Muzium dan Galeri Seni BNM


Muzium dan Galeri Seni Bank Negara Malaysia ditubuhkan untuk memberi peluang kepada orang ramai untuk mengenali dan mempelajari tentang kepentingan ekonomi, perbankan Islam, dan perancangan kewangan bersama-sama Bank Negara yang memainkan peranan penting dalam membina kefahaman melalui transformasi polisi ekonomi pada masa hadapan. Galeri Seni disini mempamerkan koleksi-koleksi seni Bank Negara dari bumi Asia Tenggara dan Malaysia dan diperolehi sejak tahun 1962.








Galeri Seni

Galeri seni mengandungi koleksi karya seni visual Bank Negara Malaysia hasil lukisan karyawan tempatan dan Asia Tenggara sejak seawal tahun 1962. Koleksi ini memaparkan sorotan peristiwa penting negara dan merupakan satu cara bank pusat menyokong bidang seni termasuklah hasil karyawan tersohor seperti Mohd Hoessein Enas dan Yong Mung Sen, sehinggalah karyawan-karyawan muda pada masa ini.



Galeri Numismatik

Terokai sejarah awal mata wang dan kembali semula ke zaman ketika objek dalam berbagai-bagai bentuk dan saiz diterima sebagai mata wang. Sertai permainan ‘Perniagaan Barter’, ketahui kisah yang mengagumkan di sebalik setiap syiling, artifak dan khazanah menerusi pameran interaktif. Anda juga boleh saksikan pameran mata wang dunia yang menarik.


Galeri Kewangan Dan Perbankan Islam

Terokai konsep perdagangan dan kewangan awal berasaskan Islam, yang bermula di Timur Tengah, dan kemudiannya tersebar ke Eropah dan kini tersebar luas hingga ke seluruh dunia. Konsep perkongsian, penubuhan syarikat, permodalan dan penggunaan cek dalam bentuk kertas adalah antara inovasi yang telah berkembang sejak beribu-ribu tahun dahulu.



Galeri Bank Negara Malaysia

Ketahui fungsi, peranan dan tanggungjawab utama Bank Negara Malaysia untuk memelihara kestabilan kewangan dan kemakmuran ekonomi negara. Pameran yang bermaklumat dan menarik ini menceritakan fungsi serta sejarah Bank Negara Malaysia.



Galeri Ekonomi

Ketahui bagaimana dasar ekonomi memberi impak terhadap negara dan terokai perkembangan Malaysia sejak kemerdekaan hingga ke hari ini. Selain itu, ketahui juga peranan Malaysia serta pencapaiannya dalam sistem kewangan dan ekonomi global.



Galeri Kanak-kanak

Dengan pengisian permainan interaktif berasaskan ‘Simpan’, ‘Belanja’ dan ‘Kongsi’, galeri ini merupakan medium pendidikan kewangan yang unik untuk kanak-kanak. Alamilah ‘Terowong Sejuta Ringgit’ yang mempamerkan wang kertas dalam pelbagai siri dan denominasi.


Sekyen Pameran LATerasi Kewangan
 29 September 2015 - 28 April 2016





Seksyen 1 : Buku Wang Saku

Buku Wang Saku¹ atau Pocket Money Book merupakan satu inisiatif yang telah diperkenalkan sebagai sebahagian daripada kempen galakan tabungan peringkat kebangsaan yang dilancarkan pada tahun 1996 dalam usaha untuk memupuk rakyat Malaysia menjadi celik kewangan dengan menyediakan asas bagi program pendidikan kewangan yang diperkenalkan kepada golongan pelajar Malaysia di sekolah. Buku ini bertujuan untuk menggalakkan murid sekolah merancang dan menguruskan perbelanjaan harian mereka supaya sumber yang terhad dapat digunakan dengan berkesan dan cekap. Buku ini mempunyai mesej yang cukup mantap tentang pengurusan kewangan di kalangan murid sekolah disokong dengan karikatur tersendiri oleh Datuk Lat. Buku ini mengandungi topik pengurusan wang yang berkaitan seperti menetapkan matlamat kewangan, perbelanjaan berhemat, memupuk budaya kredit yang baik dan tips berguna yang diterjemahkan dalam format dan bahasa yang mudah sesuai dengan objektif untuk meningkatkan pengalaman kanak-kanak dalam pengurusan wang. Sejak tahun 1999, sebanyak lima belas juta naskhah Buku Wang Saku telah diedarkan kepada murid-murid sekolah.



Seksyen 2 : Rancang Kewangan Anda

Merancang kewangan ialah satu langkah penting kerana kita semua inginkan kehidupan masa hadapan yang sejahtera dan selesa. Namun, ramai yang gagal untuk merancang atau masih berlengah sehingga terlewat dan akhirnya berdepan dengan kemelut kewangan. Lebih awal kita mulakan, lebih banyak masa dan fleksibiliti yang kita ada untuk mencapai matlamat kewangan yang kita tetapkan. Oleh itu, mulakan dari awal dengan iltizam untuk menguruskan kewangan anda bagi membantu mencapai matlamat anda. Perancangan kewangan yang baik perlu mempunyai matlamat yang jelas serta strategi kewangan yang praktikal.


Seksyen 3 : Jadilah Pengguna Bijak

Menjadi pengguna yang bijak penting untuk mengelakkan daripada terjebak dalam perangkap hutang ataupun ditipu melalui skim cepat kaya dan lain-lain penipuan kewangan. Amalan suka berhutang untuk berbelanja ialah amalan yang tidak sihat. Jika anda tidak berhati-hati, hutang anda akan bertambah dengan banyak sehingga tidak terkawal. Begitu juga, sekiranya anda mempunyai wang yang berlebihan, anda harus berhati-hati ketika melabur. Sentiasa melabur dengan institusi kewangan yang dibenarkan untuk memastikan pelaburan anda selamat dan sah.


Seksyen 3 : Urus Kewangan Anda

Pengurusan kewangan peribadi yang baik jika diamalkan sejak usia muda akan dapat memberi keselesaan sepanjang hayat. Ia bermula dengan pengurusan wang secara berhemat. Kejayaan anda untuk mencapai matlamat kewangan bukannya bergantung semata-semata kepada jumlah wang yang diterima tetapi cara anda menguruskan wang tersebut. Langkah penting yang perlu diambil ialah membuat bajet bagi membantu anda merancang dan mengawal perbelanjaan. Buatlah keputusan perbelanjaan yang bijak dengan mengenal pasti barangan keperluan dan kehendak. Dengan mengamalkan pengurusan kewangan yang baik, anda akan sentiasa mempunyai lebihan wang di tangan. Langkah bijak seterusnya yang boleh anda ambil ialah menyimpan atau melaburkan wang tersebut dalam institusi kewangan untuk keperluan masa hadapan.


Pembelajaran yang menyeronokan

Dipenuhi dengan karikatur LAT yang bersaiz besar dan aktiviti-aktiviti pengurusan kewangan yang menyeronokkan
Buka akaun bank untuk anak anda
Aktiviti mewarna
Permainan silang kata
Congkak


sumber muzium dan gelari seni bnm

Comments