pekan teater

Pekan Teater Kebangsaan atau Pekan Teater dikatakan mempunyai aura tersendiri. Malah apabila ditukarkan kepada Festival Teater Kebangsaan pada 2002 ada yang menganggapnya terasa ada kelopongan. Keriuhan pekan teater yang bermula dari awal 80-an hingga ke 90-an terasa memberi impak dan riak yang tersendiri. Setiap kumpulan teater berentap hebat di peringkat negeri sebelum melangkah ke Pekan Teater Kebangsaan. 

Kumpulan teater kecil di mana saja muncul untuk menguji kreativi, seni dan keperkasaan mereka dalam teater. Ia menjadi begiru meriah. Malah di peringkat kebangsaan ia amat ditunggu-tunggu untuk melihat kumpulan baru yang menjadi juara. Selain latihan dan penyesuaian pentas. grup teater yang terlibat turut didedahkan dengan pelbagai ilmu teater yang cukup bermakna dari aspek lakon, arahan, sinografi dan sebagainya. Mereka yang arif dalam teater dibawa sebagai tenaga pakar yang bercakap tentang teater dan alamnya.


Halimi Mohamed Noh

Kejayaan besar pekan teater adalah keupayaan menonjolkan karya-karya besar hasil dari garapan dan lakonan pemain yang masih amatur. Kumpulan Angkasaran Universiti Sains Malaysia misalnya muncul dengan teater Kena Main karya Khalid Salleh. Kumpulan ini menjadi juara kebangsaan dan Halimi Mohamed Noh muncul sebagai Pengarah Teater Terbaik Kebangsaan. Beliau turut muncul sebagai Pengarah Terbaik Pulau Pinang melalui teater Kebayan pada Pekan Teater Pulau Pinang 1992. Pertama kali skrip besar ini dipentaskan oleh peserta pekan teater. Pada 2015 Khalid Salleh membawanya ke pentas Istana Budaya

Pekan teater terisi warna dan cahaya tersendiri buat aktivis teater negara. Terisi nostalgia yang manis dan warisan seni teater mengalir hening berganti pelaku dan pemain...


Pemenang Pekan Teater Kebangsaan

TAHUN 1991
Kumpulan : Kelab Seni Universiti Sains Malaysia
Negeri : Pulau Pinang
Skrip : Tanah Bernanah
Karya : Albert S. Florentino

TAHUN 1992
Kumpulan : TEATER SURIA JOHOR BAHRU
Negeri : Johor
Skrip : Ayang-ayang Purwo
Karya : Shukor Mohd Nor

TAHUN 1993
Kumpulan : GRUP TEATER KOLEKTIF, Kota Kinabalu
Negeri : Sabah
Skrip : Tukang
Karya : Hatta Azad Khan

TAHUN 1994
Kumpulan : ANGKASARAN, USM
Negeri : Pulau Pinang
Skrip : Kena Main
Karya : Khalid Salleh


TAHUN 1995
Kumpulan : KELOMPOK SANGGAR TEATER
Negeri : Negeri Terengganu
Skrip : Mayat
Karya :Hatta Azad Khan

TAHUN 1996
Kumpulan : Gabungan Anak Seni Teater, UiTM Cawangan Perak
Negeri : Perak
Skrip : Kerusi
Karya : Hatta Azad Khan

TAHUN 1997
Kumpulan : Grup Teater Artis Kreatif (GERAK)
Negeri : Wilayah Persekutuan
Skrip : Peran
Karya : Dato’ Nordin Hassan

TAHUN 1998
Kumpulan : Grup Teater Ngoncong
Negeri : Sarawak
Skrip : SAWO
Karya : S.M. Noor

TAHUN 1999
Kumpulan : Grup Teater Badan Kebudayaan dan Kesenian Yayasan Warisan Johor
Negeri : Johor
Skrip : Pentas Opera
Karya : Zakaria Ariffin

TAHUN 2000
Kumpulan : Kelab Taeter Rimba, UKM.
Negeri : Selangor
Skrip : Patung- Patung
Karya : Hatta Azad Khan


TAHUN 2001
Kumpulan : AKRAB, Kedah
Negeri : Kedah
Skrip : Monolog
Karya : Rosnan Nordin

TAHUN 2002
Kumpulan : Anugerah Khas Juri
Negeri : Johor, Pulau Pinang, Selangor, Kuala Lumpur, Kelantan

TAHUN 2003
Kumpulan : Angkatan Budaya Daerah Balik Pulau (ABAD)
Negeri : Pulau Pinang
Skrip : MISI
Karya : Faisal Tehrani

TAHUN 2004
Kumpulan : Fuzzy Logic Entertaiment
Negeri : Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur
Skrip : Tat Nenas
Karya : Shahredza Minhat




Teater dan pekan teater
19 Nov 1998

PADA akhir 70-an dan awal 80-an, pesta teater dirasakan lebih hebat daripada Pesta Filem Malaysia. Ia menjadi buah mulut ke segenap pelosok kerana semua kumpulan teater di negeri-negeri terlibat dengan bahang pesta ini.

Tahun 1982 ketika bersama Kumpulan Teater Utara (Kumtera) saya juga bercita-cita mahu mewakili Perlis ke Pesta Teater Kebangsaan di Kuala Lumpur. Tetapi anak-anak baru lepas sekolah seperti kami dengan mudah ditewaskan oleh Grup Teater 3P yang salah seorang pelakonnya ialah Nurhalim Ismail (sekarang Presiden Persatuan Sutradara Malaysia FDAM).

Grup Teater 3P mementaskan teater Stesen dan Kumtera mementaskan teater Mendung karya Othman Haji Zainuddin. Tetapi pada tahun yang sama Pesta Teater Kebangsaan telah ditiadakan.

Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan telah mengambil langkah drastik untuk memulihkan kredibiliti dan hala tuju pesta teater. Banyak pihak yang merasa sedikit kecewa tetapi wajar menerima hakikat bahawa pesta teater yang cukup berprestij itu memerlukan penilaian semula.

Prestijnya satu hal. Hala tuju apa lagi dalam konteks tradisi ilmu dan seni satu hal lain pula. Apabila sesuatu acara yang sudah semacam ritual itu berlangsung dalam masa yang lama, ia tentu perlu dinilai semula.

Tetapi malangnya, ia bukan dinilai semula sebaliknya terus dikuburkan begitu sahaja. Perkembangan teater yang nampak sedikit bercahaya sebelum itu terus padam. Pesta Teater Kebangsaan telah melahirkan sekian banyak aktivis muda yang berwibawa. Dan pada masa yang sama ia semacam memberi semangat baru kepada golongan veteran untuk berkarya.

Pekan Teater Kebangsaan yang diadakan sejak 16 hingga 21 November ini adalah kelangsungan daripada Pesta Teater dan Tari Kebangsaan. Sekalipun konsep dan pelaksanaan diberi sedikit kelainan tetapi itulah satu-satunya acara tahunan yang menuntut penglibatan secara menyeluruh di setiap negeri.

Pekan Teater Kebangsaan tidak ada acara tarian ini dianjurkan oleh Kementerian Kebudayaan Kesenian dan Pelancongan sejak tahunan 1990. Kini Pekan Teater Kebangsaan menjadi acara tahun dalam kalendar kebudayaan iaitu pada setiap November, aktivis teater berkumpul di Kuala Lumpur.

Kali ini enam kumpulan termasuk dari Sabah dan Sarawak dipilih ke peringkat akhir ke Pekan Teater Kebangsaan yang pementasannya diadakan di Matic, Kuala Lumpur. Kumpulan ini dipilih mengikut zon dan inilah antara yang membezakan antara Pekan Teater Kebangsaan dengan Pesta Teater dan Tari Kebangsaan.

Pengalaman menjadi juri di beberapa negeri pada pekan teater yang pertama dan kedua, telah mengingatkan saya kepada kedaifan semasa bersama kumpulan teater di Perlis dulu. Setelah banyak menonton teater-teater yang relatifnya besar dan hebat di Kuala Lumpur, saya menjadi terpinga-pinga apabila infrastruktur teater di beberapa negeri sama seperti sepuluh tahun lalu.

Objektif pekan teater peringkat negeri dan kebangsaan memang untuk membangunkan secara menyeluruh kumpulan-kumpulan teater di negara ini. Pembangunan ini tentunya bukan sahaja segi kemudahan infrastruktur tetapi juga ilmu kepada aktivis teater di luar Kuala Lumpur.

Dalam hal ini pekan teater boleh dilihat sebagai mekanisme penting untuk mewujudkan budaya berteater. Dan pada masa yang sama memberi pendekatan yang stylish kepada teater berteras tradisi di negara ini. Dengan kos kecil yang sama dengan sepasang kostum artis popular yang berlakon teater di Kuala Lumpur misalnya, kumpulan di peringkat negeri mampu melahirkan idea dan pengolahan artistik yang membanggakan. Pekan teater juga boleh dilihat sebagai pembikinan produk-produk tempatan yang akan memenuhi tuntutan Panggung Negara yang begitu banyak. Kumpulan atau syarikat yang terlibat dalam pembikinan teater di Kuala Lumpur pasti tidak mampu memenuhi permintaan Panggung Negara yang begitu besar. Itupun kalau kita meletakkan Panggung Negara sebagai wadah memancarkan nilai-nilai tempatan.

Dan di sinilah hasil daripada Pekan Teater Kebangsaan boleh dimanfaatkan. Kumpulan di luar Kuala Lumpur perlu diberi kepercayaan sekalipun orientasi mereka tidak seperti teater di Kuala Lumpur yang berkilau dengan bintang-bintang.

Pada masa yang sama juga pekan teater perlu dibuat penilaian semula untuk memastikan objektif dan hala tuju tidak terbabas daripada landasan yang sepatutnya.

Pekan teater perlu meneruskan tradisi seni dan ilmu dalam teater. Biar bagaimana teknologi atau ideologi yang dibawa masuk ke dalam teater, ia tetap menjadi tradisi seni itu tradisi ilmu.

Ingat, jangan permurahkan tradisi ilmu dan seni dalam teater setaraf dengan konsert hiburan.

Oleh: KU SEMAN KU HUSSIEN

utusanonline



Pekan Teater '98: Suatu perbandingan
6 Dis 1998

Pada tahun ini, lebih 1,900 peserta termasuk tenaga produksi dari 98 kumpulan telah mengambil bahagian sejak awal lagi. Manakala 14 kumpulan layak bertanding di peringkat zon.

Pementasan dimulakan oleh Kelab Sukan dan Rekreasi Lahad Datu dengan membaca naskhah Jangan Bunuh Rama-rama (JBR) karya Datuk Noordin Hassan. Kumpulan dari Sabah ini berjaya melepasi peringkat Zon Timur apabila berjaya mengalahkan Kelantan, Terengganu dan Pahang.

Dalam pementasan tersebut, pengarah kelihatan tidak mampu menangani teks serta telah mengetepikan beberapa adegan penting sehingga meluluhkan naskhah sebagai JBR. Adegan Wak Kelentung yang ingin menembak seseorang kerana krisis dua imam telah ditiadakan. Begitu juga adegan Raja menceritakan bagaimana ketika dia pergi memburu rama-rama. Rama-rama yang diburu itulah telah menyelamatkannya dari perigi.

Rama-rama tersebut ialah simbol kebebasan dan ia perlu ditegaskan oleh pengarah. Rata-rata khalayak terpinga-pinga melihat drama yang tidak mempunyai jalinan cerita.

Watak Nur Atma kelihatan tidak beremosi sebagaimana yang perlu ada di dalam skrip tersebut. Malah watak badut juga tidak banyak kemukakan idea penulisnya apabila menjadi manusia yang teraba-raba mencari sesuatu. Watak badut yang biasanya kelakar dan mencuit hati khalayak tidak ada dalam pementasan ini.

Teknik pengarahan tidak jelas. Kita melihat pengarah cuba menarik khalayak dengan teknik lampu dan set tetapi kelihatan ia tidak berlaku. Komposisi pentas tidak seimbang. Set yang berserabut serta terlalu ke depan tidak memberi apa-apa makna sama ada sebagai ikonik, indeksiti atau simbolisme seperti mana yang perlu ada dalam drama Noordin.

Penulis berkata sedemikian apabila melihat Kaabah yang dizahirkan ke pentas. Pelakon tidak menggunakan Kaabah untuk ditawaf sebaliknya telah mengelilingi tunggul-tunggul kayu beberapa kali. Kemudian dia hilang ke dalam Kaabah tersebut. Ini jelaskan bahawa pelakon tidak menggunakan set yang telah dibina sebaik mungkin. Malam seterusnya pementasan teater Titik Mula Titik Akhir (TMTA) karya AB Noor oleh Angkatan Karyawan Aktif (Angka). Pementasan dibuat gaya drama epik di mana pelakon menukarkan set mereka sendiri.

TMTA mengisahkan empat watak yang cuba mencari kesempurnaan hidup. Bagaimanapun, mereka gagal menemui kesempurnaan itu. Mereka akhirnya kembali kepada keadaan asal. Kesempurnaan dicari hanyalah dalam khayalan mereka berempat sahaja.

TMTA kelihatan sedikit segar dengan lawak jenaka dan tingkah laku yang melucukan khalayak terutama watak II dimain oleh Azman Hassan yang memenangi pelakon pembantu lelaki. Bagaimanapun, drama ini lebih menarik sekiranya mampu dipersembahkan dengan bertenaga. Pelakon dilihat tidak bermaya. Oleh itu, TMTA kelihatan tidak begitu lancar dan tempo jadi tidak terkawal.

Malam ketiga, Grup Teater Ngoncong, Sarawak telah mementaskan Sawo karya SM Noor. Ia mengisahkan seorang lelaki yang telah menghabiskan segala kekayaan yang diwarisi dari bapanya sehingga papa kedana. Sawo yang jatuh miskin membawa diri jadi penghuni di Lembah Pelupusan Sampah. Kekesalan menghabiskan kekayaan ayahnya sentiasa menghantui hidup.

Di sana, dia bertemu Ineng yang juga penghuni kawasan tersebut. Setelah sekian lama hidup di situ mereka berjanji untuk bersama. Sebagai persiapan Sawo telah membina rumah kotak sebagai lambang kasih sayang mereka sehinggalah Matang muncul di dalam mimpi Sawo. Mimpi itu turut merubah segalanya.

Sawo yang dipentaskan ini menampakkan kecenderungan pengarah cuba merealitikan set di pentas. Sampah yang dimuat juga seolah-olah mengingatkan kita benar-benar di tempat pembuangan sampah. Segala itu berselerak, berabuk serta memualkan.

Penggunaan tata cahaya menarik. Warna cyclon yang berbalam merah, biru, kuning itu menarik perhatian dan seterusnya menyampai rasa dan fikiran Sawo. Bagaimanapun, lagu cinta dari filem Titanic gagal menimbulkan kesan dramatik sebaliknya mencetuskan kelucuan kepada khalayak.

Kumpulan dari Sarawak ini telah berjaya menjadi johan Pekan Teater Kebangsaan '98. Di samping itu pengarahnya Saptuyah Bolhi menjadi Pengarah Terbaik. Beliau yang juga berlakon sebagai Ineng turut memenangi Pelakon Wanita Terbaik.

Malam seterusnya Produksi Teater Unisains Pulau Pinang mementaskan Nasib karya Hatta Azad Khan. Ia mengisahkan kehidupan di sebuah perkampungan nelayan. Pengorbanan Eng Guan, anak kelahiran kampung yang peka dengan kemelut di situ menjadi inti cerita. Ketika anak-anak muda meninggalkan tradisi menjadi nelayan dan berlumba-lumba untuk mencuba nasib di atas kapal minyak, Eng Guan yang menjadi pemborong ikan merasa gusar. Ini turut dikongsi Pak Hitam.

Mak Som mempunyai anak gadis bernama Yam serta menjadi kegilaan orang kampung termasuklah Deraman dan Salim. Yam pula telah menjalin hubungan sulit dengan Salim sehingga terlanjur. Konflik terjadi apabila Salim terpaksa meninggalkan Yam kerana telah diterima bekerja di atas kapal minyak. Eng Guan yang mengahwini Yam untuk menyelamatkan keadaan jadi mangsa apabila dipersalahkan Salim.

Pementasan Nasib sederhana. Lakonan kurang mantap kecuali Nizam Bahari yang membawa watak Deraman. Beliau memenangi anugerah Pelakon Lelaki Terbaik.

Setnya ringkas tetapi serba guna. Sesuai memperjelas semua situasi. Inilah yang biasanya dibuat oleh Hatta dalam dramanya yang telah lalu. Nasib arahan Hartini Kassim ini menang tempat ketiga.

Malam kelima pementasan Tingginya Menyapu Awan (TMA) karya Malina Manja oleh G-Team dari Melaka. TMA arahan Yalal Chin mengisahkan kehidupan di sebuah perkampungan sehingga menghadapi kematian seorang tua yang tidak dikenali. Keinginan untuk merasa buah anggur dan air susu di saat kematiannya menjadikan penduduk di situ berusaha menunaikannya.

Buah dan air tersebut telah dihabis pula oleh anak gadis dan ibu tua yang baru tiba di kampung itu. Ibu tua itu sebenarnya mencari suami yang telah menghilangkan diri. Dalam keributan itu, akhirnya orang tua itu meninggal dunia. Ibu tua itu menyesal kerana orang tua itu adalah suami yang dicari selama ini.

TMA terlalu berat untuk diadili kerana ia mengemukakan komedi keterlaluan. Malah dialog serta pengucapan berbaur lucah. Seharusnya teks itu ditangani dengan penuh penghayatan. TMA tidak menimbulkan kesan dramatik sebaliknya menimbulkan komedi.

Set rumah yang dibina tidak membayangkan kesusahan masyarakat seperti sepatutnya. Kesukaran mendapatkan anggur dan susu seperti dibuat-buat.

Yalal Chin mungkin sedar apa yang dilakukannya. Namun, ia tidak wajar dilakukan begitu sehingga ia kelihatan jijik untuk dipertandingkan. Urus setia seharusnya peka dengan hal ini dan patut menjelaskannya.

Sikap Yalal tidak sopan apabila memberi kata pengantar dan dibaca oleh juruacara. Mengemukakan sinopsis sebelum mula sesebuah pementasan adalah tidak wajar. Sinopsis adalah satu pendekatan untuk memberi faham kepada khalayak dalam menghadapi sesebuah cerita.

Malam terakhir, Sanggar Seri Menanti dari Selangor mementaskan drama Sirih Bertepuk Pinang Menari (SBPM) karya Datuk Noordin Hassan, SBPM mengisahkan Sultan Idris Bistari yang meninggalkan negeri untuk memberi peluang anaknya memimpin negeri. Sultan Zaharuddin, anakandanya yang memangku jawatan sultan mula membuat onar. Baginda yang berajakan kemewahan telah membina istana baru yang lebih besar dari istana ayahandanya dan membayangkan kezalimannya apabila telah memecat wazir tua.

Mendengar kecantikan Puteri Kamaria, Sultan Zaharuddin telahpun mencari jalan untuk mengenakan kerajaan tersebut. Lalu baginda mengemukakan teka-teki apakah sirih bertepuk pinang menari? Dengan bantuan ihsan, lelaki marhaen, Puteri Kamariah menemui jawapannya.

Pengarahnya kelihatan berjaya mengemukakan idea penulisnya ke pentas. Khalayak memahami ceritanya tanpa pemikiran yang berat. Justeru itu, kejayaan kumpulan ini dianugerahkan naib johan tidak boleh dipertikai.

Keupayaan mereka mengemukakan konsep cerita dalam cerita serta perwatakan yang dicipta untuk merangsang kemampuan khalayak memahami teks itu cukup berharga dan modal untuk mereka berjaya. Di samping itu, Rohaizam Dollah yang memainkan watak Ratu Salbiah turut dianugerahkan Pelakon Pembantu Wanita kerana kejayaannya merangsang cerita tersebut jadi lebih menarik.

Pertandingan ini menawarkan hadiah johan menerima wang tunai RM5,000, naib johan RM4,000 dan ketiga RM3,000. Selain itu Pengarah Terbaik (RM2,000), Pelakon Lelaki dan Wanita Terbaik (RM1,000). Manakala, Pelakon Pembantu Lelaki dan Wanita serta Teknik Terbaik masing-masing menerima RM500.

Panel hakim ialah Zakaria Ariffin, Normah Nordin, Faridah Merican, Mohd. Adnan Hamzah dan Arjuna @ Mohd. Noor Yunus.

Oleh: AZAHA OTHMAN

utusan online

 

Comments