Lestari Sastera


Lestarikan kesusasteraan Melayu
Bintang-Bintang Berpuisi II
LILIS SURIANI OMAR
22 Mei 2016 


PERSEMBAHAN Projector Band di Bangunan Canselori UKM, Bangi, Selangor, semalam.

KUALA LUMPUR 21 Mei - Bintang-Bintang Berpuisi II telah berjaya mengangkat martabat puisi sebagai medium penyatuan dan perpaduan semua peringkat masyarakat khasnya golongan muda dengan mengumpulkan bukan sahaja sasterawan, malah ahli akademik, budayawan, ahli korporat dan penggiat seni tanah air.

Pengarah Urusan Kumpulan Utusan, Datuk Mohd. Noordin Abbas berkata, penganjuran majlis tersebut menunjukkan komitmen syarikat itu dalam melestarikan kesusasteraan Melayu dan merupakan kesinambungan daripada program sama tahun lalu yang mendapat reaksi positif daripada pelbagai pihak.

“Sebagai sebuah organisasi media yang teras sejarahnya dicipta oleh golongan sasterawan sekali gus wartawan, Bintang-Bintang Berpuisi II adalah salah satu khidmat tanggungjawab sosial korporat (CSR) selain usaha menghidupkan kembali budaya berpuisi sebagai warisan bangsa yang mempunyai nilai estetika tinggi.

“Kita berhasrat untuk menjadikan majlis ini sebagai acara tahunan dan alangkah bertuahnya apabila ia disambut baik oleh Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Semoga usaha ini dapat berterusan dan memberi signifikan yang sangat besar dalam memartabatkan puisi tanah air,” katanya ketika berucap dalam majlis tersebut di Persada Canselori, UKM, Bangi, dekat sini hari ini.

Sementara itu, Naib Canselor UKM, Prof. Datuk Dr. Noor Azlan Ghazali dalam ucapannya selaku tuan rumah turut berterima kasih atas kesudian Utusan Malaysia bekerjasama dengan UKM sebagai sebuah universiti kebangsaan yang ditubuhkan atas hasrat memperkasakan bahasa, kesusaste­raan, adat resam, tamadun dan kebudayaan Melayu di peringkat pengajian tinggi.

“Majlis ini juga secara simboliknya telah menjayakan hasrat UKM sebagai pendaulat amanah negara. Program Bintang-Bintang Berpuisi kini adalah program ‘flagship’ (perdana) yang kami harapkan menjadi acara tahunan UKM dan Utusan Malaysia,” katanya.

Dalam majlis berkenaan, Mohd. Noordin dan Noor Azlan turut mengambil bahagian dengan mendeklamasikan puisi ma­sing-masing yang bertajuk Obor Perjuangan dan UKM Pendaulat Amanah Negara: Buat Seorang Teman manakala Sasterawan Negara, Datuk Dr. Zurinah Hassan tampil dengan karya­nya berjudul Cermin Sejarah.

Secara keseluruhan, majlis Bintang-Bintang Berpuisi II menampilkan 15 penyampaian puisi daripada pelbagai tetamu kenamaan, ahli politik, wakil korporat, sasterawan serta pelajar dan tiga persembahan nyanyian daripada artis tempatan termasuk Najwa Latif, Projector Band dan Siti Nordiana.


NAIB Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Datuk Dr. Noor Azlan Ghazali mendeklamasi puisi dalam Majlis Bintang-Bintang Berpuisi ll dan Pelancaran Wajah Baharu Utusan Malaysia edisi Sabtu di Bangunan Canselori UKM, Bangi, Selangor, semalam. – MINGGUAN/Azrul Edham Mohd Aminuddin

Antara yang mencuri tum­puan, persembahan puisi nukilan peribadi Pengarah Doktrin Latihan Tentera Darat, Kolonel Radzi Abdul Hamid bertajuk Wasiat Seorang Raja membuka tirai majlis dengan penyampaian bersemangat membawakan pengisian tujuh wasiat Raja-Raja Melayu sebagai peringatan kepada penonton yang hadir.

Dalam pada itu, Ketua Program Persuratan Melayu, Pusat Pengajian Bahasa, Kesusasteraan dan Kebudayaan Melayu, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan UKM, Dr. Zubir Idris menerusi puisi Kuali Hitam, hasil karya Dr. Zurinah membuatkan penonton sedikit emosi sehingga ada yang mengalirkan air mata ketika menghayati bait-bait puisi penuh makna itu.

Selain Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, deklamasi puisi turut dipersembahkan oleh Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa UKM, Prof. Datuk Ir. Dr. Riza Atiq Abdullah O.K. Rahmat; Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UKM, Prof. Datuk Noor Aziah Mohd. Awal; penulis khas majalah Mastika, Sahidan Jaafar; johan sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan Kebangsaan 2015, Muhammad Safwan Mohd. Yusof; Pengarang Ekonomi Utusan Malaysia, Johardy Ibrahim; wakil Utusan Karya Sdn. Bhd., Rosparadila Abd. Rahman; pelakon, Fizz Fai­ruz dan Anis Al-Idrus serta pelawak, Ajak Shiro.

utusanonline

Comments