nostalgia zubir


Nostalgia 'Penantian' yang ditinggalkan Zubir Ali!
ZIEMAN
7 Mac 2009

Begitu banyak kenangan yang ditinggalkan dalam lagu puisi 'Penantian' dan 'Doa' Allahyarham Zubir Ali.


[SEMASA] JIKA lagu puisi 'Penantian' diputarkan lagi di saat ini, tentu saja mereka yang terbuai dengan alunan sepi bait-bait indah lirik lagu ini akan diulit perasaan rindu, sebak dan sayu kerana komposer, penyanyi dan penulis lirik ini, Allahyarham Zubir Ali sudah tiada lagi di kalangan kita.

Allahyarham, 58, yang merupakan bekas vokalis kumpulan 'Harmoni' menghembuskan nafas terakhir pada jam 11 pagi semalami, di Hospital Pakar Damansara selepas menjalani pembedahan jantung.

Arwah yang dilahirkan di Alor Setar, Kedah meninggalkan seorang balu, seorang anak lelaki dan dua orang anak perempuan. Jenazah Allahyarham selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Bukit Kiara selepas Asar hari ini.

PERJALANAN SENI ZUBIR ALI

Komposer, penyajak dan penyanyi bernama Zubir Ali ini begitu sinonim dan serasi dengan gaya penyampaian dan nada puitis sehingga ke akhir hayat.

Belum ada lagi yang dapat meniru mahupun menandingi kemasyuran yang dimilikki insan unik yang terkenal dengan lagu puisinya 'Penantian', 'Doa' dan 'Balada Seorang Pencari.'

Genre puisi tidak dapat dipisahkan dengan komposer hebat ini dan berjaya mengukir namanya dengan elemen nostalgia muzik puisi ala Zubir Ali.

Puisi bagi arwah, ada nadanya sendiri. Yang membuat sesuatu lagu puisi itu indah dan sedap didengar, kata Allahyarham, ialah "apabila penterjemahannya dilakukan dengan berseni sekali."

Waktu pertama kali Allahyarham memperkenalkan lagu puisi, 'Penantian' oleh kumpulan Harmoni pada awal 1980-an, ramai yang menganggap lagu itu membawa unsur kecewa cinta tetapi ternyata ia sarat dengan unsur ketuhanan yang mendalam.

Kekeliruan itu membawa hikmah apabila lagu 'Penantian' mendapat sambutan hebat hingga ke hari ini. Banyak lagu-lagu genre puisi inspirasi Zubir melekat di hati masyarakat kerana sentuhan lembut dan segarnya.

BAHASA PUISI HANYA SIMBOL

Bagi Zubir, seni itu akal, seni itu bebas, seni itu fitrah dan seni itu tidak berbentuk kerana "seni adalah pengucapan yang tidak dipaksakan dan bahasa itu hanyalah satu permainan simbol yang berbagai bagi menyatakan yang tersirat di dalam akal."

Apa yang dilakukan semasa hayatnya dalam semua lagu puisi yang dihasilkan tidak lebih dari "mengangkat lirik puisi dan memberi kekayaan pada pemikiran masyarakat. Saya hanyalah alat untuk menyampaikan pemikiran yang berbeza."

"Manusia yang berusaha meningkatkan kualiti kemanusiaannya sebelum mati. Kualiti kemanusiaan itu boleh dilihat pada peningkatan sadar nafsu, sadar akal, sadar hati dan sadar ruh, tulis Allahyarham dalam blognya http://zubirali.com.

Malam Demimu Palestin yang dipentaskan pada akhir Januari tahun ini, di Istana Budaya merupakan kemunculan terakhir Zubir di khalayak ramai.

NOSTALGIA 'HARMONI' MENGGAMIT MEMORI SILAM

Kenangan yang ditinggalkan Zubir terlalu banyak untuk dikenang. Salah satu legasinya ialah nostalgia kumpulan 'Harmoni' yang ditubuhkan pada 1980-an.

Kumpulan empat anggota termasuk Zubir dan Azie (isteri penyanyi/pemuzik Syed Sobrie) ini pernah memasukki Bakat TV dan menjadi 'benchmark' kehebatan penyanyi-penyanyi tahun 80an.

Begitupun disebabkan komitmen dan kesibukan masing-masing membuatkan kumpulan ini dibubarkan seketika.

Dua tahun lalu, kumpulan baru yang mengambil semangat "Harmoni' lama ditubuhkan dan digelar 'Trio Harmoni.' Ianya dianggotai ahli baru - Shafa selain mengekalkan anggota asalnya, Joei dan Allahyarham Zubir.

Mungkin, lagu yang paling sarat dengan memori indah tentu sekali 'Penantian' yang dihasilkan pada tahun 1981, 'Doa' dan 'Nyanyian Ombak' (1983).

Kemerduan dan kesyahduan suara lembut Zubir dengan 'backup' vokal kumpulan 'Harmoni' serta irama lagu yang dicipta mendayu-dayu dialunkan dengan begitu asyik sekali.

SUARA HATI ZUBIR MENENTANG PEPERANGAN

Komposer dan penyanyi yang cukup kreatif ini sudah lama menghasilkan puisi-puisi yang menginsafkan tentang penderitaan mangsa peperangan seperti mangsa Palestin.

Malah sejak 1980-an lagi, Allahyarham sudah menghasilkan lagu untuk peperangan dan Palestin dan antara yang popular ialah Balada Seorang Gadis Kecil dan Tuan Presiden (2000) yang kerap disampaikan pada persembahan membabitkan forum atau festival yang disertai delegasi antarabangsa.

Kedua-dua lagu ini menyatakan lirik yang sesuai dengan bantahan terhadap kekejaman yang dilakukan tentera yang tidak berperikemanusiaan. Lagu berjudul Tuan Presiden adalah kritikan terhadap kepimpinan Presiden Amerika Syarikat, George W. Bush.

Lagu 'Balada Seorang Gadis Kecil' pernah memenangi anugerah Lagu Terbaik Pesta Lagu Malaysia pada tahun itu.

Sebanyak 40 lagu pernah dirakamkan Allahyarham dan tujuh daripadanya popular dan mendapat tempat di kalangan pendengar muzik.

MARTABATKAN ISU KEMASYARAKATAN DALAM LAGU

Zubir pernah menyimpan hasrat untuk menghasilkan album mini tapi sayang sekali, ketika masih dalam perancangan dan penelitian menyusun lagu-lagu yang hendak di hasilkan itu, maksudnya tidak kesampaian.

Semangatnya memperjuang dan memartabatkan isu sejagat dan kemasyarakatan sungguh kental dalam dirinya.

Walaupun kurang publisiti, pensyarah sambilan dalam bidang Pengajian Asas Penulisan Puisi di Universiti Malaya dan mantan Timbalan Pengarah Kebudayaan, Pembangunan, Perkhidmatan dan Kegiatan, Pusat Kebudayaan, UM ini tetap berusaha dalam diam untuk berusaha ke arah itu.

Pada tahun 2006, Zubir telah merakamkan sebuah album solo 'Zubir Ali 06' setelah 23 tahun menyepi tanpa sebarang album. 'Zubir Ali 06' diterbitkan bersama oleh Julfekar, Life Records, Millennium Art dan Moza Publisher.

Album nostalgia itu turut menghimpunkan 12 lagu termasuk dua bonus track Doa dan Balada Anak Desa yang dipetik daripada album terdahulu Zubir bersama kumpulan Harmoni yang popular pada tahun-tahun 1980-an.

MEMORI BERSAMA GENG 'RAP

Bagi orang-orang lama, mungkin akan ingat lagi kepada geng RAP yang popular zaman awal hingga pertengahan 90'an seperti Sheila Majid, Zainal Abidin, Amir Yussof, Azman Warren, Afdlin Shauki dan Zubir Ali.

Kesemua penyanyi ini di bawah naungan dan bimbingan Roslan Aziz yang bijak mencorakkan projek muzik yang bernafas 'baru' dan segar serta berkualiti. Antara hasil yang membanggakan ialah penghasilan CD solo Sheila, Zainal dan Konsert Ikhlas di Stadium Merdeka.

Disebabkan genre muzik Zubir yang puitis, beliau dianggap sesetengah pihak 'the odd man out' dalam geng RAP ini. Bukan sahaja Allahyarham artis yang paling veteran dalam kumpulan ini tetapi pengkhususannya dalam genre muzik puitis.

Tapi di situlah terletaknya keistimewaan Zubir yang membuatnya sebagai aset dalam lingkungan keluarga RAP.

Kali terakhir beliau muncul dalam rakaman album ialah dalam tahun 1996 di bawah naungan Roslan Aziz Productions. Ketika itu, album kompilasi 'RAP '96' ada menampilkan sebuah lagu karya dan nyanyian Zubir, 'Siapakah Memberi Khabar' dengan susunan muzik menarik oleh Mac Chew dan diproduksikan Roslan Aziz.

Sebelum itu, dalam tahun 1991, album kompilasi RAP yang paling popular, 'Ikhlas Tapi Jauh' juga menampilkan lagu menarik nyanyian Zubir 'Harga Diri'.

Kini semua ini hanya tinggal kenangan. Perjalanan hidup insan seni bernama Zubir Ali terhenti pada tanggal hari Jumaat, 6 Mac, 2009.

Bersama alunan bait-bait indah yang ditinggalkan, kita akan selalu rindu mendengar alunan lagu puisi Allahyarham.

Seribu kenangan akan bersemadi dalam lagu-lagu Zubir dan sebagai peminat kita akan tetap digamit rindu setiap kali lagu-lagu 'Penantian, 'Doa' dan 'Erti Pengorbanan' diputarkan.

AL-FATIHAH

mstar


Harmoni : Penantian (1981)

PROLOG
(Zalikamari)

PENANTIAN
Lagu: Zubir Ali
Puisi : Zubir Ali
Musik : Ruslan Md. Imam
Vokal : Zubir Ali

SEPANJANG JALAN KE PULAU PINANG
Lagu: Zubir Ali
Puisi : Zurinah Hassan
Musik : Ruslan Md. Imam
Vokal : Zubir Ali / Joey

TANAH AIR
Lagu: Zubir Ali / Joey
Puisi : Usman Awang
Musik : Ruslan Md. Imam
Vokal : Jasmin

DOA
Lagu: Zubir Ali
Puisi : Khairul Anwar
Musik : Zalikamari
Vokal : Zubir Ali

BALADA ANAK DESA
Lagu: Zubir Ali
Puisi : Zubir Ali
Musik : Andrew Sammy
Vokal : Zubir Ali

CENGKERAMA PANTUN KATA TAK SUDAH
Lagu: Zubir Ali / Joey
Puisi : Zubli Zainordin
Musik : Ruslan Md. Imam
Vokal : Ogie

SEBUAH BAS BERWARNA BIRU
Lagu: Zubir Ali
Puisi : Latif Mohidin
Musik : Zalikamari
Vokal : Zubir Ali

TENTANG DUKA
Lagu: Zubir Ali
Puisi : Situng Umar RS
Musik : Zalikamari
Vokal : Zubir Ali

PENERBIT & URUSAN PENERBITAN : ZALI KAMARI
JURUTERA RAKAMAN & ADUNAN : ZALI KAMARI, TOMMY TAN, ANDREW SAMMY
STUDIO RAKAMAN : ESTEE SUND, SUBANG JAYA
REKABENTUK SAMPUL : WANDIKAMARI





POHON PUISI BERBUNGA MELODI.
(mengenang Zubir Ali)
oleh Zurinah Hassan

Peristiwa itu masih segar di dalam ingatan. Pada tahun 1968 saya belajar di Sekolah Sultanah Asma Alor Setar. Suatu hari saya menghadiri majlis Maulidur Rasul yang diadakan di sekolah agama yang bernama Maktab Mahmud. Acara utama hari itu ialah penyampaian hadiah pertandingan menulis sajak sempena Maulidur Rasul. Saya hadir dengan gembira kerana sayalah yang akan menerima hadiah pertama.

Acara yang berlangsung di dewan maktab cukup meriah. Penyampaian hadiah diikuti dengan acara persembahan. Saya menyaksikan sajak saya yang berjudul “Muhammad” dideklamasikan oleh seorang pelajar Maktab Mahmud bernama Shamsuddin Osman . Sajak yang memenangi tempat kedua dideklamasikan sendiri oleh penulisnya iaitu seorang “budak” Tingkatan Lima Maktab Mahmud. Namanya Muhammad Zubir bin Ali.

Hari itu adalah hari yang bersejarah di dalam hidup saya. Itulah kali pertama saya menjadi johan satu pertandingan menulis sajak.(peringkat sekolah-sekolah daerah Kota Setar). Itulah juga kali pertama kali saya melihat sajak saya dipersembahkan di atas pentas. Saya kagum dengan bacaan dan gaya Shamsudin Osman yang membuat sajak saya terdengar lebih hebat dan dramatic daripada teks asalnya.

Tetapi saya tidak menyangka ada yang lebih dari itu. Saya tidak menyangka bahawa pagi itu saya telah bertemu dengan dua insan yang akan menjadi penting di dalam sejarah seni dan budaya tanah air. Budak lelaki yang bernama Shamsudin Osman yang mendeklamasikan sajak saya itu, kemudiannya menjadi Dinsman, satu nama yang anda kenali pada hari ini. Dan Muhammad Zubir Ali itu tidak lain dan tidak bukan ialah komposer , penyanyi, penyair dan pemikir Zubir Ali yang telah pulang kepada Ilahi pada hari Jumaat 6hb Mach yang lalu.

Zubir melanjutkan pelajaran ke Tingkatan Enam di Kolej Islam Kelang dan kemudian ke Universiti Malaya. Semasa di Universiti Malaya beliau menyertai KESUMA iaitu satu persatuan kesenian yang aktif menganjurkan acara seperti Malam Berbunga Sajak . Acara seperti ini memberi peluang kepada Zubir mencipta lagu-lagu puisi. Bakatnya terus berkembang.
Dari UM beliau ke ITM (sekarang UiTM) sebagai pengawai kebudayaan . Di sinilah beliau menubuhkan kumpulan Harmoni bersama teman-temannya Joey, Ogy dan Azie.

Pada tahun 1977 saya dijemput oleh Grup Teater Elit ( diketuai oleh Dinsman) untuk membuat persembahan di Dewan Bahasa dan Pustaka. Acara itu berjalan dengan jayanya lebih-lebih lagi kerana saya mendapat bantuan Zubir. Beliau telah mencipta beberapa buah lagu daripada puisi saya. Puisi-puisi yang telah dilagukan termasuklah “Seketika Terkenang Padamu Mama”, “Suara Dalam Hujan” dan “Sepanjang Jalan ke Pulau Pinang”. Akhbar Berita Minggu Ahad, 13 Mac, 1977 mengulas, “Lagu-lagu tersebut mendapat tepukan hebat dari para peonton. Dan pujian harus diberikan kepada penggubah lagu yang berbakat ini”.

Dari sini saya melihat Zubir mengatur langkah dengan berani. Beliau kemudian meminta kebenaran bagi memuatkan “Sepanjang ke Pulau Pinang” ke dalam album kumpulan Harmoni yang pertama. Terus terang saya katakan pada mulanya saya kurang yakin lagu-lagu tersebut akan mendapat sambutan. Saya bimbang kalau-kalau lagu puisi hanya akan diminati oleh peminat puisi dan peminat puisi memang amat sedikit di tanah air kita.

Jangkaan saya meleset. Album pertama lagu puisi bukan sahaja diterima bahkan meletup-letup. Lagu “Penantian” menduduki tempat teratas dalam carta lagu-lagu pilihan sehingga berbulan-bulan lamanya. Lagu “Sepanjang Jalan ke Pulau Pinang” kedengaran setiap hari di radio. Sejak itu ramai yang kenal saya sebagai penulis sajak “Sepanjang Jalan ke Pulau Pinang” yang dinyanyikan oleh Zubir Ali. Turut popular ialah lagu Doa dari sajak Khairul Anwar. Ini merupakan sumbangan besar kepada dunia puisi Melayu. Sebagai penyair, saya berterima kasih kepadanya atas usaha yang telah berjaya membawa puisi ke tengah masyarakat.

Dengan kejayaan ini Zubir Ali dan kumpulan Harmoni menempa sejarah di dalam industri muzik dan dunia kepenyairan tanahair. Album pertama kumpulan Harmoni (1981) merupakan album pertama lagu-lagu puisi yang diedarkan secara komersial. Sebelum itu ada juga lagu lagu puisi yang dinyanyikan oleh Ibrahim Bacik tetapi cuma disiarkan menerusi rancangan khas di radio. Album kedua Harmoni “ Nyanyian Ombak” terbit pada tahun 1982. Kejayaan Harmoni di dalam lagu puisi diikuti oleh kumpulan Kopratasa, Ahmad Ramli, Julfekar dan lain-lain.

Bagi saya lagu Penantian menduduki tempat yang tersendiri pula. Ia bukan sahaja lagu puisi pertama yang mengungguli carta lagu popular di radio, tetapi inilah lagu yang saya anggap mempunyai senikata yang paling berpengaruh selepas lagu Getaran Jiwa oleh P.Ramlee.

Di dalam sejarah lagu Melayu moden kita boleh menamakan dua buah lagu yang senikatanya paling diingati dan disebut-sebut. Yang pertama ialah lagu Tan Sri P.Ramlee iaitu Getaran Jiwa. Baris yang berbunyi “Andai dipisah lagu dan irama, lemah tidak berjiwa…..” digunapakai oleh orang ramai untuk menerangkan tentang keakraban sesuatu yang tidak dapat dipisahkan. Selepas “ Getaran Jiwa” muncul “Penantian” Zubir Ali. Ingatkah anda bagaimana baris yang catchy “Penantian satu seksa” digunapakai dengan berleluasa di mana-mana oleh sesiapa sahaja yang berada di dalam situasi menunggu. Saya sendiri pernah mendengar sekumpulan pemain takraw menjerit kepada kawan yang lewat tiba, “penantian satu seksa”. Saya juga mendengar ia dituturkan oleh pensyarah yang sedang berkuliah malah seorang ustaz yang sedang berceramah.

Sebenarnya itulah harapan Zubir. Dia mahu menyanyikan sesuatu yang boleh membawa kesan kepada masyarakat. Dia memilih puisi untuk dilagukan kerana baginya puisi mengandungi makna yang mendalam dan disampaikan dalam bahasa yang indah. Keindahan bahasa dan kedalaman makna inilah yang akan diingati dan kekal di minda pendengar sedangkan lagu-lagu popular bertema cinta murahan mungkin akan digilai tetapi untuk tempoh masa yang singkat. (lihat Harian Metro:31 Mei 06). Maksudnya banyak lagu yang datang dan pergi namun yang kekal menjadi ingatan ialah senikatanya yang indah dan bermakna”

Zubir juga menulis puisi. Sajak-sajaknya pernah tersiar di Dewan Sastera. Bila menulis puisi beliau menggunakan nama Muhammadzubirali. Tidak hairanlah kalau beliau menjadikan lagu puisi sebagai wadah perjuangan, seperti katanya “ Walaupun album ini bukan album komersial dengan tema cinta yang mungkin dicari-cari saya rasa tetap mahu menerbitkannya kerana rasa tanggungjawab terhadap perjalanan dan keindahan puisi.Puisi terlalu indah. Lambang ketinggian budaya kita. Saya akan mengangkat mesej positif dengan puisi sebagai pokoknya dan melodi sebagai bunganya ”(Lihat Kosmo Jumaat 5 Mei 06).

Bagi Zubir penulisan dan penciptaan lagu adalah bidang yang serius. Katanya, “Menulis lagu lebih kepada soal jiwa dan bukannya soal zahir sahaja. Sejauh mana kemampuan sesuatu lagu menarik masyarakat ke arah kebaikan bergantung kepada jiwa penulis lirik, pencipta lagu dan penyanyi” (Utusan Melayu 22 Januari 2008)

Zubir juga mengakui bahawa usahanya menyanyikan lagu puisi adalah sebahagian daripada usahanya untuk memertabatkan bahasa Melayu melalui lirik lagu. Beliau merasa sedih apabila banyak pihak tidak mementingkan aspek lirik lagu. Menurut Zubir, “Bahasa Melayu sangat kaya tetapi kedaifan bahasa Melayu dalam lirik lagu tempatan adalah satu fenomena yang menyedihkan. Kebanyakan penyanyi tidak berminat mendalami bidang bahasa dan tidak peduli sebutannya betul atau salah. Artis juga perlu ada ilmu dan menyanyi dengan jiwa. (lihat Harian Metro 31 Mei 06).

Beliau sering menyatakan kegusarannya, “sekarang siapa saja boleh menjadi penulis lirik. Tidak perlu pandai bahasa Melayu dan tidak perlu jadi ahli fikir”. Bagi Zubir menulis lirik lagu adalah satu kerja seni yang mesti ditangani dengan pemikiran yang mendalam. Seorang penulis lirik sepatutnya juga seorang pemikir kerana “kerja seni itu melambangkan ketinggian daya fikir seorang seniman. Sekiranya pemikiran tentang sesuatu itu kurang kreatif , cetek atau masih dangkal, maka seluruh karya itu terjejas dan tidak dapat diterima sebagai karya seni”.

 Selepas Penantian (1981) dan Nyanyian Ombak,(1983) kumpulan Harmoni hilang seketika, kerana anggota-anggotanya yang terpaksa mengikut haluan masing-masing. Zubir juga bertukar tempat ke UKM dan seterusnya Universiti Malaya. Zubir terus aktif di dalam persembahan-persembahan terutama majlis sastera dan deklamasi puisi. Beliau terus mencipta lagu-lagu puisi . Kabarnya sudah ada sekitar 80 buah lagu yang sedia ada. Beliau pernah ditanya mengapa tidak memberi lagu-lagu ini kepada penyanyi lain. Jawapannya beliau pernah mencuba tetapi bila mendengar nyanyian mereka, beliau tidak berpuas hati kerana “jiwa” puisi itu tidak sampai seperti yangdihajati. Pada tahun 94 Zubir memenangi lirik terbaik Pesta Maal Hijrah dan 1995 lagunya dipilih sebagai lagu terbaik Pesta Maal Hijrah. Selain puisi dan lagu, Zubir turut mengemukakan pandangannya terutama mengenai muzik dan pemikiran keIslaman melalui seminar-seminar di dalam dan di luar negara terutama yang dianjurkan oleh JAKIM.

25 tahun kemudian, Zubir Ali mengumpul semula kawan-kawan (Joei dan Shafa) dalam Kumpulan Trio Harmoni untuk meneruskan perjuangannya. Mereka berjaya menerbitkan CD solonya 'Zubir Ali '06'. Di sini juga ada puisi saya iaitu “Puisi Cinta yang Lain” bersama sajak Latif Mohidin, “Siapakah yang Memberi Kabar”.

Zubir juga dikenali menerusi lagunya “Balada Gadis Kecil” yang menyayat hati tentang kekejaman pihak zionis. Lagu ini menjuarai Festival Lagu-lagu 1983. Perasaan kemanusiaan terhadap umat Islam yang menderita diluahkan oleh Zubir pada Malam Demimu Palestin yang berlangsung di Istana Budaya. Simpatinya terhadap rakyat Palestin, membuatkan beliau cukup bersemangat walaupun sudah mula merasa sakit-sakit. Malangnya, inilah penampilannya buat kali terakhir. Tidak berapa lama selepas itu beliau dimasukkan ke hospital Spesialis Damansara untuk menjalani rawatan. Takdir telah menentukan Zubir pergi buat selama-lamanya. Dia telah meninggalkan untuk kita dan bangsanya khazanah seni yang amat berharga. Takziah kepada anak-anak dan isteri Fauziah Ismail yang saya kenali sejak dia masih kecil di Tikam Batu Kedah.

Saya dan Zubir kerap juga berbincang dan lebih banyak bertengkar. Pertengkaran-pertengkaran itu lebih memesrakan kami. Dan sekarang tiada lagi Zubir untuk dilawan bertengkar. Tanpa lawan saya kehilangan kawan.

Balada Gadis Kecil

Gadis ini telah bertahun
Dicengkam derita
Di khemah pelarian
Yang menjanjikan dukacita

Munir tak mengenal erti cinta
Telah kering air mata
Menangisi kematian
Ayah bonda dan saudara

Pada suatu senja langit shatila
Menyaksikan pembunuhan anak kecil dan wanita

interpretasi

Comments