Sutung Umar RS



perjalanan si salik akan terus meningkat
dari satu darjat ke satu darjat yang lain
hingga mencapai puncak kewalian
yang dikenal sebagai quthb
iaitu tingkat yang paling tinggi
yang menanggung semua beban
makhluk dalam kalbunya
namun bersamaan dengan itu
ia telah mencapai iman
yang menyeluruh sebanding dengan iman
semua makhluk agar ia mampu
memikul beban yang diletakkan
di atas bahunya
Ratib Kalbu ( hal. 498 )


Penyair Sutung Umar RS meninggal dunia
30 Mei 2016

KUALA LUMPUR 30 Mei - Penulis dan penyair terkenal, Wan Omar Wan Ahmad, 68, atau lebih dikenali dengan nama pena Sutung Umar RS, meninggal dunia akibat kencing manis di rumahnya di Taman Sri Gombak dekat sini ketika azan Asar.

Sutung Umar RS

Penulis majalah Dewan Sastera itu menghembuskan nafas terakhir di sisi isterinya, Rihan Mohd. Salleh.

Jenazah dibawa ke Masjid al-Khariyah Taman Sri Gombak untuk disembahyangkan sebelum dikebumikan.

UTUSAN ONLINE


Sutung Umar Rs meninggal dunia 
Oleh Hafizah Iszahanid

SUTUNG Umar.- Foto Shiraz Ali KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Unit Pengembangan Sastera BH dan pengarang terkemuka, Wan Omar Wan Ahamed, 68 atau lebih dikenali sebagai Sutung Umar Rs, meninggal dunia di kediamannya di Taman Seri Gombak dekat sini kira-kira jam 5 petang tadi.

Anaknya, Murni Wan Omar, berkata jenazah ayahnya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Bukit Permata, Taman Seri Gombak selepas urusan solat jenazah di Masjid Al Khairiah Taman Seri Gombak.

Sutung Umar Rs yang dilahirkan di Kota Bharu pada 1948 bersara dari BH pada 2003. Sebelum itu beliau pernah bertugas Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dengan jawatan terakhir sebagai Editor Kumpulan Majalah DBP.

Sebagai penggiat sastera, Sutung Umar Rs pernah menubuhkan Teater Elit yang mempelopori Baca Puisi di Hotel Century Abad Kuala Lumpur dan Malam Puisi Tanah Air, selain pernah berkhidmat sebagai Setiausaha Agung Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA).

Genre penulisannya meliputi puisi, cerpen, esei dan novel tetapi beliau tidak banyak menerbitkan karya dalam bentuk buku secara persendirian ketika berkhidmat di DBP dan BH, selain tiga kumpulan puisi, iaitu dua kumpulan sajak kanak-kanak, Kampung Halaman dan Wau Bulan terbitan Fajar Bakti Sdn Bhd serta Taburkan Bunga (DBP).

Bagaimanapun, beliau banyak menghasilkan novel, kumpulan cerpen dan puisi selepas persaraan itu.

Karya terbaharu beliau, kumpulan puisi Nyanyian Mazmur diterbitkan oleh Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM) Januari lalu.

bhonline



Apresiasi kepada Sutung Umar RS... Ratib Kalbu diraikan
12 Januari 2015


Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM) dengan kerjasama Tanah Licin Sdn Bhd dan Galeri Seni Morne akan menganjurkan “Meraikan Sutung Umar RS Melalui Ratib Kalbu” pada 20 Januari 2015, jam 8.30 malam, bertempat di Dewan Wisma ITBM, Wangsa Maju, Kuala Lumpur.

Penganjuran acara ini adalah sebagai apresiasi kepada karyawan Sutung Umar RS yang telah banyak menyumbang bakti dalam pembangunan serta perkembangan bidang penulisan dan kesusasteraan tanah air.

Acara apresiasi melalui buku karya Sutung Umar RS, Ratib Kalbu, akan dikoreografkan oleh U-Wei Bin Hajisaari, pengarah filem dan teater.

Buku tersebut adalah karya puisi yang disifatkan sebagai terpanjang di Malaysia yang diterbitkan setebal 499 halaman; tanpa pecahan bab atau tajuk puisi lain. Malah karya ini adalah satu-satunya buku puisi yang melampirkan bibliografi sebagai rujukan pembaca.

Sutung melalui buku ini mengetengahkan nilai-nilai ketuhanan dan keagamaan yang dinaratifkan berdasarkan ayat Quran dan sunah Nabi Muhammad.

Daripada kedua-dua sumber tersebut, Sutung mengolah kata menjadi bahasa pertuturan yang mudah difahami bagi memberi kesan mendalam kepada pembaca untuk tidak lupa kepada Allah S.W.T.

Pendek kata, Ratib Kalbu adalah puisi yang penuh nilai ilmu Quran, tasawuf, sufi, zikir, akidah, makna ibadah, fitrah manusia kepada Tuhannya, taubat hamba, dan banyak lagi.

Walaupun Ratib Kalbu antara hasil karyanya yang terbaik, Sutung Umar RS yang banyak menulis pelbagai genre; novel, cerpen, puisi dan esei tidak meletakkan dirinya sebagai penyair sufi atau islamik.

Mantan Ketua Editor Majalah Dewan Bahasa dan Pustaka serta bekas Pengarang Sastera Berita Harian ini masih aktif berkarya walaupun sudah berusia 67 tahun. Selain Ratib Kalbu, karyanya yang lain terbitan ITBM ialah Dia Dan Nya, Anggerik Dari Bukit Tujuh, Di Negeri Kalbu dan Makyung: Warisan Mistik Malaysia. Hasil tulisannya mampu membuat kita merasa dalam jiwa.

Menariknya pada acara tersebut, bait-bait puisi daripada buku Ratib Kalbu akan disampaikan oleh individu pelbagai latar kehidupan antaranya U-Wei Bin Hajisaari (pengarah filem & teater), Sofea Jane (pelakon), Melissa Saila (pengarah drama & pelakon), Sabri Yunus (pengarah drama & pelakon), Mohd Khair (CEO) & Seri Amalina (penuntut Undang-undang), Morne Hashim (pemilik galeri seni), Rebecca Ilham (jurutera), Sani Sudin (pemuzik, penyanyi & pelakon), Rahimidin Zahari (penyair), Rosnan Rahman (penari Makyung), Jayshree (pelukis) dan Joe Ghazali (jurugambar), Sireh (kartunis), Dalila Daud (peguam), Hang Jebat Abdul Rahman (pegawai penjara) dan lain-lain sebagai tanda penghargaan kepada beliau. Setiap individu akan mempersembahkan puisi Ratib Kalbu dalam bentuk pelbagai sama ada mendeklamasikan, melagukan, memakyungkan atau melakonkan.

agendadaily


Malam RATIB KALBU Garapan U-Wei Saari Hargai Sutung Umar
23 Jan, 2015


Seramai 20 pemuisi dari pelbagai latar kerjaya mendeklamasi puisi Ratib Kalbu dalam majlis Meraikan Sutung Umar RS Melalui Ratib Kalbu anjuran Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM) dengan kerjasama Tanah Licin Sdn Bhd dan Galeri Seni Morne, pada 20 Januari lalu, di Dewan Wisma ITBM, Wangsa Maju, Kuala Lumpur.

Penganjuran acara ini merupakan penghargaan kepada karyawan Sutung Umar RS yang telah banyak menyumbang bakti dalam pembangunan serta perkembangan bidang penulisan dan kesusasteraan tanah air.

Meraikan Sutung Umar RS Melalui Ratib Kalbu merupakan acara diinspirasikan melalui buku karya Sutung Umar RS, Ratib Kalbu terbitan ITBM dan dikoreografkan oleh U-Wei Bin HajiSaari, pengarah filem dan teater.

Buku tersebut disifatkan sebagai karya puisi terpanjang di Malaysia yang diterbitkan setebal 499 halaman; tanpa pecahan bab atau tajuk puisi lain. Malah karya ini adalah satu-satunya buku puisi yang melampirkan bibliografi sebagai rujukan pembaca.

Sutung melalui buku ini mengetengahkan nilai-nilai ketuhanan dan keagamaan yang dinaratifkan berdasarkan ayat Quran dan sunnah Nabi Muhammad. Daripada kedua-dua sumber tersebut, Sutung mengolah kata menjadi bahasa pertuturan mudah difahami bagi memberi kesan mendalam kepada pembaca untuk tidak lupa kepada Allah S.W.T.

Pendek kata, Ratib Kalbu adalah puisi yang penuh nilai ilmu Quran, tasawuf, sufi, zikir, akidah, makna ibadah, fitrah manusia kepada Tuhannya, taubat hamba dan banyak lagi.

Walaupun Ratib Kalbu antara hasil karyanya yang terbaik, Sutung Umar RS yang banyak menulis pelbagai genre; novel, cerpen, puisi dan esei tidak meletakkan dirinya sebagai penyair sufi atau islamik.

Mantan Ketua Editor Majalah Dewan Bahasa dan Pustaka serta bekas Pengarang Sastera Berita Harian ini masih aktif berkarya walaupun sudah menjangkau usia 67 tahun. Selain Ratib Kalbu, karyanya yang lain terbitan ITBM ialah Dia dan Nya, Anggerik dari Bukit Tujuh, Di Negeri Kalbu dan Makyung: Warisan Mistik Malaysia. Hasil tulisannya mampu membuat kita merasa dalam jiwa.

Acara santai yang dibuka kepada umum pada malam itu dimeriahkan dengan pengisian deklamasi bait-bait puisi daripada buku Ratib Kalbu oleh individu pelbagai latar kehidupan yang disampaikan dengan cara tersendiri antaranya U-Wei Bin HajiSaari (pengarah filem & teater), Sofea Jane (pelakon), Melissa Saila (pengarah TV & pelakon), Sabri Yunus (pengarah TV, pelakon), Mohd Khair (CEO) & Seri Amalina (penuntut jurusan Undang-undang), Morne Hashim (pemilik galeri seni), Rebecca Ilham (jurutera), Sani Sudin (pemuzik, penyanyi & pelakon), Rahimidin Zahari (penyair), Rosnan Rahman (penari makyung), Jayshree (pelukis), Jo Ghazali (jurugambar), Sireh (kartunis), Dalila Daud (peguam) & Nora Zali (Usahawan IT), Hang Jebat Abd Rahman (pegawai penjara), Hamidah Hassan (pengurus kanan), dan Ahmad Muthmain Ahmad Saufi (penuntut jurusan Insurans).

Pelukis Riaz Ahmad pula melakarkan lukisan sepanjang semua penyair ini mendeklamasikan puisi Ratib Kalbu.

sensasi selebriti

Selepas Fansuri bacalah Ratib Kalbu


Arakian selepas Syeikh Hamzah Fansuri, penyair dan sufi besar alam Nusantara sebagaimana termaklum umum, maka hendaklah para salik membaca akan puisi terpanjang di Malaysia yang berjudul Ratib Kalbu oleh penyair Sutung Umar Rs ini. Jumlah 499 halaman dengan dibahagikan kepada 59 bahagian, ternyata lebih panjang ketimbang Al-Amin oleh SN A. Samad Said sebelum ini. Pendek atau panjang, bukanlah menjadi ukuran kepada nilai dan mutu karya, kerana ada pun karya berjela panjangnya, tetapi ada karya yang tidak memberikan kesan makna apa-apa. Dalam kontek dunia kesusasteraan Malaysia - yang muda remaja, goyah, rapuh dan pop ini sangat sukar untuk menerima karya yang serius.

Saya percaya Ratib Kalbu akan menjadi karya panjang yang meninggalkan kesan dan makna-makna yang pembaca dan pengkritik yang mempunyai sanad kesufiannya melihat dengan mata kalbu. Ratib Kalbu saya percaya ditulis dengan kecerahan kalbu, dan pembaca akan boleh memetik kelazatan dari baris dan rangkapnya. Kesan yang paling besar kepada pembaca yang menelusurinya akan dapat berasakan buah kelazatannya. Sama ada kemanisan, kemasinan atau kepahitannya.

Membaca Ratib Kalbu seolah-olah sedang membaca sebuah bentangan jiwa yang terapung di langit menuju kepada pencarian Tuhan Rabbul Jalil yang Hakiki. Sutung Umar Rs menulis seadanya tentang getar dalaman dan keluhuran jiwanya. Lintasan dan runtunan kalbunya ditumpahkan dengan penuh sedar dan insaf. Walaupun Sutung Umar Rs tidak pernah melebelkan dirinya sebagai penyair Islami atau lebih jauhnya sebagai Sang Sufi dengan menepuk-nepuk dada, tetapi Sutung dengan sebuah puisi panjang ini telah memberikan sebuah tamsilan dan ibarat. Tamsilan dan ibarat itu halus dibuka untuk ditatap dan dibaka dengan mata kalbu dan kecerahan basirah.

Pada saya, Ratib Kalbu perlu dibaca oleh semua orang yang pernah memperlajari kitab Hikam umpamanya, kerana Sutung Umar Rs menulis puisi untuk kita berfikir dan berkongsi perasaan ketulusannya. Nampaknya beliau telah menulis puisi panjangnya ini dengan jiwa raganya. Dan saya yakin, selepas puisi-puisi Fansuri, maka Ratib Kalbu adalah batu tanda penting kepada sejarah puisi moden Malaysia hari ini. Selamat membacanya sempena Ramadan al-Mubarak ini.

perjalanan salik

MERAIKAN RATIB KALBU SUTUNG UMAR RS
Berita Harian
31 Januari 2015

APABILA U-Wei Bin Haji Saari peduli seni maka kita perlu turut peduli. Beliau bukan sekadar pengarah filem tersohor atau pengarah teater. Beliau juga pemikir serta pembaca tegar. Pada acara Meraikan Sutung Umar RS Melalui Ratib Kalbu di Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) baru-baru ini, U-Wei diberi tanggungjawab untuk membuat persembahan puisi karya Sutung Umar RS itu.

Acara anjuran ITBM dengan kerjasama Tanah Licin Sdn. Bhd. dan Morne Gallery itu bertujuan merai penyair Sutung Umar RS yang menulis puisi terpanjang negara ini, Ratib Kalbu. Puisi ini dimuatkan dalam buku 499 halaman berserta bibliografi.

Mengapa Sutung Umar RS perlu diraikan? Beliau bekas Ketua Editor Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan bekas Editor Sastera Berita Harian. Bukan seratus dua penulis yang lulus tapisan ketatnya. Malah acara baca puisi di Rumah Pena sejak 15 tahun lalu dicetuskan oleh Sutung Umar RS dan sebagai mengenang jasanya, Pena menamakan pentas baca puisi sebagai Panggung Sutung Umar RS bagi mengenanginya jasanya. Beliau memunyai sepuluh buah karya bernilai kerohanian. Kesungguhan beliau luar biasa, dan pada usia 67 itu sewajarnya Sutung Umar RS diraikan.

Saya cuba memahami mengapa U-Wei memilih 20 ragam orang pembaca puisi daripada seniman serba boleh hingga kepada penuntut. Ada pegawai penjara (Hang Jebat Abd. Rahman), peguam (Dalila Daud). Usahawan IT (Nora Zali), Pengurus Kanan (Hamidah Hassan), jurutera (Rebecca Ilham), pelukis (Jayshree), pelajar (Seri Amalina dan Ahmad Muthmain Ahmad Saufi), kartunis (Sireh), jurugambar (Jo Ghazali), pemilik galeri (Morne Hashim), Pengarah Urusan ITBM, Mohd Khair Ngadiron dan U-Wei sendiri. Kumpulan Pasiban menjadi pemuzik latar.

Persembahan Rahimidin Zahari, Sabri Yunus, Sani Sudin dan Dinsman tidak menghampakan. Seperti selalu, setiap kali muncul di pentas puisi mereka sudah bersedia. Puisi dan pentas sudah lama sebati dengan mereka. Malam itu Sabri Yunus agak berbeza, hampir sepanjang penampilan dia merapatkan badan ke lantai.

Kejutan pada malam itu apabila Rosnan Rahman aktivis makyung mempersembahkan puisi dalam gerak dan alunan makyung. Saya dan semua penonton terdiam kecuali jari tidak putus-putus membidikkan kamera. Saya memikirkan apakah bezanya pentafsirannya dengan tarian sufi yang terkenal di Turki dan Asia Barat?

Malah ada sebab mengapa U-Wei memilih pelakon Melissa Saila dan Sofea Jane. Mereka ini tetap bawa disiplin seni yang perlu ada pada setiap artis. Naskhah mesti cair dahulu sebelum dipindahkan kepada khalayak. Malam itu mereka tetap merujuk dengan salinan puisi di tangan, takut terbabas dengan ayat-ayat hukum. Apapun mereka tetap gementar apabila berhadapan dengan penonton.

Penyampai boleh mengolah suara dan gerak tubuh dengan baik. Namun begitu, menyampaikan puisi kerohanian perlu persiapan dan pengetahuan tambahan. Lebih baik kalau penyampai itu tahu hokum-hakam yang dipetik dan memahami tafsiran penulisnya. Tetapi agak malang kalau muncul di pentas sekadar menyampaikan hafalan sahaja.

Bagi yang biasa dengan puisi kerohanian, pada "air suara" kita, dia boleh kenal sama ada kita faham atau tidak apa yang kita baca. Pada roma dia boleh rasa sama ada kita sampai atau tidak apabila melontarkan siratan maksud.

Apabila saya perhatian jenama besar penonton malam itu dan penonton melimpah tentu ada perkara yang ingin dilihat selain daripada 'meraikan'. Apa yang boleh saya katakan ialah kita di negara ini belum cukup lagi terdedah dengan persembahan atau pembacaan puisi kerohanian.

itbm

Biografi 


Sutung Umar RS memperoleh ijazah Sarjana Muda Sastera dalam bidang Penulisan Kreatif dan Deskriptif dari Universiti Malaya pada tahun 1982. Beliau kemudian bertugas di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), di Bahagian Pembinaan dan Pengembangan Sastera dan di Bahagian Majalah. Beliau juga pernah bertugas sebagai Editor Kumpulan Majalah terbitan DBP. Kemudian bertugas pula dengan Kumpulan Berita Harian.

Bidang penulisan utama Sutung ialah puisi. Banyak puisinya telah tersiar di dalam akhbar dan majalah perdana tanah air seperti majalah Dewan Sastera dan Berita Minggu. Selain daripada puisi, beliau juga turut menghasilkan esei, kritikan, dan rencana. Pada masa ini, menjadi kolumnis "Rentak Kalam" di akhbar Berita Minggu.


Hasil penulisan

Makyung : The Mystical Heritage of Malaysia, susunan, Rahimidin Zahari & Sutung Umar RS : Institut Terjemahan Negara Malaysia, 2010.
Wau Bulan (Fajar Bakti, 1982)
Kampung Halaman (Fajar Bakti, 1983)
Taburkan Bunga : DBP, 1996.
Sikap dan Pemikiran Usman Awang / diselenggarakan oleh Dinsman dan Sutung Umar RS. : Fajar Bakti, 1983.
Api Cinta (novel: Pustaka Nusa, 2009)
Seluang Lepas Melaut Jilid 1 dan 2 (Novel Kita: 2011)

wiki

Comments