lebuhraya manusia


lebuhraya manusia

berjalanlah di sini
ini lebuhraya manusia
selagi kau ternama dan berkuasa
selagi kau hebat dan terkemuka
laluanmu akan mudah dan terjaga
malah ada yang melambai tangan
tunduk hormat dan senyum bangga
mengalu-alukan laluanmu
di lebuhraya ini

kau tak akan terlewat
atau tersesat arah
kerana terlalu banyak menjaga
memuja dan memuji namamu
dan kehadiranmu
kau bisa senyum dan puas berpanjang
tiada siapa menganggu dan menghalang
ini lebuhrayamu bebas dan laju

tapi sekiranya kau bukan lagi
berada dalam lingkungan dan pasukan
terbiar dan sendirian
terlalu sulit bagimu lebuhraya ini
kau akan bersama yang lain
bersesak dan menunggu 
hangat dan panas
hangit dan pedih
tak ada peduli lagi
laluan ini terlalu sempit dan sukar
kau terpaksa berpayah merentasi
tak ada kenang dan puja jasa
tak ada puji dan kata manis
nista dan hina menanti
segala dirimu tak berharga
rebah dan tersungkur
tak ada lagi simpati 
kerana lebuhraya ini
untuk yang ternama dan berpuja

lebuhraya manusia
laluan panjang dan terbuka
sempit buat yang melata
luas buat yang ternama

selamat melintasi lebuhraya ini
airmata dan kesedihan
bukan nilai di sini
kuasa dan ternama
penjaga lebuhraya ini

Comments