sejarah penerbangan

Lubuk sejarah penerbangan negara
Oleh KASANABILAH KAMARUL ZAMAN



Perasaan teruja mula menyusup ke dalam diri Azriez Shah Anizam, 12, sebaik sahaja memasuki pekarangan Muzium Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Kuala Lumpur.

Suasana kelihatan klasik meskipun kawasan itu hanya tanah lapang yang dipenuhi rumput dan pesawat-pesawat yang sebelum ini sekadar nampak di langit biru, tersergam indah di depan mata.

Azriez Shah dan 59 orang pelajar Sekolah Kebangsaan Seri Langkap, Langkap, Perak enggan melepaskan peluang untuk mengabdikan kenangan dengan bergambar dan menyentuh pesawat itu.

Rombongan lawatan sambil belajar yang melibatkan pelajar tahun empat hingga enam itu memberi pendedahan dan pengalaman berbeza kepada Azriez Shah.

Katanya, selain terpesona melihat kira-kira 30 pesawat dan jet pejuang yang mendarat elok di atas tapak muzium, dia juga boleh menyentuh, memperoleh maklumat dan masuk ke ruang pesawat.

Aset

“Pengalaman seumpama itu adalah yang pertama dalam hidup saya. Saya dan rakan-rakan diberikan taklimat tentang kewujudan dan peranan TUDM.

“Selain melihat aset TUDM, kami juga disajikan dengan tayangan video korporat yang memaparkan anggota pasukan beruniform itu,” kongsi ketua pengawas sekolah itu.

Azriez Shah memberitahu, sesi lawatan ke muzium itu memberi pengalaman yang menarik buat dirinya.

Selepas sesi itu, Azriez Shah memberitahu, cita-citanya semakin menggunung untuk menganggotai pasukan beruniform tersebut kerana dia tertarik melihat jet pejuang, senjata dan uniform yang kelihatan segak apabila disarung.

Mencadangkan supaya lokasi itu dijadikan sebagai kawasan wajib dilawati apabila bertandang ke Kuala Lumpur, pelajar tahun enam itu memberitahu, banyak ilmu dan sejarah diperoleh hasil lawatan tersebut.

Sementara itu, guru pengiring lawatan tersebut, Sazlina Mat Dan, 42, berkata, pihaknya sering menjadikan Muzium TUDM sebagai lokasi yang wajib dilawati setiap kali mengadakan program lawatan sambil belajar ke ibu kota.

Ini kerana pelbagai manfaat dan maklumat boleh diperoleh di lokasi itu.

“Murid-murid begitu seronok apabila melihat pesawat di depan mata selain dihidangkan dengan pelbagai maklumat dan sejarah. Situasi itu mampu menarik minat mereka untuk menyertai TUDM apabila dewasa kelak.

“Sekiranya kemudahan dan persekitaran muzium ditambah baik, pasti bilangan pengunjung akan bertambah,” saran Sazlina.

Muzium TUDM yang diwujudkan sejak tiga dekad lalu itu bertujuan untuk memulihara sejarah pasukan beruniform tersebut.

TUDM secara rasminya ditubuhkan pada 2 Jun 1958. Bagaimanapun, kewujudan pasukan udara di negara ini telah bermula sejak tahun 1930-an di bawah pentadbiran British bagi membantu benteng pertahanan Tanah Melayu.

Keseluruhan kawasan itu dijadikan sebagai lapangan terbang sejak tahun 1930-an iaitu ketika pemerintahan British tetapi kini, sebahagian daripada lokasi tersebut menjadi arkib TUDM.

Pengarah Muzium TUDM, Leftenan Kolonel Roslan Manan memberitahu, tapak muzium yang terletak berhampiran Lebuh Raya Sungai Besi itu sangat signifikan dengan peristiwa bersejarah untuk mendapatkan kemerdekaan negara selain menjadi lapangan terbang komersial pertama di Malaysia sebelum wujudnya Lapangan Terbang Subang, Selangor.


MURID-MURID dari Sekolah Kebangsaan Seri Langkap, Perak mengabadikan kenangan bersama pesawat jenis Albatross yang dipamerkan di Muzium TUDM.

“Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj (Perdana Menteri pertama Malaysia) menaiki pesawat Rajawali untuk berlepas ke London bagi membincangkan perkara besar itu pada 1956.

“Selain itu, tapak muzium ini juga menjadi saksi pelepasan Tunku Abdul Rahman ke destinasi sama untuk membincangkan tentang penubuhan Malaysia pada tahun 1963.

“Pesawat itu dipamerkan di sini untuk rujukan para pengunjung yang mahu menggali sejarah kemerdekaan Malaysia.

“Selain Rajawali dan Cessna, pelbagai jenis pesawat yang telah ‘tamat perkhidmatan’ diletakkan di muzium ini untuk dilihat, dipegang dan dimasuki pengunjung,” terang Roslan ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.

Beliau menjelaskan, muzium itu sering dipenuhi pengunjung ketika musim cuti persekolahan.

Meskipun peranan sebagai lapangan terbang tidak aktif seperti dahulu, Pangkalan Udara TUDM masih beroperasi dan menjadi tempat mendarat untuk pesawat bersaiz sederhana.

Menariknya, pihak muzium juga menggunakan Sistem Kapsyen Eletronik (ECS) untuk menerangkan maklumat berkait aset yang dipamerkan kepada pengunjung.

“Pengunjung hanya perlu mengimbas kod bar yang tertera menggunakan telefon pintar dan segala maklumat akan tertera dengan pantas.

“Ia lebih bersifat mesra pengunjung khususnya mereka yang perlu mengingati atau menyimpan maklumat itu.

“Usaha itu juga bertujuan meremajakan muzium seiring dengan peredaran zaman,” kongsi Roslan sambil memberitahu muzium itu sering menjadi rujukan pelajar jurusan kejuruteraan dan penerbangan.

Tidak menafikan infrastruktur muzium yang agak lama, Roslan menegaskan, pihaknya cuba untuk memperbaiki sedikit demi sedikit kemudahan selain menjadikan perkhidmatan canggih sistem ECS yang bersifat mesra pengguna sebagai tarikan.

Simulator

Selain itu, muzium yang dikendalikan oleh 14 orang kakitangan terdiri daripada anggota TUDM tersebut turut menyediakan dua buah simulator untuk dicuba oleh pengunjung.

Simulator yang memberi peluang kepada pengunjung untuk menikmati pengalaman seakan-akan menerbangkan sendiri pesawat adalah hasil ciptaan staf muzium dan telah memenangi Anugerah Hari Inovasi Kementerian Pertahanan 2012.

Muzium yang dibuka kepada orang ramai pada setiap hari Sabtu hingga Khamis itu secara purata menerima kira-kira 3,000 orang sebulan.

Selain itu, ia turut tersenarai sebagai lokasi pilihan pelancongan selain menjadi lokasi penggambaran filem dan penyiaran, akhbar serta majalah.

kosmo

Comments