yang ingkar akan diserang. Mereka menguasai kampung-kampung ini dan inginkan segala tangkapan hendaklah dijual kepada mereka.

Paderi yang menasihatkan Hawar dan Juda telah ditangkap oleh Uzza. Ibra dan Iriam yang datang untuk membebaskan paderi telah dikenakan syarat 10 bakul ikan sebagai tebusan.

Iriam juga diserahkan kepada Uzza dengan persetujuan Juda. Tiba-tiba turunlah ribut yang maha dahsyat serta halilintar yang membelah suasana.

Belut gergasi yang dibela Uzza akhirnya memakan tuannya serta membunuh Hawar. Akhirnya, Juda telah pun menemui ‘sodom wa gamurah’nya.

Di akhir cerita ini, penonton akan mendapat pengajaran iaitu manusia dijadikan di tahap yang tinggi, tetapi ia kembali kepada Tuhannya dalam tahap serendah-rendahnya.

Noordin pernah berkata yang beliau ingin merealitikan naskhah di pentas seperti seekor belut gergasi, kapal layar yang boleh bergerak, kota yang akan roboh apabila diserang belut dan banyak lagi perkara yang memainkan peranan untuk menyampaikan cerita ini.

Menurut Zaifri, sukar untuk dia ceritakan tentang kaedah yang akan digunakan untuk merealisasikan impian Noordin tetapi dia akan membuatkan penonton kagum dengan setiap babak itu.

“Susah saya nak cakap sebab naskhah ini perlu melalui proses artistik. Apa yang ada di dalam kepala saya sekarang ada dua bentuk iaitu dalam bentuk visual dan efek serta bentuk objek,” ujar Zaifri yang belum dapat memberitahu nama pelakon utama teater ini.

Katanya, mereka masih belum menerima kata putus daripada pelakon yang mempunyai nama besar dalam industri seni ini untuk watak utama iaitu Juda dan Iriam.

Sementara antara 150 pelakon teater itu telah pun dipilih dari kalangan pelakon dan aktivis teater yang dijangka akan memulakan latihan pada minggu hadapan.

Ditanya tentang respons Noordin apabila mendapat tahu teater yang dinanti-nantikan ini dipentaskan, Zaifri berkata Noordin menerima dengan hati terbuka seolah-olah tidak serik walau karyanya itu sudah tiga kali tidak jadi dipentaskan.

“Kali ini cikgu kata ‘Tak pelah, dah 10 tahun cikgu tunggu tak jadi...’. Bagaimanapun, beliau memang inginkan Mana Setangginya dipentaskan di IB,” ulas Zaifri yang mengenali Noordin sejak tahun 1993 di Kompleks Budaya Negara.

Zaifri mempunyai kelulusan Ijazah pertama dalam Komunikasi (Pengkhususan Filem, TV dan Seni Lakon), Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang dan juga memiliki Ijazah Sarjana Pengarahan Teater dari Middlesex University, United Kingdom.

Anak kelahiran Muar, Johor ini juga berpeluang mendalami teknik 'Mayerhold dan Biomekanik' di Russian Federation Theatre Arts Academy of Moscow, Rusia.

Zaifri pernah mengarah teater 'Sarah', Gadis Melayu, Bawang Putih Bawang Merah, Taman Baginda, Belalang Kenit, Muzikal Ali Baba, Gamat dan mono drama 'Angin Mengambang'.

Antara lakonan pentasnya seperti Nyonya, Rubiah, Lantai T. Pinkie, Selendang Umi, Tiang Seri Tegak Berlima dan Puteri Gunung Ledang.

Dalam pada itu, Ketua Pengarah IB, Mohamed Juhari Shaarani tidak dapat memberikan sebab Mana Setangginya lambat dipentaskan.

“Saya tiada jawapannya kerana waktu itu ada banyak naskhah..Cikgu Noordin ada beberapa kali nak angkat Mana Setangginya tapi tak jadi kenyataan kerana ia karya yang baik dan harap berada di pentas IB.

“Kali ini, saya anggap pementasan ini sebagai rezeki beliau selain dapat melahirkan bintang besar dalam dunia lakonan. Misalnya dia pernah melahirkan bakat besar seperti Erra Fazira, Vanida Imran dan Ida Nerina.

“Saya harap teater yang berkonsepkan Lord of The Rings versi Melayu ini berjalan dengan lancar,” jawabnya.

Juhari juga memaklumkan yang IB akan mula memperbanyakkan pementasan naskhah berbentuk sastera supaya tidak hanya pentaskan karya berbentuk komersial.

“Insya-Allah, kita akan banyakkan lagi pementasan karya sastera seperti karya Usman Awang, Keris Mas dan sasterawan tempatan yang lain,” akhirinya.

Teater Mana Setangginya akan dipentaskan mulai 13 hingga 21 Jun depan, pukul 8.30 malam, di Panggung Sari, Istana Budaya.

mstar



Puisi Melayu Tradisional Dalam Drama Bukan Lalang Ditiup Angin

Panel Anugerah Sastera Negara 1993 (Noordin Hassan, Dalam Esei dan Kritikan Drama, 2007), menjelaskan di mana Noordin Hassan telah berjaya menghidupkan kembali beberapa amalan dan imej tradisi yang hampir disingkirkan dari pentas semasa seperti puisi lama, nyanyian, boria, komedi bangsawan, tarian dan pengalaman impian.

Noordin Hassan memasukkan unsur puisi dan lirik dalam karyanya untuk memperkukuhkan imej dan simbol yang ingin difahami oleh Noordin Hassan kepada khalayak mengenai makna yang tersirat dalam drama beliau. Untuk memahami makna puisi dan lirik ini khalayak seharusnya memahami terlebih dahulu mengenai kerangka cerita jika tidak khalayak tidak memahami makna tersirat dalam puisi dan lirik yang ingin disampaikan



BUKAN LALANG DITIUP ANGIN

Bukit Senyum Pulau Siantan,
Tahan dulang bawah beringin;
Bunyi berdentum memanglah hujan,
Bukannya lalang ditiup angin.

Kayu bakau ada berdahan,
Mari tumbuh di tepi paya;
Serahkan kerbau kepada tuhan,
Janganlah lupa tambatkan dia.

Langit redup ombak mengalun,
Jati masuk di dalam taman;
Haruslah hidup seribu tahun,
Mati esok di dalam iman.

BERLAGA AYAM

Bukan bayam sebarang bayam,
Bayam ini tumbuh di kolah;
Bukan ayam sebarang ayam,
Ayam ini tak pernah kalah.

Bukan galak sebarang galak,
Galak asal dari pendeta;
Bukan jalak sebarang jalak,
Jalak ini si Putih Mata.

Kalau kuat tambak dek sabut,
Tanah Pamah menjadi lantai;
Kalau takut ombak dan rebut,
Jangan berumah di tepi pantai.

Larut malam hari pun kelam,
Sayang kapur habis tepinya;
Laut dalam sudah diselam,
Mati esok di dalam iman.

NASIB UNTUNG

Aduhai nasibnya Pak Leman,
Ayam menang anak tergadai,
Hilang isteri, kampung Halaman,
Awak pulang kebuluran.

Hidup menjudi nasib,
Mati apa kadarnya,
Masa belayar kematian angin,
Motor sangkut tak ada minyak.

Sauh dilabuh bayu berpuput,
Nasi sesuap, garam sebuku,
Sirih sepiak haram taka da,
Anak isteri dihambai orang.

CANANG

Kisah Pak Leman di Kampung Duyung,
Bila di sungai salah mendayung,
Tersangat suka pergi menyabung,
Habis tergadai anak dan kampung.

Dia tertipu dan susah hati,
Merantau sampai ke Sukamenanti,
Jumpa Pak Andak penuh Simpati,
Diberi nira bersama roti.

Terkenang kampung anak dan isteri,
Ramalan nujum kemudian hari,
Jika tak ubah nasib sendiri,
Kena belenggu macam pencuri.

RAMALAN

Wajah ibu hanya bayangan,
Tak bisa dengar kaudendang,
Aku tak rasa susu kasihmu,
Baju suami tak sudah.

Bila guruh menderum di langit,
Kintan tak apa Bibi di sisi,
Jika Bibi menanam bunga,
Akar di bumi pun tentu wangi.

Jika ibu melihat segala,
Tersayat hati mudanya,
Perempuan takut diri terserah,
Kau Ihsan beri harapan,
Kenapa menukar begitu,
Hujan rahmat tak turun, turun,
Sayang sungguh sayang,
Kau patah di tengah jalan.

KEMBALI

Oh, Hadi di mana Hadi,
Menunggu sayu menunggu,
Dahaga, nian dahaga,
Menanti kasih menanti.

Apakah sedang menghalang,
Hadi tak kunjung tiba,
Terhiris sedih hatiku,
Risau dia’ kan hilang

Terbayang wajahmu pilu,
Titisan air matamu,
Kasihmu sungguh mendalam,
Hidupku kau beri erti,
Di mana Hadi sekarang,
Jauhkah di rantau sunyi,
Kembali Hadi kembali,
Tak kuasa aku dipisah.
Oh, Hadi di mana Hadi,
Menunggu sayu menunggu.



0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

© 2011 mimbar kata, AllRightsReserved.

Designed by ScreenWritersArena