profesor ulung

Tidak banyak media yang mengangkat kejayaan insan dalam dunia  akademik sama ada bidang sains, sastera atau teknologi. Ia menjadi sejarah yang dilupakan dan ditinggalkan. Apa lagi untuk menjadi inspirasi dalam denyut perjuangan anak muda meraih kejayaan. Kita menginginkan minat dan bidang yang berteras sains dan teknologi membudaya dalam hidup kita. Tapi kalaulah kejayaan besar Profesor Harith Ahmad ini tidak tersebar jauh, maka akan selamanya kita tertarik dan disajikan dengan ikon yang tak melonjak percambahan akal.

Marilah kita membaca kejayaan ini dan mengirai inspirasi darinya ...


10 perkara tentang Prof Harith Ahmad – Profesor Ulung 2014
5 Mac 2015


Prof Dr. Harith Ahmad seorang ahli sains mempercayai bahawa kurangnya keharmonian kaum di negara ini menjadi faktor kepada kurangnya inovasi dan ciptaan-ciptaan baru.
Beliau meyakini bahawa syarikat-syarikat gergasi boleh menyumbang banyak dalam bidang sains tetapi masih lagi beroperasi dalam polarisasi kaum tertentu.

Seorang anak kelahiran Alor Setar, Prof Dr. Harith telah membentuk laluan kerjayanya sendiri di Universiti Malaya di mana beliau meperolehi Ijazah Sarjanamuda Kelas Pertama dalam bidang Fizik dan Ijazah Sarjana dalam Teknologi Voltan Tinggi, sebelum berangkat ke Universiti Wales bagi memperolehi Ijazah Kedoktoran dalam Teknologi Laser.

Dalam bidang akademik, beliau merupakan seorang saintis dan inovator yang memiliki 10 paten bersama dengan Telekom Malaysia.

Beliau telah dinobatkan sebagai Profesor Ulung pada tahun 2014, selepas beliau menerima beberapa siri anugerah antaranya Anugerah Sains dan Teknologi Asia dan Anugerah Merdeka atas sumbangan beliau terhadap Sains.

Meskipun sudah berusia 60 tahun, Prof Harith tetap meneruskan pengajaran dan penyelidikan di Jabatan Fizik di Universiti Malaya dalam bidang fotonik iaitu sains penghasilan dan memanipulasi cahaya. Kajian beliau termasuklah menghasilkan fabrikasi laser keadaan pepejal semikonduktor terpam dan membangunkan teknik bagi mengkaji laser graf bayang.

Menurut Prof. Harith,

1. Apa yang menyebabkan saya berminat dengan fizik ialah saya suka melakukan aktiviti sains. Jika kita mempunyai kemahiran matematik maka bekerja dalam fizik menjadi lebih mudah. Saya mempunyai beberapa kemahiran dan saya mempunyai rasa ingin tahu tentang bagaimana sesuatu itu berfungsi. Manakala, apa yang menyebabkan saya minat dengan fotonik ialah ketika saya seorang pelajar tahun akhir di Universiti Malaya, saya bertemu dengan pemeriksa luar iaitu seorang jurutera dari Universiti Swansea, beliaulah yang mempengaruhi saya untuk berkecimpung dalam bidang ini. Beliau adalah orang pertama mengatakan bahawa bidang fotonik mempunyai masa depan yang begitu cerah. Beliau memberi galakan supaya saya menyambung pelajaran dalam bidang fizik laser (sebahagian daripada bidang fotonik). Saya diberi peluang untuk mengkaji perkara yang baharu yang kemudiannya menjadi bidang yang baru dalam bidang fotonik.

2. Sistem di Britain (pada peringkat PhD) membuatkan saya lebih bebas dalam penyelidikan. Hal ini membolehkan seseorang membangunkan sistemnya yang tersendiri dan sistem tersebut menjadi milik kita sendiri. Mereka memberikan kita sebuah bilik dan keperluan secukupnya, oleh itu mereka mengharapkan sesuatu yang hebat dapat dihasilkan oleh kita. Kita perlu melakukan sendiri, ia adalah daripada diri kita sendiri.Saya boleh katakan bahawa kemudahan di negara kita adalah sebaik dengan universiti aras kedua di Britain. Sejak kebelakangan ini kerajaan telah memberikan peruntukan yang banyak kepada Universiti Malaya, sekitar RM500 juta bagi kemudahan penyelidikan.

3. Saya tidak mempunyai mentor. Saya seorang yang bekerja sendiri.

4. Saintis yang paling saya minati ialah Max Planck (seorang fizikawan Jerman yang membangunkan teori kuantum) dan Louis de Broglie. Anda mesti meminati Planck kerana pada usia yang sangat muda, beliau telah memperolehi Hadiah Nobel Fizik iaitu beliau menemui fenomena yang sangat penting ketika itu. Manakala de Broglie pula membuktikan bahawa gelombang dan zarah boleh dihubungkan dengan satu persamaan. Mereka berdua yang membina asas fizik kuantum. Populariti Einstein terlalu berlebihan.

5. Saya rasa kecerdasan paling utama tetapi yang lebih penting bagi seorang ahli sains ialah kesungguhan bekerja keras, komitmen dan minat dalam bidang yang diceburinya.

6. Malaysia terkenal sebagai pemacu bidang yang tertentu dalam fotonik tetapi agak sukar dikenali disebabkan oleh kedudukan dan lokasi negara kita. Jika anda di Eropah dan menghadapi beberapa masalah teknikal dan kehabisan segala sumber, anda boleh merantau ke negara lain dengan keretapi atau dapatkan beberapa orang pelajar bagi mengkaji dalam beberapa hari bagi mendapatkan hasilnya. Kamu boleh menambah dan meningkatkan pengetahuan dengan lebih cepat. Kita agak tidak terdedah di sini, melainkan di Eropah mereka mempunyai beberapa seminar dengan itu pengkaji dengan berterusan boleh menjalinkan penyelidikan sesama mereka. Malaysia adalah negara yang kecil manakala jiran kita iaitu Singapura kadangkala tidak mahu mengongsi banyak perkara. Manakala peluang berkongsi pengetahuan dan mempunyai platform yang sama agak tidak menggalakkan. Hari ini, kita boleh berkomunikasi melalui Skype dengan orang di negara lain, tetapi jika mereka tidak mengenali anda dan anda pula tidak pernah menemui mereka, kita akan mendapati mereka tidak akan memberi maklum balas.

7. Saya rasa halangan utama dalam bidang reka cipta di Malaysia ialah kurangnya keharmonian kaum. Syarikat-syarikat gergasi yang menghasilkan keuntungan yang besar tidak cukup mempunyai tanggungjawab terhadap masyarakat. Mereka sewajarnya memperuntukan sebahagian daripada keuntungan tersebut memberikan hadiah atau dan kepada sekolah dalam pertandingan reka cipta. Jutawan-jutawan berbangsa Cina dilihat lebih bermurah hati terhadap masyarakat mereka.Jika mereka berlebih-lebihan dalam hal ini maka seluruh negara akan merasai kebaikannya dan denga dana yang cukup, maka budaya reka cipta boleh berkembang maju.

8. Bagi mencapai industri berteknologi tinggi pada tahun 2020, pertama, kita memerlukan graduan- graduan PhD yang menjadi faktor penting bagi syarikat-syarikat multinasional yang ingin menempatkan semula industri mereka di Malaysia. Kualiti akan datang kemudian melalui proses pilihan semula jadi di mana yang paling terbaik akan berdaya tahan. Ini akan menjadi asas bagi menambahbaikkan kualiti graduan PhD di negara ini di mana akan ditentukan dengan besar-besaran oleh daya pasaran. Agak sukar untuk mengulas dengan lebih tepat tentang kualiti graduan PhD di negara ini kerana outputnya berlaku merentasi keluasan pelbagai bidang termasuklah nic bidang yang sedikit diketahui. Salah satu cara yang sesuai bagi memastikan kualiti pelajar PhD adalah menghendaki mereka menghasilkan lima penerbitan dalam jurnal antarabangsa sepanjang pengajian. Ini wajar menjadi kriteria bagi amalan semua instituisi tempatan kerana kerja-kerja tersebut disemak oleh pakar-pakar antarabangsa dari universiti-universiti terkenal. Ini akan memastikan kualiti graduan PhD yang dihasilkan di negara ini setanding dengan negara-negara seperti Amerika Syarikat, UK dan Eropah.

9. Adalah lebih baik jika rancangan TV dan media bercetak negara kita menghasilkan lebih banyak bahan (rancangan TV dan bahan bacaan) dalam mengaitkan betapa penemuan saintifik boleh mengubah gaya hidup kita dan membentuk masa depan. Dalam aspek ini, kita boleh menonjolkan kepentingan dan impak kepada fizik dan bagaimana fizik menjadi tunjang kepada industri yang baharu.

10. Pada masa lapang saya membaca tentang Islam, Hindu, Buddha dan Kristian bagi melihat kesaamaan iaitu kenapa orang mempercayai sesuatu.


Catatan – Makalah ini diterjemahkan oleh Faudzi Umar dari artikel- 10 things about: Dr Harith Ahmad, lecturer, inventor and Distinguished Professor for 2014 dari themalaymailonline.

majalahsains

Comments