30 Jan 2016

radio dan sasterawan


Radio teman rapat Zurinah
RASDAN AHMAD
27 Disember 2015 


DATUK Dr. Zurinah Hassan merupakan salah seorang karyawan wanita yang banyak menyumbang bakti dalam dunia kesusasteraan Melayu. Dia mempunyai kekuatan, gaya dan identiti yang tersendiri sehingga boleh dikesan melalui karya-karya yang dihasilkannya dalam pelbagai genre.

Zurinah Hassan merupakan pengkarya wanita Melayu yang berjaya mengharumkan nama negara ke peringkat antarabangsa. Antara pencapaian yang pernah diraih beliau adalah kemenangannya dalam meraih anugerah S.E.A Write 2004 oleh Ratu Sirikit, Thailand pada 12 Oktober 2004.

Bercakap mengenai puisi dan hasil karyawan wanita pula, nama Zurinah Hassan memang tidak asing lagi sama ada dalam kalangan peminat, mahupun pengkaji-pengkaji Puisi Melayu Moden.

Sekitar tahun 1970-an, Zurinah Hassan bersama-sama dengan pengkarya wanita lain seperti Zainon Ismail dan Zaihasra memonopoli dunia penulisan puisi. Walaupun menghasilkan karya dalam pelbagai genre seperti puisi, cerpen, novel dan risalah nyata kekuatan beliau jelas terserlah dalam genre puisi.

Peluang bertemu mata bersama Sasterawan Negara ke-13 ini sememangnya memberikan satu pengalaman berguna kepada penulis bagi mengetahui dengan lebih lanjut bagaimana permulaan ibu kepada lima orang anak ini 'terjebak' dalam kancah sastera.

Seperti wanita lain yang bergelar isteri dan ibu, rutin biasa tetap diteruskan dalam mengurus hal rumah tangga. Namun berbeza dengan Zurinah apabila turut mempersiapkan dirinya dalam memperjuangkan bidang sastera kebangsaan.

Gelaran Sasterawan Negara baginya adalah satu gelaran yang cukup tinggi, tidak pernah menjangka akan mendapat gelaran setinggi ini sepanjang penglibatannya dalam dunia seni selama ini.

Pada usia yang masih muda iaitu 12 tahun, ketika rakan sebayanya sibuk dengan perkara lain tetapi Zurinah sudah mula berkarya dengan mencipta puisinya sendiri. Ketika itu karyanya lebih kepada puisi biasa namun di situlah tercetusnya rasa cinta dirinya terhadap sastera.

Zurinah dibesarkan di Kampung Bakar Bata, Alor Setar, Kedah oleh neneknya dengan rumah yang di kelilingi oleh pohon-pohon rimbun. Keadaannya sunyi dan redup. Tidak mempunyai ramai kawan dan jarang keluar bermain-main seperti kanak-kanak lain. Radio merupakan teman karibnya. Ketika itu radio merupakan sebuah medium kepada sesiapa sahaja untuk mengetahui tentang dunia luar termasuk berita dan sebagainya.

“Sebenarnya minat saya terhadap sastera hadir sejak saya berada di sekolah rendah lagi, ketika itu saya dalam darjah enam. Saya sudah mula menulis puisi dan pantun-pantun. Lagu-lagu yang didendangkan melalui radio ketika itu mempunyai lirik yang cukup indah.

“Kebanyakannya menceritakan tentang cinta. Cinta yang cukup umum, cinta manusia bersama manusia dan cinta manusia bersama Pencinta. Setiap lirik mempunyai maknanya yang tersendiri dan menggunakan bahasa yang mendalam pengertiannya dan dari situlah saya cuba untuk mencipta puisi saya sendiri.

“Selepas itu saya hantar puisi serta pantun saya kepada pihak radio, masa itu ada satu slot di stesen radio yang digelar Halaman Kanak-kanak yang memberikan peluang kanak-kanak untuk menulis karya mereka,” jelas isteri kepada Mohamed Said Abdul Manap ini.

Pada peringkat awal penulisannya, Zurinah mencipta puisi yang menggambarkan tentang kemiskinan dan golongan petani yang dilihat menerusi mata dan pengalamannya sebagai orang kampung.

Setiap penulisan puisi awalnya menceritakan bagaimana bangsa Melayu menjadi pengemis di tanah air sendiri sedangkan bangsa lain sudah mengorak langkah dan berjaya.

Ketika belajar di tingkatan satu di sekolah Inggeris melalui Special Malay Class, Zurinah berkenalan dengan puisi Inggeris sebagai satu mata pelajaran wajib. Zurinah gemar menghafal puisi-puisi daripada sasterawan dunia antaranya William Shakespeare, S.T Coleridge, H.W.Longfellow dan lain-lain. Oleh sebab minat yang sangat mendalam Zurinah menterjemahkan sajak-sajak Inggeris ke bahasa Melayu. Ini melatihnya mencipta ungkapan-ungkapan puitis.

Karya pertama Zurinah disiarkan di akhbar Utusan Zaman pada 1967. Kemudian sekitar tahun 1970-an Zurinah mula menulis tentang 'pencarian', mencari diri serta makna kehidupan dan ketuhanan. Ketika itu Zurinah sudah mula berfalsafah dalam setiap penghasilan karyanya.

“Kemudian tahun 1980-an saya sudah mula terganggu dengan isu-isu yang menimpa bangsa kita, tentang kedudukan orang Melayu, sejarah Melayu silam, keagungan silam dan kebimbangan kepada bangsa. Karya-karya seperti ini yang saya masih hasilkan sehingga sekarang,” tambahnya.

Semasa menuntut di Universiti Sains Malaysia (USM), Zurinah menumpukan pengajiannya dalam pengkhususan kesusasteraan. Keilmuan pengetahuannya semakin meningkat, kepekaan terhadap alam sekitar juga bertambah. Zurinah bukan sekadar mendengar sahaja tentang teori ilmu, malah mempelajarinya, menghayatinya, dan memanfaatkannya.

Ketika itulah Zurinah yang telah memperolehi Ijazah Sarjana Muda Sastera pada tahun 1974 dari USM ini memenangi Hadiah Karya Sastera dalam bentuk puisi dan cerpen sebanyak empat kali iaitu pada 1971, 1974, 1975 dan 1976.

Pengajian Zurinah tidak terhenti setakat itu sahaja. Zurinah meneruskan pengajiannya di Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia (UPM) dan berjaya memperoleh Ijazah Sarjana Sastera pada tahun 2001, kemudian menyambung pengajian di peringkat Ijazah Doktor Falsafah di Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya (UM) dan memperolehinya pada tahun 2008.


Dunia pekerjaan merupakan dunia yang sangat mencabar bagi Zurinah. Dia bermula dengan menjadi tenaga pengajar di USM dan Jabatan Pengajian Melayu, UM tetapi cita-citanya untuk menjadi tenaga akademik tidak tercapai.

Selain daripada itu, beliau pernah bertugas sebagai Pegawai Penerangan di Jabatan Penerangan Malaysia pada 1982 hingga 1997. Demi meneruskan cita-citanya dalam bidang penulisan dan menjadi penulis sepenuh masa, Zurinah memilih bersara awal selepas 15 tahun berkhidmat dengan kerajaan.

Sepanjang penglibatan Zurinah dalam dunia sastera pelbagai anugerah yang dikecapi antaranya, Hadiah Kategori Buku melalui tiga karyanya iaitu Pujangga Tidak Bernama-Hadiah Sastera Perdana (1994/1995), Memoir Zurinah Hassan Menjejak Puisi - Hadiah Buku Perpustakaan Negara 2002/2004 (karya ini turut memenangi Hadiah Sastera Perdana 2002/2003).

Selain itu hadiah-hadiah untuk karya-karya puisi, cerpen (eceran) Hadiah Sastera Perdana, hadiah pertama Pertandingan Menulis Cerpen Berunsur Islam Jabatan Perdana Menteri pada 1984 dan memperolehi Hadiah Utama Anugerah Puisi Putera pada tahun yang sama.

Ketika era 1980-an Zurinah banyak menghasilkan puisi dengan ideologi tersendiri.

utusan online



0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

© 2011 mimbar kata, AllRightsReserved.

Designed by ScreenWritersArena