Waktu Kerja Bulan Ramadan

PELAKSANAAN MENGENAI WAKTU PERINGKAT (WP) BEKERJA KHAS PADA BULAN RAMADAN
Dr Ali Hamsa·
2 Jun 2016


Sempena menyambut bulan Ramadan yang menjelang tiba tidak lama lagi, Kerajaan telah bersetuju untuk mengurangkan waktu rehat penjawat awam selama setengah jam. Langkah ini diambil bagi memberikan kemudahan kepada mereka untuk memanfaatkan bulan Ramadan yang mulia ini bagi menjalani tanggungjawab ibadah.

Bagi melaksanakan perkara tersebut, Kerajaan bersetuju untuk menambah Waktu Peringkat (WP) dalam jadual Waktu Bekerja Berperingkat (WBB) yang sedia ada di semua agensi Kerajaan Persekutuan.

Sebagai panduan, pelaksanaan WBB pada bulan Ramadan bagi pejabat di Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur dan Putrajaya), Perlis, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Pahang dan di mana hari Sabtu dan Ahad merupakan Hari Rehat Mingguan, Waktu Pejabat bagi negeri-negeri ini ialah dari pukul 7.30 pagi hingga 5.00 petang. Waktu Rehat dari pukul 1.00 petang hingga 1.30 petang (Isnin hingga Khamis) dan 12.30 tengah hari hingga 2.30 petang (Jumaat).
Bagi negeri-negeri yang lain iaitu Kedah, Kelantan, Terengganu, Johor, Sabah, Wilayah Persekutuan Labuan dan Sarawak, Waktu Bekerja Berperingkat (WBB) pada bulan Ramadan boleh dirujuk melalui Surat Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 1 Tahun 2016 yang akan dimuat naik ke Portal JPA (http://www.jpa.gov.my) oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA)

Pelaksanaan pengurangan waktu rehat ini tidak akan menjejaskan aktiviti dan operasi sistem penyampaian perkhidmatan awam sepanjang bulan Ramadan kerana pelaksanaan ini tidak mengubah tempoh waktu bekerja penjawat awam sedia ada.

Diharapkan semua penjawat awam akan terus memberikan perkhidmatan yang cemerlang dan berdedikasi bagi memastikan sistem penyampaian perkhidmatan awam sentiasa cekap dan berkesan dalam memenuhi ekpektasi rakyat.

TAN SRI DR. ALI HAMSA
Ketua Setiausaha Negara

sumber fb dr ali hamsa 



Comments