7 Apr 2016

cindua mato


Pelakon Dua Generasi Jayakan 'Teater Muzikal Randai Cinduo Mato'
Oleh: KEMALIA OTHMAN
24 Februari 2016

Remy Ishak (kanan) antara pelakon Randai Cinduo Mato. FOTO: BRIAN MOH


KUALA LUMPUR: Seramai 14 pelakon baharu dan lama bakal menjayakan pementasan teater tradisional Muzikal Randai Cinduo Mato yang bakal dipentaskan pada 25 hingga 27 Mac depan di Panggung Sari, Istana Budaya.

Ketua Pengarah, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Datuk Norliza Rofli berkata, pementasan itu adalah sebahagian daripada usaha untuk memastikan warisan negara ini didedahkan kepada generasi muda.

"Pemantasan ini adalah untuk meningkatkan pengetahuan, pemahaman dan apresiasi masyarakat terhadap kesenian klasik yang kaya dengan nilai seni dan moral.

"Randai merupakan kesenian tradisional yang terkenal dalam masyarakat Minangkabau yang berasal dari Sumatera Barat, Indonesia dan berkembang di seluruh pelusuk alam Melayu," ujarnya.

Antara adegan dalam teater tradisional Muzikal Randai Cinduo Mato yang bakal dipentaskan pada 25 hingga 27 Mac depan di Panggung Sari, Istana Budaya.

Beliau berkata demikian pada sidang media teater Muzikal Randai Cindua Mato yang berlangsung di lambang Sari, Istana Budaya, pada Selasa.

Teater ini turut dibarisi pelakon terkenal seperti Remy Ishak, Ashraf Muslim, Puteri Aishah, Azhan Rani, Vanidah Imran, Datuk Jalaluddi Hassan, Datuk Ahmad Tamimi Siregar.

Sementara itu, Norliza berkata, pemilihan pelakon dibuat berdasarkan kesesuaian watak yang ada dengan pelakon-pelakon berkenaan.

"Kita berbincang dan mencari pelakon-pelakon yang bersesuaian dengan watak-watak dalam naskhah ini.

"Antara pelakon yang dipilih adalah berbakat dan mempunyai nilai kormersial yang tinggi dan kita harap pelakon-pelakon ini dapat menarik penonton untuk datang menyaksikan pementasan ini," ujarnya.

Teater ini diarahkan oleh Lokman Ghani, manakala Dr Indra Utama bertindak sebagai koreografer muzikal.

mstar


Istana Budaya tetap teruskan teater tradisional
NORHIDAYYU ZAINAL
23 Februari 2016


Pelancaran pementasan Panggung Seni Ekstravaganza Muzikal Randai Cindua Mato. - Foto JKKN

PENTAS berprestij, Istana Budaya tetap meneruskan pementasan teater tradisional meskipun sering dikecam lantaran lebih banyak mempersembahkan teater bersifat komersial.

Ketua Pengarahnya, Datuk Mohamed Juhari Shaarani mengakui bukanlah mudah untuk mengangkat sesuatu naskhah tradisional berbanding pementasan bersifat komersial.

"Bagi saya, ia tidak mudah sebab itu Istana Budaya lebih sinonim dengan pementasan bersifat komersial.

"Bahkan, pementasan bersifat komersial bagaikan sudah menjadi 'permainan' harian di Istana Budaya," katanya kepada media ketika pelancaran pementasan Panggung Seni Ekstravaganza Muzikal Randai Cindua Mato, hari ini.

Namun, katanya, Istana Budaya tetap memberi peluang dan ruang kepada naskhah tradisional sementelahan lagi pentas berprestij itu baharu sahaja mementaskan persembahan zapin dan ghazal Johor, Gemilang Tanah Permata oleh Yayasan Warisan Johor, pada awal Februari lalu.

"Salah satu fungsi Istana Budaya adalah untuk mengangkat naskhah kurang komersial ini bahkan ia menjadi sebahagian daripada tanggungjawab sosial kami," katanya.

Kini, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) sekali lagi ke Istana Budaya membawa pementasan teater muzikal, Randai Cindua Mato pada 25 hingga 27 Mac depan di Panggung Sari, Istana Budaya.

Ia merupakan kolaborasi kedua selepas kejayaan pementasan teater tradisional, Mek Mulung pada tahun lalu.

"Apabila JKKN membawa naskhah tradisional yang hebat seperti ini, ia sedikit sebanyak membantu mengurangkan kecaman terhadap kami (gelak).

"Bahkan, kami menyokong penuh usaha JKKN ini terutamanya dalam mengisi slot teater tradisional di Istana Budaya.

"Malah, kerjasama ini dapat membantu memartabatkan dan mempopularkan pementasan tradisional dalam skala yang besar," katanya.

Dalam pada itu, Ketua Pengarah JKKN, Datuk Norliza Rofli memberitahu, Randai Cindua Mato ialah kesenian tradisional dan terkenal dalam kalangan masyarakat Minangkabau yang berasal dari Sumatera Barat seterusnya berkembang ke seluruh pelosok alam Melayu di Nusantara.

"Pementasan ini merupakan sebahagian daripada usaha untuk memastikan kelangsungan kesenian Randai dalam masyarakat moden," katanya.

Pementasan ini dijayakan oleh barisan artis popular seperti Remy Ishak, Puteri Aishah Sulaiman, Azhan Rani, Datuk Ahmad Tarmimi Saregar, Datuk Jalaluddin Hassan, Juhara Ayob dan Ashraf Muslim.

Tiket bagi menyaksikan pementasan teater muzikal, Randai Cindua Mato ini dijual pada harga RM25, RM55 dan RM85.

Tiket juga boleh didapati dengan melayari www.airasiaredtix.com atau dengan membelinya di kaunter tiket Istana Budaya.

sinar harian





Kaki Bengkak, Remy Ishak Beri Persembahan Terbaik Dalam 'Cindua Mato'
Oleh: KEMALIA OTHMAN
Sabtu, 26 Mac 2016


Remy memeggang watak Cindua Mato.

KUALA LUMPUR: Pelakon Remy Ishak berjaya memberi aksi bertenaga ketika pementasan teater tradisional berjudul Muzikal Randai Cindua Mato pada Khamis di Panggung Sari, Istana Budaya di sini biarpun berhadapan dengan masalah kaki bengkak akibat terseliuh.

Remy atau nama sebenarnya Mohammad Zalimie Ishak, 34, berkata, dia mengalami kecederaan tersebut sebelum latihan teater berkenaan iaitu ketika menjalani penggambaran sebuah drama aksi terdahulu.

"Kaki saya sakit kerana bengkak terseliuh ketika penggambaran drama yang memerlukan saya bertarung, ketika sesi latihan tiga minggu lalu saya agak risau dan beritahu kepada pengarah tentang perkara itu.

"Alhamdulillah malam ini (Khamis) saya dapat beri lakonan yang baik dan kaki saya tidak memberi masalah ketika melakukan aksi pertarungan," ujarnya kepada mStar Online.

Persembahan Remy tidak mengecewakan.

Remy berkata demikian ketika ditemui selepas pra-tonton media teater Muzikal Randai Cindua Mato, di Panggung Sari, Istana Budaya malam Khamis.

Teater yang turut menampilkan pelakon berbakat seperti Vanidah Imran, Ebby Yus, Azhan Rani dan Datuk Jalaludin Hassan itu mula dipentaskan bermula Jumaat sehingga Ahad ini.

Tambah Remy, dia memikul tanggungjawab yang agak berat dalam menjayakan watak utama sebagai pahlawan Cindua Mato.

Watak yang diambil daripada naskah lama masyarakat Minangkabau ini memerlukannya membuat kajian karakter terlebih dahulu bagi menjiwainya.

"Watak ini berat dan sangat mencabar kerana ia adalah naskhah yang diangkat menjadi sejarah masyarakat Pagar Ruyung.

"Cindua Mato merupakan seorang pahlawan yang dianggap mulia di mata masyarakat berkenaan, saya banyak buat kajian bagi mengetahui lebih dalam tentang karakter ini.

"Watak Cindua Mato boleh diibaratkan seperti Hang Tuah bagi masyarakat kita," ujarnya.

Salah satu babak menarik dalam teater berkenaan.

Sementara itu, pengarahnya Lokman Ghani, turut mengakui pengalaman Remy sebagai pelakon membuatkan dia berjaya menjiwai watak Cindua Mato dengan baik seperti digambarkan.

"Alhamdulillah, persembahan malam ini berjalan dengan lancar dan ada beberapa ruang-ruang kosong yang perlu saya penuhi untuk persembahan esok.

"Secara keseluruhan malam ini saya berpuas hati dengan lakonan Remy dan dia buat seperti yang saya mahukan dalam sesi latihan tiga minggu.

"Sepanjang pementasan ini banyak aksi pertarungan yang terpaksa dilakonkan sehingga kaki dia bengkak," ujarnya.

Tambah Lokman, naskhah yang diambil daripada sejarah masyarakat Minangkabau itu mempunyai cabaran tersendiri terutamanya dalam penggunaan bahasa.

Selain itu Lokman berkata, dia menyesuaikan dan menambah nilai kormersial kepada teater tradisional itu agar tidak bosan untuk ditonton dalam durasi kira-kira dua jam.

Vanidah Imran membawa watak Bundo Kanduang.

Muzikal Randai Cindua Mato mengisahkan tentang perjuangan pahlawan Cindua Mato dalam mempertahankan negeri Pagar Ruyong dan meletakkan adat masyarakat itu ditempat tertinggi.

Pementasan turut diselang selikan dengan tarian yang diiringi gabungan pemuzik Istana Budaya dan kumpulan kesenian Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN).

Teater ini turut mendapat sentuhan komposer Datuk Suhaimi Mohd Zain atau Pak Ngah sebagai pengarah muzik.

Tiket bagi menyaksikan persembahannya boleh didapati dengan harga RM25, RM55 dan RM85 atau dengan membuat pembelian menerusi www.airasiaredtix.com atau di kaunter box-offce Istana Budaya.

mstar

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

© 2011 mimbar kata, AllRightsReserved.

Designed by ScreenWritersArena