30 Dec 2015

sulaman diraja

Nik Rahimah mahu kelingkam dikenali


BENANG perak tulen dimasukkan ke dalam jarum sebelum ditusuk dan ditarik semula di tepi kain selendang sutera sifon berwarna putih itu. Proses tersebut diulang oleh Nik Rahimah Nik Idris, 74, untuk menghasilkan corak sulaman kelingkam bermotifkan bunga-bungaan.

Jari-jemarinya tanpa kekok mengikut corak bunga ros yang dilukis menggunakan pensel di atas selendang tersebut sebelum benang perak itu ditusuk dan ditarik bagi menghasilkan sulaman yang indah.

Begitulah rutin harian nenek kepada tiga orang cucu itu sejak 60 tahun lalu yang berkhidmat sebagai penyulam kelingkam diraja Kelantan.

Sehingga kini, beliau masih aktif meneruskan kesenian itu yang dilakukan sekurang-kurangnya lima jam sehari. Beliau mengambil masa hampir sebulan untuk menyiapkan sulaman selendang itu mengikut corak serta jenis kain.

Bercerita mengenai kecintaannya terhadap sulaman kelingkam itu, Nik Rahimah memberitahu, ia sangat istimewa kerana merupakan warisan turun-temurun nenek moyangnya.

“Saya dibesarkan oleh arwah nenek, Nik Aminah Nik Mat yang merupakan penyulam diraja dan pakar dalam menghasilkan kerja-kerja seni halus serta pembuatan alatan singgah sana diraja Kelantan.

“Pada usia 15 tahun, saya sudah menyulam secara serius dan selendang merupakan hasil seni pertama yang saya buat.

“Sulaman kelingkam tidaklah terlalu sukar kerana sejak kecil saya sudah biasa memerhatikan nenek melakukan kerja-kerja kesenian dan ia sudah sebati dalam diri saya,” jelas wanita yang berasal dari Kubang Pasu, Kota Bharu itu.

Tambah ibu kepada seorang cahaya mata itu, ilmu warisan itu turut dikuasai oleh dua orang adik-beradiknya tetapi kini hanya beliau seorang sahaja yang masih aktif. Hal ini kerana abangnya telah meninggal dunia manakala kakak pula uzur kerana sudah lanjut usia.

Nik Rahimah bukanlah calang-calang orang kerana darah seni yang mengalir dalam dirinya menjadikan anak bongsu daripada tujuh beradik itu sangat berjasa dalam memartabatkan seni warisan tersebut.

Selain sulaman kelingkam, beliau mahir membuat tekatan paku-paku, sulaman ayak, jahitan manik, pakaian, bunga dan kaitan (jarum satu dan dua) serta peralatan singgah sana diraja Kelantan.


NIK RAHIMAH membimbing Nik Marhamah membuat sulaman kelingkam

Tukang jahit diraja

Bak kata pepatah, ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi. Pada usia belasan tahun, Nik Rahimah sudah mengikut jejak langkah arwah neneknya apabila beliau diberi tanggungjawab sebagai tukang jahit untuk Raja Perempuan Kelantan iaitu Almarhum Tengku Zainab Almarhum Tengku Muhammad Petra.

Kehalusan dan kekemasan kerja tangannya amat dikagumi baginda. Nik Rahimah turut dibawa tinggal di Istana Negara ketika baginda bergelar Raja Permaisuri Agong.

“Bekerja dengan baginda merupakan kenangan termanis bagi diri saya. Baginda seorang yang baik dan hubungan kami sangat akrab.

“Saya rasa amat bertuah kerana baginda sangat menggemari hasil jahitan serta sulaman saya. Ia menjadi pembakar semangat saya melakukannya dengan lebih baik,” katanya yang juga merupakan keturunan kerabat diraja Kelantan.


KETELITIAN dan kekemasan sulaman kelingkam menyebabkan ia bernilai tinggi.

Tempahan khas

Sementara itu, beliau turut menerima tempahan khas sulaman kelingkam daripada kerabat diraja di negeri lain seperti Selangor, Perlis, Johor, Terengganu dan Perak serta isteri-isteri pembesar negara.

Dek kerana kemahirannya yang tinggi dalam seni halus, beliau telah diminta oleh Yang di-Pertuan Agong ke-6, Almarhum Sultan Yahya Petra Almarhum Sultan Ibrahim bagi menghasilkan selipar tekatan untuk dijadikan hadiah kepada raja Thailand iaitu Raja Bhumibol Adulyadej.

Sumbangannya tidak terhenti di situ apabila Kraftangan Cawangan Kelantan melantik beliau sebagai tenaga pengajar sulaman kelingkam malah turut menggalas tanggungjawab yang sama di Yayasan Sultanah Nur Zahirah.


BAHAN-BAHAN ini diperlukan ketika menghasilkan sulaman kelingkam iaitu benang perak tulen, gunting, jarum perak, benang mentah, cermin dan cengkerang siput.

Disebabkan kepakaran Nik Rahimah, beliau sering dijemput ke beberapa negara Asia seperti Thailand, Filipina dan Indonesia serta seluruh Malaysia untuk memperkenalkan seni sulaman kelingkam.

Kegigihan dan semangat beliau dalam mempertahankan seni warisan kelingkam yang dipercayai berasal dari Turki itu membolehkannya diangkat sebagai penerima Anugerah Tukang Ulung Sulaman Kelingkam dan Adiguru Kraf pada tahun 2013.

Mengulas mengenai keistimewaan sulaman kelingkam, beliau memberitahu, ia menggunakan logam perak tulen yang dipanggil sebagai kelingkam. Nama sulaman itu diambil daripada logam tersebut.

“Benang perak itu diimport dari Singapura pada harga RM170 bagi seikat yang mengandungi 16 urat. Jarumnya juga diperbuat daripada perak dan ditempah khas untuk membuat sulaman kelingkam.

“Bagi sehelai selendang berukuran 1.7 meter, tujuh ikat kelingkam diperlukan menyebabkan harganya sangat mahal.

“Sehelai selendang dijual pada harga RM3,000 dan boleh mencecah sehingga puluhan ribu ringgit. Disebabkan itu, selendang kelingkam banyak dipakai golongan istana dan bangsawan,” ujarnya.


JARUM ditusuk ke kain bersama benang perak kemudian ditarik mengikut corak yang telah dilakarkan menggunakan pensel.

Cabaran

Beliau yang telah menghasilkan ribuan produk kraf menggunakan sulaman kelingkam memberitahu, ia mempunyai keunikan tersendiri kerana mampu menaikkan seri si pemakai dan kelihatan bertambah anggun apatah lagi apabila digayakan oleh raja sehari.

Sulaman kelingkam bukan hanya tertumpu kepada selendang sahaja tetapi ia juga boleh dibuat pada baju, bantal, kipas dan alatan perkahwinan.

Cabaran utama menghasilkan sulaman tersebut adalah harga benangnya yang mahal dan cepat rosak jika tidak berhati-hati ketika menjalankan kerja-kerja menyulam.

Beliau menjelaskan, permintaan terhadap sulaman kelingkam tidak serancak dahulu. Begitupun, beliau masih lagi menerima tempahan daripada pelanggan tetap di seluruh Malaysia.

“Dahulu sulaman kelingkam sangat masyhur dalam kalangan masyarakat dan diketahui umum. Tetapi kini hanya segelintir sahaja yang menggayakannya.

“Lebih menyedihkan, kini tidak ramai orang yang mahir menyulam kelingkam menyebabkan ia seolah-olah semakin pudar ditelan zaman,” kata Nik Rahimah sambil memanjatkan kesyukuran kerana cucu saudaranya, Nik Marhamah Nik Megat, 42, dan cicit saudara, Nik Nurul Amalina Nik Mohd. Nazim, 21, sanggup menyambung legasi.

kosmo

1 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

© 2011 mimbar kata, AllRightsReserved.

Designed by ScreenWritersArena