siti jasmina ibrahim


Siti Jasmina Berjiwa Kental
Oleh ASMAH HASHIM


LATAR BELAKANG

Raut wajahnya manis, sering terukir senyuman, boleh awet muda katanya. Sering membaca statusnya. Mengenali dirinya lewat karya-karyanya. Kagum dengan bakat anugerah Ilahi. Orangnya merendah diri, biarpun bakat yang ada sudah jauh setinggi langit. Karyanya sering dibaca di dada akhbar dan novel pertamanya yang saya miliki adalah Trilogi Cinta, ketika itu bercita-cita hendak jadi penulis. Maka karya-karya mereka yang sering memenangi Hadiah Sastera sering menjadi pilihan.



Namanya Siti Jasmina Ibrahim. Anak sulong kepada pasangan Tuan Haji Ismail dan Puan Hajah Siti Shabedah Haji Nasir yang berasal dari Negeri Sembilan. Dilahirkan pada 3 April 1976 di Taman Keramat Kuala Lumpur. Anak sulung dari tiga orang beradik. Berbintang Aries, kalau ikut kalender cina, dia lahir dalam tahun naga. Suka dengan semangat kerjanya. Ada sahaja idea yang bermain di benaknya. Mata penanya akan bercerita sehingga mampu menyentuh jiwa. Dia seorang yang optimistik, suka ketawa dan tersenyum, itulah rahsia awet mudanya. Hobinya suka membaca, sesuailah dengan dirinya seorang penulis. Makan suka juga, tapi badan tidaklah berisi mana, tetap cantik menawan. Dia juga percaya keyakinan diri datang daripada kekuatan hati yang berisi dengan iman di dada dan ilmu pengetahuan yang luas. Lihat orangnya yang lembut siapa sangka meminati suka badminton, boling, bola jaring dan bola tampar. Namun bola sepak dan tenis sering menjadi tontonan.

Ketika usia mencecah enam tahun, dia sudah dihantar ke sekolah. Sekolah bernama Tadika Manja yang terletak di Taman Keramat. Kecemerlangan dalam pendidikan sudah dibuktikan sejak di sekolah tadika lagi. Malahan rajin pula. Mana tidak rajinnya, ketika sakit pun masih ingin ke sekolah. Wah, ada ciri-ciri bakal pelajar cemerlang. Darjah satu hingga enam di Sekolah Rendah Kebangsaan Taman Keramat (1). Beruntungnya dia, sebab setiap hari waktu rehat, ada orang menghantarkan makanan. Siapa yang tidak suka berkawan dengan dia, sebab sering dapat makan percuma, enak pula itu. Jimat duit belanja.

Minat belajar yang diterapkan dalam diri memberi imbuhan yang tidak berbelah bahagi. Menjadi pelajar cemerlang di sekolah merupakan impian setiap pelajar dan orang tua. Ingin melihat anak-anak berjaya juga antara cita-cita ayah dan ibu. Siapa yang tidak bangga mempunyai anak cemerlang seperti dia, selalu mendapat keputusan lima terbaik. Ketika darjah satu, tiga dan lima dia sering mendapat nombor satu dan terbaik dalam mata pelajaran Bahasa Malaysia. Hadiah yang sering diberi oleh orang tuanya ialah buku ilmiah dan juga buku cerita yang sesuai dengan dirinya ketika itu. Minat membaca telah dipupuk sejak kecil lagi.

Tiada siapa menyangka dan dia sendiri tidak pernah menduga akan menjadi seorang penulis profesional. Rupanya cita-cita yang terpendam di dalam hati ialah ingin menjadi seorang peguam dengan menyangka, jadi peguam hanya perlu pandai bercakap sahaja. Waktu di sekolah dia seorang pelajar yang aktif, menjadi Penolong Ketua darjah daripada darjah satu sehingga darjah 6. Selain itu turut menyandang jawatan sebagai Pengawas Pustakawan dan aktif dalam Tunas Puteri sehingga menjadi wakil peringkat Daerah Gombak. Di situlah dia mengaplikasikan kemahiran bercakap yang kononnya hendak menjadi peguam.

Setelah mendapat keputusan cemerlang ketika peperiksaan UPSR, Siti Jasminan meneruskan persekolahan di Sekolah Menengah Taman Keramat bersebelahan dengan sekolah rendahnya. Setelah selesai SRP dia menyambung pelajaran di Mara Education Foundation College di Bangi. Di sekolah itulah dia belajar bersama-sama dengan ramai anak-anak tokoh sastera terkenal tanah air. Anak-anak menteri dan kerabat diraja pada ketika itu. Dia berasakan bahawa itu satu cabaran untuknya, dia perlu bersaing dengan pemikiran, budaya hidup dan kualiti akademik yang diharapkan oleh pihak kolej. Ketika di situlah dia mula belajar tentang erti sebuah kehidupan. Usia yang kian meningkat dan minat terhadap dunia penulisan semakin bercambah. Hasil karangan dia sering menjadi pilihan guru Bahasa Malaysia untuk dipamerkan dan dipilih sebagai karangan yang baik. Biarpun pandai menulis, minat dan cita-citanya ingin menjadi seorang peguam tidak pernah padam dalam jiwa. Namun bak kata pepatah, kita mampu merancang, ALLAH jua menentukan segalanya.

KECERMELANGAN DALAM BIDANG AKADEMIK

Beliau merupakan lulusan Kumpulan Graduan Pertama Diploma Penulisan Kreatif, Akademi Seni Kebangsaan dan mendapat Anugerah Graduan Cemerlang ASWARA. Beliau juga memiliki Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Kelas Pertama Barcelor Komunikasi Universiti Putera Malaysia (UPM), dan beliau telah menerima Anugerah Graduan Cemerlang Akademik, Program Eksekutif Bacelor Komunikasi sesi 04/07 oleh Jabatan Komunikasi Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, UPM.



PENGALAMAN DALAM DUNIA PENULISAN.

Mula terlibat secara aktif dalam seni dan sastera sejak tahun 1995. Bertugas sebagai Penulis Profesional dalam pelbagai genre dan pernah bertugas sebagai Pengurus Kreatif, SQ Production (1997-1999). Pengurus Kreatif dan Pemasaran di Unitputra Production, UPM, Serdang (1999-2006).

Siti Jasmina sangat aktif dalam penulisan drama TV, novel, cerpen dan skrip teater serta pengurusan produksi teater. Sepanjang penglibatan, beliau sudah menghasilkan lapan buah novel, melebihi 30 buah drama TV (telemovie dan bersiri). Karya beliau, novel remaja “Trilogi Cinta” telah memenangi tempat pertama Hadiah Sastera Utusan Melayu (2001) dan Anugerah Hadiah Sastera Perdana Malaysia (2002/2003), kategori Kesusasteraan Remaja. Kolumnis rencana teater majalah Tunas Cipta (2001 – 2006) ini juga menulis puisi dan seni kata lagu.

Beberapa pengiktirafan diperoleh seperti Hadiah Sastera Utusan Melayu – Public Bank (1999), Hadiah Sastera Utusan Melayu (2000), Hadiah Sastera Utusan Melayu – Exxon Mobil (2001/2003) melalui kategori cerpen dan hadiah utama novel remaja “Ombak Sfera Lotus” (2003), juga hadiah utama novel remaja “6:20” (2005) dalam pertandingan yang sama.

Tempat pertama cerpen “Khabar Dari Jendela Ombak” dan penghargaan puisi dalam Sayembara Penulisan Cerpen dan Puisi PEN (2003). Hadiah Skrip Drama Pentas bagi Hadiah Sastera Berunsur Islam Ke-9 (2000). Hadiah Utama Skrip Drama TV dalam Pertandingan Penulisan Cereka TV dan Pawagam, FINAS (2000) dan Hadiah Utama Skrip Filem (2001) dalam pertandingan yang sama. Drama Perempuan memenangi Anugerah Sri Angkasa 2010.

Antara novel yang diangkat oleh Siti Jasmina ke pentas teater ialah Di Bawah Lindungan Kaabah, Tun Perak, Sita Dewi Bermimpi dan Saya Di Hujung Kota. Teater Muzikal Kanak-Kanak Sinbad yang melibatkan 80 kanak-kanak merupakan cetusan ideanya yang asli dan dipentaskan di Istana Budaya. Antara skrip teater yang lain ialah Si Pemakan Hati, Hikayat Qaziq, Melintas 31 dan banyak lagi.


PERKEMBANGAN TERKINI

Mungkin ramai yang tertanya-tanya, kenapa sudah lama Siti Jasmina tidak melahirkan novel dan cerpen, apa yang kelihatan beliau aktif menghasilkan skrip drama. Satu persatu skrip garapan beliau mengisi slot drama dan telemovie. Ketika diajukan soalan kenapa hanya menulis skrip? Sudah lupakah prosa novel dan cerpen?

Jiwa seorang penulis, tidak mungkin meninggalkan apa yang telah berakar umbi di hati. Begitu juga dengan beliau, cara beliau bekerja adalah mengikut segala yang disusun, mengikut rezeki yang diberi, kebetulan rezeki yang diterima tertumpu pada penulisan skrip, maka terlahirlah karya-karya berbentuk drama dan telemovie. Beliau masih lagi menulis cerpen dan sudah tentu karya-karya beliau masih mengisi dada akhbar, cuma jumlahnya tidak sebanyak skrip televisyen kerana ruang yang ada di dalam cerpen dan novel agak terhad. Bercakap tentang novel pula, beliau menulis novel sastera dan sudah tentu karya yang ditulis memerlukan penelitian dan mengambil masa untuk menyiapkannya. Sikap tidak terburu-buru dan mencari bahan sebaik-baiknya untuk mengarang menjadi prinsip beliau agar karya yang dihasilkan bermutu tinggi.

Bukan semua orang mampu menjadi penulis sepenuh masa. Ada yang hanya melakukan kerja penulisan secara sambilan. Namun berbeza dengan Siti Jasmina, beliau menjadi penulis sepenuh masa. Terlibat dalam hampir semua medium penulisan. Setiap satunya memuaskan dan mengujakan untuk beliau menulis. Ketika menulis novel, kelebihan dan keseronokannya ada dan apabila menulis skrip, kelebihan dan keseronokannya juga ada dengan cara berbeza.

Setiap karya yang diterbitkan sudah pasti ada imbuhan yang menanti. Tidak kira sedikit atau banyak, pasti ada hasil yang mampu membuat setiap penulis tersenyum dengan penuh kepuasan apabila sesebuah karya mereka disiarkan. Begitu juga dengan beliau, sudah tentu pendapatan sebagai penulis skrip mampu menghasilkan pendapatan yang lebih lumayan berbanding hanya menulis cerpen dan novel. Sebagai seorang penulis skrip drama, sudah tentu beliau perlu menyiapkan sesebuah skrip itu mengikut masa yang ditetapkan. Ini adalah kerana kerja penulisan skrip bukan kerja seorang diri. Ia merupakan kolaborasi dengan pihak produksi dan tenaga kreatif. Seorang penulis skrip harus bekerja dengan penuh efisyen dan tidaklah boleh terburu-buru, kerana kajian dan pemahaman untuk sesebuah cerita di dalam skrip itu harus dipandang serius dan kerja seninya juga serius. Setelah sekian lama menanti akhirnya, pada awal tahun 2016 lahirlah kumpulan cerpen terbaharu beliau dengan tajuk Telus Untuk Dia terbitan Institut Terjemahan Buku Malaysia (ITBM). Ia terdiri daripada 12 buah cerpen. Terdapat cerpen yang semua wataknya ada diceritakan, ditemukan semula dalam cerpen terakhir iaitu cerpen yang menjadi tajuk utama kumpulan cerpen ini, Telus Untuk Dia.


Secara ringkas, cerpen-cerpen dalam kumpulan cerpen ini berkisar kepada penyerahan diri kepada Allah SWT. Beliau berkongsi cetusan pengalaman, ilmu dan pemahaman dalam dunia penggambaran, seni pentas, seni lakon, seni lakon layar, seni halus, psikoanalisis, seni tulisan warisan tradisi, hikayat Melayu, dan seni kewartawanan yang dimuatkan dalam 11 buah cerpen. Inilah penulis yang sebenar, jiwanya kental menggarap kisah masyarakat, karyanya penuh persoalan dan pertanyaan yang menyuruh kita berfikir dan mencari erti sebuah naskhah penulisan. Persoalan kehidupan manusia yang tidak pernah padam daripada arus kehidupan. Terselit dalam hati rasa kagum yang tidak pernah berbelah bahagi, biarpun tidak mampu menjadi penulis sehebat Siti Jasmina namun biarlah saya menjadi penulis yang punya matlamat dan cita-cita. Saya ingin menjadi penulis yang baik dan menghasilkan karya yang baik-baik sahaja.

klikweb


Dunia penulisan Siti Jasmina


SITI JASMINA banyak diberi tanggungjawab mengangkat novel-novel ternama negara untuk diterjemahkan ke pentas teater.

SITI JASMINA IBRAHIM, 35, merupakan nama yang tidak asing dalam dunia penulisan kreatif di negara ini. Rekod pencapaiannya panjang berjela-jela hingga meletakkan hasil kerjanya sebagai antara yang paling dipercayai.

Mungkin juga, Siti Jasmina amat merendah diri untuk meluahkan betapa pengalaman selama 18 tahun sebagai penulis profesional sebenarnya telah menempatkannya dalam liga tersendiri.

Terbaru, wanita yang sangat puitis ketika berbicara itu baru saja membawa pulang trofi Skrip Drama Terbaik (Drama Perempuan) pada majlis Anugerah Seri Angkasa 2010.

Skop kekreatifan anak didik Prof. Dr. Siti Zainon Ismail itu sebenarnya tidak terhad kepada penulisan drama, filem, puisi, cerpen dan seni kata lagu semata-mata.

Bekas pelajar Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) berkenaan sebenarnya berupaya menulis skrip teater dalam parameter yang hebat.

“Bukan mudah untuk mengadaptasi novel-novel ternama yang ditulis oleh Dr. Hatta Azad Khan, Datuk Nordin Hassan dan Hamka kepada skrip teater, ia memerlukan 200 peratus komitmen dan penelitian,” kata Siti Jasmina sambil memberitahu bahawa suaminya yang juga pelakon Hikayat Merong Mahawangsa, Khir Rahman banyak memberi buah fikiran kepadanya menulis selain keluarga tercinta.

Antara novel yang diangkat oleh Siti Jasmina ke pentas teater ialah Di Bawah Lindungan Kaabah, Tun Perak, Sita Dewi Bermimpi dan Saya Di Hujung Kota.

Dia juga tampil dengan cetusan ideanya yang asli. Teater Muzikal Kanak-Kanak Sinbad yang melibatkan 80 kanak-kanak di samping teraju utamanya, penyampai radio terkenal, Raja Azura merupakan antara hasil nukilannya yang pernah dipentaskan di Istana Budaya.

Begitu juga dengan skrip teater Si Pemakan Hati, Hikayat Qaziq, Melintas 31 dan banyak lagi.

Tambah Siti Jasmina, untuk menghasilkan sesebuah skrip teater terutamanya teater bentuk muzikal bukan satu kerja senang. Ia memerlukan masa yang cukup dan memerlukan enam pancainderanya ‘bekerja’ dengan baik.

“Kita mesti tahu dan cekap untuk gabungkan dari cerita ke lirik lagu dan lirik itu mesti ada kesinambungan dengan dialog serta babak seterusnya,” ujarnya yang mengambil masa lebih kurang sebulan untuk berjumpa titik noktah untuk skrip Sinbad.

Karya terbaik

Siti Jasmina yang lebih cenderung menghasilkan karya berbentuk realisme magis iaitu gabungan senario alam nyata dan alam impian seterusnya berkata, untuk menjulang sebuah sesebuah karya menjadi yang terbaik, pengarah perlu berhubung dengan penulis skrip.

Pengarah teater ujarnya, hanya memberitahu tajuk cerita sedangkan penulis profesional sepertinya perlu memvisualkan penceritaan dalam bentuk skrip, latar, set dan watak yang dimainkan.

“Kadang-kadang kita perlu juga melakukan device play iaitu mengadakan perbincangan dan sesi lampas otak bersama dengan pelakon,” jelasnya.

Jika ditanya mengenai teater yang berbekas di hatinya, Siti Jasmina akan pantas menjawab teater Si Pemakan Hati, walaupun produksi Sinbad lebih berskala besar.

“Walaupun dipentaskan di ruang stor Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang kecil, ia diterbitkan oleh saya sendiri dan semangat sesama kami tanpa mengira produksi. Tambahan pula, hubungan tenaga kerja dengan para pelakonnya sangat rapat,” katanya.

Beliau juga tidak dapat menyembunyikan ekspresi gembiranya apabila teater yang dilakonkan oleh pelakon, Melissa Saila itu menerima sambutan yang sangat memberangsangkan dalam kalangan peminat teater.

Tenaga pengajar

Mengenai perkembangan penulis teater dalam kalangan generasi muda, wanita itu menjelaskan bahawa aspek minat dan imaginasi tidak menjadi soal utama.

“Masalahnya sekarang adalah kurangnya tenaga pengajar yang berwibawa. Ada sesetengah tempat, pensyarah yang mengajar itu sendiri tidak cukup pengalaman. Maka, bagaimanakah caranya untuk menghasilkan generasi yang kreatif?” soalnya.

Kata Siti Jasmina di akhir bicara, sesebuah penulisan itu tidak akan menjadi sebuah karya agung sekiranya tulisan itu tidak hadir daripada hati yang ikhlas.

kosmo


Jasmina -- Contoh kegigihan generasi muda
 2 Februari 2002

SITI JASMINA IBRAHIM (tengah) amat menghormati penulis mapan Siti Zaleha Hashim (kanan) dan Khadijah Hashim.

USIA 25 tahun dianggap terlalu muda untuk menimba pengalaman luas dalam bidang seni. Malah lebih sukar jika berhadapan dengan genre yang pelbagai. Bagaimanapun, perkara ini dibuktikan boleh menjadi realiti oleh Siti Jasmina Ibrahim.

Graduan Akademi Seni Kebangsaan (ASK) dalam jurusan Penulisan Kreatif ini melibatkan diri dalam penulisan cerpen, novel, puisi, teater, skrip drama tv dan esei kritikan.

Malah, selain menjadi penulis tetap di sebuah majalah sastera untuk remaja, Siti Jasmina juga menyelaraskan pementasan teater. Satu perkara yang dibanggakan ialah beliau memiliki syarikat sendiri, SQ Production yang dibangunkan bersama dua rakannya graduan ASK, Shahrul Azli Shukor dan Noraida Che Mustafa.

Anak kelahiran Kuala Lumpur ini juga antara tunggak tertubuhnya Persatuan Penulis Wanita Malaysia (PPWM) kira-kira empat tahun lalu dan kini menjadi Naib Presiden persatuan yang dinaungi Datin Seri Endon Mahmod.

Dalam bidang teater Jasmina terlibat secara langsung mementaskan Di Bawah Lindungan Kaabah, Pelayaran Nura Atma, Lantai T.Pinkie (3) dan Jejak Pahlawan. Semasa di ASK terlibat dalam pementasan Keris Laksamana Bentan, Ribut, Makyung Anak Raja Gondang, Uda dan Dara In English, Randai Anggun Nan Tungga, Paduka Oedipus dan Sita Dewi bermimpi.

Dalam genre ini juga Siti Jasmina penah menang saguhati Hadiah Sastera Berunsur Islam ke-9 dengan karyanya Kandil Perindu. Beliau yang meminati Sasterawan Negara Datuk Noordin Hassan turut terlibat sebagai panel skrip teater Tun Perak yang dipentaskan di Istana Budaya, dua tahun lalu.

Drama tv juga menjadi pilihannya. Pernah menang tempat ketiga Pertandingan Menulis Cereka Tv 2000 dan hadiah kedua Kategori Cereka Pawagam Pertandingan Penulisan Skrip Filem 2001 anjuran Finas. Beliau juga menulis skrip Nur Hikmah sebanyak 30 episod pada 1997. Novel yang dihasilkan ialah Syariqi dan Misteri Gadis di Jendela terbitan Fajar Bakti serta Seli Serampai terbitan Makruf Publication.

Menulis cerpen juga memberikan pulangan kepadanya bila Dunia Silam Dia menang Hadiah Pertandingan Cerpen Negeri Pulau Pinang-YTL (1996), Seru Fadillah menang Hadiah Sastera Utusan-Public Bank 1999 dan Kuntum Horizon menang Hadiah Sastera Utusan 2000.

Kepelbagaian penulisan ini memberi ruang kepadanya terpilih mewakili Malaysia dalam program ASEAN-COCI Youth Friendship Program Nature-Hug di San Pablo City, Filipina (1998) dan Bengkel Penulisan Drama Majlis Sastera Asia Tenggara di Indonesia (2000).

Siti Jasmina juga terlibat dalam menyelaraskan Bengkel Seni setiap hujung minggu anjuran bersama PPWM dan Rakan Muda, Kementerian Belia dan Sukan sejak tahun lalu. Bengkel tersebut melatih generasi muda dalam seni persembahan.

Kini beliau sibuk menyelaraskan Bengkel Perhubungan & Media untuk Puteri UMNO seluruh Malaysia dan pementasan teater Anugerah Mac ini.

utusanonline



Biografi Siti Jasmina Ibrahim

Mula terlibat secara aktif dalam seni dan sastera sejak 1995. Bertugas sebagai Penulis Profesional dalam pelbagai genre dan pernah bertugas sebagai Pengurus Kreatif, SQ Productions (1997 – 1999) dan Pengurus Kreatif & Pemasaran di Unitputra Productions, UPM, Serdang (1999 – 2006).

Merupakan lulusan kumpulan graduan pertama Diploma Penulisan Kreatif, Akademi Seni Kebangsaan dan mendapat Anugerah Graduan Cemerlang ASWARA. Memiliki Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Kelas Pertama, Bacelor Komunikasi UPM, Jasmina telah menerima Anugerah Graduan Cemerlang Akademik, Program Eksekutif Bacelor Komunikasi sesi 04/07 oleh Jabatan Komunikasi, Fakulti Bahasa Moden & Komunikasi, UPM.

Sangat aktif dalam penulisan drama TV, novel, cerpen dan skrip teater serta pengurusan produksi teater. Sepanjang penglibatan, beliau sudah menghasilkan lapan buah novel, melebihi 30 buah drama TV (telemovie & bersiri). Karya beliau, novel remaja ‘Trilogi Cinta’ memenangi tempat pertama Hadiah Sastera Utusan Melayu (2001) dan Anugerah Hadiah Sastera Perdana Malaysia (2002/2003), kategori Kesusasteraan Remaja. Kolumnis rencana teater majalah Tunas Cipta (2001 – 2006) ini juga menulis puisi dan senikata lagu.

Beberapa pengiktirafan diperolehi seperti Hadiah Sastera Utusan Melayu – Public Bank (1999), Hadiah Sastera Utusan Melayu (2000), Hadiah Sastera Utusan Melayu – Exxon Mobil (2001/2003) melalui kategori cerpen dan hadiah utama novel remaja ‘ Ombak Sfera Lotus’ (2003), hadiah utama novel remaja ‘6:20’ (2005) dalam pertandingan yang sama.

Tempat pertama cerpen ‘Khabar Dari Jendela Ombak’ dan penghargaan puisi dalam Sayembara Penulisan Cerpen & Puisi PEN (2003). Hadiah Skrip Drama Pentas bagi Hadiah Sastera Berunsur Islam Ke-9 (2000). Hadiah Utama Skrip Drama TV dalam Pertandingan Penulisan Cereka TV & Pawagam, FINAS (2000) dan Hadiah Utama Skrip Filem (2001) dalam pertandingan yang sama.

sensasiselebriti

Comments