ayah tidak lagi menderita

Doa anak iringi hembusan akhir nafas Muhammad Ali
7 Jun 2016


Petinju legenda dunia Muhammad Ali menghembus nafas terakhirnya dalam keadaan tenang dan pada waktu yang damai, kata anaknya Laila Ali.

Dalam temu bual rancangan Good Morning America terbitan stesen ABC News Laila berkata semua sembilan adik-beradiknya berada di sisi Muhammad Ali di hospital ketika itu.

"Ketika ayah menghembus nafas terakhir, kami semua berpeluang bersama-sama dia.

"Ia bukan sesuatu yang lazim untuk kami berkumpul. Jadi, ia sangat melegakan," katanya.

Muhammad Ali, 74, disahkan meninggal dunia pada 3 Jun lalu di Scottsdale, Arizona selepas mengalami penyakit Parkinson selama lebih tiga dekad.

Pakar perubatan berpendapat Muhammad Ali mengalami penyakit itu akibat kesan trauma dialaminya ketika aktif sebagai petinju.

Sepanjang hidupnya Muhammad Ali - yang lahir sebagai Cassius Marcellus Clay Jr pada 17 January 1942 - menceriakan pelbagai pihak dengan telatahnya di dalam dan luar gelanggang.

Dia memeluk Islam pada 1964 sejurus selepas menjuarai kejuaraah heavyweight dunia daripada Sonny Liston.


Muhammad Ali juga pernah bertarung di Kuala Lumpur pada 30 Jun 1975 dan mengekalkan kejuaraannya daripada dirampas petinju Britain, Joe Bugner.

Muhammad Ali dimasukkan ke hospital sebelum itu kerana menghadapi masalah pernafasan.

Kata Laila, ketika Muhammad Ali dilihat nazak adik-beradiknya membacakan ayat-ayat al-Quran dan doa kepada bapa mereka.

Kini, kata Laila, dia berasa lega kerana tahu bapanya tenang "di dalam jasadnya" selepas berpuluh tahun bergelut melawan Parkinson.

"Sudah tentu saya sedih. Sukar untuk anda melihat bapa anda mengalami Parkinsin sekian lama.

"Anda tahu dia seorang lelaki hebat dan berbangga dengan pencapaiannya tetapi saya rasa dia seperti terperangkap dalam tubuhnya sendiri.

"Kini saya tenang kerana tahu ayah tidak lagi menderita," katanya.

Laila yang turut terbabit dalam sukan tinju profesional menganggap Muhammad Ali sebagai "pejuang di dalam dan luar gelanggang" kerana sentiasa berkata benar serta bercakap bagi pihak orang tertindas.

Katanya, tidak ramai tokoh yang dapat dibandingkan dengan bapanya.

"Apabila saya teringat ayah, saya akan terkenang orang seperti Nelson Mandela," katanya.

Erdogan, Clinton antara tetamu kehormat

Sementara itu CNN melaporkan urusan pengebumian jenazah Muhammad Ali akan diadakan secara terbuka kepada umum.

Jurucakap keluarganya, Bob Gunnell, berkata satu daripada tempat yang boleh dilawati orang ramai ialah bandar yang menjadi lokasi pertarungannya, Louisville di Kentucky.

"Jenazah akan dibawa ke Freedon Hall tengah hari Khamis ini," katanya.

Dewan itu menjadi pernah menjadi saksi Muhammad Ali menundukkan Willi Besmanoff pada 29 November 1961.

Ia adalah pertarungan terakhir Muhammad Ali di bandar kelahirannya sebelum dia berkunjung ke satu demi satu lokasi lain untuk memenuhi jadual pertarungan diatur penganjur.

Kata Gunnell, sebanyak 14,000 pas masuk disediakan kepada sesiapa yang ingin memberi penghormatan terakhir kepada Muhammad Ali.

Ia akan diedarkan mulai jam 10 pagi Selasa dan setiap seorang hanya dibenarkan memiliki maksimum empat pas.

"Muhammad Ali bercakap mewakili semua orang semasa hidup. Justeru sekarang kami mahu membuka pintu kepada semua orang untuk memberi penghormatan terakhir kepadanya," kata Gunnell.

Jenazah Muhammad Ali kemudian akan dibawa melalui jalan-jalan di Louisville - bandar yang membesarkannya dan tempat dia memulakan kerjaya sebagai petinju amatur pada usia 12 tahun.

Seramai lapan orang diberi penghormatan mengusung jenazah itu untuk kali terakhir, termasuk pelakon Will Smith yang melakonkan watak petinju itu dalam filem Ali pada 2001.

Bekas Presiden AS, Bill Clinton, sahabat karib Muammad Ali, Bryant Gumbel dan pelawak Billy Crystal adalah antara tokoh yang akan memberi ucapan perpisahan, selain Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan dan pemerintan Jordan, Raja Abdullah II.

Jenazah Muhammad Ali akan disemadikan di Tanah Perkuburan Cave Hill pada Jumaat ini.

malaysiakini


Comments