cinta kreatif

Ilham Zurinah datang tanpa mengira waktu
Oleh MOHD. SHAZWAN YUSOP


ZURINAH menunjukkan sebahagian daripada buku yang ditulisnya.

MEMORI wanita berusia 66 tahun itu masih utuh menyimpan setiap peristiwa yang pernah dilalui sepanjang bergelar anak seni. Setiap soalan yang diajukan kepada beliau dijawab dengan lancar. Sesekali, beliau menyelitkan pantun dan madah untuk menjelaskan sesuatu perkara.

Perbualan hampir satu jam bersama Datuk Dr. Zurinah Hassan mengundang kekaguman tatkala menuturkan kata-kata yang cukup puitis.

Justeru, tidak hairanlah sekiranya beliau mampu mencipta puluhan buah puisi dan sajak sehingga diangkat sebagai Sasterawan Negara ke-13 baru-baru ini.

Anak kelahiran Bakar Bata, Alor Setar, Kedah itu merupakan wanita pertama di Malaysia yang berjaya meraih gelaran tertinggi dalam bidang kesusasteraan.

“Alhamdulillah, anugerah ini merupakan rezeki daripada Allah selepas hampir empat dekad mengabdikan diri dalam bidang penulisan kreatif.

“Setiap perkataan yang tertulis di atas kertas adalah kurniaan Ilahi,” katanya ketika ditemu bual Kosmo! di rumahnya di Shah Alam, Selangor baru-baru ini.

Menyingkap perjalanan karier Zurinah sebagai penulis puisi dan sajak, sejak lahir, penulis yang telah menghasilkan 19 buah buku antalogi sajak dan puisi itu tinggal bersama neneknya, Allahyarhamah Baayah Cik Mat di Tikam Batu, Sungai Petani, Kedah.

Bapanya meninggal dunia sejak Zurinah dalam kandungan. Ibunya terpaksa tinggal berjauhan kerana bertugas sebagai jururawat di Hospital Besar Alor Setar, Kedah. Beliau membesar di sebuah teratak kecil yang dikelilingi dengan pohon-pohon merimbun. Suasana kediamannya sangat redup dan sunyi.

Disebabkan kedudukan rumahnya agak terpencil, Zurinah menjadikan radio sebagai teman di kala sunyi.

Saban hari, beliau duduk di rumah sambil ditemani lagu-lagu Melayu Asli yang sering berputar di radio pada ketika itu. Selain mendengar radio, Zurinah mempunyai hobi lain iaitu menyalin seni kata lagu di dalam sebuah buku. Seni kata tersebut kemudian dinyanyikan semula olehnya.

“Semasa zaman kanak-kanak, saya tidak mempunyai kawan dan kurang keluar bermain di luar seperti orang lain.

“Saya banyak menghabiskan masa di rumah dan mendengar radio. Saya bukan sahaja mendengar malah menulis dan menghafal seni kata lagu,” ujar Zurinah sambil tersenyum mengenangkan peristiwa tersebut.

Menerusi hobi itu, beliau mula menghayati dan memikirkan keindahan setiap perkataan yang digunakan dalam seni kata lagu.

Antara lagu yang menjadi kegemaran Zurinah pada ketika itu ialah Alam Maya, Bulan dan Angin, Seri Mersing, Seri Tambak serta Tudung Saji.

Dek kerana sering menghayati sajak dan seni kata lagu, maka timbul minat beliau menulis puisi dan sajak.

Sebelum mula menulis, beliau gemar merenung keadaan sekeliling terutamanya haiwan dan tumbuh-tumbuhan yang boleh dikaitkan dengan kehidupan manusia.

ZURINAH menerima Anugerah Tokoh Sasterawan Negara daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini.

Beralih minat

“Daripada hobi menyalin seni kata, saya mula berminat menulis sajak dan puisi. Karya pertama saya terhasil ketika berumur 12 tahun.

“Oleh kerana terlalu dekat dengan radio, maka saya telah menghantar karya ke rancangan Taman Kanak-kanak yang dikendalikan oleh Siti Hawa Zain dan ruangan sajak di dalam akhbar,” ulasnya.

Antara puisi terawal yang dihasilkan oleh Zurinah ialah Rebolusi, Tanjung Dawai, Hari Jahanam, Darul Aman dan Terlantar.

Ketika buah fikiran Zurinah mula mencurah-curah, beliau telah diminta berhenti berkarya. Kegiatan Zurinah menghantar sajak ke ruangan akhbar tidak disenangi oleh pihak sekolah. Ketika itu, beliau menuntut di Sekolah Inggeris Sungai Petani, Kedah.

Rentetan itu, Zurinah telah dikenakan tindakan disiplin kerana dianggap dengan sengaja meletakkan nama dan alamat sekolah dalam akhbar untuk mencari populariti.

“Akibat peristiwa tersebut, saya dilarang menulis dan menghantar karya untuk disiarkan dalam akhbar. Saya amat sedih dan kecewa,” terang Zurina yang menjadikan Sasterawan Negara, Allahyarham Usman Awang sebagai idolanya.

Ilham

Namun begitu, peristiwa tersebut tidak pernah sesekali memadamkan api cinta Zurinah terhadap bidang penulisan kreatif. Beliau akhirnya kembali bangkit lantaran sikapnya yang tidak mudah berputus asa.

Antara individu yang berjaya membakar kembali semangatnya untuk terus aktif menulis ialah pengasuh ruangan sajak Utusan Zaman, Zakry Abadi. Utusan Zaman merupakan salah sebuah akhbar tulisan jawi yang diterbitkan oleh syarikat persuratkhabaran, Utusan Melayu.

“Pengakuan Zakry mengenai bakat menulis puisi yang ada pada saya amat memberangsangkan.

“Beliau mahu saya terus menghantar karya kerana beranggap saya mampu menjadi seorang penulis sajak dan puisi yang baik,” katanya sambil merenung tajam ke satu sudut di halaman rumahnya.

Selepas kembali menulis, karyanya bertajuk, Sepanjang Jalan Ke Pulau Pinang yang di siarkan dalam Utusan Zaman pada Disember 1970 telah dijadikan lirik lagu dan dirakam oleh kumpulan Harmoni.

“Saya berasa cukup dihargai selepas sajak saya telah dijadikan lirik lagu. Lagu tersebut cukup popular sekitar awal 80-an,” ujar Zurinah sambil menyanyikan bait-bait lagu tersebut kepada penulis.

Minatnya terhadap penulisan semakin bercambah selepas berjaya melanjutkan pelajaran ke peringkat Ijazah Sarjana Muda Sastera di Universiti Sains Malaysia pada tahun 1974.

Sebaik menamatkan pengajian, beliau telah diterima berkhidmat di sebuah jabatan kerajaan di ibu negara.

Walaupun sibuk dengan tugasan seharian dan tanggungjawab sebagai seorang ibu kepada lima orang cahaya mata, namun beliau tetap mencuri masa untuk menulis.

“Ilham untuk menulis selalunya datang tanpa mengira waktu. Kadang-kadang ketika dalam bas ke tempat kerja. Jadi, saya cepat-cepat catat di dalam buku.

“Selepas pulang ke rumah saya perlu luangkan masa dengan keluarga. Pada hujung minggu baru saya ada masa untuk menulis,” terang Zurinah sambil memaklumkan bahawa beliau pernah berhasrat untuk berhenti menulis kerana sibuk mengurus anak-anaknya yang masih kecil.

Perjalanan seni Zurinah kembali bersinar selepas berhenti kerja untuk memberi perhatian kepada penulisan sekitar tahun 1996.

“Saya berhenti kerja semata-mata mahu aktif menulis. Walaupun menulis tidak menjanjikan pendapatan lumayan, namun ia memberi kepuasan kepada diri. Saya akan menulis selagi terdaya,” kata Zurinah yang tiada seorang pun anaknya yang mengikut jejak langkah beliau.


ZURINAH (duduk kanan) bergambar kenangan bersama keluarganya sempena Hari Raya Aidilfitri pada tahun 2012.

Masa depan

Diangkat sebagai Sasterawan Negara, beliau perlu memainkan peranan dalam memastikan sastera Melayu terus subur.

Sehubungan itu, beliau menerima jemputan mendeklamasi sajak dan puisi di institut pengajian tinggi dan badan-badan korporat.

“Sebagai salah seorang Sasterawan Negara saya perlu pastikan bidang sastera dalam kalangan masyarakat terus mekar. Saya akan terus berjuang memartabatkan sastera Melayu walau seribu rintangan di hadapan,” terangnya.

Mengulas mengenai masa depan sastera di Malaysia, beliau yakin ia tidak akan lenyap kerana selagi wujudnya bangsa Melayu.

Katanya, situasi itu dapat dilihat menerusi penubuhan beberapa kumpulan yang aktif menghasilkan sajak dan puisi.

kosmo




Comments