derita svay rolum

Hidup terlalu daif
Sebanyak 129 keluarga Islam perlukan perhatian
Oleh MOHD HASRIQ AMIRUDDIN
12 November 2015



SELAIN sebagai tempat berteduh, penduduk Islam Svay Rolum juga menjadikan perahu mereka sebagai tempat memasak dan tidur.


DI sebalik deretan rumah yang agak mewah, terdapat sebuah lorong sempit yang berbau busuk dan ‘dihiasi’ bangkai-bangkai tikus serta sampah-sarap yang bertaburan.

Di lorong itu juga, saya bersama rombongan Program Kembara Kemanusiaan 2015 anjuran Bank Rakyat meniti laluan menuju ke sebuah perkampungan penduduk Islam Kemboja yang dikhabarkan tersangat daif kehidupan mereka.

Setibanya di hujung lorong, terbentang Sungai Mekong berwarna perang yang sangat luas. Di tebingnya tersusun berpuluh-puluh perahu kecil yang merupakan tempat berteduh bagi 129 keluarga Islam.

Saiz perahu tersebut tidaklah besar dengan anggaran ukuran panjang lima meter dan selebar kurang dua meter. Manakala bahagian berbumbung sekadar cukup untuk melindungi dua orang dewasa daripada panas atau hujan.

Sukar untuk dibayangkan bagaimana sebuah keluarga secara puratanya terdiri daripada tiga hingga lima orang, berhimpit di dalam perahu kecil itu yang menjadi rumah mereka sejak puluhan tahun lalu.

Sehari sebelumnya, saya hanya mendengar kisah tentang penderitaan keluarga Islam di Svay Rolum yang hidup di dalam perahu kerana tidak mempunyai tanah untuk mendirikan rumah atau sekurang-kurangnya menumpang ihsan orang lain bagi mendapatkan taraf kehidupan yang lebih baik.

Kini segala yang diceritakan Naib Presiden Pematuhan Syariah Bank Rakyat, Zamerey Abdul Razak terpampang di depan mata saya sendiri sehingga mencuit rasa sebak di hati apabila melihat kehidupan daif saudara seislam di Svay Rolum.



BERMULA 35 TAHUN LALU

Menurutnya, perkampungan Islam di Svay Rolum mula wujud sekitar tahun 1980-an dan telah diwarisi daripada generasi ke generasi selama 35 tahun.

Beliau menjelaskan kemelut tersebut mula timbul apabila penduduk Islam yang berhijrah dari Kampuchea, wilayah paling ramai didiami penganut Islam, ke Phnom Penh, terpinggir daripada pembelaan kerajaan atau pihak berwajib, sekali gus memaksa mereka berlindung di tepi sungai.

Terkenal dengan gelaran perkampungan nelayan Islam Svay Rolum, penduduk di sini menjadikan perahu sebagai tempat tinggal bersama seluruh ahli keluarga termasuk anak kecil yang langsung tidak mengenal erti kedaifan atau kesusahan.

Saya berasa pilu melihat puluhan anak kecil, kebanyakannya tidak memiliki selipar dan ada yang tidak memakai baju berlari ke arah rombongan sambil menghulurkan tangan dengan harapan diberikan wang atau sebarang bantuan.

Mujur rombongan kami bersedia awal dengan menyediakan bantuan beras untuk diberikan bagi setiap keluarga di Svay Rolum. Setidak-tidaknya bekalan sekampit beras itu mampu memberi kegembiraan kepada mereka.

Apabila saya menjengah ke kawasan tebing sungai, saya dapat melihat seorang lelaki tua sedang tidur di dalam perahu, mungkin letih setelah bekerja seharian.

SEGALANYA ATAS PERAHU

Di sebuah perahu lain pula, ada wanita sedang sibuk memotong daging korban yang diagihkan-agihkan pada sebelah paginya.

Namun, babak paling menyedihkan apabila melihat seorang lelaki yang berusia dalam lingkungan 50-an, mandi di sungai itu bersebelahan perahu bersama anaknya bagi bersiap untuk menunaikan solat Zuhur.

Saya difahamkan, di sungai itu juga, mereka mencari rezeki pada siang harinya apabila kaum lelaki akan membawa seluruh ahli keluarga menangkap ikan di Sungai Mekong sebelum pulang ke tebing pada lewat petang.

Apabila malam berlabuh, keluarga terbabit akan berhimpit tidur di dalam perahu yang sangat sempit bersama anak-anak kecil mereka.

Lebih menyedihkan, sungai yang diragui kebersihannya, dijadikan sebagai tempat mandi, mengambil wuduk dan berhadas, selain kaum wanita memasak di atas perahu.

Pengalaman melihat sendiri penderitaan yang dialami penduduk Islam di Svay Rolum benar-benar mengajar saya dan ahli rombongan tentang erti bersyukur memandangkan sumbangan dan usaha baik kerajaan Malaysia untuk membela nasib umat Islam dan rakyat negara itu.

Jika ada pun keluarga yang masih daif di Malaysia, ramai pihak terutamanya syarikat-syarikat besar, badan bukan kerajaan (NGO) dan persatuan kebajikan bersedia menghulurkan bantuan dengan segera, tambahan lagi peranan pihak media melaksanakan tugas untuk mendedahkan keluarga yang kurang bernasib baik.

utusan online

Comments