18 Nov 2015

Meski Jauh DiBatasi Bumi : Kejujuran Pengarang

Cerita Sutung kepada ibunya
Dinsman

Dinsman atau nama sebenarnya Che Samsudin Othman adalah budayawan, penulis dan sastrawan. Beliau menulis untuk kepuasan dan kebebasan berkarya.

18 November 2015


Sutung Umar Rs melalui novel terbarunya “Meski Jauh Dibatasi Bumi” (MJDB) bercerita mengenai dirinya, ahli keluarga dan juga kampungnya, dengan keberanian dan kejujuran yang sangat luar biasa.

Ketika membicarakan novel ini di Rumah Pena pada pagi Sabtu 14 November, bersama dengan Sutung (dan Ainunl Muaiyanah sebagai moderator), saya menyatakan kalau saya sendiri pun, tidak sanggup saya nak bercerita demikian – mendedahkan semua hal yang baik dan yang tidak baik, yang positif dan juga yang negatif.

Memang ini bukan kali pertama Sutung berbuat demikian. Dalam novelnya yang pertama “Api Cinta” (2010), dia menggemparkan pembacanya (tidak ramai yang membacanya kerana novel itu dicetak hanya 20 naskah) dengan cerita benarnya yang erotis dan diceritakan dengan berani dan berterus terang.

Mengikut Sutung, hanya kebetulan “dicetak” awal 20 naskah. Kebetulan pula, entah kenapa kawan yang menjadi penerbitnya itu tidak meneruskan usahanya mencetak novel itu. Khabarnya sekarang ia akan dicetak lagi.

Maka kita membuat anggapan (andaian?) mungkin Sutung mempunyai sebab tersendiri mengapa dia bertindak dengan cara yang luar biasa itu. Kerana cetakannya sangat terhad, hebohnya pun tidaklah merebak jauh.

Tak lama kemudian terbit novel keduanya “Seluang Lepas Melaut” (2011). Tidak ada lagi yang erotis, tetapi pendekatannya bercerita benar mengenai dirinya dan orang yang benar ada, dengan nama yang sama, nama tempat dan sebagainya yang benar, dan peristiwa pun benar, masih sama seperti novel pertamanya.

Kemudian terbit pula novel ketiga, “Dia Dan Nya” (2013). Ada sedikit sahaja unsur erotis, dan pendekatan bercerita yang benar itu kekal menjadi pendekatan dan gaya penceritaannya.

Tidak hairanlah pendekatan dan gaya penceritaan yang sama itu dikekalkan lagi dalam MJDB.

Lalu mengapa saya menganggap Sutung melalui novel ke-4 ini bercerita dengan keberanian dan kejujuran yang sangat luar biasa?

Bukankah dia sudah biasa dengan pendekatan dan gaya yang begitu?

Jawabnya: walaupun pada asasnya sama, namun kali ini penceritaan perkara benar mengenai diri sendiri dan keluarga sendiri itu melebihi daripada kebiasaan.

Pengarang seperti membuat pendedahan atau pengakuan. Hal yang negatif dan tidak baik mengenai ahli keluarganya pun diceritakannya dengan terperinci dan secara dramatik.

Itu yang saya maksudkan keberanian dan kejujurannya dengan dirinya sangat luar biasa.

Dalam majlis yang dinamakan “Kata Pengarang Kata Pembaca” anjuran Pena 14 November itu, ada hadirin yang bertanya apakah Sutung tidak memikirkan kemungkinan ada ahli keluarganya yang akan marah atau terasa hati kerana cerita mereka didedahkannya dalam novel ini?

Apa jawab Sutung?

Ringkas sahaja jawabnya: “Saya bukan peduli pun.”

Ya, kalau bukan demikian tentunya novel itu tak akan tertulis demikian. Sutung memang tidak peduli akan hal yang demikian.

Tetapi dia sangat peduli akan hal lain yang dianggapnya lebih penting.

Novel terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) setebal 386 halaman ini menjelaskan apakah hal yang lebih dianggap penting dalam hidupnya.

Novel ini menggunakan pendekatan penceritaan oleh Aku, watak utamanya.

Ceritanya dan juga perwatakan Aku itu sebenarnya bertolak daripada kematian ibunya.

Kematian yang memberi kesan cukup kuat dan mendalam kepada jiwa Aku (dan penulisnya Sutung).

Ibu meninggal dengan sebuah wasiat: “Aku wasiatkan kepadamu menjaga adik-adikmu, menghantarnya ke sekolah sampai cukup.” Dan “Jangan berikan seorang pun adik-adikmu kepada ayahmu.” (halaman 15, 16).

Anda tentu dapat bayangkan hubungan yang tidak mesra antara ibu dan ayah Aku, juga antara Aku dan ayahnya, berdasarkan wasiat tersebut.

Novel ini menceritakan hal Aku (Sutung) dan adik-beradiknya seramai 7 orang (1 bab setiap orang) yang semuanya membesar di Kampung Tunjung, 8 Km dari Kota Bharu.

Semua itu diceritakanpengarang kepada ibunya, yang selama 2 tahun terlantar sakit sebelum mati dialah yang menjaganya.

Di atas ribanya, ibunya menghembuskan nafas terakhir.

“Cerita kepada Ibu” – saya barangkali akan menjudulkan novel ini demikian, agar ia menggambarkan isi kandungan yang sebenar.

Betapa kuatnya hubungan kasih sayang Aku dengan ibunya. Puluhan tahun dia menyimpan keinginan itu dan akhirnya kini dia bercerita kepada ibunya yang meninggal itu.

Cerita itu, hampir semuanya, berlaku di Kampung Tunjung, tidak jauh dari Kota Bharu. (Aku, yakni Sutung, tinggal di Kuala Lumpur). Maka cerita mengenai Kampung Tunjung itu adalah satu lagi hal menarik dan penting dalam novel ini.

Seperti saya katakan, Sutung Umar Rs mempunyai kemahiran tersendiri dalam bercerita. Kerana kemahirannya itulah novel-novelnya jadi menarik dibaca, (kecuali “Dia Dan Nya” agak berat kerana pendekatan yang filosofikal).

Maka penceritaannya mengenai kampung yang menjadi latar kepada sebahagian besar cerita dalam novel ini, juga sangat menarik.

Saya melihatnya sebagai satu rekod yang kalau dibaca ahli antropologi tentu mereka sangat suka. Sutung menceritakan kepada ibunya (juga kepada pembaca) banyak perkara yang diketahui ibunya mengenai kampungnya yang kini sudah tidak ada lagi.

Sebaliknya banyak perkara baru yang tidak diketahui dan tidak dikenali ibunya, kini berada di dalam dan di sekitar kampung mereka.

Proses bagaimana berlakunya perubahan itu, bersama dengan perkembangan yang dialamiadik-beradik Aku, dalam hidup mereka selama berpuluh tahun di kampung itu; proses bagaimana sebuah kampung Melayu tradisional berubah menjadi sebahagian persekitaran bandar besar di Malaysia yang didominasi orang Melayu.

Ini pastinya sebuah rekod yang sangat berharga.

Saya mencadangkan kepada pihak yang berkenaan di Kota Bharu agar mereka menyambut dan meraikan kehadiran novel ini, dengan apa cara jua yang mereka fikirkan sesuai dan wajar.

Novel ini dengan cara tersendiri, tanpa disedari pengarangnya, memberi sumbangan yang berharga kepada sejarah pembangunan Kota Bharu. – 18 November, 2015.

malaysianinsider 

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

© 2011 mimbar kata, AllRightsReserved.

Designed by ScreenWritersArena