segala ada



segala ada

segalanya ada
biarpun ia menjadi kenangan
 memujuk hari atau mengisi imbau waktu
bahawa aku pernah memberitahu
atau memberi pesan tentang sebuah perjalanan
tak pernah ada jalan mudah
lelah dan sakit menebar iktiar
tak semua akan terjadi
sebagaimana angan dan harap
tapi tak seharusnya kauberhenti
hanya kerana gegar dan olak kecil
perahu harus berani membelah ombak
genggamlah keyakinan  sekuat mungkin
segalanya akan memukul dan menghimpit
tapi inilah jalannya
mendaki dan mengusung payah
kakimu harus kukuh menginjak tanah
jangan sesekali menyerah
atau berhenti hanya untuk menangisi nasib
berjalan lagi ke puncak tinggi
selepas ini kau akan melihat 
matahari

kutinggalkan semua ini
menjadi pesan dan pedoman
kerana aku hanya memiliki kata-kata
untuk kaujadikan bekal perjuangan
segalanya ada
di hati dan di fikirmu
beranilah menyisih samar
biarlah kudengar
kausedang bahagia
meski dari sudut yang teramat jauh
dari pinggir yang amat terasing
 








 


 


Comments