merawat pokok

Periksa, rawat pokok untuk terus hidup

Oleh RIZAM ZAKARIYA
Foto SURIYA BONMA


AHMAD AINUDDIN (kanan) dan Nik Ikmal melakukan kerja-kerja pengumpulan data tahap aliran air pada batang pokok menggunakan peralatan thermal dissipation probe.

KETIKA memulakan kerjaya sebagai seorang jururunding landskap pada tahun 2000, Fariza Firdaus Mohd. Salleh, 38, hanya melakukan tugas-tugas yang diamanahkan kepadanya.

Graduan Sarjana Seni Bina Landskap, Universiti Putra Malaysia (UPM) itu banyak terlibat dalam projek pembinaan dan mengindahkan landskap.

Begitupun, dia tidak pernah mempunyai perasaan sentimental terhadap pokok walaupun sebahagian besar tugasnya berkaitan dengan tumbuhan itu.

“Sepanjang 10 tahun pertama bergelar jururunding landskap, saya kerap mendengar istilah arborist atau doktor pokok tetapi saya tidak tahu apa maksudnya. Bagi saya, pokok adalah pokok dan jika rosak, tebang sahaja pokok berkenaan serta tidak perlu dirawat seperti manusia.

“Gelaran doktor pokok itu sendiri sebenarnya kedengaran agak lucu. Saya tidak pernah terfikir untuk menjadi doktor pokok kerana kerjaya saya hanyalah sebagai perancang landskap, bukan memeriksa tahap kesihatan pokok,” katanya.

Fariza Firdaus menjelaskan, lama-kelamaan, dia mula menyedari bahawa tugas sebagai jururunding landskap tidak hanya terhad kepada merancang pembinaan landskap tetapi turut memerlukan kemahiran tambahan terutamanya pengetahuan berkaitan pokok.

“Sejak itu, saya terfikir untuk menjadi arborist bagi meningkatkan pengetahuan terhadap pokok. Pada 2012, saya ambil keputusan untuk menghadiri bengkel dan menduduki ujian yang dikendalikan oleh Persatuan Arborist Malaysia (PArM).

“Akhirnya, saya berjaya menjadi seorang arborist yang bertauliah dan ia sangat membantu dalam melebarkan kerjaya saya,” katanya.

Pengiktirafan itu diperakui oleh Persatuan Arborikultur Antarabangsa (ISA) yang berpangkalan di Amerika Syarikat.

Arborist sebenarnya berasal daripada perkataan Latin iaitu Arbor yang bermaksud pokok.

Di negara ini, arborist mula dikenali selepas Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) dengan kerjasama UPM mengendalikan satu bengkel berkaitan kerjaya itu selain turut menawarkan ujian yang dipantau oleh ISA pada 2005.

Kumpulan pertama


PICUS tomograph berteknologi sonar ini digunakan untuk mengesan ketumpatan batang pokok.

Kumpulan pertama arborist bertauliah di negara ini kemudiannya menubuhkan PArM. Ia bagi mengumpulkan kesemua arborist dalam satu komuniti untuk bertukar pendapat dan meningkatkan kemahiran masing-masing.

PArM yang berdaftar sebagai sebuah persatuan di bawah ISA telah mengambil inisiatif untuk meneruskan program yang dilakukan oleh FRIM dan UPM dengan mengendalikan kursus persediaan serta ujian bagi melahirkan lebih ramai arborist di negara ini.

Mengulas lanjut mengenai kerjaya arborist, Presiden PArM, Prof. Dr. Ahmad Ainuddin Nuruddin memberitahu, khidmat arborist sangat diperlukan di negara ini dalam beberapa tugas iaitu bagi tujuan penanaman pokok, pangkasan, penebangan, pemindahan, penilaian risiko pokok, penilaian ekonomi dan perancangan hutan bandar.

Menurut beliau, arborist turut bertanggungjawab untuk memberi cadangan dan pandangan terhadap pihak-pihak tertentu berkaitan pokok. Ia melibatkan semua peringkat bermula daripada pemilihan benih, lokasi untuk ditanam, pemeliharaan dan pemuliharaan termasuk kaedah untuk menebang pokok.

Peralatan khusus


Kejadian pokok tumbang boleh dielakkan sekiranya tahap kesihatan pokok diperiksa lebih awal. – Gambar hiasan

Kebanyakan pelanggan lebih kerap menggunakan khidmat arborist bagi tujuan pemulihan iaitu mengesan tahap kesuburan dan kesihatan pokok.

Bagi melaksanakan tugas itu, terdapat beberapa peralatan khusus yang akan digunakan seperti klinometer, pita pengukur, tukul, pemutar skru, pisau dan picus tomograph.

“Klinometer merupakan satu alat yang menyerupai teropong elektronik yang digunakan untuk mengukur ketinggian sebatang pokok manakala picus tomograph pula digunakan sebagai pengimbas batang pokok bagi mengesan tahap ketumpatannya.

“Tukul pula untuk mengesan kewujudan sebarang lompong pada teras pokok. Pemutar skru atau pisau digunakan untuk mengesan kesan luka pada batang atau kulit,” katanya.

Jelasnya lagi, jika pokok yang diperiksa itu mengalami kerosakan sama ada pada batang teras atau dahan, arborist akan memberi cadangan supaya bahagian yang rosak itu dipotong bagi mengelak ia berisiko kepada orang ramai atau harta benda.

Sekiranya kerosakan yang dialami itu kecil, hanya kerja-kerja pemuliharaan dilakukan bagi membolehkan pokok tersebut kekal hidup dan menjadi sebahagian daripada landskap di kawasan berkenaan.

“Pokok tidak boleh ditebang atau dipotong sesuka hati kerana ia boleh menyebabkannya menjadi stres, sekali gus merencatkan pertumbuhan.

“Sebab itulah khidmat arborist sangat diperlukan dalam memastikan pokok boleh hidup dengan baik walaupun telah mengalami kerosakan,” tambahnya.

Bercakap mengenai pokok hiasan yang terdapat di tepi jalan dan di taman-taman pula, Setiausaha PArM, Nik Ikmal Fathi Husain memberitahu, kebanyakannya merupakan pokok bernilai tinggi terutama pokok yang ditanam pada zaman British.

“Pokok seperti angsana dan hujan-hujan yang masih hidup kini mungkin sudah berusia lebih 100 tahun. Ia bernilai tinggi walaupun pada asalnya ditanam untuk tujuan pokok teduhan.

“Pokok itu masih boleh dilihat di beberapa kawasan terutamanya di Taman Tasik Taiping di Perak, Klebang (Melaka) dan di George Town (Pulau Pinang).

“Disebabkan itu, khidmat arborist sangat diperlukan bagi tujuan pemuliharaan dan pemeliharaan agar pokok tersebut kekal hidup dan tidak mendatangkan risiko kepada orang ramai,” katanya.

Tambahnya lagi, semua pihak berkuasa tempatan (PBT) mempunyai perancangan tersendiri untuk memelihara dan memulihara pokok-pokok di bawah seliaan mereka.

“Kebanyakan PBT memiliki arborist mereka sendiri dan ada juga yang menggunakan khidmat arborist bertauliah dari luar negara bagi melakukan kerja-kerja itu.

“Secara tidak langsung, perkembangan itu telah mengiktiraf kerjaya arborist sebagai sesuatu yang sangat penting dalam bidang landskap,” katanya.

Nik Ikmal menjelaskan, kesedaran yang tinggi dalam kalangan anggota masyarakat terhadap pemuliharaan dan pemeliharaan pokok-pokok turut mendorong pelbagai pihak untuk menggunakan khidmat arborist.

Katanya, antara pihak tersebut ialah pemaju-pemaju perumahan dan komersial yang kini cenderung untuk mewujudkan kawasan hutan bandar.

kosmo

Comments