kuih tradisional : warisan kebangaan

Lebih 80 jenis masakan tradisional jadi perhatian
19 Mei 2015


Tepung pasung antara kuih tradisional Terengganu.

DUNGUN - Kerajaan Negeri Terengganu dengan kerjasama Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu akan menganjurkan Festival Makanan Tradisional Terengganu selama tiga hari bermula 28 Mei ini bertempat di Dataran Merdeka Dungun di sini.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Luar Bandar, Usahawan, Koperasi dan Kepenggunaan Negeri, Roslee Daud berkata, festival itu bertujuan untuk memperkenalkan masakan tradisional Terengganu khususnya untuk generasi muda.

"Kita tak mahu masakan tradisional kita yang sangat sedap semakin hari semakin hilang dibawa arus kemodenan, justeru dengan adanya festival ini kita harap generasi muda akan tahu jenis-jenis makanan orang-orang lama dan tahu bagaimana cara untuk memasaknya.

Sepanjang festival ini, lebih 80 jenis makanan dan masakan tradisional seperti sayur kolok, sayur kulit tembikai, kuih bingka ubi, tepung pasung, kuih puli dan lok lik akan diketengahkan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Rosli berkata festival itu akan turut disertai 132 pengusaha makanan yang akan mempamerkan, mempromosi serta menjual masakan dan kuih muih tradisional.

"Kita juga akan membuat demonstrasi masakan dan pertandingan memasak makanan tradisional juga akan diadakan yang mana kita akan turut mengundang chef selebriti iaitu Chef Zamzani Abdul Wahab atau lebih dikenali sebagai Chef Zam untuk mengadili pertandingan masakan serta membuat demonstrasi," katanya. - Bernama

sinar harian

Kuih tradisional batang buruk masih menjadi pilihan
13 Julai 2015


KUIH batang buruk. 

PASIR MAS: Biarpun pelbagai aneka kuih dan biskut moden diperkenalkan namun kuih tradisional seperti batang buruk, bahulu dan rempeyek masih menjadi pilihan masyarakat untuk hidangan pada Hari Raya Aidilfitri.

Walaupun kuih Melayu tradisional ini dikatakan kurang diminati golongan muda berbanding kek dan biskut yang lain, namun permintaan terhadap kuih ini terutama batang buruk dilihat semakin tinggi terutama pada musim perayaan.

Kuih batang buruk diperbuat daripada tepung gandum yang dicampur dengan tepung beras dan kelapa kemudian diuli menjadi doh sebelum dibentuk menjadi silinder bulat berongga dan diisi dengan serbuk kacang hijau yang digoreng. Pengusaha kuih berkenaan, Maizatulakma Abdul Aziz, 27, berkata setiap tahun permintaan terhadap kuih itu semakin meningkat terutama pada musim perayaan.

"Tahun ini permintaan terhadap kuih ini sebanyak 140,000 biji berbanding 96,000 biji pada awal pembabitan saya dalam pembuatan kuih ini kira-kira enam tahun lalu," katanya kepada Bernama di rumahnya di Kampung Kelar di sini.

 "Ini menunjukkan kuih ini masih menjadi pilihan masyarakat kita pada hari ini," kata wanita yang mewarisi kebolehan membuat kuih itu daripada ibunya, Siti Khalijah Awang, 52.

Maizatulakma berkata, minatnya terhadap kuih itu timbul apabila selalu membantu ibunya memenuhi permintaan pelanggan.

"Pada mulanya ia hanya untuk memenuhi tempahan penduduk setempat dan ketika itulah minat timbul apabila selalu membantu ibu," katanya yang kini mempunyai empat pekerja.

Katanya, setakat ini pengeluaran kuih tradisional itu hanya untuk pasaran di negeri ini dan beliau bercadang mengembangkannya ke pasaran luar. Penggemar kuih batang buruk, Fathin Afika Alias, 23, berkata sejak kecil setiap kali hari raya sama ada Aidilfitri atau Aidiladha ibunya tidak pernah lupa untuk menyediakan juadah ini kepada keluarga dan tetamu.

 "Ia dinikmati hanya pada hari raya, sebab itulah kami tidak jemu dengan kuih ini walaupun dah berbelas tahun berlalu," katanya. - BERNAMA

bhonline


Bazar Ramadan Lokasi Kuih Tradisional
 2 Julai 2014


Kuih nekbat.


DUNGUN: Kedatangan bulan Ramadan bukan sahaja membawa rezeki kepada peniaga tetapi juga memenuhi keinginan pengguna yang mungkin 'mengidam' kuih-muih tertentu, terutama kuih tradisional yang banyak dijual di bazar Ramadan di negeri ini.

Tinjauan di bazar Ramadan dan juga kedai makan di sekitar daerah ini mendapati sambutan terhadap kuih tradisional Terengganu seperti 'nekbat', 'penganan', 'puteri mandi' dan 'sekaya pulut' amat menggalakkan.


Kuih Puteri Mandi.


"Kuih tradisional ini memang sedap tetapi jarang dijual pada hari-hari biasa dan saya ambil peluang beli di bazar Ramadan untuk dijadikan pembuka selera ketika berbuka puasa," kata Ahmad Nasrul Hadi Jamaluddin, 20, antara pengunjung Bazar Ramadan Sura Gate.

Seorang lagi pembeli, Normah Hashim, 47, berkata dia memilih kuih tradisional kerana keunikan rasa yang tidak boleh ditandingi kuih-kuih moden yang mudah ditemui.

"Lagipun orang yang buat kuih tradisional ini ikut cara tradisional bagi mengekalkan rasa. Saya rasa tidak ramai generasi muda kita yang tahu membuat kuih tradisional seperti kuih bakar dan 'koleh lemak' ini," katanya.


Kuih koleh lemak.


Katanya harga kuih-kuih terbabit juga masih berpatutan iaitu antara 40 sen dan 50 sen sebiji.

Peniaga pulut panggang, Rohimie Ismail, 45, berkata rezekinya pada bulan puasa biasanya meningkat berkali ganda berbanding hari-hari biasa.

"Hari ini sahaja saya dapat jual 150 biji pulut panggang, kalau hari biasa sekitar 50 dan 60 biji," katanya yang mengenakan harga 40 sen untuk sebiji kuih.

Seorang lagi peniaga, Maznah Embong, 63, berkata kuih paling laris di gerainya ialah 'penganan' yang dijual dengan harga RM8 sebiji.

"Memang agak mahal sedikit tetapi bahan mentah mahal sekarang sebab untuk menyediakan kuih ini perlukan telur, gula dan tepung yang banyak," katanya.

mstar


Kuih Wan Ramlah pilihan kenamaan
FARAH SHAZWANI ALI
16 Julai 2014


Wan Ramlah menunjukkan kuih tradisional yang dihasilkannya.

KUALA TERENGGANU - Kuih jala mas, mas jemput, tok aji serban, urat jati, taming sari, rokok arab telur, buah tanjung, koleh kacang, asam gumpal dan belimbing. Itu adalah sebahagian daripada kuih tradisional Melayu yang tentunya enak lagi menyelerakan.

Namun seiring dengan perkembangan semasa, kuih tradisional ini dilihat kian sukar diperoleh, kerana tidak ramai yang mempunyai kemahiran untuk membuatnya.

Bagi Wan Ramlah Wan Yakob, 68, yang menetap di Gong Kapas, dia tidak jemu untuk membuat aneka jenis kuih tradisional itu, demi cintanya pada bidang masakan dan mempertahankan resipi turun temurun keluarganya.

Mula menghasilkan kuih-muih bermula pada tahun 1990 secara kecil-kecilan ketika masih mengajar dengan Kemas, Wan Ramlah kini menumpukan kepada bisnes kuih tradisional secara serius.

“Saya tidak belajar membuat kuih daripada mana-mana, cuma setiap kali membantu ibu, dia akan memberikan tip untuk membuat kuih dengan betul dan kuantiti bahan yang diperlukan.

"Dari situ, saya belajar resipi keluarga," katanya.

Pada mulanya, Wan Ramlah hanya buat kuih untuk penuhi permintaan rakan.

Dari situ, dia mula menerima tempahan secara kecil-kecilan.

“Tetapi itupun saya tak menang tangan kerana tempahan terlalu banyak, apatah lagi sepanjang Ramadan dan Syawal ini,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Lorong Surau, Gong Kapas, di sini.

Jadi pilihan golongan istana

Menurut Wan Ramlah, ibunya iaitu Wan Teh Maimunah Awang yang berasal dari Pulau Duyong adalah seorang pembuat kuih tradisional dan kuih istimewanya adalah kuih jala mas.

Keenakan kuih jala mas yang dibuat ibunya memang tidak dapat dipertikaikan lagi sehingga sering mendapat tempahan daripada istana, sehingga kini.

“Semasa zaman datuk dan nenek saya lagi, mereka sering mendapat tempahan daripada istana. Sehingga sekarang, memang kita hantar kalau diminta. Kuih muih lain ada juga yang ditempah, tetapi yang paling istimewa adalah kuih jala mas,” katanya.

Menariknya, golongan kenamaan yang pernah merasai sentuhan masakan Wan Ramlah, pasti akan mencarinya jika ingin makan sesuatu yang istimewa, hasil air tangannya.

Menurutnya, bekas Menteri Besar Terengganu yang terdahulu, Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad misalnya, akan menghubunginya jika ingin menempah kuih dan makanan seperti ayam golek, ayam kerutuk dan aneka jenis nasi istimewa.

Anak berhenti kerja

Dia yang mampu membuat kira-kira 40 jenis kuih tradisional, turut memperluaskan bisnes masakan kepada aneka jenis nasi dan lauk pauk, termasuk lauk pengantin.

Jelas Wan Ramlah, daripada 10 orang anaknya, anak ketujuhnya iaitu Ahmad Faisal Mohd Nasir, 30, sangat berminat untuk mendalami ilmu masakan dan kini berhenti kerja sebagai akauntan di sebuah syarikat swasta di Kajang sejak setahun yang lalu bagi membantunya.

Ahmad Faisal ketika ditemui berkata, banyak faktor yang mendorongnya berhenti bekerja dan salah satunya adalah bagi mengembangkan bisnes ibu bapanya itu.

“Ibu dan ayah saya, Mohd Nasir Ibrahim, 75, sudah berusia dan inilah masanya saya bantu mereka. Tempahan yang mereka terima pula terlalu banyak.

"Kuih akok berlauk misalnya, setiap hari mereka hasilkan 500 ke 600 biji. Ada kalanya menjangkau 1,000 biji sehari," katanya.

Selain menguruskan tempahan secara online, Ahmad Faisal turut menghantar kuih jala mas di pasar raya Sabasun sejak awal tahun ini.

“Tempahan memang banyak tetapi kami perlu buat ikut kemampuan. Kekangan kami ialah mesin bagi membantu kami memudahkan kerja. Cuma kita harap ada saluran untuk membantu kita dapatkan bantuan mesin.

“Secara tidak langsung, ia akan dapat memenuhi permintaan ramai dan mempertahankan kuih tradisional Melayu ini kerana saya lihat akan potensinya yang besar jika dibuat secara bersungguh-sungguh,” katanya.

sinar harian 


Tapai, makanan tradisi disukai ramai
Wartawan Sinar Harian
4 Mac 2012

Tapai

Jika dahulu, ubi kayu sering menjadi makanan pilihan apabila berlaku masalah seperti musim tengkujuh, malapetaka dan menjadi makanan ruji semasa Perang Dunia Kedua kerana kesukaran untuk mendapatkan beras ketika itu.

Ubi kayu boleh diaplikasikan dalam pelbagai bentuk untuk menghasilkan makanan lazat seperti kuih bingka ubi, kerepek dan juga tapai.

Jika dahulu, ia merupakan makanan tradisional masyarakat Pantai Timur terutama Kelantan dan Terengganu, namun kini, tapai digemari oleh semua.

Buktinya, ia telah diusahakan secara komersial oleh Hamdan Hamzah, 44, berasal dari Perak selama 12 tahun.

Menurutnya, usaha gigih untuk menghasilkannya membuahkan hasil apabila melihat tapainya menjadi pilihan ramai.

“Nampak mudah, tapi ia agak sukar untuk dihasilkan supaya menjadi sempurna dari segi rasa dan tekstur,” katanya.

Sebelum memulakan perniagaan tapai, beliau dan isteri, Zita Said, 39, mengambil masa lapan bulan untuk melakukan kajian terutama semasa proses pengeraman.

“Saya belajar melalui rakan dan mengumpul sedikit sebanyak mengenai tapai dengan bertanyakan orang yang lebih arif,” katanya.

“Tapi, kami sedia maklum, mereka tidak akan memberi resipi lengkap, jadi terpaksalah diusahakan sendiri dengan membuat beberapa percubaan sehingga berjaya,” katanya.


Nostalgia tapai daun getah

Beliau berkata, tapai mempunyai keunikannya tersendiri sehingga ramai yang ‘jatuh hati’ dengannya.

“Rasa manis dan tekstur yang lembut sesuai dimakan pada bila-bila masa sahaja, malah enak dijadikan pencuci mulut,” katanya.

Hamdan berkata, selain tapai ubi, beliau juga turut menjual tapai pulut.

“Tapai pulut yang dibungkus dengan daun getah paling mendapat sambutan pelanggan. Sekejap sahaja habis dijual,” katanya.

Menurutnya, selain rasa, pembungkusannya yang unik menggoda pelanggan.

“Pelanggan kami sangat menyukainya mungkin kerana nostalgia yang sememangnya ia menjadi makanan tradisional rakyat,” katanya.

Beliau berkata, untuk memudahkan pelanggan, tapai juga dijual dalam bekas plastik.

“Biasanya seratus bekas tapai ubi dan pulut habis dijual sebelum berakhirnya pasar tani. Pelanggan boleh terus menikmatinya tanpa sebarang halangan,” katanya.

Beliau berkata, tapai yang terbaik adalah tapai yang diperam selama dua hari.

“Jika diambil awal, ia tidak akan masak malah keras dan pulut pun masih mentah. Tempoh peraman selama dua hari menghasilkan tapai yang lembut, manis dan gebu,” katanya.


Terbang ke luar negara

Hanya menumpukan kepada perniagaan tapai, Hamdan berkata, ia dijual di Pasar Tani Seksyen 13 Shah Alam dan juga Kelana Jaya, Selangor.

“Hanya dua hari sahaja kami berniaga kerana untuk memastikan stok simpanan mencukupi. Hari Sabtu kami membuka gerai jualan di Pasar Tani Kelana Jaya dan Ahad di Seksyen 13 Shah Alam,” katanya.

Menurutnya, untuk memberi kelainan, tapai ubi dicelup tepung turut dijual kepada pelanggannya.

“Setiap hari berniaga, saya memperuntukkan kira-kira 30 kg tapai ubi untuk digoreng dan dijual panas-panas,” katanya.

Beliau berkata, tapai ubi goreng mempunyai keunikannya sendiri sehingga menyebabkan ia habis dijual pada hari tersebut.

“Tapai ubi goreng mempunyai rasa manis dan rangup serta kering kerana minyak masak tidak menyerap ke dalamnya,” katanya.

Menyentuh mengenai maklum balas pelanggan, Hamdan berkata, rata-rata pelanggannya berpuas hati terhadap tapai yang beliau usahakan.

“Ada pelanggan yang datang dari Perak semata-mata untuk menikmati tapai ini, malah ia telah ‘terbang’ ke Arab Saudi, Australia dan Singapura atas permintaan pelanggan,” katanya.

Bagi memenuhi tempahan, Hamdan berkata, pelanggan haruslah memberi tarikh pungutan supaya memudahkan beliau membuat perancangan.

"Kebiasaannya, kami melakukan pengeraman dua hari sebelum tarikh pungutan pelanggan bagi mengelakkan ia lembik, mentah dan sebagainya," katanya.

Hamdan berkata, tapainya yang terkenal dengan nama Tapai Hamdan diberikan oleh pelanggannya sendiri.

“Sebut sahaja Tapai Hamdan, ia merujuk kepada tapai yang dihasilkan oleh saya dan keluarga. Bangga apabila mendapat pengiktirafan daripada pelanggan walaupun tidak secara rasmi.

"Segala penat lelah terbayar apabila Tapai Hamdan terus mendapat sambutan dan habis dijual,” katanya.

sinar harian



kuih cara

kuih lompang

kuih keria keledek

kuih koci

Comments