22 May 2016

tuah ada

Tuah ada bukan mitos. Ada yang menyebutnya belum cukup kuat membuktikan kewujudan itu.
Ia menjadi suatu yang menarik dibahaskan untuk menemukan titik benarnya
Marilah sama kita merenungkan....


Hang Tuah bukan mitos, memang wujud kata Sejarawan Kedah
22 Mei 2016
Oleh Athirah Huda Zalhe


SUNGAI PETANI, Ahad – Pengerusi Persatuan Sejarah Malaysia cawangan Kedah, Datuk Dr Haji Wan Shamsudin Mohd Yusof menggesa rakyat, khususnya generasi muda supaya berhenti mempertikaikan kewujudan Hang Tuah dan tidak menganggap ia sebagai mitos.

Beliau yang kesal dengan pertikaian itu berkata, negara lain seperti Indonesia sebaliknya mengakui dan mengiktiraf kewujudan pahlawan Melayu itu sehingga mengangkat nama Hang Tuah di beberapa bangunan di negara itu.

“Bukan sahaja Melaka, di Kalimantan juga ada satu dewan yang dinamakan Dewan Hang Tuah, malah di Pattani juga terdapat sebuah telaga yang diberi nama telaga Hang Tuah.

“Tambah lagi, kaji selidik yang dijalankan oleh Jepun, China dan India baru-baru ini ada juga cerita berkaitan dengan Hang Tuah,” katanya ketika ditemui Ismaweb pada Persidangan Antarabangsa Kedah Tua 2016 di sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas beberapa pihak yang mempertikaikan kewujudan Hang Tuah dan menganggap sejarah pahlawan Melayu itu sebagai mitos serta kisah dongeng.

Mengulas lanjut perkara itu beliau berkata, tradisi pengarang dahulu yang sering memperbesarkan sesuatu watak sehingga mengubah persepsi masyarakat mengenai sejarah kewujudannya kepada mitos dan dongeng.

“Hang Tuah memang wujud, tetapi tradisi pengarang dulu yang suka memperbesarkan sesuatu watak. Kalau ikut dalam manuskrip lama, mereka lima beradik itu mempelajari ilmu silat dan sebagainya dengan guru mereka.

“Kemudian, mereka dibawa berjumpa dengan Sultan Melaka dan mereka dijadikan sebagai pegawai dan panglima. Sebenarnya Hang Tuah wujud dan berkhidmat kepada kerajaan Melaka.

“Sama juga dengan kisah Mahsuri, ramai yang anggap kisahnya adalah mitos.

“Namun, kami buat kaji selidik daripada keturunan Mahsuri yang ketujuh, dan dia mengatakan tiada cerita darah putih yang mengalir dari tubuhnya, tetapi darah putih itu sebenarnya susu kerana Mahsuri sedang menyusukan anaknya. Jadi cerita begitu patut dibuang,” katanya.

ismaweb


Lagi bukti Hang Tuah wujud, bukan sekadar mitos
05 Disember 2015


Hashim Musa (kanan) dan Rohaidah Kamaruddin ketika berucap dalam program Wacana Manuskrip Melayu - Hang Tuah Daripada Mitos Kepada Fakta Sejarah di Wisma Sejarah, Kuala Lumpur, semalam.

KUALA LUMPUR 4 Dis. – Surat tulisan Laksamana Hang Tuah kepada Maharaja Ryukyu di Jepun pada abad ke-15 yang ditemui dalam dokumen rasmi Rekidai Hoan membuktikan tokoh itu wujud dan bukan sekadar mitos semata-mata.

Menurut Profesor di Jabatan Bahasa Melayu, Fakulti Bahasa Mo­den dan Komunikasi Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Emeritus Dr. Hashim Musa, surat itu ditulis oleh Hang Tuah bagi pihak Sultan Melaka, Sultan Alauddin Riayat Shah.

Katanya, beliau mendapati surat yang bertarikh 11 April 1480 itu me­lalui kajian yang telah dilakukannya bersama Pensyarah Kanan fakulti itu, Dr. Rohaidah Kamaruddin di Ryukyu atau kini dikenali sebagai Okinawa baru-baru ini.

“Dokumen Rekidai Hoan itu dalam bahasa Cina yang diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris oleh Atushu Kobata dan Mitsugi Matsada diterbitkan pada 1969. Ini bukti terbaharu dalam bentuk primer tentang kewujudan Hang Tuah,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam program Wacana Manuskrip Me­layu - Hang Tuah: Daripada Mitos Kepada Fakta Sejarah anjuran Perpustakaan Negara Malaysia dan Persatuan Sejarah Malaysia di Wisma Sejarah di sini hari ini.

Dalam wacana itu, Hashim menjadi pembentang kertas kerja bersama Rohaidah dan Pensyarah Kanan Jabatan Bahasa dan Sastera Melayu, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Dr. Bazrul Bahaman pula sebagai moderator.

Seramai 150 hadirin terdiri daripada sejarawan, ahli akademik, pengkaji manuskrip lama, pengkaji bahasa dan budaya serta mahasiswa dari universiti awam tempatan hadir bagi berkongsi maklumat tersebut.

Selain dicatat dalam sejarah Jepun, Hashim turut menemui ca­tatan yang pernah ditulis oleh Ke­tua Armada Portugis iaitu Alfonso de Albuquerque tentang Hang Tuah yang menambahkan lagi fakta sejarah bukti kewujudan pahlawan itu.

“Alfonso de Albuquerque dalam satu catatannya ada menyebut Hang Tuah berada di Temasik (Si­ngapura) ketika beliau mengetuai armada Portugis menawan Melaka pada tahun 1511. Ketika itu Hang Tuah telah pun berusia 80 tahun,” ujarnya.

Berdasarkan kajiannya bersama Rohaidah, beliau telah menghasilkan sebuah buku bertajuk Hang Tuah: Ca­tatan Okinawa yang dilancarkan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) 26 November lalu bagi membongkar serta membuktikan kewujudan Hang Tuah.

Menurut Hashim, buku itu dan kajian yang telah dijalankannya selama ini adalah bagi mencari kebenaran sekali gus mengangkat Hang Tuah sebagai ikon orang Melayu yang telah banyak berjasa kepada sejarah serta tamadun bangsa tersebut.

“Menafikan kewujudan Hang Tuah bermakna menghapuskan satu ikon unggul dalam memori bangsa Melayu. Hang Tuah yang memiliki sifat keperwiraan, keberanian, kecekalan, kesetiaan, kebaktian dan kebijaksanaan wajar terus dihargai,” katanya.

Sementara itu, Rohaidah berazam akan terus mencari bukti tentang kewujudan Hang Tuah dalam sejarah negara-negara seperti China, Turki, India dan Kemboja yang pernah menjalin hubungan diplomatik dengan kerajaan Kesultanan Melayu Melaka.

Sambil menegaskan, nama Hang Tuah turut mekar dalam pelbagai lipatan sejarah negara-negara lain yang belum dibongkar termasuklah seperti yang pernah diungkapkan oleh pelukis tersohor, Leonardo da Vinci yang hidup sezaman dengan Hang Tuah.

“Saya mendapat maklumat ada catatan da Vinci yang antara lain menyebut ‘saya melukis gambar kenderaan ke bulan selepas berjumpa dengan orang kaya Melaka’. Saya sedang mengkaji catatan itu yang mungkin merujuk kepada Hang Tuah,” ujarnya.

uitusanonline



Hang Tuah wujud atau mitos? Ahli akademik terus bertelagah
12 Disember 2015



KUALA LUMPUR, 12 Dis — Walau sudah beratus-ratus tahun, kewujudan Hang Tuah terus menjadi pertikaian ahli-ahli akademik apabila belum ada bukti sahih tetapi hanya bergantung pada beberapa teks hikayat.

Seorang karyawan tamu Jabatan Sejarah di Universiti Malaya (UM) berkata dakwaan penemuan kubur Hang Tuah dan dokumen yang dibuat dua pensyarah Universiti Putra Malaysia (UPM) baru-baru ini memerlukan penyelidikan lebih mendalam.

“Sementara kubur di Melaka, yang dikatakan milik Hang Tuah, sesuai untuk tujuan pelancongan tetapi bukan kubur Hang Tuah yang sebenar,” kata profesor emeritus Dr Rahmat Adam seperti dilapor Berita Harian hari ini.

Dalam forum “Wujudkah Hang Tuah?” di sini semalam, beliau berkata Hang Tuah cuma “watak fiksyen” dalam teks-teks klasik Sejarah Melayu dan Hikayat Hang Tuah.

Tambahnya, perkataan Hang Tuah tidak wujud pada abad ke-15 dan ke-16, zaman yang dikatakan kemunculan tokoh kontroversi itu, sebaliknya dikesan buat pertama kali dalam Hikayat Acheh pada hujung kurun ke-17.

Berdasarkan kajian filologinya, Rahmat berkata perkataan “Tuah” sebenarnya “tuha” yang bermaksud tua atau ketua.

Ia disebut “tuah” kerana kegagalan penyelidik untuk membaca tulisan jawi lama dengan betul, katanya lagi.

“Hang adalah perkataan Melayu purba bermaksud tukang yang mahir. Laksamana Hang Tuah itu gelaran dan bukan merujuk kepada seseorang yang kita kenal hari ini sebagai Hang Tuah,” Rahmat dipetik berkata.

Keghairahan penyelidik membuktikan kewujudan Hang Tuah perlu berasaskan penyelidikan mendalam dan banyak sumber sahih, katanya lagi.

Awal bulan ini, dua ahli akademik Jabatan Bahasa Melayu UPM Dr Rohaidah Kamaruddin dan Dr Hashim Musa mendedahkan maklumat terbaru tentang tokoh tersebut dalam “Wacana Manuskrip Melayu ― Hang Tuah: Daripada Mitos Kepada Fakta Sejarah”.

Pahlawan Melaka yang terkenal itu pernah bertemu Leonardo da Vinci, artis dan ahli sains terkenal Itali zaman itu, kata mereka. Hang Tuah juga dikatakan pernah menulis surat rasmi kepada Maharaja Ryukyu di Jepun pada abad ke-15.

Hujung bulan lepas, Dr Hashim yang mengetuai penyelidikan UPM dilaporkan berkata dakwaan penemuan kubur Hang Tuah di Palembang, selatan Sumatera perlu dibuktikan melalui ujian asid deoksiribonukleik (DNA) tulang.

Penyelidikan itu menunjukkan jejak terakhir pahlawan Melayu itu berakhir di Temasik, kini Singapura, pada 1511 ketika berusia 80 tahun, lapor portal Berita Harian.

Pahlawan itu mungkin berpindah ke Riau, tidak jauh dari Palembang, sebelum mengakhiri hayatnya di kubur yang didakwa penduduk Palembang, katanya.

Menurut laporan Harian Metro pula, di forum “Wujudkah Hang Tuah?” semalam, seorang pensyarah Jabatan Sejarah UM berkata Hang Tuah sering diperkatakan dalam sejarah Nusantara walau tidak dengan tepat, namun ada fakta yang boleh digunakan sebagai rujukan.

“[Kajian asal usul bahasa dalam sejarah] filologi ini ada kelemahannya, saudara (Ahmat) kata Laksamana wujud tapi bukan Hang Tuah tetapi bagi saya Hang Tuah namanya disebut sehingga ke Johor iaitu Laksamana Hang Jamil,” kata profesor Abdullah Zakaria.

themalaymailonline



Tidak perlu ujian DNA, bukti kewujudan Hang Tuah
Wartawan Sinar Harian
3 Mei 2016


MELAKA - Institut Kajian Sejarah dan Patriotisme Malaysia (IKSEP) menegaskan kajian mengenai kewujudan Hang Tuah tidak perlu dilakukan melalui Asid Deoksiribonakleik (DNA) sekali gus dianggap membuang masa dan pembaziran.

Pengerusinya, Datuk Dr. Mohd Jamil Mukmin berkata, kajian mengenai wira Melayu itu telah pun dibuat oleh pakar-pakar sejarah dan sastera sejak 60 tahun lalu yang membuktikan Hang Tuah semangnya wujud dan tidak harus dipertikaikan.

Menurutnya, bukti-bukti kewujudan Hang Tuah juga telah dibentangkan dalam beberapa seminar sebelum ini yang mana ia bukan sahaja berasaskan kepada sumber Melayu sahaja seperti Sejarah Melayu dan Hikayat Hang Tuah malah juga sumber dari Negara China iaitu dokumen Ming Shi yang mencatatkan sejarah destinasi Ming selain Portugis dan Jepun.

"Bukti terkini mengenai kewujudan Hang Tuah juga boleh kita lihat dalam buku Hang Tuah Catatan Okinama oleh Prof. Emeritus Dr. Hashim Musa dan Dr. Rohaidah Kamaruddin.

"Malah pada abad ke 15 terdapat 11 surat daripada kerajaan negeri Melaka kepada kerajaan Ryukyu (Okinawa) dan dalam surat-surat tersebut diantaranya ada menyebut kisah Laksmana Melaka, Hang Tuah.

"IKSEP menegaskan sekali lagi tidak perlunya kajian DNA lebih-lebih lagi ia memerlukan kos yang tinggi untuk melakukannya dan tidak sepatutnya dijadikan perdebatan memandangkan telah banyak bukti yang diberikan berhubung kewujudan Hang Tuah," katanya di pejabat IKSEP Batu Berendam hari ini.


Mohd Jamil berkata demikian ketika mengulas mengenai pihak yang mendakwa pakar dan ahli sejarah yang mengkaji susur galur Melayu masih gagal menemukan hasil saintifik mengenai kebenaran wujudnya Hang Tuah.

sinar harian


Bukan mitos!
Oleh Rizanizam Abdul Hamid
6 Disember 2015


Kuala Lumpur: Penemuan dua penyelidik Universiti Putra Malaysia (UPM) mengenai bukti terkini kewujudan Laksamana Hang Tuah diharap dapat menafikan pandangan sesetengah pakar sejarah yang mengatakan kononnya kisah pahlawan legenda Melayu itu mitos.

Pengerusi Institut Kajian Sejarah dan Patriotisme Malaysia (IKSEP) Prof (Adj) Datuk Dr Mohd Jamil Mukmin berkata, selama ini kewujudan Hang Tuah bersandarkan kepada beberapa nukilan tempatan, antaranya Hikayat Hang Tuah dan Sulalatus Salatin (Sejarah Melayu).

“Walaupun penemuan fakta terbaru itu belum dapat disahkan kerana penyelidik terbabit perlu bertemu pakar sejarah serta meneliti manuskrip lama di Sepanyol dan Portugal, sekurang-kurangnya kita ada penemuan terkini mengatakan Hang Tuah wujud sekali gus menolak pandangan mereka yang mengatakan kisahnya mitos.

“Memang kita tidak boleh nafikan ada ahli sejarah Malaysia yang berpandangan Hang Tuah hanya mitos, mungkin disebabkan terlalu banyak tokok tambah seperti mempunyai kesaktian dan hidup sehingga ke hari ini,” katanya.

Beliau mengulas laporan muka depan Harian Metro semalam mengenai fakta yang tercatat di dalam buku Notes of Leonardo da Vinci mengenai pertemuan antara pelukis potret Mona Lisa, Leonardo da Vinci dan Hang Tuah di Eropah antara 1503 hingga 1506 sekali gus membuktikan pahlawan legenda Melayu itu benar-benar wujud.

Dalam catatan itu, da Vinci menulis ‘saya melukis kenderaan selepas berjumpa dengan orang kaya Melaka’ dan perkataan selepas itu tidak jelas sama ada disebut laksamana atau Hang Tuah.

Penemuan terbaru itu didedahkan Pensyarah Kanan Jabatan Bahasa Melayu, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi UPM Dr Rohaidah Kamaruddin dan Profesor Linguistik Melayu dari fakulti sama Prof Emeritus Dr Hashim Musa.

Mengulas lanjut, Dr Mohd Jamil berkata, beliau menghargai sumbangan kedua-dua pensyarah berkenaan dalam kajian pahlawan Melayu itu sehingga menghasilkan buku Hang Tuah: Catatan Okinawa yang menceritakan mengenai kewujudan laksamana tersohor itu ketika zaman kegemilangan Empayar Melaka.

metro






0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

© 2011 mimbar kata, AllRightsReserved.

Designed by ScreenWritersArena