6 Mar 2016

peneroka gua


Gua Conviction khazanah baharu Malaysia


PERTAMA kali menjejakkan kaki ke dalam perut gua, tiada kata-kata yang dapat menggambarkan perasaan kru Jurnal selain rasa terpegun melihat penemuan menakjubkan yang sungguh indah untuk diterokai.

Segala penat lelah dirasakan hilang serta-merta, seluruh peserta Ekspedisi Penjelajahan Gua merasa puas apabila mereka akhirnya berjaya menemui sebuah gua baharu yang dinamakan Gua Conviction selepas kumpulan ekspedisi tersebut melakukan penerokaan di Taman Negara Mulu, Sarawak sejak tahun 1977.

Malah, apa yang lebih menakjubkan, peserta ekspedisi itu menemui gua tersebut yang dianggarkan berusia lebih enam juta tahun yang dianggap sebagai suatu penemuan besar buat negara.

Begitulah reaksi Ketua Ekspedisi Penjelajahan Gua, Andy Eavis, 68, selepas pasukan yang diterajuinya menemui sebuah gua bertaraf dunia di sekitar kawasan Taman Negara Mulu pada 15 Oktober tahun lalu.

Khazanah alam

Eavis atau juga dikenali sebagai ‘peneroka lembah tersembunyi’ berkata, hadiah paling berharga buat peserta kumpulan ekspedisi itu termasuk dirinya ialah apabila mereka menjadi manusia pertama yang menjejakkan kaki di pintu Gua Conviction.

“Tidak semua orang bertuah seperti kami kerana dapat menerokai khazanah semula jadi yang tidak pernah terusik sejak sekian lama.

“Inilah hadiah paling berharga dalam hidup kami sekali gus membolehkan kami meneroka keindahan dan keunikan yang terdapat dalam gua tersebut,” katanya bersungguh-sungguh sehingga mempamerkan riak wajah ke­puasan.

Bagaimanapun Eavis berkata, pene­muan gua baharu yang terletak di bahagian utara Gunung Api, Taman Negara Mulu belum terungkai sepenuhnya, malah lebih banyak penerokaan lanjut perlu dijalankan pada masa depan.

Katanya, dalam ekspedisi sebelum itu, pasukan penyelidik antarabangsa dan tempatan telah menemui pelbagai bukti yang boleh dikaitkan dengan kewujudan gua lain berhampiran Gua Conviction.

“Tiada had masa yang diperlukan bagi meneroka Gua Conviction dan proses penerokaan akan diteruskan dalam siri ekspedisi seterusnya,” katanya yang yakin terdapat lebih 30 laluan baharu di dalam gua tersebut yang perlu diterokai.


Eavis mengetuai penerokaan Gua Conviction di Taman Negara Mulu, Miri, Sarawak baru-baru ini.

Dakwanya lagi, ketika Gua Conviction ditemui, mereka turut menemui sebuah laluan yang menghubungkan antara dua gua yang dinamakan sebagai jurang generasi.

Bercerita lanjut mengenai detik pene­muan gua tersebut, Eavis yang merupakan seorang warga Britain memberi­tahu, proses pe–nerokaan dilakukan dengan penuh kesungguhan meskipun pasukannya terpaksa mengharungi pelbagai rintangan dan cabaran.

Semasa aktiviti penerokaan itu dijalankan, seorang ahli penjelajah dari Perancis, Colin Boothroyd patah tulang selangka dan beberapa tulang rusuk selepas terjatuh dari cerun curam semasa dalam ekspedisi itu.

Sembilan hari

“Boothroyd terjatuh ketika sedang memeriksa pintu gua baharu yang ditemui sebelum dia tiba-tiba tergelincir lalu terjatuh,” ujar Eavis yang bertindak segera memberikan bantuan kecemasan kepada Boothroyd bagi mengelak kejadian menjadi lebih buruk.

Cabaran paling sukar terpaksa ditempuhi oleh pasukan ekspedisi dalam usaha untuk membawa Boothroyd balik ke pejabat Taman Negara Mulu apabila perjalanan yang biasanya mengambil masa selama sembilan jam dengan berjalan kaki menjadi empat hari sebelum Boothroyd dibawa ke Hospital Miri.

Mengulas mengenai nama gua itu, Eavis memberitahu, ia dinamakan sebagai Gua Conviction kerana kumpulan ekspedisi begitu yakin gua tersebut belum pernah ditero­kai.

“Gua ini mempunyai laluan menakjubkan sejauh 3.2 kilometer de­ngan kedalaman melebihi 100 meter dan merupakan antara 20 kebuk gua terbesar di dunia, jelas Eavis yang merupakan seorang pengkaji gua dari England.

Bukan itu sahaja, kumpulan ekspedisi itu turut menemui petunjuk baharu yang diperoleh di dalam ruang gua Sarawak Chamber di Gua Good Will yang diiktiraf sebagai lohong terbesar di dunia kerana keupayaannya yang mampu memuatkan kira-kira 40 buah pesawat Boeing 747 pada satu-satu masa.

Sementara itu, Pakar Ekologi Sarawak Forestry Corporation (SFC), Rambli Ahmad berkata, pe­nemuan bersejarah dan istimewa itu bakal membongkar lebih ba–nyak gua baharu di sekitar Taman Negara Mulu, Sarawak.

Katanya, penggunaan pelbagai aplikasi terkini termasuk teknologi pengimbas laser digital banyak membantu kepada penemuan Gua Conviction.

“Keupayaan teknologi yang menghasilkan paparan imej resolusi tinggi itu dapat membantu kami dalam proses pengukuran secara tepat.


KUMPULAN ekspedisi melihat kedalaman curam sedalam lebih 100 meter yang terdapat di dalam perut Gua Conviction.

“Teknologi ini bukan sahaja dapat digunakan dalam persekitaran gua yang gelap, malah dapat menentukan data tepat usia gua bagi tujuan kajian dan rekod,” katanya sewaktu ditemui kru Jurnal.

Rambli memberitahu, sebelum ini pasukan ekspedisi melakukan penerokaan gua menggunakan kaedah konvensional iaitu dengan menggunakan pita ukur dan ukuran cahaya yang mengambil masa berjam-jam.

“Menerusi ekspedisi yang sama, kami memperoleh imbasan terkini yang memaparkan dimensi baharu gua berkenaan,” kata Rambli.

Geologikal

Dalam perkembangan lain, Rambli berkata, mereka turut melakukan imbasan pada Gua Sarawak Chamber serta kebuk Gua Api de­ngan menggunakan peralatan pe­metaan laser berkualiti tinggi dan menghasilkan model tiga dimensi (3D) gua itu.

Jelas beliau, menerusi penggunaan teknologi itu, mereka mendapati Gua Sarawak Chamber mempunyai keluasan 160,000 meter persegi.

Jadi ia merupakan gua terbesar di dunia berbanding keluasan Gua Miaos Room di China seluas 141,000 meter persegi.

Katanya, Sarawak sangat bertuah kerana memiliki banyak gua yang boleh dijadikan sumber kajian atau dibangunkan sebagai salah satu destinasi geopelancongan terkemuka dunia.

“Bagi kami, gua ini penting dari segi saintifik kerana ia dikatakan mempunyai warisan geologi iaitu batu dan fosil, sejarah dan budaya yang dapat menarik pelancong ke situ,” katanya yang turut berpendapat Gua Conviction wajar diberi pengiktirafan sebagai Tapak Wari­san Dunia oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

kosmo

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

© 2011 mimbar kata, AllRightsReserved.

Designed by ScreenWritersArena