gelombang I 2013-2015

Gelombang 1 PPPM memberangsangkan
Oleh Mahaizura Abd Malik



Kuala Lumpur: Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 dirangka bagi menyediakan pendidikan terbaik untuk pelajar sebagai persediaan menjadi modal insan produktif yang menyumbang kepada kemakmuran negara.

Pelan memakan masa 13 tahun pelaksanaan mengandungi tiga gelombang utama dengan setiap satunya memberi tumpuan kepada keseluruhan membabitkan transformasi sistem pendidikan negara.

Kementerian Pendidikan mengakui transformasi sektor pendidikan suatu perjalanan mencabar, namun usaha berterusan semua pihak terbabit dalam mendukung hasrat PPPM 2013-2025 ternyata bukan mustahil mencapai kejayaan untuk membawa perubahan baru.

Gelombang 1 memberi penekanan kepada mengubah sistem dengan memberi sokongan kepada guru dan penekanan kepada kemahiran teras manakala Gelombang 2 memacu peningkatan sistem serta Gelombang 3 pula menganjak ke arah kecemerlangan melalui peningkatan keluwesan operasi.

Dua tahun pertama pelaksanaan Gelombang 1 (2013-2015) digariskan dalam PPPM 2013-2025 diakui satu permulaan yang menjadi batu asas kepada transformasi pendidikan negara, namun beberapa kejayaan awal dicapai terutama perubahan ketara kemajuan pendidikan dalam bilik darjah dan peningkatan standard kualiti mengajar guru.

Turut menjadi fokus dalam Gelombang 1 ialah penguasaan asas Bahasa Melayu selepas tiga tahun dalam sekolah rendah mencapai 98.7 peratus serta numerasi (98.4) melalui program Saringan Literasi dan Numerasi (LINUS) manakala seramai 10,100 guru dihantar menyertai latihan di bawah Profisiensi Guru Bahasa Inggeris (ProELT).

Kementerian memfokuskan kualiti pelajar dalam menguasai bidang pendidikan STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik) yang dipertingkatkan dalam kurikulum.

Turut diubah dalam tempoh dua tahun ini ialah menyusun semula soalan peperiksaan kepada pemikiran menggunakan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) selain juga mempertingkatkan praktikal dalam program vokasional melalui kolaborasi dengan sektor swasta.

Pada masa sama, jumlah kemasukan murid ke prasekolah mencapai 92 peratus berbanding 84.2 peratus pada 2014, menengah (88.7 peratus) pada 2015 serta peningkatan kemasukan anak Orang Asli di sekolah rendah dan menengah mencapai 41,207 murid (2014) berbanding 38,871 pada 2012.

Sejumlah 2,140 sekolah terbabit dengan 3,070 projek menaik taraf infrastruktur termasuk membaik pulih kelas, tandas, struktur fizikal (bumbung, dinding, pendawaian, mengecat) serta air terawat yang selamat diminum.

Pada masa sama, Rancangan Integrasi Murid Untuk Perpaduan (RIMUP) dijalankan di 3,011 sekolah dengan penglibatan 20,916 murid dan pengurusan dilatih mengenai konsep program menerusi aktiviti tradisional seperti tarian, sukan, karnival bahasa selain debat perpaduan.

Kementerian juga memastikan 6,623 sekolah dirangkaikan dengan program 1BestariNet serta capaian Internet lebih stabil dan kelajuan optimum.

Melangkah ke 2016, kementerian sekali lagi komited meneruskan misi pelan dengan pelaksanaan Gelombang 2 (2016-2020) memfokuskan beberapa perkara yang lebih kritikal.

Dalam Gelombang 2, kementerian bakal melancarkan kurikulum sekolah menengah dan menyemak semula kurikulum sekolah rendah di samping meningkatkan kesedaran dan minat masyarakat kepada bidang STEM selain meningkatkan pendedahan Bahasa Inggeris sebagai fokus utama, selain penambahan bahasa lain.

Pada masa sama, meningkatkan program kepada kumpulan sasar seperti pribumi, keperluan khas dan kumpulan minoriti lain di samping mempercepatkan inovasi komunikasi dan teknologi maklumat (ICT) terutama membabitkan pembelajaran jarak jauh.

Selain itu, turut menjadi fokus mempertingkatkan bimbingan dan sokongan guru untuk membaiki sistem penyampaian pengetahuan, kemahiran dan nilai lain serta memperluaskan pilihan pendidikan vokasional.

Kejayaan pelajar dalam Gelombang 1


Seramai 114 murid dan guru daripada 21 sekolah seluruh negara yang menyertai program Tarian Integrasi Nasional
mengungguli juara Pertandingan Tarian Integrasi Kebangsaan 2014 hasil daripada pelaksanaan RIMUP.


Tiga pelajar dari Kolej Vokasional Teluk Intan, Perak iaitu Yasril Yahya, Noor Syafiqah Diana Mohamad Ghazali dan Nurul Fila Hazuin Mohd Kassim berjaya mengalahkan 20 negara bertanding menerusi kejayaan memenangi pinggat emas dalam International Engineering Invention and Innovation Exhibition (i-ENVEX) 2014 yang berlangsung di Universiti Malaysia Perlis (UNIMAP) pada 2014.


Muhammad Danial Redzuan (pengkhususan Teknologi Kimpalan) dan Nor Hafizi Shaharudin (pengkhususan Pemesinan Industri) pelajar Kolej Vokasional Slim River, Perak diumumkan sebagai johan Pertandingan Roket Air sempena Asia-Pacific Regional Space Agency Forum (APRSAF) yang diadakan di Universiti Funabashi, Kampus Chiba, Jepun pada 28 November hingga 1 Disember 2014.

Sepanjang 2014, empat Sekolah Sukan di seluruh negara muncul johan dalam Sukan Sekolah-sekolah ASEAN (ASG Ke-6), Manila, Filipina, Kejuaraan Hoki Sekolah-Sekolah Asia ke-4, Ipoh, Malaysia, Bola Sepak FAM – Piala Kejohanan Asia FRENZ U16, KL, Malaysia, selain meraih pinggat emas dalam Wushu Belia Dunia, Antalya, Turki.

Sekolah Seni Malaysia Sarawak di Kuching muncul juara keseluruhan International Folk Dance Competition Timisoara, Romania yang berlangsung pada 24 hingga 27 Julai 2014.

metro



Transformasi pendidikan dilaksana dalam 3 gelombang
6 September 2013

KUALA LUMPUR 6 Sept. - Tranformasi pendidikan negara seperti yang terkandung dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 akan dilaksanakan dalam tiga gelombang.

Gelombang 1 (2013-2015) memberi penekanan kepada menambah baik sistem dengan mempercepat perubahan kaedah pelaksanaan program.

Dalam tempoh pelaksanaan itu, tumpuan diberikan kepada kaedah peningkatan kualiti pengajaran dengan meningkatkan kualiti guru sedia ada, meningkatan kualiti kepimpinan sekolah dan meningkatkan kadar literasi Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan numerasi.

"Menjelang akhir Gelombang 1, kementerian akan memastikan semua guru, pengetua/guru besar dan sekolah mencapai tahap minimum standard kualiti yang dihasratkan," menurut pelan yang dilancarkan Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pendidikan Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini.

Dalam Gelombang 2 (2016-2020), kementerian akan melaksana perubahan struktur pendidikan negara untuk mempercepat perjalanan perubahan kepada semua inisiatif yang bermula semasa Gelombang 1, antaranya pergerakan kesemua 410,000 guru dan 10,000 pengetua/guru besar kepada pakej kerjaya baharu dan penstrukturan semula kementerian.

Kurikulum standard sekolah rendah dan menengah yang disemak semula juga akan diperkenal dalam usaha menangani kebimbangan mengenai pengetahuan, kemahiran dan nilai untuk maju sesuai dengan perkembangan ekonomi dunia hari ini.

Gelombang 3 (2012-2025) akan memfokus kepada anjakan ke arah kecemerlangan dengan peningkatan keluwesan operasi, di mana pada permulaan gelombang ini, semua sekolah, guru dan pengetua/guru besar perlu menunjukkan prestasi melebihi standard minimum.

Kementerian juga akan menganjakkan kebanyakan sekolah kepada model pengurusan berasaskan sekolah dan membangunkan model kejayaan sekolah berdasarkan inovasi dalam pengajaran, dalam usaha membangunkan sistem pengekalan kemajuan kendiri yang mampu untuk mencetuskan inovasi dan meningkatkan pencapaian yang lebih tinggi.

Bagi memastikan objektif PPPM terlaksana, kementerian juga akan melaksanakan beberapa tindakan, termasuk mengekalkan komitmen dan tumpuan dari kepimpinan atasan terhadap pelan ini, serta penubuhan satu unit kecil iaitu Unit Pelaksanaan dan Prestasi Pendidikan (Padu) untuk memacu pelaksanaan PPPM.

Padu akan mempunyai kuasa eksekutif dan berperanan memantau kemajuan, menyelesaikan isu pelaksanaan dengan pegawai bertanggungjawab dan berkomunikasi dengan pihak berkepentingan tentang transformasi.

Kementerian juga akan mewujudkan sistem pengurusan prestasi melalui KPI yang jelas, selain terus melibatkan pegawai kementerian dengan pihak berkepentingan yang lain untuk mendapatkan maklum balas dan input bagi memastikan keseluruhan sistem pendidikan terlibat dalam proses transformasi ini. - BERNAMA

utusan online


 





Comments