8 Jan 2016

Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2014 : Drama


Laporan Panel Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2014 (Drama)


PENDAHULUAN

Panel menerima 8 buah buku kumpulan drama seperti berikut:

Di Suatu Ruang Bernama Keadilan (Marsli N.O.)
Pahlawan Daerah Rodat (Wan Ahmad Ismail)
Opera Nyonya Cantik (Amelia Hashim)
Kosong (S.M. Noor)
Ulek Banda (Senibayan)
Sesakti Naik Sakti (Wardah Munirah)
Selawat Ibu Selepas Isyak (Senibayan)
Hikmah Bunuh Apa-Apa (Mana Sikana)

Berbanding dengan tahun-tahun penilaian yang lalu, jumlah ini boleh dikatakan agak banyak bagi genre drama pentas. Dari segi sumbangan, beberapa penulis mapan yang sudah menulis sejak awal dekad tujuh puluhan “kelihatan” masih terus mendominasi di samping dua tiga penulis dari kalangan kelompok yang sedikit terkemudian.

Agak menarik apabila muncul seorang penulis baharu yang masih muda, iaitu Wardah Munirah dengan buku dramanya, Sesakti Naik Saksi. Bagaimana pun, daripada senarai di atas, 3 buah kumpulan drama didapati tidak memenuhi syarat untuk dinilai bagi menerima hadiah, kerana mengandungi drama-drama lama yang sudah melebihi 10 tahun daripada tarikh pertama kali karya tersebut disiarkan di majalah, diterbitkan dalam kumpulan/antologi lain atau dipentaskan. Jika ada pun (seperti di dalam kumpulan Kosong), karya baharunya tidak memenuhi kuota 2/3 daripada jumlah karya keseluruhan. Kumpulan drama yang tidak memenuhi syarat tersebut adalah seperti berikut:

Pahlawan Daerah Rodat (Wan Ahmad Ismail)

Buku ini mengandungi drama-drama:

“Pahlawan Daerah Rodat”
“Hotel Malaya”
“Tanah Lot”
“Joget Su Wook”
“Krisis”
“Janji Teja”
“Cikyah Inang Rodat”
“Apa Ada dalam Baju”
“Kapal Kertas”

Kosong (S.M. Noor)

Buku ini mengandungi drama-drama:

“Alang Perkasa”
“Kosong”
“Sawo”
“Telemong”

Hikmah Bunuh Apa-apa (Mana Sikana)

Buku ini mengandungi drama-drama:

“Tanah di Hujung Bendang”
“Pengadilan”
“Ihsan”
“Santagodna”
“Hikmah”
“Apa-apa”
“Bunuh”
“Mustaqima”

Hanya buku-buku drama berikut didapati layak untuk dinilai berdasarkan tahun penciptaan atau pertama kali karya tersebut tersiar di majalah/dipentaskan:

Di Suatu Ruang Bernama Pengadilan (Marsli N.O.)

Kumpulan ini mengandungi empat buah drama seperti berikut:

“Bulan”
“Di Suatu Ruang Bernama Pengadilan”
“Fragmen Tolong”
“Tidak”

Sesakti Naik Saksi (Wardah Munirah)

Kumpulan drama ini mengandungi 3 buah skrip:

“Cendera di Hujung Nara”
“Bangsawan Malim Sulaiman”
“Sesakti Naik Saksi”


Ulek Banda (Senibayan)
“Chainarong” (dekon)
“Lokan Bertepuk” (dekon)
“Tok Janggut” (drama panjang)
“Antara Bunyi Gendang Ibu dan Tari Nihon Buyo” (drama pendek)
“Ulek Banda” (drama pendek)
“Nisya Khaleed” (monodrama)
“Rama Rama-rama” (monodrama)

Selawat Ibu Selepas Isyak (Senibayan)

“Ayu Si Puteh”
“Darah yang Mengalir”
“Selawat Ibu Selepas Isyak”
“Hiroshima”
“Sesudah Subuh”

Opera Nyonya Cantik

“Jarum Cinta”
“Wanita Melayu Terawal”
“Hilang”
“Opera Nyonya Cantik”

PENILAIAN

Ulek Banda

Tiga daripada drama dalam kumpulan ini mengangkat isu “mempertahankan” kesenian tradisional. Skrip-skrip tersebut ialah “Lokan Bertepuk”, “Ulek Banda” dan “Antara Bunyi Gendang Ibu dan Tari Nihon Buyo”. Drama “Ulek Banda” misalnya cuba memaparkan konflik yang berlaku di antara pihak yang mahu mempertahankan keaslian kesenian tradisional “Ulek Banda”, dengan pihak yang cuba mempopularkannya. Tema mengenai kesinambungan warisan tradisional kepada generasi baharu bukanlah sesuatu yang asing lagi selepas drama adaptasi Hari-hari Terakhir Seorang Seniman dipentaskan pada tahun 1984.

Sebagai kesenian tradisional yang tidak begitu popular, terutama bagi khalayak di luar lokasi asalnya, “Ulek Banda” dilihat agak unik dan mempunyai ciri-ciri keasliannya yang tersendiri. Wajarlah kesenian ini dilestrarikan untuk ditatap dan dinikmati oleh generasi yang akan datang. Demikian juga dengan drama “Antara Bunyi Gendang Ibu dan Tari Nihon Buyo” yang mempertemukan alat muzik tradisional Melayu dengan kesenian yang berasal dari negara Matahari Terbit – Tari Nihon Buyo. Sebagai catatan, naskhah ini pernah memenangi Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2012 bagi kategori eceran.

“Chainarong” dalam kumpulan ini juga memperlihatkan latar cerita yang agak berbeza. Dekon ini mengangkat ketokohan watak seorang peninju “Muay Thai”. Meskipun cerita banyak disampaikan melalui dialog panjang dan juga monolog yang agak puitis, tetapi naskhah ini juga memperlihatkan elemen-elemen dramatik yang memungkinkannya diangkat ke pentas sebagai sebuah persembahan teater yang menarik. Kecenderungan penulis mengetengahkan watak pahlawan Melayu penentang penjajah dari negeri Kelantan melalui “Tok Janggut” boleh dipuji. Namun karya ini tidak cukup kuat untuk mengangkat ketokohan watak berkenaan secara dramatik melalui aksi. Dua lagi drama dalam kumpulan ini, “Nisya Khaleed” dan “Rama Rama-rama” (yang sebenarnya pernah dinilai dalam HSPM 2013 kategori eceran) juga memperlihatkan kelainan yang menarik.

Opera Nyonya Cantik

Buku drama pentas ini memuatkan empat buah karya. Namun begitu hanya satu sahaja daripada empat naskah drama tersebut (25%) – “Opera Nyonya Cantik” mantap dari segi pemikiran, genre dan elemen penceritaannya sebagai sebuah teks drama pentas. Skrip selebihnya tiada sebarang kelainan atau kurang keasliannya dari segi pemikiran dan premis naratifnya. Pemikiran dalam skrip “Jarum Cinta” berkisar tentang masalah sosial (najis dadah) – isu yang sangat biasa, manakala “Hilang” berkisar tentang isu keluarga, khususnya kepercayaan sesetengah masyarakat kepada amalan ilmu hitam.

Kedua-dua topik ini agak ringkas dan lazim diketengahkan dalam karya drama era 1980-an dan 90-an. Sementara itu, skrip “Wanita Melayu Terawal” kelihatan menarik kerana penulis agak kreatif dalam mengolah serta menampilkan personaliti tokoh-tokoh wanita dalam sejarah Melayu dari perspektif seorang penulis zaman kini. Namun idea sebegini pernah diolah dalam bentuk pementasan teater dan juga cerpen sebelum ini. Sehubungan itu skrip “Wanita MelayuTerawal” juga tiada sebarang kelainan.

Sesakti Naik Sakti

Kelemahan utama karya-karya dalam kumpulan ini adalah dari segi struktur dramatik, juga aksi dramatik dan elemen teaterikal untuk menggerakkan plotnya sebagai sebuah teks drama. Dari segi tema, pengarang cuba mengangkat permasalahan berkait dengan wanita. Naskhah drama dalam buku ini cenderung mengemukakan dialog-dialog yang panjang (termasuk monolog) yang agak sarat dengan penerangan atau deskripsi (seperti gaya novel dan cerpen), walhal kelebihan genre drama adalah keupayaannya menyampaikan mesej melalui visual pentas dan pilihan-pilihan artistik. Hal ini memerlukan kebijaksanaan penulis menjalinkan ilmu penulisan dan aspek pementasan teater agak mesej dapat disampaikan secara jitu dan padat kepada khalayak.

Di Suatu Ruang Bernama Pengadilan

Secara umumnya, pemikiran keempat-empat naskhah dalam buku ini agak sederhana dan pada tahap permukaan sahaja. Sebuah drama yang yang baik seharusnya mencabar intelektual serta emosi khalayaknya melalui pemikiran serta mesej yang berlapis sifatnya. Namun naskhah-naskhah drama dalam buku ini terlalu didaktik sifatnya serta tidak memberi ruang untuk khalayaknya berfikir. Apabila pengarang terlalu ghairah untuk melontarkan pengajaran secara didaktik, kesan ke atas pembaca akan membosankan. Gaya penulisan pengarang juga tidak memancarkan sesuatu yang menarik. Naskhah “Di Suatu Ruang Bernama Pengadilan” dan “Tolong” misalnya kelihatan mirip drama-drama “eksperimental” dekad tujuh puluhan dari segi gaya penulisan serta persoalannya.

Selawat Ibu Selepas Isyak secara umumnya tidak memperlihatkan keistimewaan dan kekuatan idea jika dibandingkan dengan kumpulan drama Ulek Banda, oleh penulis yang sama.

Keputusan:

Bagi Kategori A: Buku, Panel Penilai HSPM 2014 untuk genre drama mengambil keputusan berikut:

TIADA PEMENANG

KATEGORI B: DRAMA ECERAN

Bagi kategori eceran, Panel menerima 13 judul drama yang pernah tersiar dalam tiga buah majalah dan satu drama yang pernah dipentaskan, seperti berikut:

“Seri Nara” (MF Kencana, Tunas Cipta)
“Teater Pilihan: Pilihan yang Membinasakan” (RA, Tunas Cipta)
“Minyak” (Maharam Mamat, Dewan Sastera)
“Orang Ulu Orang Hilir Orang Darat” (Wan Ahmad Ismail, Dewan Sastera)
“Pengembaraan Iqbalirani” (Dahiri Saini, Dewan Sastera)
“Biring Si Kunani” (Rahimidin Zahiri, Dewan Sastera)
“Belot” (Tengku Adrian Ismail, Dewan Sastera)
“Rama Rama-rama” (Senibayan, Dewan Sastera)
“Warung” (Merong Mahawangsa, Dewan Sastera)
“Resital Mayang Semangat Laut” (Marzuki Ali, Pentas)
“Pintu” (Dayangku Mastura, Pentas)
“Bangsawan Raja Tokan” (Taksu Zacharia, Pentas)
“Jangan Tenggelam, Negeriku” (Rahimah Muda, dipentaskan di JOTIC, Johor Bharu).

ULASAN UMUM

Sebagai salah satu genre sastera, sebuah drama pentas bukan sekadar mengemukakan cerita semata-mata. Karya ini juga harus menyampaikan pemikiran pengarang dengan cara yang tersendiri, tanpa menonjolkannya dalam bentuk yang keterlaluan, sehingga memperlihatkan unsur propaganda atau terlalu didaktik. Tanpa menolak unsur-unsur dramatik, aspek teaterikal mengagumkan dan aksi yang menghiburkan, pemikiran dalam sesebuah drama mestilah “besar” kesannya. Tema dan persoalan-persoalan yang sama boleh sahaja diangkat oleh seseorang penulis, namun tanpa melihat isu yang disampaikan dari perspektif yang berbeza dan mendekatinya dengan satu tafsiran yang lain, maka karya berkenaan akan sekadar menjadi naskhah “kitar semula” atau “penceritaan semula” dalam bentuk drama. Persoalan-persoalan mengenai kemanusiaan masih menarik minat khalayak pembaca dan penonton drama dan boleh dikaitkan dengan pelbagai isu sama ada pada latar semasa atau masa lalu. Bagaimana pun, garapan yang kreatif dan

Pada dasarnya, kesemua 13 buah skrip yang dinilai membawa pelbagai tema dan persoalan. Antaranya mengangkat isu berlatarkan sejarah (“Seri Nara”, “Jangan Tenggelam, Negeriku”), agama (“Teater Pilihan: Pilihan yang Membinasakan”, “Pengembaraan Iqbalirani”), isu sosial (“Minyak”, “Rama Rama-Rama”, “Biring Si Kunani, “Belot”, “Warung”, “Pintu”, “Resital Mayang Semangat Laut”), politik (“Orang Ulu Orang Hilir Orang Darat”, dan fantasi (“Bangsawan Raja Tokan”).

PENILAIAN

“Pengembaraan Iqbalirani” adalah sebuah drama yang memperlihatkan potensi dari segi idea dan pemikiran. Namun genre naskhah ini tidak jelas, sama ada tragedi atau tidak. Protagonisnya tidak menepati ciri-ciri seorang watak tragedi. Naskhah ini tidak membangkitkan rasa takut dan kasihan (konsep katarsis). Struktur dramatiknya tidak dibina dengan jelas – tidak memperlihatkan peningkatan aksi dramatiknya. Krisis drama ini dilihat seperti memaparkan hal yang sama secara berulang-ulang.

“Jangan Tenggelam, Negeriku” membayangkan idea dan premis yang baik, tetapi penceritaan tidak disampaikan dengan gaya yang menarik dan gagal “diterjemahkan” kepada bentuk drama. Penulis mengambil latar sejarah yang meyakinkan, bersandarkan pada peristiwa tenggelamnya sebuah kapal milik East India Company di perairan Endau, Johor pada 1702. Bagaimana pun, penulis gagal mengolah dan membentuk naratif yang lebih kreatif sifatnya. Aksi dramatik yang sepatutnya menjadi teras sebuah drama pentas juga tidak dikuasai dan diberikan penekanan oleh pengarang. Sebagai karya drama yang seharusnya berorientasikan watak dan menumpukan pada watak utama, drama ini juga tidak jelas siapa protagonisnya.

“Belot” adalah sebuah karya yang ditulis dengan merujuk kepada drama televisyen atau filem. Benar, aksi dramatiknya kelihatan menarik dan mempunyai akhiran luar duga (twist ending), tetapi naskhah ini tidak dibina dengan premis yang jelas dan tidak mengangkat pemikiran yang kuat. Kecenderungan untuk mengemukakan aksi yang “sinematik” secara keterlaluan, tanpa keseimbangan dengan dialog yang bermakna lagi bertenaga, juga telah mengabaikan perhatian penulis terhadap komponen struktur dramatik lain yang lebih penting.

“Biring Si Kunani” memperlihatkan percubaan yang baik untuk mengangkat kisah daripada cerita jenaka Melayu, iaitu Pak Kadok. Antara ciri cerita jenaka ialah memiliki unsur-unsur wit dan humor yang segar lagi menghiburkan dan pada masa yang sama menyampaikan pemikiran. Bagaimana pun, apabila sumber cerita yang sama ditulis sebagai sebuah drama pentas, karya ini seharusnya memperlihatkan sesuatu tafsiran baharu yang menjentik tanggapan khalayak pembaca atau penonton. Ia tidak seharusnya terhasil sebagai sekadar sebuah penceritaan semula dalam bentuk drama.

Daripada jumlah 13 drama di atas, sebuah skrip pernah dinilai untuk kategori eceran dalam HSPM 2013, apabila naskhah itu dipentaskan pada tahun tersebut. Drama yang dimaksudkan ialah “Rama Rama-Rama”. Justeru itu, drama yang turut dimuniti) serta pengungkapan pemikiran secara tersirat (sebaik-baiknya). Apa yang selalu dicari oleh panel ialah karya-karya yang kreatif, inovatif, bersifat organik (keaslian idea) dan ada sifat kebaharuannya.

Dari segi format skrip, buku-buku terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka pada umumnya mengikut Gaya Dewan, walau pun pernah terdapat buku drama yang “melanggar” peraturan tersebut. Namun terdapat penerbit yang menerbitkan majalah yang menyiarkan drama kelihatan menggunakan gaya penerbitan (house style) mereka sendiri, tanpa merujuk kepada satu gaya penerbitan drama standard yang lebih sejagat. Hal ini barangkali penting untuk diberikan perhatian bagi memastikan genre drama pentas mempunyai identiti yang tersendiri, selaras dan mudah dikenali.

Panel Penilai:

Prof. Madya Dr. Rohani Md. Yousoff

Dr. Nur Afifah Vanitha Abdullah

Encik Zakaria Ariffin

dewan sastera

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

© 2011 mimbar kata, AllRightsReserved.

Designed by ScreenWritersArena