Zurinah Hassan : SN13

Zurinah Hassan dinobat Sasterawan Negara ke-13
27 April 2016


Penerima Anugerah Sastera Negara ke-13, Datuk Dr Zurinah Hassan bersama anugerah yang diterimanya dari Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid semalam. — Foto Bernama

PUTRAJAYA, 27 April — Penulis dan penyair wanita tanah air Datuk Dr Zurinah Hassan atau lebih dikenali dengan nama pena Haniruz malam tadi menerima Anugerah Sasterawan Negara Ke-13.

Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid menyampaikan anugerah tersebut kepada Zurinah - wanita pertama menerima penghormatan itu.

Beliau menerima wang tunai RM60,000, Warkah Penghormatan Negara dan tajaan RM500,000 bagi menerbitkan 50,000 naskah karya beliau yang akan dibeli oleh kerajaan untuk diedarkan ke sekolah, perpustakaan, jabatan dan agensi kerajaan.

Pada 13 Okt lalu, Mahdzir mengumumkan Zurinah sebagai penerima anugerah itu berdasarkan kecemerlangan dan sumbangan terhadap pengembangan sastera, impak dalam penyebaran ilmu di peringkat kebangsaan dan antarabangsa serta pengiktirafan yang diterima.

Mula dikenali dengan sajak "Sesayup Jalan" yang dihasilkan pada 1974, Zurinah, 67, mengembangkan bakatnya dengan menulis cerpen, novel dan puisi sehingga terhasilnya kumpulan puisi "Menghadap ke Pelabuhan/Facing the Harbour", 2010 terbitan Institut Terjemahan dan Buku Malaysia.

Antara kejayaan lain beliau dalam dunia sastera adalah menerima Anugerah Puisi Putera 1984, Anugerah Penulisan Asia Tenggara (Sea Write Award) 2004 serta Anugerah Puisi Negara-negara Asean (Sunthorn Phu Poet Laureate) 2013 serta Hadiah Sastera Perdana.

Zurinah juga menghasilkan Memoir Zurinah Hassan: Menjejak Puisi pada 2003, dan antara hasil tulisan ilmiah beliau ialah mengenai Sasterawan Negara Usman Awang (1990).

Beliau juga menghasilkan sebanyak 19 buku antologi sajak, puisi, kajian sastera, autobiographi, memoir, antologi cerpen dan novel sepanjang bergiat aktif dalam bidang penulisan sejak 1963.

Beberapa karya puisi dan sajak beliau juga diterjemahkan ke dalam bahasa Jepun, Perancis, Sepanyol dan Rusia.

Anugerah Sastera Negara merupakan anugerah tertinggi negara kepada sasterawan. — Bernama

themalaymailonline



Wanita Pertama Dinobatkan Sebagai Sasterawan Negara
Oleh NORAZLINDA MISRAN


Dato’ Dr. Zurinah Hassan, pengarang ulung negara telah dinobatkan sebagai Sasterawan Negara yang ke-13. Beliau merupakan wanita pertama yang memegang gelaran tersebut.



YB Dato’ Seri Mahdzir Khalid, Menteri Pendidikan Malaysia menyampaikan ucapan.

Penganugerahan ini diberikan kepada sasterawan yang menulis dalam bahasa Melayu dan telah memberikan sumbangan yang cemerlang dalam perkembangan kesusasteraan tanah air melalui ciptaan yang bermutu tinggi. Karya yang bermutu tinggi ini berjaya mengetengahkan ketinggian nilai isi dan mutu teknik sebagai hasil seni yang bermanfaat kepada pengalaman, perkembangan intelek, pembentukan kebudayaan kebangsaan serta ketinggian martabat manusia.

Malam Anugerah Sastera Negara ini telah disempurnakan oleh YB Dato’ Seri Mahdzir Bin Khalid, Menteri Pendidikan Malaysia Merangkap Pengerusi Panel Anugerah Sastera Negara Ke-13 pada 26 April 2016 yang lalu di Hotel Marriott, Putrajaya. Antara yang turut hadir pada majlis gilang-gemilang itu ialah Tan Sri Dr. Madinah Mohamad, Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan, Prof. Dato’ Seri Md. Salleh Yaapar, Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Tuan Haji Abdul Adzis Abas, Ketua Pengarah DBP, Sasaterawan-sasterawan Negara, golongan penulis, pegawai tinggi kerajaan dan diplomat negara asing.


Dato’ Dr. Zurinah Hassan menyampaikan ucapan penerimaan.

Menurut Dato’ Seri Mahdzir, pengiktirafan ini membuktikan bahawa kerajaan amat prihatin dan menghargai sumbangan dan peranan penulis yang meneruskan tradisi penulisan budaya tinggi berwahana bahasa Melayu. Bidang penulisan, tidak kira bidang ilmu dan genre, memainkan peranan yang amat besar dalam pembinaan negara yang berdaulat. Hal ini adalah kerana ilmu dan karya yang ditulis dalam bahasa ibunda sesebuah negara itulah yang boleh meningkatkan martabat masyarakatnya. Maka, kerajaan sentiasa berusaha mengangkat martabat sastera kebangsaan dan seterusnya mengiktiraf penulis yang berkarya demi kepentingan masyarakat dan negara.

Seterusnya dalam ucapan penerimaan anugerah oleh Dato’ Dr. Zurinah Hassan, beliau menceritakan saat beliau mula menceburi bidang penulisan ini. “Saya mula mencintai buku dan penulisan sejak 40 tahun yang lalu, ketika orang tua-tua masih bertengkar adakah wajar membenarkan anak perempuan belajar di sekolah menengah yang semuanya jauh di bandar. “

Semoga anugerah ini akan memberikan semangat kepada beliau untuk terus berkarya dan menyumbangkan keintelektualan ke arah pembangunan minda dan sahsiah bangsa. Turut diadakan pada malam tersebut ialah persembahan fragmen karya Sasterawan Negara ke-13.


Dato’ Dr. Zurinah menerima anugerah daripada Menteri Pendidikan. Yang turut kelihatan (dari kiri) Tuan Haji Abdul Adzis, Tan Sri Dr. Madinah dan Prof. Dato’ Seri Dr. Md. Salleh.


Comments