kebesaran cinta

Mathnawi Rumi Kopratasa lagu kebesaran cinta
Nadia Azam
17 Feb 2016

Lihat nama dan dengarkan iramanya, dan ketahuilah album terbaru Kopratasa, Mathnawi Rumi, dirakamkan dengan unsur 'keajaiban.'

Menurut Sani Sudin, ‘keajaiban’ itu berlaku dengan pantas dan proses untuk menyempurnakan album berkenaan tidak melalui laluan sukar.

“Apabila kami masuk studio dan memulakan proses rakaman, ketika itulah melodi lahir secara spontan.

“Prosesnya tidak sukar, malah tidak perlu pula pergi mencari ilham di tepi laut.

“Ia lahir menerusi perasaan, jiwa dan kalbu ketika itu.

“Ambil sajak dan rakam, macam ambil wudhu dan sembahyang,” katanya yang ditemui selepas sidang media pelancaran album Mathnawi Rumi di Institut Integriti Malaysia (IIM) di Kuala Lumpur semalam.


Album itu dilancarkan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Wajdi Dusuki. Turut hadir Presiden IIM, Dr Anis Yusal Yusoff; Pengarah Urusan Institut Terjemahan dan Buku Malaysia, Mohd Khair Ngadiron; Pengarah Urusan Luncai Emas Sdn Bhd, Datuk M Nasir dan Pengarah Produksi Luncai Emas Sdn Bhd Mohd Khirin Omar.

Kopratasa bermula dengan kumpulan dianggotai tiga penyanyi namun kini tinggal berdua selepas seorang daripada mereka, Siso atau Syed Indera Syed Omar membawa haluan sendiri.

Selain Sani, kumpulan itu dianggotai Usop (Mohd Yusof Ahmad).

Lebih besar dari alami

Kopratasa dikenali dengan lagu puisi dengan pelbagai tema termasuk cinta, ketuhanan dan masyarakat.

Dalam lagu puisi, Kopratasa berhajat untuk mendidik masyarakat dan melalui Mathnawi Rumi mereka menggunakan petikan daripada kitab Mathnawi karangan ahli sufi terkemuka Jalaluddin Rumi.

Jalaluddin - atau nama sebenarnya Jalaluddin Muhammad Balkhi - adalah penyair Parsi dan guru rohani dari abad ketujuh Hijrah atau 13 Masihi.

Puisi kerohanian beliau sebenarnya sudah lama dihayati oleh masyarakat antarabangsa.

Sehubungan itu, ketokohan dan bait indah dalam karya agungnya mendapat pengiktirafan Pertubuhan Pen­didikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco).

Buat julung kalinya kandungan Mathnawi - yang berusia 800 tahun mengandungi enam jilid - diterjemah ITBM dan digabungkan menjadi seni lagu dengan kerjasama Luncai Emas.

Bagaimanapun, bagi album Mathnawi Rumi hanya mengandungi sebahagian kecil kandungan naskhah berkenaan dan akan dikembangkan selepas ini jika mendapat sambutan.

Album yang dijual pada harga RM30 itu sudah mulai berada di pasaran semalam.

Menurut Sani, cinta Rumi adalah meluas pengertiannya dan tidak boleh dipandang menerusi pemikiran sempit.

“Cintanya lebih besar dari alam. Justeru, kita tidak boleh bandingkan dengan sempitnya cinta manusia yang segelintirnya ada ketololan,” katanya.

malaysiakini

Kopratasa - Mathnawi Rumi - Mawar


KOPRATASA MATHNAWI RUMI adalah sebuah album yang mengangkat sajak/ puisi penyair agung dan tokoh sufi Islam… Jalalluddin Rumi kepada sebuah genre muzikal yang dimelodikan dan dinyanyikan oleh kumpulan puisi terkenal tanahair, Kopratasa.

Mengandungi 5 lagu/ puisi Rumi terpilih di dalam album ini.

Mawar – Seruling 2 – Ujud 2 – Ujud 1 – Seruling 1

Kopratasa, penyanyi puisi yang popular dengan lagu-lagu seperti ‘Masihkah Kau Ingat’, Permata Untuk Isteriku, Mulia dan banyak lagi kini kembali dengan mengiramakan syair/ puisi agung Jalaludin Rumi dengan sentuhan muzik dan emosi yang cukup mencengkam rasa yang diilhamkan mereka melalui 5 sajak/ puisi terpilih Jalalludin Rumi ini.

Album yang diterbitkan sepenuhnya oleh ITBM dengan kerjasama dan diedarkan oleh Luncai Emas ini dan dijual dengan harga RM30.00 akan mula menemui khalayak mulai 16 Februari 2016 melalui peringkat pertama jualan digital di iTunes Store dan akan disusuli nanti selewat hujung Februari ini ke rangkaian kedai-kedai muzik dan buku terpilih,

Pesanan bagi mendapatkan album ini boleh dibuat secara terus kepada :

Institut Terjemahan & Buku Malaysia ITBM

+603-4145 1800/ecommerce.itbm.com.my

Luncai Emas Sdn Bhd

+603-6156 1357 / 6700/ Lcemas2@gmail.com

KOPRATASA kini merupakan sebuah kumpulan duo bervokal yang dianggotai oleh Sani Sudin dan Usop.

Kumpulan yang begitu konsisten dengan puisi/ sajak sejak 25 tahun yang lalu, kini kembali dengan hasil karya (melodi) yang digabungkan dengan puisi-puisi indah penyair agung dunia Jalaludin Rumi.

Gabungan melodi dan susunan muzik Kopratasa dengan puisi Jalalludin Rumi ini telah membentuk sebuah karya baru dalam bentuk lagu dan sebagai persembahan terbaru kumpulan ini buat tatapan peminat seni.

Kerjasama kedua-dua penyanyi/ komposer ini yang bernaung di bawah Luncai Emas manakala ITBM pula memiliki hakcipta karya agung Jalalludin Rumi ini di Malaysia membuatkan album istimewa KOPRATASA MATHNAWI RUMI ini dilahirkan serta diedarkan oleh ITBM & Luncai Emas Sdn Bhd secara kerjasama.

Album Kopratasa Mathnawi Rumi ini disasarkan kepada khalayak seni yang lebih khusus memandangkan album ini bukanlah album lagu-lagu arus perdana semasa. Kekuatan syair yang indah karangan Rumi ini serta getar rasa irama dan suara Kopratasa adalah sandaran kami bagi menjual album ini.

itbm

Comments

  1. beza bila berkarya dengan pengalaman kan? sgt hebat..

    ReplyDelete

Post a Comment