Said Zahari

Ikon kewartawanan negara, Said Zahari meninggal dunia


AHLI keluarga dan rakan-rakan Allahyarham Said membacakan doa selepas selesai upacara pengebumian jenazahnya di Tanah Perkuburan Islam USJ 22, Subang Jaya semalam.

SUBANG JAYA – Bekas Ketua Pengarang Utusan Melayu, Said Zahari, 88, meninggal dunia kerana sakit tua di rumah anak perempuannya, Rismawati di Puncak Alam, Shah Alam dekat sini semalam.

Anak sulungnya, Roesman, 59, berkata, pada pukul 11.30 pagi, adik perempuannya cuba mengejutkan ayahnya untuk makan tetapi beliau tidak memberikan sebarang respons.

“Sejam kemudian, seorang doktor yang datang ke rumah mengesahkan ayah telah meninggal dunia,” kata­nya kepada pemberita selepas upacara pengebumian Allahyarham di Tanah Perkuburan Islam USJ 22 di sini malam tadi.

Terdahulu jenazah Allahyarham disembahyangkan di Masjid Al-Falah di USJ 9.

Sebelum itu, berita pemergian Said dimaklumkan anak lelaki beliau, Norman melalui laman Facebookdengan berkata: “Innalillah. Ayah saya, Said Zahari, telah kembali ke rahmatullah pukul 12.30 tengah hari tadi (semalam).”

Said yang dilahirkan di Si­ngapura pada 18 Mei 1928 me­rupakan seorang tokoh dalam bidang persuratkhabaran dan aktivis politik tanah air.

Beliau mendapat pendidikan di Singapura termasuk mempelajari bahasa Jepun semasa pendudukan Jepun. Said menamatkan pelajarannya sehingga Senior Cambridge sebelum bertugas sebagai wartawan di akhbar Utusan Melayu pada 1951.

Tindakan Said memimpin kakita­ngan Utusan Melayu melancarkan mogok pada tahun 1961 kerana membantah tindakan UMNO menguasai akhbar

kosmo


Bekas tahanan ISA, Said Zahari tokoh Utusan dalam kenangan
 13 April  2016


Tokoh kewartawanan Said Zahari meninggal dunia kira-kira pukul 12.30 tengah hari semalam pada usia 88 tahun, di Puncak Alam, Shah Alam. — Foto ihsan Twitter/Media Selangorku

KUALA LUMPUR, 13 April — Mogok pekerja akhbar Utusan Melayu yang diketuai Said Zahari pada 1961 merupakan peristiwa hitam yang tidak boleh dilupakan oleh bekas menteri penerangan Tan Sri Zainuddin Maidin apabila mengenangkan pemergian tokoh kewartawanan itu tengah hari semalam.

Zainuddin mengimbau kembali tindakan Allahyarham menentang pengambilalihan Utusan Melayu oleh Umno sehingga mengakibatkan Said disingkirkan daripada Utusan Melayu waktu itu yang kini dikenali sebagai Utusan Malaysia.

"Bagaimanapun permusuhan Said Zahari dengan Utusan telah pulih apabila saya sebagai ketua pengarang Utusan Malaysia menjemput beliau hadir di majlis meraikan 50 tahun Utusan pada tahun 1989 yang baginya dirasakan amat terlalu besar," katanya.

Tokoh kewartawanan dan bekas pengarang Utusan Melayu Said Zahari yang lebih dikenali sebagai Pak Said meninggal dunia kira-kira pukul 12.30 tengah hari semalam pada usia 88 tahun, di Puncak Alam, Shah Alam.

Zainuddin berkata Allahyarham yang mengambil beliau bekerja di Utusan Melayu sebagai pemberita sambilan di Alor Setar pada 1958.

Beliau turut berkongsi catatan Said Zahari dalam bukunya bertajuk "Meniti Lautan Gelora" yang dilancarkan pada 5 April 2001 sewaktu Zainuddin menjawat jawatan timbalan menteri penerangan.

Katanya catatan itu berbunyi: "Terima Kasih atas keberanian dan kesanggupan saudara 'membawa balik' saya ke pangkuan Utusan Melayu. Biarpun apa yang telah terjadi.

"Kefahaman anda mengenai sejarah dan peranan saya di Utusan dalam tahun 1950-an dan awal 1960-an serta penghargaan anda mengenainya adalah luar biasa dan mengagumkan. Saya tabik anda untuk itu."

Zainuddin menyifatkan Allahyarham sebagai seorang pejuang nasional yang berani, tidak berputus asa, gigih, dan keras serta memiliki semangat yang luar biasa.

Menurut beliau, keberanian Said Zahari terserlah apabila terlibat dengan gerakan nasionalis kiri yang telah menyebabkan beliau ditahan bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) di Singapura selama 17 tahun ketika Lee Kuan Yew menjadi perdana menteri negara itu.

Zainuddin sempat menziarahi Allahyarham pada tahun lepas sewaktu beliau tidak sihat.

Said Zahari pernah dianugerahkan Wartawan Cemerlang Negara oleh Persatuan Wartawan Melayu Malaysia pada 2009 dan Tokoh Kebebasan Akhbar pada 2001.

Allahyarham juga pernah menjadi ketua Parti Rakyat Singapura hanya selama tiga jam sebelum ditahan.

Beliau pernah menghasilkan beberapa buku seperti Dark Clouds at Dawn — A Political Memoir, Towards the Correct Path (versi Mandarin) pada 2001 dan menulis puisi dan esei ketika di dalam penjara termasuk The Long Nightmare: My 17 Years as a Political Prisoner. — Bernama

themalaymailonline 



Said Zahari nasionalis kental
13 April 2016

KUALA LUMPUR 12 April – Bekas Pengarang Utusan Melayu, Allahyarham Said Zahari sentiasa dikenang sebagai seorang nasio­nalis yang kental, gigih, berani dan keras hati.


ZAINUDDIN MAIDIN (kiri) menyerahkan buku tulisannya bertajuk Kisah Sejarah Utusan Melayu: Di Depan Api Di Belakang Duri kepada Said Zahari di Puncak Alam, Selangor pada 2013.

Bekas Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Tan Sri Zainuddin Maidin berkata, sifat-sifat Said itu terserlah melalui matanya yang sentiasa bersinar.

Menurut beliau, Said juga bertanggungjawab menyemarakkan kewartawanan politik dalam Utusan Melayu sekali gus menjadikan akhbar itu wadah kesinambungan perjuangan orang Melayu.

“Jasa Allahyarham terhadap Utusan Melayu terlalu banyak malah beliau merupakan salah seorang pejuang besar yang menyumbang kepada kegemilangan akhbar ber­kenaan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Said, 88, meninggal dunia kira-kira pukul 12.30 tengah hari ini dan Allahyarham pernah ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) selama 17 tahun di Singapura semasa era Lee Kuan Yew menjadi Perdana Menteri Singapura.

Zainuddin menambah, Said pernah menghadiri majlis Sambutan Ulang Tahun Ke-50 Kumpulan Utusan dan tokoh wartawan itu amat berbesar hati atas jemputan tersebut.

“Said menangis semasa ber­dakapan dengan bekas Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Tan Sri Melan Abdullah kerana sebelum itu Said menyangka beliau telah ditolak kerana mengetuai mogok Utusan Melayu pada 1961.

“Pengalaman itu dirakamkan dalam salah sebuah bukunya dan Said turut menyatakan penghargaan di atas keberanian dan ke­sanggupan saya sebagai Ketua Pengarang ketika itu membawanya kembali ke pangkuan Kumpulan Utusan,” jelasnya.

Beliau yang juga bekas Menteri Penerangan memberitahu, Said meninggalkan jasa besar dengan mengambilnya berkhidmat sebagai wartawan sambilan (stringer) di Alor Setar, Kedah.

Zainuddin berkata, walaupun Said telah tersalah langkah dalam perjuangannya tetapi tindakan pentadbiran Kuan Yew menahannya selama 17 di bawah ISA disifatkan agak keterlaluan.


utusanonline


Apabila penulis sanggup dipenjara
Oleh ZAINAL ABDUL KADIR
18 Ogos 2013

HARI ketiga Aidilfitri saya berpeluang mengunjungi sebuah penjara kerana menziarahi seseorang. Peraturan yang telah ditetapkan oleh pihak penjara menggambarkan bahawa bukan mudah hendak bertemu dengan seseorang yang telah dimasukkan ke dalam penjara. Sehari suntuk berada di sana sudah cukup untuk menyatakan bahawa penjara bukanlah satu tempat yang diinginkan oleh sesiapa pun.

Lantas saya teringat satu rencana yang ditulis oleh Shaharom TM Sulaiman di Mastika Ogos 2013 bertajuk Mahakarya Sang Pertapa dari penjara.

Menurut Shaharom, penulis yang dimasukkan ke dalam penjara mampu menghasilkan karya yang dikagumi dan bergagasan besar menggoncang sejarah sepanjang zaman.

Penulis yang disenaraikan Shaharom ialah Adolf Hitler, Pradmoedya Ananta Teor, Mohammad Hatta, Tan Malaka, Sayyid Quthb, Nawal El Saadawi, Ayatullah Muhammad Baqir Sadr, Mumia Abu Jamal, Marthin Luther King Jr. dan Viktor Frankl.

Bagaimana pula dengan penulis Malaysia? Apakah mereka sanggup berjuang hingga dipenjarakan dan kemudian mampu pula menghasilkan karya yang membawa pemikiran besar? Sedangkan penjara itu adalah tempat yang tidak mahu dihuni oleh sesiapa pun kerana orang yang bersalah sahaja yang akan dimasukkan ke dalam penjara.

Namun begitu, sejarah tidak menafikan terdapat sebilangan penulis kita yang sanggup berjuang waima hingga dihumban ke penjara. Antara penulis yang mempunyai prinsip perjuangan yang besar dan sanggup dipenjarakan ialah Allahyarham A. Samad Ismail seorang tokoh wartawan, sasterawan dan pejuang bahasa.

Beliau pernah ditahan ketika zaman penjajahan British (1951-1953) dan zaman selepas merdeka ketika di bawah Perdana Menteri Tun Huseein Onn (1976-1981).

Penahanan ini tidak pernah mematahkan semangat A. Samad untuk berjuang dalam bidang penulisan. Malah tinta dari pena beliau sentiasa mengalir sama ada sebagai wartawan atau sasterawan. Antara karya beliau yang diingati ialah Kail Panjang Sejengkal, Patah Sayap Terbang Jua, Menimba Yang Jernih dan Tembok Tidak Tinggi.

Malah, sumbangan A. Samad telah diiktiraf oleh kerajaan dengan mengurniakan Hadiah Pejuang Sastera dan Tokoh Wartawan Negara.

Begitu juga dengan Allahyarham Ishak Haji Muhammad (Pak Sako). Beliau pernah dipenjarakan sebanyak dua kali iaitu pada tahun 1948 -1953 dan 1965-1966. Pengalaman pahit ini tidak pernah mematahkan semangat Pak Sako untuk terus menulis khususnya menghasilkan novel yang menyemarakkan semangat nasionalisme anak watan.

Novel terkenal beliau ialah Putera Gunung Tahan dan Anak Mat Lela Gila yang menggambarkan pandangan dan cita-citanya sebagai patriot bangsa dan sasterawan sejati. Jasa Pak Sako terhadap kesusasteraan Melayu turut dihargai apabila mengurniakan Hadiah Pejuang Sastera dan Ijazah Kehormat Doktor Persuratan oleh Universiti Malaya.

Malah, Utusan Melayu (M) Berhad melalui anak syarikatnya Utusan Publications & Distributions turut menghargai jasa Pak Sako dengan mewujudkan Hadiah Sako bagi sayembara menulis novel sejak tahun 1992. Antara pemenang Hadiah Sako ini ialah Sasterawan Negara Abdullah Hussain, Azizi Haji Abdullah, Sasterawan Negara Anwar Ridhwan, Ramlee Awang Murshid, Aminah Mokhtar, Dzul Karnain Ithnain, Wan Hashim Wan Teh, Rahman Haji Yusof, Mohd Khaidir Ahmad dan Ali Jusoh.

Di samping itu, tidak dilupa juga penulis Allahyarham Abdullah Thani atau lebih dikenali sebagai Ahmad Boestamam. Nama pena lain beliau yang terkenal ialah Ruhi Hayat. Beliau juga pernah dipenjarakan sebanyak tiga kali iaitu pada tahun 1941-1942, 1948-1954, dan 1963.

Meskipun Ahmad Boestamam dikenali sebagai aktivis politik yang disegani, sumbangan beliau dalam sastera tidak dapat dinafikan. Beliau menulis novel dan sajak di samping penterjemah.

Antara novel yang dihasilkan ialah Pacar Merah Malaya, Gelap Menjelang Terang, Kabus Pagi, Geliga, Api Dan Air Mata, Rumah Kaca Di Gegar Gempa dan Merintis Jalan Ke Puncak. Biarpun politik Ahmad Boestaman berhaluan kiri, pada tahun 1976 kerajaan Sarawak telah menganugerahkan Panglima Negara Bintang Sarawak yang membawa gelaran Datuk.

Turut menarik untuk diperkatakan di sini ialah penulis Said Zahari. Beliau merupakan bekas pengarang Utusan Melayu ketika tercetusnya mogok di Utusan Melayu kerana menentang penguasaan UMNO terhadap akhbar ini.

Selepas peristiwa mogok, Said Zahari telah dibuang dari jawatan Pengarang Utusan Melayu dan digantikan dengan Melan Abdullah.

Selepas dipecat Said Zahari dipenjarakan selama 17 tahun iaitu pada tahun 1963-1979 di Singapura.

Ketika di dalam penjara, Said Zahari menghasilkan buku Sajak dari Penjara. Selepas dibebaskan, beliau telah menulis dua buah buku memoir bertajuk Meniti Laut Gelora dan Dalam Ribuan Mimpi Gelisah.

Kedua-dua buku memoir ini diterbitkan oleh Utusan Publications & Distributions. Apa yang menariknya buku memoir Dalam Ribuan Mimpi Gelisah telah memenangi Hadiah Sastera Perdana Malaysia tahun 2006/2007 bagi kategori memoir / biografi. Sudah pastilah buku yang dihasilkan ini adalah daripada pengalaman Said Zahari ketika dipenjarakan selama 17 tahun.

Berdasarkan keterangan di atas, rencana yang diutarakan oleh Shaharom TM Sulaiman mungkin ada benarnya. Namun, benarkah pada zaman ini masih adakah lagi penulis yang sanggup masuk penjara kerana memegang prinsip perjuangannya dan menghasilkan karya? Seperti kata Shaharom, penjara memang sebuah tempat yang cukup menyeksakan tetapi juga sebuah tempat kondusif bagi seorang penulis kerana di dalam penjara, manusia akan terpaksa berani menyendiri, berada dalam kesepian dan keterasingan dan hal-hal sebegini adalah hal yang harus terjadi dalam penulisan.

Kesimpulannya, penjara adalah tempat yang ditakuti oleh sesiapa pun kerana di dalamnya tinggal manusia yang telah dijatuhkan hukuman kerana kesalahan yang telah dilakukannya. Tetapi sekiranya penulis berjiwa besar dan sanggup berjuang kerana mempertahankan prinsip yang betul, penjara hanya memagar jasad tetapi pengaruhnya tetap bebas.

Buktinya penjara tidak mampu memenjarakan kebebasan berkarya penulis seperti Said Zahari atau Pramoedya. Malah penjara semacam tidak berbekas untuk menyekat mereka daripada menulis sesuatu yang benar.

utusanonline




Comments