bintang berpuisi


Bintang-bintang Berpuisi pupuk budaya martabatkan puisi
20 Mei 2016 12:30 AM

KUALA LUMPUR 19 Mei – Penganjuran acara tahunan Bintang-bintang Berpuisi II anjuran Utusan Malaysia dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di kampus univer­siti itu Sabtu ini, dapat menyemai cinta dalam kalangan ge­nerasi mu­da untuk terus memartabatkan budaya berpuisi.

Norizan Abdul Razak

Pengarah Pusat Komunikasi Kor­porat, Prof. Datin Dr. No­rizan Abdul Razak ber­kata, ini kerana program tersebut turut melibatkan penyertaan penuntut universiti sekali gus mampu me­mupuk rasa minat me­reka terhadap sastera.

“Puisi ini pelbagai, ada gurindam, sajak, pantun, syair, nyanyian dan sebagainya. Pilih sahaja katego­ri yang diminati dan gunalah peluang ini untuk menonjolkan kreativiti yang ada dalam diri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mempengerusikan mesyuarat sempena penganjuran Bintang-bintang Berpuisi II di Bangunan Canselori UKM di sini hari ini.

Yang turut hadir Pengarang Utusan Malaysia, Zulkefli Hamzah serta Pengarang Hiburan Utusan Ma­laysia, Tengku Khalidah Tengku Bidin.

Menurutnya, Bintang-bintang Ber­puisi yang memasuki tahun kedua penganjurannya, kini boleh dianggap sebagai keme­gahan bagi Kumpulan Utusan dan UKM se­ka­li gus mengeratkan hubungan antara warga kedua-dua organisasi itu.

“Tempoh setahun se­belum penganjuran edi­si kali ini, bermacam-macam aktiviti telah dilakukan bersama, mem­buktikan kerjasama seperti ini mendorong ke arah kerja berpasukan yang lebih baik untuk kebaikan kedua-dua pihak.

“Lebih menarik, kedua-duanya ditubuhkan demi memenuhi hasrat rakyat, maka disebabkan perjuangan yang sama, ia semakin mu­dah. Kesan positif daripada pro­gram ini, diharap generasi mu­da lebih dekat dengan puisi berbanding terlalu leka dengan media sosial,” katanya.

Bertemakan Obor Perjuangan, para deklamator akan menyampaikan puisi dengan penuh penghayatan dan semangat kemanusiaan.

Antara barisan artis yang akan menceriakan majlis yang berlangsung pada pukul 9 pagi di Bangunan Canselori, UKM itu ialah Naj­wa Latif, Fizz Fairuz, Anis Al-Idrus, Siti Nordiana, Ajak Shiro dan Projector Band.

Yang turut mendeklamasikan puisi pada majlis itu ialah Sasterawan Negara, Datuk Dr. Zurinah Hassan dan budayawan yang juga Pengarah Doktrin Latihan Tentera Darat, Kolonel Radzi Abdul Hamid yang akan menyampaikan puisi ciptaan mereka sendiri.

Pengarah Urusan Kumpulan Utusan, Datuk Mohd. Noordin Abbas; Naib Canselor UKM, Prof. Datuk Dr. Noor Azlan Ghazali dan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa UKM, Prof. Datuk Dr. Riza Atiq Abdullah O.K. Rahmat juga akan mempamerkan bakat mendeklamasi puisi.

utusan online


Bintang-Bintang Berpuisi II, Sabtu ini
Usaha Utusan Malaysia, UKM perkasa bidang sastera negara
NURFARHANA MOHAMED
18 Mei 2016 12:28 AM

KUALA LUMPUR 17 Mei - Peranan Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia sebagai akhbar yang mempunyai pengaruh besar dalam kalangan ahli masyarakat tidak pernah terhenti.

Acara Bintang-Bintang Berpuisi adalah antara program hebat terbitan akhbar berkenaan dalam usa­ha untuk membawa masyarakat, khasnya pelajar dalam memaknakan lagi erti hidup dan kehidupan, manusia dan kemanusiaan.


Bintang-Bintang Berpuisi yang mula dianjurkan pada 2015, kini kembali lagi menerusi siri kedua.

Majlis yang dinamakan Bintang-Bintang Berpuisi II itu sekali lagi mendapat kerjasama daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang akan berlangsung pada Sabtu ini mulai pukul 10 pagi.

Menerusi acara yang dilihat sebagai salah satu cara memper­kasakan bidang sastera negara, penonton juga akan berpeluang menyaksikan ahli politik, ahli akademi, budayawan seni dan artis terkenal memperlihatkan bakat dalam deklamasi puisi.

Bertemakan Obor Perjuangan, para deklamator akan menyampaikan puisi dengan penuh penghayatan dan semangat kemanusiaan.

Antara barisan artis yang akan menceriakan majlis yang berlangsung di bangunan Canselori, UKM, Bangi, Selangor itu ialah Najwa Latif, Fizz Fairuz, Anis Al-Idrus, Siti Nordiana dan Projector Band.

Menurut Fizz, 36, dia sememang­nya teruja untuk menyertai program ini memandangkan kali pertama dia tampil sebagai deklamator puisi.



“Sebelum ini saya tak pernah lagi ada peluang untuk baca puisi tapi selepas menerima undangan daripada Utusan Malaysia sendiri, saya sahut cabaran itu. Saya memilih puisi Tok Janggut, karya penulis handalan, Allahyarham Rahimidin Zahari.

“Sesuai dengan tema Obor Perjuangan, saya akan cuba sampai­kan dengan sebaiknya dan membawa penonton menghayati isi kan­dungan puisi berkenaan se­dalam-dalamnya,”katanya.

Tok Janggut adalah karya yang dianggap sebagai masterpiece mi­lik Rahimidin, karyawan yang cukup terkenal dalam bidang puisi-puisi kemanusiaan itu.


Sementara itu penyanyi Siti Nor­diana, 31, berkata, dia akan menyampaikan puisi berkisar tentang perjuangan kaum wanita yang banyak menyumbang kepada keharmonian negara Malaysia yang kita cintai ini.

“Sumbangan kaum wanita juga sememangnya tidak ternilai dalam usaha membangunkan Malaysia sebagai sebuah negara yang maju dan moden seperti hari ini. Justeru, puisi yang akan saya sampaikan itu nanti khusus buat mengenang wanita-wanita hebat yang sentiasa memberi dorongan kepada insan lain,”jelasnya.

Turut mendeklamasikan puisi pada majlis itu ialah Sasterawan Negara, Datuk Dr. Zurinah Hassan dan Pengarah Doktrin Latihan Tentera Darat, Kolonel Radzi Abdul Hamid yang akan menyampaikan puisi ciptaan mereka sendiri.

Antara tetamu kehormat lain ialah Pengarah Urusan Kumpulan Utusan, Datuk Mohd. Noordin Abbas; Ketua Pengarang Kumpulan, Datuk Abdul Aziz Ishak; Naib Canselor UKM, Prof. Datuk Dr. Noor Azlan Ghazali dan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa UKM, Prof. Datuk Dr. Riza Atiq Abdullah O.K. Rahmat.

utusan online

Comments