kampung pasir parit

Fasih bertutur dialek Kelantan


Kepetahan bercakap dalam dialek Kelantan ketika dihubungi menerusi telefon menyebabkan penulis tidak menyangka dia seorang lelaki Cina.

Owi Boon Teck, 60, atau lebih dikenali sebagai Pok Seik membesar bersama masyarakat Melayu di kampung halamannya.

Walaupun bermata sepet dan berkulit putih, lagaknya tidak ubah seperti orang Melayu. Tutur kata dan cara dia bergaul berbeza daripada orang berketurunan Cina di negeri-negeri lain.

“Ketika bersama kawan-kawan Melayu, tidak ada jurang perbezaan antara kami. Malah, saya berasa mereka seperti keluarga sendiri.

“Kami mempunyai semangat kerjasama yang erat dan sering bergotong-royong terutama semasa kenduri-kendara,” katanya ketika ditemui Kosmo! di Kampung Pasir Parit, Chetok, Pasir Mas, Kelantan baru-baru ini.

Mengimbau kenangan zaman kecilnya, pesara itu sering menghabiskan masa bersama kawan-kawan untuk mandi-manda di sungai, menangkap ikan dan melastik burung yang merupakan rutin harian pada masa lapang.

Dia mengakui mempunyai ramai kawan Melayu berbanding Cina kerana belajar di sekolah kebangsaan dari sekolah rendah hingga menengah.

Menariknya, makanan harian Boon Teck sekeluarga juga sama seperti orang Melayu Kelantan yang menggemari budu, petai, jering, ikan singgang dan pelbagai jenis kerabu.

“Budu wajib ada setiap kali kami makan kerana tidak lengkap rasanya tanpa menu istimewa itu.

“Saya paling gemar makan ikan singgang bersama nasi, budu dan ulam-ulaman kerana ia sangat menyelerakan,” ujar generasi ketujuh kampung tersebut.

Juadah istimewa

Menurut anak pertama daripada empat adik-beradik itu, juadah istimewa mereka pada malam Tahun Baru Cina berbeza dengan Cina di tempat lain yang cukup sinonim dengan yee sang.

“Kami sekeluarga akan menikmati juadah tradisional masyarakat Cina Peranakan Kelantan iaitu kim cham (bunga kim cham goreng), bok nyi (cendawan hitam goreng) dan bak hong (daging masak kicap) bersama nasi.

“Kuih tradisi pada perayaan itu pula adalah tepung bungkus (tao pao) dan kuih bakul yang akan dihidangkan kepada tetamu,” katanya.

Tepung bungkus dihasilkan daripada tepung beras pulut dengan inti kacang hijau. Ia dimasak dengan cara dikukus selama dua jam.

“Proses membungkus makanan ini agak rumit kerana ia mesti kemas dan berbentuk tiga segi,” terangnya yang suka berkebun pada masa lapang.

Tambah Boon Teck, kuih bakul pula dibuat menggunakan tepung beras pulut dan gula sebelum dikukus selama empat jam.


BERSEMBANG bersama rakan-rakan di kedai kopi menjadi rutin harian penduduk Kampung Pasir Parit, Chetok, Pasir Mas, Kelantan.

Bercerita mengenai pakaian ketika Tahun Baru Cina, Boon Teck berkata, mereka memakai pakaian baharu pada hari tersebut. Pada hari-hari biasa, kaum wanita lebih gemar berkain batik atau memakai kebaya.

Sementara itu, Owi Chu Eng, 83, yang masih lagi mengekalkan rumah tradisional masyarakat Cina Peranakan Kelantan berkata, seni bina itu sudah semakin pupus.

“Hanya ada beberapa tempat yang masih mengekalkan seni bina ini di Kelantan. Ia sangat unik kerana menggabungkan elemen Siam dengan atap rumah dibeli khas dari Songkhla, Thailand.

“Rumah yang sudah berusia 65 tahun ini masih lagi kukuh dan menjadi tempat berteduh kami sekeluarga.

“Rumah ini dibina tanpa menggunakan paku dan disambungkan dengan pasak kayu manakala pintu hadapan mempunyai tulisan Cina iaitu ‘lian’ yang bermaksud keamanan serta kebahagiaan,” jelas bapa kepada Boon Teck itu.

Terangnya, pintu rumah sengaja dibuat mengeluarkan bunyi ketika dibuka dan ditutup sebagai langkah keselamatan bagi mengawasi orang asing yang memasuki kediaman itu.

Perkahwinan campur

Jelasnya lagi, rumah juga dibina tinggi bagi memudahkan penghuni menyimpan barang di bawah rumah seperti peralatan pertanian kerana kebanyakan penduduk di kampung itu merupakan petani.

Menurut Chu Eng, kebanyakan orang Cina di Kelantan merupakan hasil perkahwinan campur dengan masyarakat Siam.

Oleh sebab itu, hidup mereka dipengaruhi oleh tiga budaya iaitu Siam, Melayu dan Cina.

Sehubungan itu, kebanyakan kaum Cina di Kelantan terutamanya golongan tua boleh berbahasa Siam.

Dalam pada itu, pengaruh budaya Melayu turut meresap ke dalam diri tok dalang tersohor, Eyo Hock Seng, 61, yang merupakan anak jati Kampung Pasir Parit. Hock Seng menceburi bidang tersebut sejak berumur sembilan tahun lagi.

“Pergaulan dengan kawan-kawan Melayu telah menerbitkan rasa cinta terhadap seni tradisional masyarakat Melayu Kelantan iaitu wayang kulit dan dikir barat.

“Bagi saya, ia sangat unik kerana boleh menyampaikan mesej-mesej yang berguna kepada masyarakat, bukan sebagai penghibur semata-mata,” kata ahli kumpulan wayang kulit dan dikir barat Sri Campuran itu.


Dua kanak-kanak ini membuat hiasan rumah bagi menyambut Tahun Baru Cina.

Dia yang lebih mesra dipanggil Pak Cu Tok Dalang cukup dikenali dalam arena seni dikir barat dan wayang kulit.

Selain itu, dia sering menerima jemputan untuk membuat persembahan di dalam dan luar negara.

Hock Seng turut mempunyai pelbagai koleksi wayang kulit dan dikir barat di rumahnya yang boleh dianggap sebagai muzium mini.

Malah, terdapat juga barangan tradisional masyarakat Cina Peranakan Kelantan seperti keranda lama yang sudah tidak digunakan sekarang.

“Keranda itu sangat unik kerana ia berbentuk kelopak bunga dan diperbuat daripada kayu cengal, tembusu dan durian.

“Ia boleh tahan sehingga ratusan tahun dan sangat berat sehingga memerlukan lapan hingga sepuluh orang untuk mengangkatnya,” kata anak bongsu daripada tujuh adik-beradik itu.

Berhijrah

Pada perkembangan yang sama, Penghulu Kampung Pasir Parit, Koh Cheng Law, 42, berkata, kebanyakan penduduk di kampung itu bekerja sebagai petani, penoreh getah, membuka bengkel kereta dan motosikal serta berniaga secara kecil-kecilan.

“Kampung ini berkeluasan 250 hektar dan mempunyai kira-kira 1,500 orang penduduk. Ia dikelilingi beberapa perkampungan Melayu seperti Kampung Jintan, Padang Hangus dan Galuk.

“Pada suatu ketika dahulu, penduduk di sini rata-ratanya mengerjakan sawah padi dan kini tanah tersebut kebanyakannya dijadikan kebun getah serta dusun buah-buahan,” katanya.

Menurutnya, ramai golongan muda berhijrah ke bandar bagi mencari pekerjaan sekali gus menyebabkan hanya orang-orang tua dan anak-anak yang masih menuntut di alam persekolahan tinggal di kampung itu.

Ceritanya lagi, pada bulan Jun setiap tahun, kampung itu akan mengadakan bekwoh gedung iaitu kenduri di tokong bagi memperingati hari lahir dewa.

“Kenduri itu akan berlangsung selama tiga hari tiga malam yang menghimpunkan seluruh masyarakat Cina di kampung ini.

“Antara aktiviti yang dilakukan ialah sembahyang, persembahan nyanyian dan jamuan makan untuk orang kampung,” ujarnya.

kosmo



Hock Seng pertahan warisan
Oleh ASMA HANIM MAHMOOD
12 Ogos 2009


TOK dalang bukan Melayu, Eyo Hock Seng menunjukkan kemahirannya bermain wayang kulit di Kampung Pasir Parit, baru-baru ini. - utusan/Rosni Masri

PASIR MAS 11 Ogos - Rombongan media dari Kuala Lumpur bersama pegawai dari Jabatan Warisan Negara (JWN) sampai di halaman rumah dalang Eyo Hock Seng di Kampung Pasir Parit dekat sini hampir pukul 10 malam.

Selepas bersalaman, Hock Seng, 54, satu-satunya tok dalang bukan Melayu di Kelantan memulakan persembahan dan gerimis tidak menjejaskan tumpuan rombongan yang ternyata cukup teruja dengan apa yang mereka saksikan.

Diiringi kumpulan muziknya, tangannya ligat mengatur gerak patung dan mulutnya becok memainkan watak dengan loghat Kelantan pekat, langsung tidak banyak membezakannya yang juga dikenali sebagai Pak Cu dengan cara persembahan dalang pada waktu silam.

''Aku tak takut pada sapo-sapo (siapa-siapa), sebab aku isyarat penuh dalam dada, bakar tak hangus, tikam tak masuk," lafaz Hock Seng membawakan satu watak dalam persembahan.

Persembahannya itu merupakan salah satu atur cara dalam program lawatan JWN bersama media ke Kelantan dan Terengganu baru-baru ini.

Ia adalah siri lawatan kali keempat untuk pihak media tahun ini selepas Melaka, Perak dan lawatan ke masjid-masjid di Kuala Lumpur.

Bagi sebilangan wartawan yang hadir, inilah pertama kali mereka menyaksikan persembahan secara dekat dan meninjau perjalanan teater tradisi itu dari belakang pentas sekali gus menyemaikan apresiasi mereka terhadap seni warisan itu.

Walaupun sukar memahami loghat Kelantan pekat daripada Hock Seng, tidak menghalang mereka menghayati cerita yang disampaikan melalui bayang-bayang di kelir.

Gaya suaranya serta alunan muzik daripada serunai, canang, gedombak dan gendang yang dibawa enam pemuzik berjaya mengikat tumpuan umum ke kelir.

Hock Seng ketika ditemui berkata, dia membesar dalam lingkungan masyarakat Melayu dan seni warisan itu begitu memikat dirinya sehingga dia mula belajar bermain pada usia 12 tahun.

"Orang tua menyedari minat saya. Mereka kata daripada mengikut orang sahaja, lebih baik ada alat muzik dan patung sendiri supaya dapat belajar dengan lebih baik," katanya.

Dia berasa bertuah kerana dapat berguru dengan tok dalang wayang kulit tersohor, Allahyarham Abdullah Ibrahim atau Dollah Baju Merah pada usianya 23 tahun.

"Pada tahun 1978, saya belajar dan mengikut kumpulan Dollah Baju Merah selama enam bulan. Arwah kata, saya ada bakat dan dia mengajar saya cara bermain di merata-rata tempat," jelas Hock Seng yang berjaya 'bersemah' atau menamatkan pengajian secara rasmi dengan mahagurunya itu.

Menurutnya, seorang dalang perlu belajar sekurang-kurangnya 12 nada suara bagi membolehkan penonton dapat membezakan watak-watak yang dimainkan.

Sejak 1983, dalang ini mengetuai kumpulan 'Sri Campuran' yang dianggotai pelbagai kaum daripada Melayu, Cina dan Siam dengan memenuhi undangan dari seluruh negara termasuk mengadakan persembahan di Istana Budaya.

Kata Hock Seng, cerita yang disampaikan dalam persembahan wayang kulitnya adalah kisah yang diadaptasikan daripada cerita asal Hikayat Seri Rama yang merupakan cerita dari epik Ramayana tradisi India.

"Kalau nak buat cerita asal seratus peratus tidak boleh. Tidak sesuai dengan zaman sekarang. Kita kena ubah. Kalau buat juga orang tak faham dan tak seronok tenguk," ujarnya yang juga berkebolehan sebagai tukang karut dikir barat.

Hock Seng yang juga pandai bermain puteri dan menora ini pernah menghasilkan patung-patung wayang kulitnya sendiri.

Tanpa memberitahu jumlah sebenar, katanya upah membuat persembahan yang biasanya memakan masa dua jam bergantung kepada jarak lokasi persembahan.

"Tak kiralah untuk acara apa. Ada juga kerajaan negeri panggil dan ada juga untuk persembahan di kenduri kahwin," jelasnya.

Dia bersyukur kerana larangan terhadap persembahan wayang kulit di Kelantan dilonggarkan pada 2003 apabila dibenarkan di tempat-tempat tertutup.

Menurut bapa kepada tujuh orang anak itu, statusnya sebagai bukan Islam juga sedikit sebanyak 'melepaskan' dia daripada peraturan itu.

''Anak saya ada ikut juga tapi tidaklah sampai mahu jadi tok dalang. Tetapi saya ada tiga orang murid sendiri yang sedang belajar dengan saya sekarang," ujarnya

kosmo


Tok Dalang Cina mahu generasi muda warisi budaya wayang kulit
25 Julai 2014


KUALA LUMPUR — “Ambo mahu anok cucuku pandai main waye kulit sapa bilo-bilo,” (Saya mahu anak cucuku mewarisi kemahiran wayang kulit saya sampai bila-bila)

Itulah harapan yang dilafazkan oleh satu-satunya Tok Dalang berketurunan Cina, Eyo Hock Seng, 59, menerusi sebuah watak dalam persembahan wayang kulitnya di Petaling Street Art House, baru-baru ini.

Berasal dari Kampung Pasir Parit, Pasir Mas, Kelantan, Eyo yang berpengalaman 30 tahun dalam seni tradisional itu kini sedang aktif mengadakan persembahan wayang kulit menerusi Kumpulan Sri Campuran yang terdiri daripada tujuh anggota.

Dengan tangannya yang lincah mengendalikan pelbagai jenis patung wayang kulit di sebalik layar putih sebagai latar belakang, Eyo menyampaikan ceritanya dengan menggunakan kombinasi pelbagai jenis suara secara spontan dalam bahasa loghat Kelantan.

Menurut Eyo, tidak banyak golongan muda yang mahu mempelajari seni wayang kulit dan kemahiran sebagai tok dalang kerana ia memerlukan kebolehan melakukan sekurang-kurangnya 10 jenis suara berlainan.

“Di kampung halaman, saya cuba untuk menarik minat golongan muda tidak kira kaum dan agama untuk mempelajari dan mewarisi seni wayang kulit namun sambutannya sangat hambar.

“Mereka lebih tertarik kepada mempelajari persembahan-persembahan moden iaitu tarian dan lakonan drama yang tidak memerlukan kemahiran yang kompleks seperti wayang kulit,” katanya kepada Bernama.

Katanya, antara keunikan bagi mempelajari seni budaya wayang kulit iaitu seseorang perlu menguasai sekurang-kurangnya lima jenis suara yang boleh menggambarkan emosi yang berlainan untuk mempelajari seni wayang kulit, selain kebolehan bertutur dalam loghat Kelantan.
“Mereka juga perlu mempelajari bagaimana mengendalikan pelbagai patung dan pengolahan suara ketika persembahan dalam masa yang sama,” katanya.

Menurut bapa kepada tujuh orang anak ini, beliau kini sedang mengasah bakat anak lelaki bongsunya, Eyo Sook Thi, 14, yang menunjukkan minat terhadap wayang kulit.

“Malah setakat ini saya juga mempunyai dua anak murid lelaki yang belajar dengan saya iaitu kedua-duanya berusia 10 tahun.

“Mereka perlu dididik sejak kecil bagi memudahkan penghayatan watak dan mengukuhkan latihan suara supaya persembahan wayang kulit akan menjadi lebih menarik,” katanya.

Menurutnya, kebanyakan jalan cerita yang dipersembahkannya tidak mempunyai skrip malah idea itu datang secara spontan.

“Memang sebelum persembahan sudah ada jalan cerita yang ingin saya sampaikan kepada penonton namun kebanyakan daripada dialog watak-watak dalam wayang kulit adalah dipersembahkan secara spontan,” katanya.

Katanya kebanyakan persembahan yang dilakukan adalah berkisarkan unsur sejarah, namun ia juga dimodenkan sedikit bagi memudahkan difahami terutama penonton di luar Kelantan.

“Kadang-kala kami dijemput untuk mengadakan persembahan di luar Kelantan dan memerlukan pengubahsuaian dari segi dialog dan watak bagi membolehkan masyarakat umum memahaminya,” katanya.

alumniuitm


Tok dalang Cina
Oleh FATIMI NADIAH ZAINUDEEN

Jiwa Eyo Hock Seng sebagai Tok Jogho wayang kulit


HOCK SENG merupakan satu-satunya tok dalang wayang kulit keturunan Cina yang berjaya mencipta nama di negara ini.



PENGASAS dan Pengarah Pusat Kajian dan Dokumentasi Pementasan Tradisional (Pusaka) Malaysia, Eddin Khoo, 40, pernah berguru dengan tok dalang wayang kulit terkemuka, Allahyarham Abdullah Ibrahim atau lebih dikenali sebagai Dollah Baju Merah di Kelantan ketika berumur awal 20-an.

Menurut Khoo, menjadi seorang tok dalang bukan satu kerja mudah.

"Keseniannya sangat mendalam. Kejayaan sesebuah persembahan wayang kulit sangat bergantung kepada individu bernama tok dalang. Kerana itu seorang tok dalang perlu memiliki pengetahuan tentang segala-galanya - daripada alat muzik, lagu latar, watak patung, fakta sejarah sehinggalah kepada ceritanya.

"Ia seperti one man show biarpun diiringi sekumpulan pemain muzik sepanjang persembahan. Pendek kata, untuk menjadi tok dalang yang baik, anda perlu belajar sejak kanak-kanak lagi kerana anda perlu menguasai kesemuanya," ujar Khoo.

Seorang lagi anak didik Dollah Baju Merah yang memperoleh peluang sebagaimana Khoo ialah Eyo Hock Seng.

"Saya masih ingat arwah tok guru (Dollah Baju Merah) berkata kepada saya, ada seorang pelajar Cina dalam kelompok anak didiknya.

"Tapi beliau sedih kerana sudah tidak ada anak Melayu lain yang mempunyai minat dalam seni ini sebagaimana ditunjukkan oleh Hock Seng.

"Saya juga percaya tok dalang perlu lahir dari Kelantan, bukan kerana loghatnya, tetapi kerana semangatnya," tambah Khoo.

Selepas 31 tahun berlalu, Hock Seng, 54, yang berasal dari Kelantan masih setia memperjuangkan seni wayang kampung itu.


Malah, ketika ditemui di rumahnya di Kampung Pasir Parit, Chetok, Pasir Mas, Kelantan baru-baru ini, Hock Seng sedang berehat setelah penat membuat persembahan di Kota Bharu pada malam sebelum itu.

Rambut yang dahulu masih menghitam ketika kali pertama ditemui Kosmo! Ahad semasa membuat persembahan di Istana Budaya, Kuala Lumpur tiga tahun lalu kini sudah memutih.

Namun, yang pasti, semangatnya tidak pernah luntur.

"Mak saya juga minat dengan wayang kulit, sebab itu saya dapat mempelajari seni ini dengan senang hati," ujar Hock Seng, berkongsi tentang salah satu rahsia kejayaannya menjadi pakar dalam bidang yang sebelum itu dituani kaum Melayu sahaja.

Di samping restu ibu, kecemerlangannya itu juga diraih hasil usaha gigih dan semangatnya yang tinggi yang bermula sejak usia 12 tahun. Pada ketika itulah beliau menyedari kerjaya sebagai tok dalanglah yang akan diburunya.

"Ayah saya berkebun di kawasan orang Melayu. Saya pula bersekolah di Sekolah Kebangsaan Bechah Kelubi. Jadi saya bermain, membesar dan hidup dengan bercampur dengan orang Melayu.

"Kalau ada persembahan tradisional seperti wayang kulit, dikir barat dan mindok peteri, saya tak pernah lepaskan peluang pergi menonton," kenangnya.


KUMPULAN Wayang Kulit Sri Campuran terus bernyawa dengan kehadiran Hock Seng.

Sejak itu, wajah Hock Seng akan kelihatan di hampir kesemua persembahan tradisional. Bukan sekadar untuk berhibur, Hock Seng menggunakan peluang itu untuk mempelajari dan memahami selok-belok setiap persembahan itu.

Malah, ketika di sekolah, setiap kali guru pendidikan seni meminta pelajar melukis sesuatu di dalam kelas, Hock Seng akan melukis watak-watak patung wayang kulit tanpa dia sendiri menyedarinya.

Melihatkan minat dan kesungguhan yang ditunjukkannya, keluarga Hock Seng tidak teragak-agak untuk membelanjakan sehingga RM5,000 ringgit sebagai modal untuk membeli alat muzik dan kesemua kelengkapan bagi membolehkan beliau membuat persembahan di rumahnya sendiri. Bayangkan nilai wang itu pada tahun 1969!

"Ketika itu saya cuba menarik minat lebih ramai anak bangsa Cina untuk mendalami seni ini. Tetapi memang sukar untuk mereka terima. Mereka tidak berminat," ceritanya.

Semangatnya tidak dipatahkan oleh keengganan teman-teman yang lain untuk turut serta dalam bidang itu. Sebaliknya, Hock Seng terus berlatih di rumahnya.

"Saya kerah kawan dan jiran untuk jadi penonton," ujarnya dalam tawa.

Selepas berusaha dengan penuh komited selama empat tahun, barulah Hock Seng dipanggil untuk membuat persembahan dalam majlis kenduri dan keraian.

Dari situlah Hock Seng mengenali kumpulan dikir barat Sri Campuran.


HOCK SENG menghasilkan sendiri patung-patung wayang kulit yang dimainkan dalam setiap persembahannya.

Beliau kemudian menyertai lima lagi pencinta seni tradisional daripada kumpulan itu, Daud Md. Sam, 63, Yaacob Dollah, 63, Ismail Jusoh, 54, Mamat Deraman, 63, dan Abdullah Majid, 71. Sekali gus ia mengukuhkan lagi kedudukan Hock Seng dalam jalur seni itu.

Sehingga hari ini, Sri Campuran terus mendapat permintaan untuk membuat persembahan. Sementelah beliau disapa Pak Chu oleh teman-teman di kampung, dikir barat pula memberinya penghormatan dengan gelaran Abe Sapiee Tok Jogho Dikir.

Sri Campuran sudah beberapa kali membuat persembahan di Istana Budaya, Kuala Lumpur yang diketahui umum hanya menjemput kumpulan dan individu seni yang berprestij untuk membuat persembahan di sana.

"Kami juga pernah membuat persembahan di Bangkok dan beberapa negara lain. Baru-baru ini kami menerima jemputan ke Perancis dan Jepun tapi terpaksa ditolak sebab tak cukup masa," kata Hock Seng.

kosmo

Comments