bawang putih bawang merah




Wajah teater Bawang Putih Bawang Merah

Oleh IZWAN MOHD. ISA
Foto NOORADZRENE MOHD. NOOR


FATHIA diberi kepercayaan membawa watak Bawang Merah.

“WAHAI bonda ku, bonda ku si ikan kaloi. Timbullah bonda, timbullah tunjukkan diri,” bait-bait lirik lagu Lagu Perigi Biru yang dilantunkan oleh Allahyarham Kamariah Noor itu mungkin masih segar dalam kotak fikiran segelintir khalayak.

Masakan tidak, karya ciptaan komposer Zubir Said itu merupakan lagu runut bunyi yang dipetik daripada filem dongeng rakyat popular, Bawang Putih Bawang Merah.

Menerima sentuhan pengarah S. Roomai Noor, filem Bawang Putih Bawang Merah mengangkat kisah lara kehidupan seorang gadis kampung bernama Bawang Merah yang diseksa oleh ibu dan kakak tiri, Kundor dan Bawang Putih selepas kematian ibunya, Labu.

Diterajui oleh Latifah Omar, Umi Kalthom, Mustapha Maarof, Siti Tanjung Perak dan Aminah Yem, filem yang diterbitkan pada 1959 berkenaan merupakan antara naskhah visual yang paling diminati oleh penggemar filem tempatan.

Dalam tempoh lebih setengah abad, pelbagai versi Bawang Putih Bawang Merah telah diadaptasi oleh penggiat seni tempatan, sesuai dengan kehendak dan permintaan penonton.

Pada tahun 2001, filem animasi berjudul Putih mengambil inspirasi kisah dongeng tersebut dengan mengubah karakter Putih sebagai watak protagonis.

Meminjam suara pelakon Erra Fazira, Datuk M. Nasir, Raja Azura dan Wan Maimunah, filem arahan animasi Rashid Sibir itu berjaya menerima anugerah khas juri Festival Filem Malaysia ke-16 pada tahun 2003.

Sekitar tahun 2009, cerita dongeng Bawang Putih Bawang Merah sekali lagi disuntik dalam sebuah karya moden yang menyaksikan pelakon Zahiril Adzim memegang watak Merah, manakala Ellyas Abdullah sebagai Putih.

Masih berpaksi pada lingkaran kisah dongeng dan jalan cerita yang sama, buat pertama kalinya, naskhah Bawang Putih Bawang Merah dihidupkan di pentas teater di Panggung Sari, Istana Budaya, Kuala Lumpur.

Diarahkan oleh sutradara Erma Fatima dan A. Aris Kadir, karya yang diterjemahkan dalam versi baharu itu diterajui oleh Nur Fathia sebagai Bawang Merah, Juliana Evans (Bawang Putih), Syarul Ridzwan (Putera Raja) dan Beto Kusyairi (Si Bongkok).

Melihat pada fenomena yang pernah dicetuskan Bawang Putih Bawang Merah, sebagai jenama yang dekat dalam hati rakyat, para pelakon yang terlibat mempunyai pandangan tersendiri bagi melestarikan naskhah dongeng klasik dalam kalangan penonton, khususnya golongan muda.

Pentas adat

Bagi pelakon Syarul Ridzwan, adaptasi naskhah Bawang Putih Bawang Merah ke pentas teater merupakan satu langkah yang bagus dalam meneruskan kelangsungan adat dan budaya Melayu.

Ujar pelakon yang berusia 26 tahun itu, pendekatan tersebut bukan sahaja berupaya memberikan nuansa berbeza dalam pementasan teater, malah ia dapat menarik minat khalayak umum untuk datang menonton.

“Pengalaman menonton sesebuah naskhah di layar kaca adalah berbeza dengan apa yang dapat pada pementasan teater.

“Benar, kebanyakan daripada kita lebih suka menonton televisyen di rumah. Tetapi, dengan adanya adaptasi ini, saya percaya lebih ramai yang akan pergi dan menonton teater,” katanya.

Tambah Syarul, selain menarik minat penonton datang ke panggung, teater juga merupakan sebuah pentas adat yang boleh dijadikan platform dalam menyampaikan nilai-nilai murni kepada masyarakat.

“Tidak kira berat atau ringan, naskhah teater apabila dipentaskan pasti sarat dengan pengajaran.

“Sebagai pelakon, saya menjadikan peluang ini untuk menyampaikan sesuatu yang berguna terutamanya kepada peminat,” katanya yang sebelum ini pernah terlibat dalam pementasan teater Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck.

Tradisi

Tidak dinafikan, golongan muda masa kini lebih cepat terpengaruh dan menghargai tradisi masyarakat negara luar. Sebagai contoh, gelombang irama K-Pop yang dicetuskan oleh artis Korea sekitar tahun 2009 masih bersisa sehingga kini.

Justeru, menurut Nur Fathia, adaptasi kisah dongeng dilihat mampu mendidik masyarakat untuk lebih menghargai karya dan tradisi Melayu yang semakin diabaikan.

“Orang kita semakin moden. Saya sendiri mengakui lebih gemarkan karya-karya luar berbanding karya klasik. Namun, kita tidak sedar bahawa karya-karya lama lebih bermutu dan bersifat asli tanpa sebarang pengaruh budaya luar.

“Jadi, menerusi penglibatan dalam teater Bawang Putih Bawang Merah, saya ingin buktikan bahawa karya dongeng klasik juga mampu berdiri sama tinggi karya-karya moden lain,” ujarnya.

Ditanya adakah dia mempunyai strategi tersendiri dalam membawakan watak Bawang Merah, Fathia memberitahu akan cuba melakukan yang terbaik agar naskhah tersebut dapat memberikan impak berbeza kepada penonton.

“Ada pelbagai elemen kemelayuan yang akan diketengahkan dalam teater ini. Antaranya elemen tarian dan nyanyian.

“Jadi, saya akan cuba memberikan persembahan yang terbaik agar jalan cerita yang ingin dipersembahkan sampai kepada penonton,” ujarnya sambil menyifatkan watak Bawang Merah agak sukar untuk dijayakan.

Khazanah

Melihat pada keberanian Erma Fatima dalam merealisasikan penceritaan Bawang Putih Bawang Merah di atas pentas teater, Beto Kusyairi berpendapat, usaha tersebut perlu diteruskan agar naskhah berkonsepkan rakyat dapat berevolusi seiring dengan zaman.

“Konsepnya sama sahaja dengan cerita rakyat di luar negara. Mereka turut mengadaptasi karya-karya tersebut menjadi filem, filem animasi dan pementasan muzikal.

“Jadi apabila Bawang Putih Bawang Merah diterjemahkan sebagai naskhah teater, ia akan memberi evolusi baharu terhadap karya tersebut.

“Ini merupakan satu percubaan yang sangat baik. Jika bukan kita sebagai orang Melayu, siapa lagi yang akan memartabatkan naskhah-naskhah sedia ada?,” tegasnya.

Bercakap mengenai wataknya sebagai Si Bongkok, Beto berkata, ia merupakan karakter tambahan yang diwujudkan oleh pengarah.

Menyifatkan ia sebagai sebuah interpretasi Erma dalam memberi nafas baharu, Beto berkata, penambahan karakter tidak mengganggu jalan cerita asal naskhah berkenaan.

Malah, tambah Beto, ia akan memberikan lebih banyak ruang kepada pelakon untuk menunjukkan teladan yang positif kepada penonton.

“Kewujudan watak Si Bongkok bakal diiringi dengan konflik dan juga drama. Ia merupakan petanda yang positif bagi penonton untuk lebih mengupas mesej berguna menerusi pementasan tersebut,” katanya lagi.

Karma

Sementara itu, menurut Juliana Evans, Bawang Putih Bawang Merah merupakan sebuah karya ikonik yang menggambarkan kehidupan masyarakat Melayu secara keseluruhan.

Kongsi penggemar versi hitam putih karya dongeng tersebut, naskhah berkenaan turut memaparkan makna sebenar pembalasan dan kitaran karma yang sering berlaku dalam kehidupan manusia.

“Kita sering berpegang pada satu kitaran hidup, iaitu apa sahaja yang dilakukan pasti akan mendapat balasan setimpal.

“Walaupun saya membawakan watak antagonis iaitu Bawang Putih, namun, saya percaya penonton dapat mentafsirkan maksud tersirat di sebalik penceritaan teater ini,” tuturnya yang baru pertama kali terlibat dalam pementasan teater bahasa Melayu.

Mula dipentaskan di Panggung Sari, Istana Budaya, Kuala Lumpur bermula hari ini sehingga 8 Disember, teater Bawang Putih Bawang Merah turut menampilkan barisan pelakon seperti Fauziah Ahmad Daud, Fazlina Ahmah Daud, Tya Ariffin dan Nabila Huda.

Tiket-tiket berharga RM36 hingga RM256 boleh didapati menerusi laman web, www.redtix.airasia.com.

Sejak diangkat ke layar lebar pada tahun 1959, naskhah Bawang Putih Bawang Merah telah mencipta fenomena yang tersendiri dalam kalangan penggemarnya. Terbaharu, kisah dongeng rakyat popular tersebut diterjemah dalam bentuk teater dan dipentaskan di Panggung Sari, Istana Budaya, Kuala Lumpur bermula hari ini.

WATAK Si Bongkok yang dimainkan oleh Beto Kusyairi diwujudkan bagi memberi dimensi berbeza terhadap naskhah tersebut.

FATHIA diberi kepercayaan membawa watak Bawang Merah.

KREDIBILITI Fathia dan Juliana sebagai pelakon baharu diuji melalui pementasan teater berpengaruh Bawang Putih Bawang Merah.

Juliana Evans memegang watak Bawang Putih yang mempunyai hati kejam terhadap Bawang Merah.

SYAHRUL RIDZWAN melakonkan watak putera raja yang pada satu ketika dahulu pernah disandang oleh Mustapha Maarof.

MITOS Bawang Putih Bawang Merah pertama kali divisualkan pada tahun 1959 dan menjadi dongeng rakyat paling popular dalam kalangan penggemar karya lama.

kosmo

Comments