hanya sekali pandang...

Sentuhan seni manusia kamera


WILTSHIRE gemar mendengar muzik ketika melakukan kerja-kerja melukis.

DENGAN hanya sekali pandang, Stephen Wiltshire mampu mengingati objek serta pemandangan yang dilihatnya, namun apa yang lebih menarik, dia mampu melakar semula objek tersebut di atas kertas secara terperinci.

Tambah menakjubkan, objek yang dilukis bukanlah satu perkara biasa sebaliknya pemandangan bandar di sesebuah negara yang agak kompleks untuk dilakar secara menyeluruh.

Sebelum menghasilkan karyanya, lelaki berusia 41 tahun itu akan menaiki helikopter untuk mendapatkan pemandangan keseluruhan sesebuah bandar dari pandangan udara.

Berdasarkan apa yang dilihat, Wiltshire akan mencurahkan memorinya di atas kertas dalam bentuk lukisan.

Dengar muzik

“Kedudukan yang tinggi membolehkan saya melihat keseluruhan pemandangan bandar dengan lebih baik. Ini juga membolehkan saya menghasilkan lukisan dengan lebih terperinci,” ujarnya seperti dipetik portal Mail Online.

Artis berbakat itu telah menghasilkan lukisan bandar-bandar besar seperti Hong Kong, China; Rom, Itali; Frankfurt, Jerman; Madrid, Sepanyol; Dubai, Emiriyah Arab Bersatu; Sydney, Australia dan London, England.


SENI bina bangunan menjadi subjek kegemaran Wiltshire dalam karya seninya.

Lukisan paling panjang pernah dihasilkan ialah panorama bandar raya Tokyo, Jepun yang dilukis di atas kanvas sepanjang kira-kira 15.8 meter.

Wiltshire mengambil masa seminggu untuk menyiapkan lukisan berkenaan berdasarkan perjalanan pendek menaiki helikopter mengelilingi bandar tersebut pada Mei 2005.

Dia sedikit pun tidak memerlukan gambar bandar Tokyo sebagai rujukan sebaliknya menggunakan memorinya sebagai panduan untuk melukis bandar itu selepas melihatnya dalam tempoh singkat.

Begitu juga dengan lukisan bandar raya New York, Amerika Syarikat sepanjang 5.5 meter yang dihasilkan pada Oktober 2009 apabila Wiltshire hanya melihat pemandangan bandar itu menerusi helikopter selama 20 minit.

Berdasarkan trip yang sama, Wiltshire turut menghasilkan karya panorama lima lokasi menarik di New York meliputi Manhattan, New Jersey, Ellie Island, Brooklyn dan Statue of Liberty.

“Saya suka mendengar muzik ketika melukis. Baik irama era 1970-an atau 1990-an dan genre blues sehingga pop, lagu-lagu ini membantu saya untuk lebih fokus,” katanya.

Paling baru, artis kelahiran London itu menghasilkan lukisan pemandangan bandar raya Singapura pada Julai 2014.

Belajar bertutur

Merakamkan panorama bandar raya itu menerusi trip helikopter selama satu jam, Wiltshire mengambil masa lima hari untuk merealisasikan lukisan itu berdasarkan memorinya.

Kelebihan luar biasa yang dimiliki Wiltshire membolehkan dirinya digelar sebagai manusia kamera.

Bagaimanapun, apa yang lebih mengagumkan, lelaki kulit hitam itu bukanlah individu yang dilahirkan normal.


LUKISAN bandar raya New York ini dihasilkan pada Oktober 2009 setelah Wiltshire melihat pemandangan bandar raya itu menerusi helikopter selama 20 minit.

Pada usia tiga tahun, dia didapati menghidap penyakit autism atau kecacatan yang terjadi pada kanak-kanak yang biasanya membabitkan masalah dalam komunikasi dan bergaul.

Ketika berusia lima tahun, Wiltshire memberitahu, dia dihantar ke Sekolah Queensmill di London di mana di situlah dia mula menunjukkan minat terhadap bidang seni lukisan.

Bagi menggalakkan dia untuk lebih banyak bercakap, guru yang mengajar akan menyimpan peralatan melukisnya buat sementara waktu dan dia harus meminta sendiri jika mahu menggunakannya.

Idea itu berhasil selepas dia berjaya menyebut perkataan ‘kertas’ yang menjadi perkataan pertama diucapkan sejak lahir.

Bertitik tolak dari situ, Wiltshire mula belajar bertutur sehingga dapat bercakap dengan jelas ketika berusia sembilan tahun.

Pada masa sama, dia turut menunjukkan minat mendalam terhadap struktur binaan dan seni bina bangunan dalam hasil lukisannya.

Kejayaan demi kejayaan mengiringi hidup pelukis berbakat itu, namun momen paling membanggakan apabila lukisan Gereja Salisbury Cathedral di Salisbury, England dibeli oleh bekas Perdana Menteri Britain, Edward Heath.

Wiltshire berusia lapan tahun ketika menghasilkan lukisan itu.

Dia yang memiliki kelulusan dalam bidang seni halus dari City & Guilds of London Art School turut mempunyai galeri seni di London iaitu The Stephen Wiltshire Gallery.

“Kenangan paling manis apabila saya dikurniakan anugerah Most Excellence Order of the British Empire (MBE) pada tahun 2006 sebagai penghormatan di atas sumbangan seni kepada negara,” ujarnya.

kosmo

Comments