12 May 2016

Mak Yong Sindong




Dewan Budaya, Universiti Sains Malaysia dengan kerjasama Pusat Pengajian Seni serta Dewan Bahasa Dan Pustaka Wilayah Utara akan mengadakan pementasan Teater Tradisional Makyong “Sindong” 2016 pada 24hb dan 25hb Mei, 2016 pada jam 8.30 malam bertempat di Auditorium Dewan Budaya, Universiti Sains Malaysia.

Teater Makyong “Sindong” ini diarahkan oleh ‘Adiguru Rebab’, saudara Che Mat Jusoh, seorang penggiat muzik dan teater tradisional tanahair yang tidak asing lagi di Malaysia. Pementasan ini turut diserikan dengan lakonan oleh ‘Pak Yong Malaysia’ saudara Rosnan Rahman dari Istana Budaya serta beberapa orang aktivitis teater tradisional dan moden tempatan seperti Nurliyana Mohama, Muna, Norhelmi Othman, Murshid Md. Hussain Yusof Bakar, Ramnah Ramli, Andy Siti Nurhidayah Rahim, dan ramai lagi.

Persembahan ini turut mendapat kerjasama dari Kumpulan Tarian Adikarma dari Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni USM serta turut diberi pendedahan berkaitan teater tradisional ini adalah kepada pelajar-pelajar dari program Tunas Budaya bersama USM iaitu Kumpulan Tunas Tari Sekolah Kebangsaan Minden Height, yang turut diberi peluang mengenali dan menyelami persembahan Teater Tradisional Malaysia.

Persembahan Teater Tradisional ini mengisahkan tentang seorang gadis yatim piatu bernama Sindong yang sering didera oleh ibu tirinya, Mek Bunga. Suatu hari, atas alasan tidak munasabah, Sindong telah dihalau dari rumah Mek Bunga. Maka Sindong pun membawa diri tanpa arah tujuan. Dengan kesaktian dan pertolongan Mak Cik Sedewa-dewa dari kayangan, Sindong telah dipulihkan tenaga dan diberikan sepersalinan pakaian yang akhirnya merubah nasib hidup beliau. Kisah sedih Sindong mendapat simpati daripada sepasang suami isteri, Mek Lijah dan Wak Leh yang kemudiannya telah mengambil Sindong menjadi anak angkat mereka. Tidak berapa lama kemudian, Sindong telah menemui Wan Kenari untuk mempelajari tarian. Wan Kenari yang bersimpati dengan nasib Sindong telah menerima Sindong sebagai anak didik tarinya. Walaupun kehadirannya tidak disenangi oleh beberapa rakan, namun Sindong tetap bersabar.

Sementara itu, di Istana Gunung Jerai, Raja Besar telah menganjurkan satu pesta keraian bagi mencari calon isteri Raja Muda Tengku Ahmad. Pertemuan mata antara Raja Muda Tengku Ahmad dan Sindong ketika persembahan di istana telah membibitkan rasa cinta dan akhirnya Raja Muda melamar Sindong menjadi isterinya. Apakah yang terjadi kepada Mek Bunga? Adakah Raja Muda memaafkannya. Sama- sama kita ikuti kisah selanjutnya.

Untuk sebarang maklumat lain, sila hubungi:
Puan Andy Siti Nurhidayah Rahim
Pegawai Kebudayaan
Bahagian Pengurusan Acara, Promosi dan Perhubungan Antarabangsa
Dewan Budaya
Universiti Sains Malaysia
Tel: 012-682 4449 / 04-5433888 – EXT: 3487
Email: andyidah@gmail.com, dewanbudaya@gmail.com










 



sumber fb dewan budaya usm


1 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

© 2011 mimbar kata, AllRightsReserved.

Designed by ScreenWritersArena