lukisan kristal

Seni lukisan kristal Rosli Mohalim


SENI kaligrafi Islam atau tulisan khat sangat unik dan mempunyai pelbagai jenis seperti kufi, nasakh, farisi, thuluth serta diwani.

Tambah menarik apabila seni kaligrafi itu mempunyai pengubahsuaian atau elemen kemodenan yang mampu mencuri perhatian orang ramai.

Pemain gitar kumpulan tersohor Sweet Charity, Rosli Mohalim, 61, menggunakan seni kaligrafi itu untuk menghasilkan seni kristal.

Tidak semua kaligrafi sesuai untuk menggunakan seni kristal dan anak kelahiran Singapura itu lebih cenderung memilih khat kufi.

“Khat kufi lebih senang berbanding khat yang lain kerana strukturnya bercorak simetri dan mudah untuk menghiasi kristal-kristal itu,” katanya ketika ditemui Kosmo! di lobi bangunan Utusan Melayu, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Tambahnya, terdapat beberapa cara untuk menghasilkan seni kristal itu. Pada peringkat awal, Rosli akan mencetak terlebih dahulu khat-khat kufi yang dikehendakinya.

Kemudian, Rosli akan menghiasi khat itu dengan batu-batu kristal yang diimport dari Korea Selatan, China dan Taiwan yang terdiri daripada pelbagai warna.

Rosli yang merupakan bekas mahasiswa dalam jurusan seni halus menghiasi khat itu dengan teliti di samping menggunakan gam yang kuat supaya batu-batuan kristal tersebut tidak tercicir.

“Jika mempunyai tempahan untuk menggunakan batu kristal Swarovski, saya boleh melakukannya. Setakat ini, saya hanya menggunakan batu kristal biasa,” ulasnya.

Mendapat idea


Rosli selaku pemain gitar kumpulan Sweet Charity menceburkan diri dalam seni kristal sejak empat tahun lalu.

Rosli menceritakan, dia amat meminati perhiasan pada pakaian sejak dahulu lagi, sekali gus mendapat idea untuk menggunakan kristal dalam karya seninya.

“Saya mula menceburkan diri dalam penghasilan seni kristal kira-kira empat tahun lalu. Ia bermula sekadar hobi sebelum bertukar menjadi minat,” jelasnya.

Rosli turut menjelaskan, pemilihan khat kufi sebagai fokus utama adalah kerana ia dilihat sebagai trend masa kini di samping ingin menerapkan minat orang ramai terhadap kaligrafi Islam.

“Secara tidak langsung, saya dapat menghidupkan kembali warisan Islam menerusi seni kristal ini,” tuturnya.

Mengulas mengenai proses penghasilan seni kristal pula, Rosli memberitahu, ia bergantung kepada saiz dan penggunaan batu.

“Sebelum ini, saya bukan sahaja menjual seni kaligrafi tetapi terdapat juga potret yang berharga RM15,000. Bagi kaligrafi pula, ia dijual dalam lingkungan harga bermula RM2,000 ke atas.

“Bagi lukisan yang kecil, saya mengambil masa selama beberapa jam sehingga beberapa hari. Jika lukisan besar seperti potret, ia mungkin mengambil masa beberapa minggu untuk disiapkan,” katanya.

Rosli juga berhasrat untuk menghasilkan potret-potret pemimpin terdahulu hingga kini dalam bentuk seni kristal dan perkara itu masih dalam perancangan.

kosmo

Comments