ombak rindu istana budaya




Ombak Rindu Ke Istana Budaya April Ini
26 Feb 2016



SELEPAS mencetuskan fenomena luar biasa di pawagam pada 2013 lalu, filem Ombak Rindu bakal dipentaskan menerusi persembahan teater Ombak Rindu di Istana Budaya (IB), Kuala Lumpur.

Perkara tersebut diumumkan pada satu sidang media yang dihadiri oleh ramai ‘orang kuat’ teater tersebut seperti penulis krip, komposer, pengarah dan barisan pelakon yang akan menjayakan teater tersebut.

Teater ini sebenarnya adalah terbitan CTRA Production yang memang sudah tidak asing lagi dalam industri teater tanah air aktif dalam kolaborasi pementasannya dengan pihak IB.

Ternyata orang kuat IB iaitu Datuk Juhari Shaarani atau lebih dikenali sebagai Abang Jo memberi kepercayaan tinggi kepada Siti Rohayah Attan selaku penerbit teater ini yang mesra dengan panggilan Kak Roy.


Siti Rohayah Attan


Keith Foo dikatakan akan menerajui teater ini sebagai pelakon utama yang memegang watak Hariz.

Antara barisan pelakon yang bakal mewarnai teater tersebut antaranya Zaidi Omar, Zarina Zainoordin, Karl Shafek, Izzue Islam dan beberapa muka baharu dalam industri lakonan dan pementasan teater.


Keith Foo

Pihak produksi masih lagi merahsiakan heroin bagi teater ini, dan katanya masih mencari pelakon wanita yang sesuai untuk dipadankan dengan watak Izzah dalam teater ini.

Turut ditampilkan ialah Datuk Suhaimi Mohd. Zain atau lebih dikenali sebagai Pak Ngah bagi menghasilkan muzik latar bagi teater ini.


Pak Ngah dan A.Aris Kadir


Ombak Rindu adalah adaptasi daripada novel karya Fauziah Ashari yang pertama kali diterbitkan pada tahun 2002 menjadi fenomena apabila ia telah terjual lebih 200,000 naskhah dan di angkat ke layar perak pada tahun 2011.

Ternyata Filem Ombak Rindu memberi impak yang besar dan luar biasa kerana kutipan tiketnya mencecah RM 11 juta. Filem yang diarahkan oleh Osman Ali ini dibintangi oleh pelakon-pelakon tanah air seperti Aaron Aziz, Maya Karin, Lisa Surihani dan ramai lagi pelakon terkenal.

Teater yang akan dipentaskan ini adalah kompilasi daripada siri-siri novel Ombak Rindu dari novel yang pertama sehinggalah yang ketiga. Pihak produksi menjanjikan bahawa teater ini berbeza dari filem Ombak Rindu yang ditayangkan dilayar perak.

Menurut Kak Roy, hanya 10 peratus sahaja babak-babak dari filem yang akan diadaptasikan ke pentas teater. Selebihnya adalah kesinambungan dari novel Ombak Rindu yang kedua dan ketiga.

Bagi peminat-peminat novel dan filem Ombak Rindu, jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan teater Ombak Rindu yang akan dipentaskan pada April nanti di Istana Budaya. –MYNEWSHUB.CC

mynewshub

Maya Karin tak sudi, Uqasha jadi Izzah dalam teater ‘Ombak Rindu’
3 Mac 2016
 Uqasha Senrose akan membawa watak Izzah dalam teater ‘Ombak Rindu’ di Istana Budaya. — Foto ehsan Instagram/Uqasha Senrose

KUALA LUMPUR, 3 Mac — Pelakon Uqasha Senrose mengesahkan dirinya bakal memegang watak Izzah dalam teater “Ombak Rindu” yang mula dipentaskan 22 April depan di Istana Budaya.

Uqasha, 24, berkata, beliau pada mulanya takut watak Izzah yang dipegangnya dibayangi pelakon Maya Karin seperti dalam filem romantik pada tahun 2011.

"Saya dapat tawaran watak ini tiga hari lalu daripada penerbitnya Siti Rohayah Attan.

"Mulanya agak keberatan untuk menerimanya sebab takut tidak mampu membawa watak itu dengan baik memandangkan jenama Ombak Rindu sangat sebati dengan diri Maya Karin.

"Namun selepas dipujuk oleh penerbit akhirnya saya menerima tawaran itu dengan hati terbuka.

"Saya anggap percubaan ini sebagai satu langkah untuk memantapkan mutu lakonan saya," katanya dipetik laporan Kosmo! hari ini.

Pemilik nama Nik Zaris Uqasha Nik Sen itu juga memuat naik gambar skrip "Ombak Rindu; Cinta Tiada Akhirnya" dalam akaun Instagram miliknya semalam.

Antara drama lakonannya adalah Tundukkan Playboy Itu, Sebenarnya Saya Isteri Dia, Strawberry dan Karipap The Series Musim 2, serta filem Paku Pontianak.

Semalam, pelakon asal Ombak Rindu, Aaron Aziz dilaporkan enggan berlakon teater itu kerana tugas yang berat dan wataknya yang klise.

Manakala pasangannya, Maya Karin meletakkan syarat hanya akan berlakon teater itu jika Aaron turut serta dalam pementasan.

themalaymailonline









Comments