Anis Sabirin

Anis Sabirin: suara feminis lantang yang terkubur

9 Mac  2015
Alicia Izharuddin

Alicia Izharuddin thinks, writes, and teaches in Malaysia.


MAC 9 — Anis Sabirin. Satu nama yang jarang sekali menjelma dalam wacana feminis di Malaysia.

Suatu ketika di penghujung dekad 1960-an, beliau terkenal sebagai suara yang lantang mengkritis penggambaran wanita yang seksis dalam sastera Melayu moden.

Beliau bagaikan perintis feminis moden yang berpencapaian tinggi, lain daripada tokoh-tokoh feminis-nasionalis terkemuka seperti Shamsiah Fakeh dan Sybil Kathigasu yang dating sebelumnya.

Malaysia pada zaman 1960-an sebuah negara yang baru mengenali pembangunan moden dan hidupan kosmopolitan yang banyak memanfaatkan golongan wanita di bandar.

Dapat dilihat di zaman ini ramai wanita yang bekerja dan berkerjaya berikutan bilangan mahasiswi di universiti yang meningkat.

Lahir pada tahun 1936 di Johor Baru, Anis Sabirin adalah antara wanita generasi moden 1960-an yang menyambut peluang melanjutkan pelajaran hingga ke tahap PhD dalam bidang ekonomi di Amerika Syarikat.

Beliau pernah menetap di San Francisco dan Los Angeles selama 20 tahun dan giat menulis fiksyen dan puisi dalam bahasa Melayu dan Inggeris.

Esei-eseinya tentang isu wanita dalam Peranan Wanita Baru dan majalah Dewan Sastera menempatkan Anis Sabirin antara penulis wanita bersifat feminis yang terawal di Malaysia.

Pada tahun 1963, beliau pernah menyampaikan kritikan yang menyengat di Majlis PENA yang berlangsung di Universiti Malaya.

Anis Sabirin. — Gambar failAnis Sabirin. — Gambar failDalam ucapannya, penulis lelaki popular seperti Yahya Samah, Alias Ali, Keris Mas, dan Kala Dewata sering mengisi novel mereka dengan watak pelacur dan mangsa rogol sebagai ‘perencah’ cerita.

Menurut Anis Sabirin, watak wanita yang menggiurkan menjadi ‘barang dagangan’ bagi menyara kehidupan seorang sasterawan lelaki.

Dari sudut pandang sekarang, Malaysia pada dekad 1960-an adalah seperti negara yang asing.

Mungkin sukar untuk kita bayangkan bahawa pasaran novel picisan di zaman dahulu penuh dengan seks dari muka depan hingga ke belakang.

Seperti majalah lucah, kulit buku Temasya Cinta oleh A. Samad Ismail dan Patah Dayong oleh Yahya Samah dihiasi imej wanita yang telanjang.

Mengikut Anis Sabirin, perempuan dalam novel-novel seperti ini ‘sudah menjadi barang yang rosak dan merosakkan’.

Sangat mengejutkan jika kita membaca esei-esei yang dihimpun dalam Peranan Wanita Baru terbitan Utusan Melayu pada tahun 1969.

Tajuknya - Peranan Wanita Baru - mengacu kepada wanita 1960-an yang sedang melangkah ke zaman paska-kolonial yang penuh perubahan sosial dan budaya.

Seiringan dengan itu, gerakan feminisme gelombang kedua di Amerika Syarikat baru sahaja berputik di pertengahan 1960-an.

Anis Sabirin begitu peka kepada kehendak wanita moden yang dibelenggu pemahaman adat dan agama yang kuno.

Menurutnya, sudah ramai wanita 1960-an yang berpendidikan tinggi dan mempunyai daya saing di tempat kerja tetapi ditekan oleh beban rumahtangga.

Beliau menggaris dengan terang-terang bahawa kemajuan wanita terletak di luar rumah.

Nanti bila pergaulan bangsa kita menjadi bertambah bebas, kenyataan ini boleh-lah di-buktikan, bahawa wanita yang bekerja itu hidup-nya menarek daripada sa-orang wanita yang dudok di-rumah, dan sebab itu dia tidak payah berlumba-lumba memikat orang lelaki untok memboktikan daya penarek-nya.

Peranan Wanita Baru merupakan satu-satunya buku yang menyasarkan bara terhadap patriarki yang tertanam degil di akar umbi budaya Melayu.

Boleh dikatakan bahawa belum pernah adanya buku yang sepertinya malah ia lenyap dari wacana feminis Malaysia.

Soalnya mengapa?

Suara lantang Anis Sabirin dalam Peranan Wanita Baru mungkin tidak mendapat sambutan yang meluas di kalangan wanita dan lelaki Malaysia.

Penulis wanita yang berani mencabar lelaki akan disisih secara terang dan halus.

Meskipun sumbangan wanita dalam dunia sastera Malaysia dianugerahkan bermacam pingat dan piala, mereka tidak diagungkan seperti lelaki sejawatnya.

Tidak ada sasterawati Melayu yang dikenali umum seperti Shanon Ahmad dan A Samad Said.

Setelah 46 tahun sejak terbitan Peranan Wanita Baru, bagaimana pula pembaca novel popular sekarang yang dihidangkan dengan keasyikan kahwin kontrak dan ombak rindu?

Di mana pergi peredaran zaman yang memberi peluang kepada wanita seluas-luasnya pada tahun 1960-an itu?

Pendirian tegas Anis Sabirin tentang isu wanita jauh berbeza daripada wanita Malaysia yang menulis dalam bahasa kebangsaan di waktu kini.

Namun penulisannya masih segar dan relevan.

Sebagai seorang wanita yang giat menulis tentang isu wanita, saya mengambil iktibar darinya dan mengkagumi esei-eseinya yang bersifat feminis dan ‘global’ yang muncul sebelum kemudahan internet dan arus globalisasi.

Hujah feminis yang dikemukakan dalam Peranan Wanita Baru adalah bukti bahawa masa depan wanita di Malaysia tidak menentu.

Kekangan dahulu sama seperti kekangan sekarang.

Suasana zaman atau zeitgeist yang kini diungkapkan oleh wacana ‘demokrasi’ dan ‘hak asasi’ tidak menjamin kemajuan dan pencerahan.

Namun, perjuangan feminis di Malaysia yang kini semakin memuncak akan meninggalkan kesan yang lebih bermakna dan sejarah yang lebih diperingati oleh generasi yang akan datang.

* Pandangan di atas hanyalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pandangan Malay Mail Online

 themalaymailonline


Antara Kegelisahan Anis Sabirin, Pergi Membawa Diri, Rindukan Tanahair, Pulang Dengan Keinsafan Dan Ketenangan
Dr Shafie Abu Bakar

Anis Sabirin adalah antara penyair wanita terawal menulis puisi moden dan terkenal sejak 1960an. Berasal dari Johor Bahru dan berkelulusan Universiti Malaya Singapura – Sarjana Muda Sastera dengan kepujian (1959). Beliau bekerja di Dewan Bahasa dan Pustaka sebagai Pegawai Penyelidik (Mei,1960 hingga Februari 1971). Puisi-puisinya sering diperkatakan sejak 1960an. Selepas itu Anis menyambung pelajaran ke Amerika Syarikat sejak 1976, menetap dan berkhidmat di sana (Francisco). Walau bagaimana Anis Sabirin terus menulis sehingga ke pertengahan 1990an. Puisi-puisinya dihimpunkan dan kumpulan puisi persendiriannya berjudul `Simfoni` (1996).

Membaca puisi-puisi Anis Sabirin semacam berbaur dirinya dengan kegelisahan dan mencari ketenangan dan ada kalanya semacam pesimis terhadap hidup

Hidup

Hidup ertinya derita
Kerana kita dihidupkan untuk derita
Dan siapa sanggup
Memikul tugas teramat berat tersedia
Baginya rahsia Tuhan Maha Cinta.

Siapa berani hidup
Lebih dahulu harus menyucur air mata
Api dan waja mengancam detak di hati
Pedih dan tangis seiring arakan di keriangan bumi
….
(1 Januari 1962).
(Anis Sabirin, Simfoni, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 1996: 17).

Beberapa puisi beliau bertemakan sedemikian seperti Malam (23, 1961), Duka (24, 1961), Lagu Dara Keseorangan (25, 1961), Sajak III (14, 1962), Balada Anak Kota (hlm. 1-3,1963). Kita kira puncak kegelisahan Anis Sabirin, beliau mengungkapkan:

Kubunuh Cinta

Kubunuh cinta dalam hatiku
Pisau tajam berkilau !
Darah pancut merah-merah
Aku menjerit
Ketawa dalam kepedihan.

Cintaku terkulai merah
Gigil kian lemah !
Dan pisau tajam berdarah
Kulempar jauh-jauh.
Hilang di balik malam.

Sudah kubunuh cintaku merah
Darah mendidih pekat
Aku senyum
Aku tidak lagi
Akan dibunuh oleh cintaku.
(tanpa tarikh)
(Simfoni, 1996: 27).

Apakah pemergian Anis Sabirin ke San Francisco sepenuhnya untuk menyambung pelajaran atau sebagai pelarian ?

Yang nyata bila beliau di sana beliau pula kecamuk rindukan tanahair dan keluarga. Dalam puisinya setelah 13 tahun di San Francisco beliau menulis:

Surat Dari San Francisco
….
Tiga belas musim tanah kemarau
Rindu kasih tak kunjung padam.

Betapa lama ditinggalkan
Kasihku bersinar gemilang
Walaupun salji putih menimbun
Angin Santa Ana dan Los Angeles membadai
Aku tetap anak Negara
Malaysia Negara kekasih
….
San Francisco
8 Februari 1981.
(Simfoni, 1996: 84).

Dan kepada anaknya beliau menyatakan,

Kepada Anakku
(Untuk Azmi dan Alida)

Demikianlah anak
Setelah jauh kita berjalan
Menembus awan dan waktu
Dibawa jet begitu laju
Akhirnya sampai
Di bumi impian.
….
Melintasi Lautan Teduh
Menjelajah negeri demi negeri
Dibawa hati rindu
Ditarik kenangan ghairah
Kepada tanah air.

Demikianlah anak
Banggalah pada asal usul kita
Pada bangsa yang sedang membentuk sejarah
Dari masa silam penuh harapan
Malaysia sedang membangun.

San Francisco,
11 September 1981
(Simfoni, 1996: 65).


Beberapa puisi Anis Sabirin tentang rindu dan kasih cinta pada tanah air seperti Dia Kembali (41, 1981), Malaysia Tanah Airku (55, 1981), Hijrah (72-73, 1981),Tanah Air (32, 1991), Dari Mana (41, 1991), Bumiku Hijau (31, 1992), Lagu Cinta Tanah Air (33-34, 1991) dan Kuala Lumpur (57, 1992).

Dalam keresahan ada suara-suara keinsafan terungkap dari Anis Sabirin. Contoh puisi:

Doa
….
Tuhan
Hampir tergelincir
Di air mata yang mengalir
Rinduku cahaya dan setia
Doaku damai di hati bernoda
Belas kasih-Mu juga dipinta
Ampun bagi kami yang lemah
Hasrat benci yang meletus perang dan musnah.
….
(Simfoni, 1996: 21).

Nada-nada keinsafan ini ketara dalam puisi-puisi sebelum Anis Sabirin berangkat keluar Negara (1967). Contoh-contoh puisi-puisi Ruang dan Waktu (13, 1962), Aidil Fitri Hari Mulia (5-6, 1963), Kelahiran dan Kematian (7, 1963).

Mulai 1992 nampaknya Anis Sabirin kembali menetap di tanah air, maka kedapatan selepas 1992, makin banyak puisinya yang membawa nada keinsafan dan keislaman. Contoh:

Nyanyian Seorang Bayi

Ibu
Di malam yang ajaib ini
Sewaktu angin berhembus damai
Langit tenteram melindungi bumi Tuhan
Ramadan yang mulia datang berwajah jernih
Dan suara azan merdu terdengar
Menerawang angkasa.
Ibu alangkah tenteram sekitar alam
Damai, damai yang indah menyelimut laut
Dan tanah, tasik dan teluk
Gunung dan lembah, segala-galanya berkat dan suci
Ramadan, tamu terhormat, datang membawa rahmat
Damai dan bersih.
….
Petaling Jaya,
10 Februari, 1995.
(Simfoni, 1996: 29-30).

Keinsafan lebih tinggi bila kita diuji dengan kesakitan:

Pengertian
….
Kumelangkah perlahan
Ingin menghirup dingin cuaca pagi
Begitu lesu terbaring di kamar
Merenung kipas angin
Mendengar deru bas Sekolah.

Badan separuh lumpuh
Fikiran kusut
Ini kamar hospital atau rumahku ?

Suara azan dari masjid
Bawa ketenangan untuk pagi yang rusuh
Sungguh besar rahmat-Nya
Sakit tenat bawa rasa damai
Dan pengertian yang mendalam
Tentang hidup sederhana.

Petaling Jaya,
13 Mei 1993.
(Simfoni, 1996: 39).

Antara puisi-puisi yang membawa keinsafan ialah, Batas (38, 1994), Ibu dan Anak (44-45, 1993), Sajak Bukanlah Susu (46-47, 1994), Doa (kedua) (83, 1993) dan Di Ranjang Sakit (85-86, 1993).

Walau bagaimana di dalam kumpulan puisinya turut membawa tema yang bersifat antara bangsa, politik dan soal business. (Simfoni, 1996, 135hlm.). Sebahagian daripadanya (bahagian akhir) turut memuatkan puisi-puisinya dalam bahasa Inggeris (103-135). Misalnya pembangunan Silicon Valley di California (52, 1981), Mengecam Amerika melanggar Iraq (90-92, 1991), Usaha Tengku bagi mendirikan Malaysia & berbagai peristiwa politik dunia (10-12, 1962). Bahkan bersama dalam business lunch:

The Business Lunch

Today I went for a business lunch
With a new friend, an economist
From the Bank of America
….

We are at the Cherry Blossom Restaurant
I had shrimp noodle, she ordered
Beef rice, and the bill was really modest
I thought, perhaps I should arrange
A business lunch every single day
It keeps me stimulated and happy
I would like to be happy
Especially on such a shining day as this.

San Francisco,
19 February 1981
(Simfoni, 1996: 131).

Beberapa puisi Anis Sabirin dalam bahasa Inggeris semasa di luar Negara adalah mengenai pengembaraan dan lawatan seperti The Wanderings – catatan menjelajah benua Amerika barat ke timur (106, 1981), Toward Tomorrow (107, 1981), Odyssey (110, 1981), A Journey (111, 1980). Anis seperti mencari dari segi lahiri dan maknawi. Kata Anis:

Grace

My mind is a radar, scanning the universe
Ever restless in search of new truths
Waves of energy flash green upon the screen
The pulse of life bears strongly.

Light impulse streaks across time
I stand silent, gazing at impenetrable mystery
There is order, beauty, harmony
The planets swimming in deep space.

Radiance covers the quiet sky
My mind, a tranquil haven, leaps forth
In sudden knowledge of life`s grace:
There is no fear, only total gladness.

Beverly Hills,
27 March 1991.


Anis Sabirin juga tidak lupa pada akar tradisi puisi Melayu, iaitu Pantun contoh Dari Mana (41, 1991), Pantun Sehari (61-62, 1991).

Ketara puisi-puisi Anis Sabirin membawa pelbagai tema dan sebahagian daripadanya bertemakan keislaman sebelum hijrah Anis Sabirin dan lebih ketara selepas kepulangannya menetap kembali di Petaling Jaya. Namun puisi-puisi Anis Sabirin yang kebanyakan panjang-panjang itu lebih bersifat pernyataan, tetapi kurang membawa aspek estetik sebagaimana diharapkan dari hasil seni . Dengan usia Anis Sabirin berlanjutan makin menebal keinsafan dan kesedaran keislaman. Anis yang kelihatan pada awalnya banyak membawa tema-tema kecewa dan seolah-olah membawa diri, mencari hakikat kehidupan dan menemui dan pulang dengan tenang. Anis tidak bersifat Si Tenggang, tetapi seluang melaut yang pulang dengan keinsafan dan kasih sayang.

Sekian.

drshafieabubakar


Biografi Anis Sabirin

Dr. Anis Sabirin (lahir 1 Mac 1936 di Johor Bharu, Johor) merupakan penulis yang aktif pada 1960-an.Nama penanya ialah 'Nil', 'Nuraini', 'A.B.S'.

Pendidikan
Beliau bersekolah di sekolah Melayu dan sekolah agama di Johor Bharu, Sekolah perempuan (Inggeris) Sultan Ibrahim, Johor Bharu.Seterusnya di Universiti Malaya Singapura mendapat Ijazah sarjana muda sastera (kepujian) (1959). 1967 sambung belajar peringkat sarjana salam Sains Politik setelah mendapat Biasiswa Fullbright di Amerika Syarikat. Seterusnya ijazah kedoktoran jurusan ekonomi di Claremont Graduate School (1976)

Kerjaya
Bekerja sebagai pegawai penyelidik di DBP (1960-1967).Pengerusi jawatankuasa istilah falsafah serta setiausaha jawatankuasa istilah kesusteraan dan setiausaha jawatankuasa menyiasat [[Penyata Pelajaran Razak (1959).Seterusnya bertugas di kedutaan Indonesia, di pejabat perdagangan Malaysia di Los Angeles, Amerika Syarikat.Kemudian menjadi pegawai pemasaran di Suruhanjaya Perdagangan Malaysia di New York. Seterusnya pengerusi eksekutif Azlida Component (M) Sdn. Bhd.

Penulisan

Tulisan Anis Sabirin pada 1960an begitu dirasakan.Ayahnya seorang penerbit buku-buku Melayu.Beliau juga menulis cerpen dan puisi dan menjadi ahli forum dan penceramah berkaitan dengan wanita. Akhbar Berita Minggu dan majalah Dewan Bahasa sering menyiarkan tulisan beliau.Beliau dilantik sebagai Karyawan Tamu DBP dari 1994-1996.

Antara karyanya:

Dua dunia : memoir ; DBP, 2008
Ini Kota Impian ; DBP,2005.
Simfoni ; DBP, 1996.
Persona ; DBP, 1994.
Puisi Nusantara (antologi bersama)(1981)
Kembang Melati (antologi puisi) ( 1982)
Bunga Gerimis (antologi bersama)(1986)
Puisi Rama Merdeka (1986).
Dari Bayang ke Bayang(1966) - antologi cerpen
Angin retak (antologi cerpen bersama)(1966)
Hawa (antologi cerpen bersama) (1984)
Titisan Indah di Bumi Merkah (antologi bersama) (1985)
Pesona (1984)
Garis Biru (2002).

Antara cerpen beliau ialah 'Gadis Pejabat' (Utusan Pemuda), Perempuan (Berita Minggu), dan 'Berkunjung ke Tanah Suci' (Berita Harian).

Sajak 'Dua Dunia tersiar dalam majalah Dewan Sastera dan Dewan Budaya memenangi Hadiah Sastera Malaysia 1982/1983.

wiki


Comments