Gema Puisi Melayu

Puisi Melayu bergema di Perancis

Oleh TAUFIK SALIMIN
Foto GHAZALI BASRI


Berpeluang menyampaikan puisi di hadapan Sultan Pahang dianggap pencapaian terbaik dalam perjalanannya di bidang kesusasteraan.

SEHELAI kertas berwarna ungu dengan corak sekuntum bunga di hujungnya diambil bersama sebatang pen berdakwat biru. Beliau melangkah ke sudut kamar sambil duduk di atas kerusi yang juga menempatkan rak himpunan buku sastera miliknya.

Beliau terus mencari ilham. Tepat pukul 9 malam adalah masa yang sesuai bagi seorang guru, Teo Wei Sing, 33, menyusun atur segala diksi dan metafora untuk dijalinkan dalam sebuah karya berbentuk puisi.

Ironinya, beliau bukanlah peminat tegar sastera. Namun, jiwa Wei Sing sentiasa terusik dengan bait-bait nuansa bahasa Melayu (BM) yang disifatkannya cukup kaya dengan nilai estetika.

“Puisi adalah cara saya mentafsir segala perasaan yang tidak dapat diungkap secara lisan kerana ia merupakan langkah untuk menyampaikan apa yang tersemat di dalam sanubari secara jujur.

“Setiap perkataan itu ada jiwa dan lambang yang membawa maksud tersirat. Apabila diungkapkan dalam susunan kata puitis, ia adalah wakil kepada hati yang selama ini memendam rasa,” luahnya sambil mengakui berpuisi paling mudah untuk mengekspresi setiap perasaan.

Beliau yang bertugas sebagai guru di Sekolah Menengah Kebangsaan Tanah Putih, Kuantan, Pahang memberitahu, pada zaman sekolahnya, beliau bukanlah seorang yang fasih berbahasa Melayu. Namun persekitaran dikelilingi jiran berketurunan Melayu membuatkan minat kepada subjek itu bercambah.

Minat

“Sewaktu di sekolah rendah dahulu, saya bermain bola sepak pada waktu petang dengan kawan yang majoriti kaum Melayu, malah kami sanggup berjalan kira-kira dua kilometer untuk pergi ke Stadium Darul Makmur untuk menonton bola sepak.

“Disebabkan saya sentiasa berbual dengan orang Melayu, jadi minat itu timbul dan nekad untuk menguasainya,” kata Wei Sing ketika ditemui di sebuah hotel di ibu kota bagi mempersembahkan puisi kepada Sultan Pahang.

Bagaimanapun, beliau mengambil masa antara tiga ke lima tahun untuk fasih dan keputusan peperiksaan bagi subjek BM sentiasa A sehinggalah tamat persekolahan tingkatan enam.

Paling kekal dalam lipatan sejarahnya apabila menerima anugerah pelajar terbaik bagi subjek BM semasa berada di tingkatan lima.

“Selepas itu, saya mula mempunyai minat mendalam terhadap subjek itu sehinggalah nekad mengambil kursus pengajaran Bahasa Melayu sebagai bahasa pertama di Universiti Putra Malaysia tahun 2003.

“Ketika itu juga, saya terus bergiat aktif dalam bidang kesusasteraan, namun masih kekok untuk menulis dengan baik selain bimbang karya yang dihasilkan kurang menerima sambutan,” jelasnya. Berbekalkan iltizam teguh dan sering merujuk pensyarah, Wei Sing terus membuang rasa takut dan maju selangkah apabila berani mengeluarkan karya puisi sehingga diberi peluang untuk diterbitkan.

Menurut anak sulung daripada tiga beradik itu, peluang pada 2007 itu dianggap batu loncatan untuk berada di pentas berprestij terutama membawa namanya sebagai penutur bukan jati dalam bidang kesusasteraan.

Karya sulungnya, Dendang Dunia diterbitkan pada tahun 2007 ketika berada pada tahun akhir pengajian. Kejayaan itu membolehkan Wei Sing untuk terus berkarya.

“Berbekalkan kejayaan itu, saya aktif menghasilkan karya dan antologi. Sehingga kini, saya sudah mempunyai tujuh buah buku puisi peribadi serta 12 himpunan antologi bersama penulis lain.

“Pada tahun depan, puisi nukilan saya bertajuk, Erti Hidup Bererti akan dimuatkan dalam buku teks komponen sastera khusus bagi pelajar tingkatan lima,” jelasnya.

Merungkai semula memori suka-duka bergelumang dalam dunia kesusasteraan Melayu, Wei Sing mengakui perjalanannya mudah kerana minat yang mendalam selain didorong sokongan tidak berbelah bahagi daripada keluarga, rakan serta pensyarah.

Akuinya, peringkat permulaan memang sukar untuk menempatkan diri dalam kalangan penulis dan mencari medium sesuai untuk mempromosikan setiap karya yang dihasilkan. Beliau hanya memuat naik setiap karya menerusi laman sosial Facebook.

Promosi

Peristiwa paling terkesan kepada Wei Sing ialah apabila karyanya diciplak dan memenangi pertandingan pada tahun 2007. Namun, semua itu tidak mematahkan semangatnya.

Siapa sangka, Wei Sing mempunyai kelompok peminat tersendiri. Paling mengejutkan adalah ketika menerima pesanan daripada Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah yang begitu tertarik dengan puisinya.

“Tuanku mengikuti perkembangan saya menerusi Facebook dan tidak menyangka menerima undangan untuk membacakan sajak di hadapan suaminya semasa sambutan hari lahir anak Tuanku.

“Dari situ, saya menerima sokongan yang tidak berbelah bahagi sehinggalah pada hari raya tahun lalu, diberi peluang membacakan sajak di hadapan Sultan Pahang. Itu menjadi pengalaman terbaik bergelar penulis puisi,” jelasnya teruja.

Menurut beliau, bapa, Teo Kok Keong, 62, dan ibu, Ng Siew Lin, 58, adalah insan yang sentiasa memberi galakan dalam hidupnya termasuk isteri, Sebinna Lee, 33, serta dua anaknya masing-masing berumur empat dan tiga tahun.

Selain itu, bekas pensyarahnya yang juga sasterawan terkenal, S. Othman Kelantan, Dr. Lim Swee Tin dan Datuk Roselan Bakri adalah individu yang bertanggungjawab membawanya ke kancah lebih berprestij.

Hasilnya, beliau berpeluang untuk mengangkat karya nukilannya sendiri ke Lyon, Perancis pada 29 November ini bersempena Festival Seni Malaysia selepas diundang Kedutaan Besar Malaysia di negara berkenaan.

“Perkara itu pun berlaku bermula daripada Facebook selepas Persatuan Pelajar Malaysia di Perancis (MASAF) membaca puisi saya. Saya menganggap ia sebagai jenama baharu dalam portfolio sebagai pencinta dunia kesusasteraan.

“Mereka juga akan menterjemah karya saya,Kesyukuran di bawah Bumbung Sehati Sejiwa ke dalam bahasa Perancis dan Inggeris termasuk menyiarkan artikel yang ditulis dalam bahasa Melayu,” katanya.

Setiap penulis mempunyai signatur tersendiri. Wei Sing pula mengetengahkan karya yang menyuntik elemen patriotisme dan nasionalisme.

Menurutnya, ia adalah sebagai tanda mewujudkan keharmonian dan semangat kecintaan terhadap negara berlandaskan kepada suntikan kepelbagaian kaum serta budaya yang menyelami Malaysia sejak sekian lama.

“Kebanyakan karya bertemakan perpaduan dan sebenarnya saya mahu menjadi wakil supaya semua orang tidak merasakan timbulnya halangan apabila duduk sebagai masyarakat berbilang kaum.

“Saya juga mahu berterima kasih kepada Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM) kerana memberi sokongan sepanjang penglibatan saya,” ujarnya.

Tanggungjawabnya sebagai guru juga menyebabkan beliau banyak melatih bekas pelajar untuk menjadi deklamator malah pernah beberapa protegenya menerima pengiktirafan di peringkat negeri dan kebangsaan.

Katanya, kejayaan itu membolehkan beliau merancang untuk menubuhkan Ikatan Karyawan dan Budayawan Negeri Pahang (IKARBUMA) dengan nasihat serta sokongan padu Tengku Puan Pahang dan Swee Tin.

kosmo

Comments