17 Nov 2015

malam terang bulan

Malam Terang Bulan kembali ke DFP
Oleh MOHD. HAIKAL ISA
Foto FAIRUZ ILYANA AYUB


PENGARAH Malam Terang Bulan, Saidah Rastam (tengah) bersama para artis yang terlibat dalam pementasan yang dijadualkan berlangsung pada 20 hingga 22 November nanti. Dari kiri: Mei Lin Hii, Ahmad Muriz Che Rose, Dayang Nurfaizah, Datuk Rahim Albakri, Zamzuriah Zuhairi dan Chacko Vadaketh.

SELEPAS kejayaan membanggakan dengan persembahan konsert orkestra pada tahun lalu, Malam Terang Bulan kembali buat kali kedua di Dewan Filharmonik Petronas (DFP), Kuala Lumpur pada 20 sehingga 22 November ini.

Menjanjikan sebuah persembahan bertatahkan penceritaan tentang asal usul lagu kebangsaan Negaraku, persembahan selama 70 minit itu bakal menyaksikan lagu-lagu klasik ciptaan komposer-komposer legenda tanah air seperti Gus Styen, Saiful Bahri, Alfonso Soliano, A. Rahman, Tan Sri P. Ramlee, Zubir Said dan Benjamin Britten berkumandang dengan penuh nilai patriotisme kepada khalayak.

Kali pertama dipersembahkan pada tahun lalu, ia membuatkan penonton melangkah keluar dewan kagum dan bangga dengan keberkesanan persembahan yang berakarkan semangat nasionalisme dalam kalangan rakyat Malaysia, khususnya.

Pengarah pementasan, Saidah Rastam berkata, tiada lain diharapkan selain melihat kebersamaan dan keakraban penonton pada malam persembahan tanpa mengira kaum, warna kulit dan agama.

“Ada hubungan istimewa antara rakyat dengan negara tercinta. Barangkali, sesetengah individu merasakan mereka sudah cukup kenal dan sebati dengan salasilah tanah air walhal sebenarnya tidak begitu.

“Jadi, menerusi pementasan kali kedua ini, saya yakin ramai di luar sana berminat untuk dihiburkan dengan alunan muzik orkestra klasik yang mampu membuatkan penonton terpaku dan lebih menghargai sejarah negara terutama tentang penciptaan lagu Negaraku,” katanya pada sidang akhbar Malam Terang Bulan 2015 di Restoran Rebung, Bangsar baru-baru ini.

Mengulas lanjut mengenai kelainan pementasan kali ini, Saidah mengharapkan suatu energi luar biasa daripada penonton yang hadir.

“Sebanyak 17 lagu klasik bakal dipersembahkan. Lagu-lagu tersebut semestinya bakal mengimbau memori, terutama bagi orang lama, tidak kurang juga golongan muda yang ingin mengetahui tentang sejarah lagu Negaraku.

Antara penyanyi yang bakal beraksi menjelang persembahan Malam Terang Bulan 2015 termasuklah Datuk Zahim Albakri, Chacko Vadaketh, Dayang Nurfaizah, Musly Ramly, Zamzuriah Zahari, Mei Lin Hii, Faizal Uzir dan Evelyn Feroza. Mereka akan diiringi barisan pemuzik Orkestra Filharmonik Malaysia di bawah pimpinan Ahmad Muriz Che Rose.

Kali kedua terlibat dalam sebuah konsep persembahan yang sama, Dayang melahirkan rasa bangga kerana diberi peluang untuk mempersembahkan lagu-lagu klasik yang menjadi sumber inspirasinya selama ini.

“Menjadi kebanggaan buat saya sebagai anak seni kerana dapat menyumbangkan sesuatu atas nama muzik kepada penonton yang hadir nanti. Usaha ini juga merupakan satu cabang pendidikan kepada peminat muzik untuk lebih menghargai lagu kebangsaan,” tuturnya.

Pada malam persembahan nanti, Dayang akan menyanyikan dua buah lagu klasik iaitu Jauh-Jauh ciptaan Ahmad Marican dan Wan Ahmad Kamal serta Tanah Pusaka (Jimmy Boyle).

“Menyanyikan lagu klasik memerlukan cara nyanyian dan penghayatan yang berbeza.

“Semoga saya dapat melakukan persembahan yang terbaik pada malam persembahan nanti, sekali gus meninggalkan kesan patriotisme mendalam terutama kepada generasi muda,” ujar Dayang.

kosmo

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

© 2011 mimbar kata, AllRightsReserved.

Designed by ScreenWritersArena