Nisya Khaleed : Seni Bayan

Sarat pengajaran
Teks & Foto Rudy Syareme Sheriffudin


Pementasan semula teater Nisya Khaleed berjaya menarik perhatian ramai apabila dihadiri lebih 200 penonton di Dewan Budaya, Universiti Sains Malaysia (USM) Pulau Pinang, baru-baru ini.

Lebih membanggakan, pementasan itu mendapat pujian daripada Yang Dipertua Negeri itu, Tun Dr Abdul Rahman Abbas dan isteri, Toh Puan Majimor Shariff yang turut menonton. Mereka berdua kagum dengan lakonan dan teknik penceritaan dalam persembahan itu.

Karya Nisya Khaleed diarahkan Seni Bayan sebelum ini pernah dipentaskan di Festival Teater Majlis Kebudayaan Universiti-Universiti Malaysia (MAKUM), Mac lalu. Pementasan kali kedua ini dibuat dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Wilayah Utara.

Apa yang menarik, barisan pelakon seperti Hyke Nasir, Syahidatul Munirah, Mid Gulai Kawah, Noor Rizuwan, Syazrin Shahira, Tiaw, Amir Azzeem, Mazlan, Nurul Fathin, Nor Faezah, Shamiz Zul Haikal, Mantaro Resdongs, Ahmad Mukriz dan Muhammad Azim berjaya membuktikan bakat lakonan mereka kepada penonton.

Tidak terkecuali, kelunakan suara Nabila Latiff bersama iringan muzik daripada Rythm of Soul turut memukau penonton dengan lagu Sway manakala penampilan kostum yang menarik kelolaan Aina Nabila, Syarifah Juairiah dan Marduwati cukup sempurna serta meninggalkan kesan yang begitu mendalam di hati penonton.

Pementasan selama lebih satu jam setengah itu dipenuhi ruang penceritaan yang cukup lengkap, selain kesan lampu dan bunyi yang membantu memberi kesan terbaik diperkuatkan lagi dengan teknik pengarahan yang mantap.

Tidak hairanlah, karya terbaik Seni Bayan atau nama sebenarnya, Ahmad Hashim ini memenangi pelbagai anugerah termasuk Pengarah Terbaik dan Pelakon Lelaki Terbaik menerusi teater yang berkonsepkan monodrama ini.

Ahmad berkata, teater Nisya Khaleed ini antara lain mengenai seorang wanita kampung bernama Nisya yang berasal dari Kuala Kedah, Kedah yang berkahwin dengan Zulkarnain, seorang ustaz dari Indonesia. Mereka dikurniakan dua anak, Rabbiatul Addawiyah dan Amir Firdausi.

“Dari sinilah bermulanya kisah kehidupan Nisya Khaleed bersama Zulkarnain yang pada awalnya penuh dengan kebahagiaan. Bagaimanapun, kehidupan rumah tangga mereka mulai goyah apabila Zulkarnain mula terbabit dengan aktiviti keganasan dan insiden pengeboman berani mati di Indonesia.

“Penonton dapat merasai pelbagai konflik dari awal penceritaan sehingga akhir babak. Ia mengungkap nilai kasih sayang dan kesedihan apabila seorang ibu yang memikirkan nasib anak-anak yang masih kecil dan kedua-dua orang tuanya. Namun dia terpaksa akur mengikut suaminya pergi berjihad,” katanya.

Kata Seni Bayan, teater itu penuh nasihat dan teguran supaya manusia tidak mudah terpengaruh dengan ajaran sempit. Malah, semua pihak sudah tahu kegiatan keganasan itu sering kali diperkatakan dan diharamkan kerajaan.

“Mesej dan nasihat yang disampaikan dalam teater Nisya Khaleed ini begitu bermakna dan persediaan selama lebih dua minggu berjaya dilakukan dengan baik oleh semua pelakon biarpun terdapat beberapa perkara lagi yang perlu diperbaiki,” katanya.

Turut hadir menyaksikan teater, Naib Canselor USM, Profesor Datuk Dr Omar Osman dan isteri, Datin Noraizan Jamaluddin.

metro

 

TEATER NISYA KHALEED DAPAT SAMBUTAN



PULAU PINANG, 27 Jun 2014 - Teater 'Nisya Khaleed' yang pertama kalinya diangkat ke pentas di Festival Teater MAKUM Mac 2015 yang lepas dipentaskan semula di Dewan Budaya Universiti Sains Malaysia (USM) dengan kerjasama DBP Wilayah Utara, Pejabat Naib Canselor USM dan Pusat Pengajian Seni USM menerima sambutan yang hangat.

Pementasan teater oleh siswa siswi USM telah mendapat sambutan hangat daripada warga USM dan masyarakat setempat ini turut dihadiri oleh Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang, Tun Dato’ Seri Utama (Dr.) Haji Abdul Rahman Abbas dan Toh Puan Dato’ Seri Utama Hajah Majimor Shariff.


Teater karya Ahmad Hashim atau nama penanya Senibayan, Nisya Khaleed ini antara lain berkisar kepada kisah seorang wanita kampung bernama Nisya dari Kedah yang berkahwin dengan Zulkarnain; seorang ustaz dari Indonesia. Perkahwinan yang asalnya bahagia mula goyah apabila Zulkarnain mula terlibat dengan aktiviti keganasan dan insiden pengeboman berani mati.​

Senibayan berkata, para pelakon dan produksi teater telah memberi kerjasama yang baik dalam mempromosikan kesenian di USM.

Menurutnya, mahasiswa mendapat pendedahan lebih luas apabila terlibat dengan pementasan. Gabungan mantap ini memberi peluang kepada mereka untuk belajar melontarkan suara dan meningkatkan tahap pemahaman terhadap pencahayaan, pengurusan, lakonan, pemahaman skrip dan persiapan pentas.





Beliau mengharapkan penonton bukan sekadar berhibur malah dapat mengambil ikhtibar dari kejadian yang berlaku pada masa kini supaya tidak leka dengan pengaruh-pengaruh yang mampu merosakkan diri sendiri. ​

Sementara itu, watak utama yang dilakonkan oleh pelajar Ijazah Sarjana Muda Pendidikan USM , Hyke Nasir yang memegang watak Zulkarnaen berkata teater Nisya Khaleed ini membawa dirinya untuk terus menghayati watak sebagai seorang pejuang yang berpegang kepada janjinya dan suami yang penyayang.





"Saya ada membuat sedikit penyelidikan tentang aktiviti keganasan yang berlaku di Bali, Indonesia supaya dapat menghayati watak yang saya pegang dan bagi watak sebagai seorang suami yang penyayang pula, saya melihat ayah saya sebagai idola untuk saya menghayati watak tersebut dalam teater ini," tambahnya lagi.

Diselang-seli dengan babak jenaka dan kesedihan yang mengasyikkan, teater tersebut mampu menyampaikan mesej kasih sayang dan tutur kata yang sopan. Mesej tersebut perlu dipupuk dalam konteks masyarakat Malaysia hari ini agar tidak leka dengan aktiviti keganasan yang dicanang oleh anasir luar.

Walaupun berlatarbelakangkan program pengajian yang berbeza, gabungan tenaga produksi berjaya memberikan nafas dalam persembahan teater dan mendapat tepukan gemuruh daripada penonton yang hadir menyaksikan persembahan.





Turut hadir menyaksikan teater tersebut, Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Dr. Omar Osman dan isteri Datin Noraizan Jamaluddin serta pegawai tinggi USM.​ Teks: Syuhada Abd Aziz / Foto: Mohd Fairus Md Isa

usm

Comments