26 Jan 2016

Talibun : Keindahan dan Kemakmuran Negeri


Keindahan dan Kemakmuran Negeri

Medannya indah bukan kepalang
Rantaunya luas bagai dibentang
Tebingnya tinggi bagai diraut
Pasirnya serong bentuk taji
Batunya ada besar kecil
Yang kecil pelontar balam
Jikalau untung kena ke balam
Jikalau tidak kena ke tanah
Menderu selawat ibu ayam
Helang disambar punai tanah
Seumpama kundur dengan labu
Kecil pohon besar buahnya
Negerinya beruntung Bandar rayanya bertuah
Cari di darat boleh di darat
Cari di laut boleh di laut
Ayam itik penuh di reban
Lembu kerbau penuh di tengah padang
Gajah badak penuh di tengah hutan
Sejuk dingin seperti ular cintamani
Di negeri Teluk Bidung Kota Lama.


Catatan Keindahan dan Kemakmuran Negeri
Calon Kesusasteraan Melayu Komunikatif 2016 diberi tugasan untuk menterjemahkan puisi Melayu tradisional Talibun Keindahan dan Kemakmuran Negeri ke dalam bentuk karya multimedia yang menarik.

Puisi tradisional ini mempunyai 20 baris dalam satu rangkap. Kelihatan begitu ringkas ungkapan talibun ini. Calon haruslah memahami dengan  mendalam setiap baris dan patah kata yang disampaikan dalam puisi. Dalam 20 baris keindahan Negeri Teluk Bidung Kota Lama dizahirkan.

Segala yang berada dalam lingkungan Teluk Bidung Kota Lama dibingkiskan dengan penuh keindahan menerusi talibun ini.  Warna-warni negeri dengan keindahan alam, kehidupan masyarakat, ekonomi, sosial, budaya, nilai, pemikiran, dan piskologi manusia diterjemah dalam baris-baris berkenaan. Inilah yang perlu difahami dengan mendalam segala yang tersurat dan tersirat dalam puisi kerana terjemahan dalam multimedia seharusnya dapat menjelaskan segala yang dinukilkan dalam puisi.
 
Medannya indah bukan kepalang
Rantaunya luas bagai dibentang
Tebingnya tinggi bagai diraut
Pasirnya serong bentuk taji

Demikian tersurat dalam baris pembukaan talibun ini. Warna suasana yang menjelaskan tentang keindahan, kemakmuran, dan sudut geografis negeri itu. Ia membina pesona jiwa dan kesejukan alam yang membentangi negeri. Ia amat mengutamakan kelestarian alam yang bermandi warna-warni persekitaran yang terjaga indah dan menawan. Visual yang bertepatan akan memberitahu dengan lebih mendalam dan segar tentang negeri, kota, budaya, manusia dan kehidupan di negeri ini.

Di manakah Teluk Bidung Kota Lama?

Negeri Teluk Bidung Kota Lama disebut dalam sastera rakyat Si Gembang. Si Gembang  mengisahkan negeri Teluk Bidung Kota Lama di bawah pemerintahan Tuk Raja Berdura Besar dan permaisurinya, Puteri Manik Urai. Hasad dengki terhadap Si Gembang yang diramal menjadi masyhur dan sakti, tembuni Si Gembang dibuang, satu ke baruh dan satu ke laut. Tembuni di baruh (Si Gembang) dan di laut (Awang Selamat), ditemui Tun Raja Lang dan Puteri Manik Urai dan dijadikan anak. Setelah besar Si Gembang memelihara seekor ayam istimewa bernama Sitam. Konflik berkembang apabila Kuncam berlawan ayam dengan Megat Jenal dari Terengganu. Dalam persabungan, Kuncam tewas dan terpaksa menyerahkan Negeri Teluk Bidung Kota Lama kepada Megat Jenal sebagai hadiah pertaruhan. Seperah Muda cuba mendapatkan kembali negeri ayahandanya dengan mencari seekor ayam untuk mengalahkan ayam Megat Jenal. Seperah Muda menemui Megat Gembang dan Sitam. Ayam Megat Jenal akhirnya dapat ditundukkan Sitam. Semasa menemui keluarga Tuk Raja Berdura Besar, rahsia Kuncam menganiaya Si Gembang dan Awang Selamat, terbongkar. Kuncam dan nujum yang memalsukan ramalan, dihukum. Kisah diakhiri dengan kebahagiaan apabila Si Gembang berkahwin dengan Cik Siti Jarum Bergiling yang sakti dari Negeri Serendah.

Si Gembang merupakan cerita rakyat Kelantan yang dituturkan oleh Pak Nik Abdul Rahman Nik Dir yang merupakan Tok Dalang Wayang Kulit.
"Terdapat sastera rakyat yang kandungannya lebih berat dan jalan ceritanya lebih panjang dan disampaikan oleh tukang-tukang cerita yang lebih professional, tidak jarang dalam penyampaian cerita digunakan alat bunyian seperti cerita Hikayat Anggun Cik Tunggal yang dituturkan oleh Pawang Ana seorang Penglipurlara terkenal, Cerita Si Gembang atau Teluk Bidung Kota Lama yang dituturkan oleh Pak Nik Abdul Rahman bin Nik Dir yang terkenal di Kelantan sebagai Tok Dalang Wayang Kulit, Cerita Awang Lutung dituturkan oleh seorang Tukang Cerita di Kampung Mentuan, Daerah Bachok, Kelantan dan Hikayat Terung Pipit sebuah cerita rakyat penglipur lara dari daerah Kedah-Perlis " (Mohd Taib Osman & Abu Hassan Sham, Warisan Prosa Klasik, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur: 1983: 1 – 85).

Mawar Shafie, Misran Rokimin dan Che Abdullah Che Ya (2011) telah melakukan kajian berjodol "Tradisi Dalam Novel Anwar Ridhwan dan Putu Wijaya". Kajian bandingan ini untuk melihat bagaimana pengaruh kerangka tradisi yang menjadi struktur novel Anwar Ridhwan Hari-Hari Terakhir Seorang Seniman".  Kajian ini menyebut teks lipurlara Si Gembang atau dikenali juga sebagai Teluk Bidung Kota Lama yang berasal dari Kelantan.

Inilah penerokaan penting untuk melihat asal-usul Teluk Bidung Kota Lama yang muncul dalam tradisi lipurlara di Kelantan. Penemuan dalam kajian itu penting untuk menjelaskan secara visual bagaimana gambaran Teluk Bidung Kota Lama. Imej-imej yang menepati atau yang berupaya mevisualkan Teluk Bidung Kota lama menjadi naratif yang lebih menarik dalam multimedia.

Manakala pandangan Harun Mat Piah (1989), Ismail Hamid (1987) mendefinisikan talibun sebagai puisi berangkap tentang perincian sesuatu objek atau peristiwa, dan umumnya terdapat dalam genre lipur lara (cerita kaba) dalam kalangan masyarakat Minangkabau. Pandangan ini juga perlu kajian dan penerokaan yang mendalam untuk meramalkan tentang liku dan warna kehidupan di Teluk Bidung Kota Lama. Warna budaya, latar masyarakat dan alam Minangkabau juga harus diperhatikan sebagai dokumen sokongan untuk merealisasikan talibun ini.

Sama ada ia terjadi dalam tradisi kaba di Minangkabau atau tradisi selampir dan lipurlara di Kelantan, ia merupakan suatu kajian yang menarik untuk memvisualkan  talibun ini ke dalam naratif multimedia yang lebih menarik.

Adunan multimedia hendaklah divariasikan serta perlu diberi perhatian yang mendalam. Segala warna, gerak, imej, muzik dan kesan bunyi seharusnya dapat memantulkan Teluk Bidung Kota Lama ke dalam visual yang menepati alur ceritanya. Barangkali imej-imej keindahan pemandangan atau alam Minangkabau atau alam Melayu Kelantan perlu diberi pertimbangan.

Muzik dan efek bunyi pula harus diberi fokus penting. Jangan hanya memilih muzik atau efek secara membuta tuli kerana rujukan budaya, adat, nilai dan sosial Teluk Bidung Kota Lama harus digali lebih mendalam. Muzik salung di Minangkabau atau selampit di Kelantan mungkin menjadi elemen muzik yang perlu diketengahkan.

Kita sedang berhadapan dengan penceritaan tradisi ke dalam multimedia. Banyak unsur itu harus diutarakan untuk memberi kesan emosi yang bermakna dan indah.


Gambaran Keindahan Negeri
Talibun di atas memaparkan tentang keindahan sesebuah negeri bernama Teluk Bidung Kota Lama. Keindahan tersebut dilihat dari aspek persekitaran dan sempadan yang ada. Keadaan kawasan negeri mempunyai keistimewaan tertentu berbanding dengan tempat lain. Perkataan medan dan boleh diertikan sebagai persempadanan bagi sesebuah negeri yang diperintah. Rantau pula adalah gambaran keluasan kawasa negeri berkenaan.

Tebing pula dilihat sangat indah seolah-olah seperti diraut. Keadaan ini menambah keindahan pemerian sesebuah negeri kerana tercipta sebegitu rupa. Tebing juga boleh bermaksud kawasan yang boleh menjadi pertahanan sesebuah negeri. Keadaan tersebut boleh juga dimaksudkan dengan jaminan keselamatan kawasan tersebut. Disebut juga tentang sifat objek yang besar seperti batu dan objek yang paling kecil seperti pasir.

Batu menggambarkan objek-objek yang berguna untuk dimanfaatkan bagi mendapatkan sumber negeri. Kegunaannya adalah pelbagai perkara seperti boleh digunakan untuk melontar sesuatu objek atau boleh juga menjadi peluru/senjata untuk menumpaskan musuh. Pada masa yang lain batu juga boleh berfungsi untuk kegunaan lain. Imej batu yang digunakan dalam puisi memberi konotasi perlindungan, keselamatan, dan kekuatan rakyat melindungi negeri.
Batunya ada besar kecil
Yang kecil pelontar balam
Jikalau untung kena ke balam
Jikalau tidak kena ke tanah

Balam dalam puisi tersebut boleh ditafsirkan sejenis pokok kayu. Balam berfungsi sebagai bahan yang menjadi sasaran batu. Sekiranya batu gagal mencapai sasarannya, ia masih tetap berguna apabila jatuh ke tanah semula. Mungkin sekurang-kurangnya menjadikan tanah yang ada diliputi oleh batu-batan.

Perkataan ibu ayam memberi maksud ketua negeri yang sering berdoa akan keselamatan penduduk negeri daripada ancaman musuh. Manakala helang menggambarkan ancaman yang mungkin dihadapi oleh penduduk negeri. Punai tanah pula ialah penyelamat penduduk negeri yang mampu menghalang serangan helang yang ganas. Penggunaan ungkapan ibu ayam, helang, dan punai jelas memberikan kewujudan muafakat dan kerjasama semua anggota masyarakat dalam menjaga kemakmuran dan kesentosaan negeri :
Menderu selawat ibu ayam
Helang disambar punai tanah

Hasil negeri makmur diibaratkan seperti pokok kundur dan labu. Walaupun pokok tersebut kecil tetapi menghasilkan buah yang banyak. Ini menggambarkan bahawa sesebuah negeri yang makmur itu ialah negeri yang mempunyai hasil masyul yang banyak.
Seumpama kundur dengan labu
Kecil pohon besar buahnya

Mencari rezeki yang di negeri yang makmur boleh didapati di mana-mana tempat sama ada di darat mahupun di lautan. Malah hasil ternakan begitu banyak termasuk lembu dan kerbau. Sumber rezeki yang berlimpah inilah merupakan gambaran kemakmuran negeri. Masyarakat penghuni negeri mempunyai sumber pendapatan yang banyak dan mereka tidak menghadapi kesulitan mencari rezeki. Ia dijelaskan sebagai :
Negerinya beruntung Bandar rayanya bertuah
Cari di darat boleh di darat
Cari di laut boleh di laut

Kemakmuran negeri juga berkait rapat dengan keindahan dan kebersihan persekitarannya. Selain dari persekitaran yang nyaman dan dingin, ia pula menjadi sumber pendapatan semula jadi dari hasil hutan.
Gajah badak penuh di tengah hutan
Sejuk dingin seperti ular cintamani

Kesimpulannya, kemakmuran dan keindahan negeri menjadi faktor kepada kehiduan yang harmoni dan damai rakyat. Kemakmuran ditandakan dengan hasil bumi yang banyak, sumber rezeki yang mudah, alam sekitar yang indah dan menarik, kerjasama dan kesatuan rakyat mempertahankan keselamatan negeri.



Definisi Talibun
Sejenis puisi lama yang terdiri daripada empat baris, enam baris, atau dua puluh baris yang bersajak di hujungnya. Talibun mempunyai beberapa persamaan dengan teromba dari segi rima dan mempunyai bentuk yang hampir sama dengan prosa lirik atau prosa berirama.

Talibun berbeza dengan prosa lirik dan prosa berirama kerana talibun merupakan sebahagian sahaja daripada cerita yang diambil prosa lirik. Talibun mengungkap persoalan yang pelbagai bergantung kepada konteks cerita induknya. Lazim isi talibun berkisar kepada pelbagai perkara dan objek; seperti senjata, pakaian, kenderaan, negeri, perlakuan manusia, fenomena alam, perasaan, dan tradisi yang terdapat dalam sesebuah cerita lipur lara.

Harun Mat Piah (1989), Ismail Hamid (1987) mendefinisikan talibun sebagai puisi berangkap tentang perincian sesuatu objek atau peristiwa, dan umumnya terdapat dalam genre lipur lara (cerita kaba) dalam kalangan masyarakat Minangkabau.

Mohd. Taib Osman (1979) mula menamakan Talibun sebagai “ikatan puisi bebas”. Puisi ini menurut beliau merupakan puisi yang memakai kata-kata yang menimbulkan gambaran mata kerana kata-kata yang digunakan dapat menimbulkan pemikiran dan pendengaran tentang imej yang lantang dan bermakna. Baris-barisnya memberikan dua macam gambaran, iaitu gambaran bunyi seolah-olah kita mendengarnya, dan gambaran objek-objek dalam situasinya masing-masing. Kedua-dua gambaran ini berlatarbelakangkan alam Melayu.

Terdapat pelbagai tema Talibun yang terungkap dalam cerita-cerita lipur lara Melayu yang didasarkan kepada fungsi puisi tersebut di dalam karya atau cerita tersebut iaitu memerikan kebesaran, kehebatan dan keagungan sesuatu tempat seperti ibu kota dan bandar, memerikan keadaan dan kesibukan atau keajaiban sesuatu peristiwa dan suasana, memerikan kehebatan dan kecantikan sesuatu objek seperti pakaian, manusia, sikap dan kelakuan manusia.

Selain tema, Talibun juga boleh dikenal melalui penggunaan bahasa berulang yang menjadi lumrah dalam pembentukannya. Teknik pengulangan ini bukan sahaja wujud dalam penggunaan gaya bahasa tetapi pengulangan seluruh puisi tersebut. Wilkinson menamakan puisi tersebut sebagai runs, yang merujuk kepada konsep pengulangan ini. Pengulangan ini ditambah pula dengan bentuk-bentuk pemerian yang lain sehingga terdapat pelbagai variasi dalam bentuk seperti pengulangan di bahagian permulaan tetapi di bahagian akhir telah ditambah dengan ungkapan puisi yang lain.

Menurut Ismail Hamid (1987) pengulangan ini terjadi kerana talibun sangat mementingkan bahasa yang berirama yang menjadi kegemaran masyarakat terutamanya dalam kalangan masyarakat Minangkabau. Bahasa yang berirama ini digunakan secara meluas seperti berpidato atau semasa bergurau senda.

Fungsi utama dan khusus talibun ialah untuk memerikan secara terperinci tentang sesuatu gambaran seperti suasana, benda dan sifat manusia dalam bentuk yang ringkas, teliti dan menyeluruh. Umumnya, talibun merupakan gambaran pemikiran masyarakat khalayak yang mementingkan perincian tentang sesuatu, tetapi disusun dan dibentuk dengan keindahan terutamanya dalam penggunaan gaya bahasa. Talibun juga bersifat memerikan keadaan dan kesibukan atau keajaiban sesuatu peristiwa dan suasana, memerikan kehebatan dan kecantikan sesuatu objek seperti pakaian, manusia, sikap dan kelakuan manusia. Talibun boleh dikenal melalui penggunaan bahasa berulang yang menjadi lumrah dalam pembentukannya. Kepentingan Talibun adalah sebagai wahana gambaran pemikiran masyarakat yang mementingkan perincian tentang sesuatu, tetapi disusun dan dibentuk dengan keindahan terutamanya dalam penggunaan gaya bahasa.



Ciri-Ciri Talibun
Struktur talibun berbentuk bebas iaitu dalam serangkap talibun tidak mempunyai jumlah baris, jumlah perkataan dan jumlah suku kata yang seimbang. Talibun juga tidak mempunyai sistem rima tertentu.

Dalam sesuatu untai talibun, mungkin terdapat sisipan daripada genre puisi yang lain seperti pantun, syair dan sebagainya, tetapi ternyata sisipan ini dianggap sebahagian daripada rangkap talibun.

Fungsi dan kedudukan talibun adalah sebagai sisipan di dalam sesebuah cerita lipur lara. Fungsi talibun di dalam sesebuah cerita adalah sebagai pemerian kepada cerita berkenaan dan memperjelaskan perlukisan tersebut

Isi atau tema sesebuah talibun berhubungan dengan pemerian yang dilukiskan di dalam sesebuah konteks. Misalnya untuk memerikan atau melukiskan keindahan sesebuah kota, kecantikan seseorang puteri atau kesaktian sejenis senjata dan unsur-unsur di dalam sesebuah cerita.

Penggunaan bahasa perulangan menjadi lumrah dalam pembentukannya.Teknik perulangan ini bukan sahaja wujud dalam penggunaan gaya bahasa tetapi juga pengulangan seluruh puisi tersebut


Keindahan Talibun
Unsur perulangan dalam puisi ini melahirkan maksud penegasan dan kemerduan bunyi dan irama dalam puisi. Perulangan menghasilkan rentak yang berulang-ulang dan memberi kesan kelunakan pendengaran. Ia sekaligus cuba membayangkan tentang kemakmuran dan keindahan negeri yang lunak dan sedap didengar dari unsur perulangan bahasanya. Kesan rentak dan irama ini amat penting dalam puisi Melayu tradisional supaya unsur estetiknya dapat dinikmati dengan indah dan mempesonakan pendengar.
Antara unsur perulangan yang digunakan ialah :

Anafora contohnya :
Cari di darat boleh di darat
Cari di laut boleh di laut

Epifora
Yang kecil pelontar balam
Jikalau untung kena ke balam

Responsi :
Cari di darat boleh di darat
Cari di laut boleh di laut

Asonasi :
Cari di laut boleh di laut
(perulangan bunyi vokal a)

Aliterasi :
Cari di darat boleh di darat
(perulangan bunyi konsonan d)

Penggunaan bahasa perbandingan juga melahirkan estetik yang menarik. Bahasa perbandingan menjadi bahasa kiasa yang dapat memberi ketepatan gambaran persekitaran dan suasana masyarakat dari aspek alam dan manusianya.
Personifikasi
Contohnya : negerinya beruntung bandar rayanya bertuah

Penggunaan simile memberi kesan estetik dalam puisi ini. Simile menjadi bandingan dan ibarat untuk menggambarkan keindahan, kemakmuran, dan sumber hasil bumi yang banyak : bagai dibentang, seumpama kundur dengan labu, sejuk dingin seperti ular cintamani.
Simile dapat membina citra yang berkesan dalam memberi gambaran sebuah negeri yang makmur dan indah.



Nilai Kemanusiaan Dalam Puisi

Menghargai dan mencintai tanah air
Kecintaan terhadap tanah air diperkatakan dalam puisi ini menerusi penggunaan gambaran alam tanahair yang indah dan menarik. Ia bukan sahaja memberi gambaran keindahan tetapi mengajak pembaca menghargai kemakmuran dan kedamaian yang dikecapi masyarakat. Tanah air yang indah serta makmur menjadi kebangaan dan milik masyarakat yang tidak ada bandingannya:
Medannya indah bukan kepalang
Rantaunya luas bagai dibentang
Tebingnya tinggi bagai diraut
Pasirnya serong bentuk taji

Kepentingan kerjasama dan perpaduan. Kerjasama dan perpaduan digambarkan menerusi penggunaan imej batu iaitu ada yang besar dan kecil. Ia menjelaskan fungsi rakyat dalam sebuah negeri. Masing-masing ada peranan dan berguna untuk kesejahteraan dan kemakmuran negara. Kerjasama dan perpaduan menjadi asas pembentukan kemakmuran dan kedamaian negara. Melalui kerjasama segala rintangan dan halangan boleh diatasi dengan mudah terutama dalam melawan dan menentang mereka yang cuba menganggu kemakmuran negara :
Batunya ada besar kecil
Yang kecil pelontar balam
Jikalau untung kena ke balam
Jikalau tidak kena ke tanah
Menderu selawat ibu ayam
Helang disambar punai tanah

Kebijaksanaan dalam menghadapi cabaran. Kemakmuran dan kedamaian negara tidak terhasil dengan mudah tetapi melalui kerjasama dan kebijaksanaan rakyat hidup bersama. Rakyat perlu membuat pilihan yang bijak untuk memastikan negara dalam makmur dan sejahtera. Kebijaksanaan ini umpama kundur dengan labu, meski kecil pohonnya tetapi besar hasilnya. Sumbangan rakyat dalam kemakmuran negara amat berguna sebagaimana kundur dan labu. Tanpa sumbangan ini negara tidak akan mengecap nikmat sejahtera dan harmoni :
Seumpama kundur dengan labu
Kecil pohon besar buahnya
Negerinya beruntung Bandar rayanya bertuah

Bersyukur dengan nikmat dan kekayaan negeri. Kesyukuran dijelaskan melalui segala kemudahan hasil bumi dimanfaatkan untuk negeri. Semuanya memberi sumbangan kepada pendapatan dan kerukunan hidup masyarakat. Tidak ada rasa kepentingan diri sebaliknya mengutamakan hak bersama. Citra darat, laut, ayam, itik, gajah, badak, lembu dan kerbau adalah citra hasil yang dimanfaatkan dengan penuh kesyukuran untuk hidup dalam damai dan tenteram :
Cari di darat boleh di darat
Cari di laut boleh di laut
Ayam itik penuh di reban
Lembu kerbau penuh di tengah padang
Gajah badak penuh di tengah hutan

1 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

© 2011 mimbar kata, AllRightsReserved.

Designed by ScreenWritersArena