cinta automobil

Berhenti sekolah demi minat baiki kereta
Oleh MOHD. SHAZWAN YUSOP
Foto SHIDDIEQIIN ZON


Shamsuri (dua dari kiri) memberi tunjuk ajar kepada para pekerjanya mengenai kaedah membuka enjin kereta.

SEBAIK pulang dari sekolah, kanak-kanak lelaki berumur 11 tahun itu terus bergegas ke belakang rumah yang menempatkan sebuah kereta lama jenis Ford Escort 940.

Berbekalkan beberapa peralatan membaiki kenderaan seperti sepana dan pemutar skru, kanak-kanak yang dikenali dengan nama Shamsuri Rahman itu gigih membuka satu persatu komponen kereta milik bapanya, Allahyarham Rahman Awang Mat.

Komponen-komponen itu tidak hanya dibuka dan dibiarkan begitu sahaja tetapi anak kelahiran Grik, Perak itu akan membelek setiap item untuk mengetahui fungsi dan peranannya.

Rutin harian itu berlangsung selama lebih lima tahun sehingga tidak ada satu pun komponen yang boleh dileraikan dan dikaji daripada kereta tersebut.

Dunia mekanikal


Bengkel milik Shamsuri menjadi pilihan pemilik kereta mewah di sekitar Lembah Klang.

“Saya ambil masa selama lima tahun untuk buka semua komponen kereta itu. Selepas itu, barulah arwah bapa beritahu bahawa kerosakan pada kereta itu hanya berkaitan dengan bateri. Dia sengaja membiarkannya di belakang rumah.

“Walaupun saya telah merosakkan kereta bapa, peristiwa itu banyak membantu saya mengenali secara lebih dekat setiap komponen di dalam kereta,” imbaunya sambil ketawa.

Sejak peristiwa itu, minat Shamsuri terhadap kerja-kerja membaiki kereta terus bersemarak terutamanya terhadap kenderaan mewah sehingga memasang impian untuk mendalami kemahiran tersebut dengan lebih serius.

Perasaan cinta terhadap dunia mekanikal turut mendorong Shamsuri mengambil pendirian untuk berhenti sekolah pada usia 15 tahun iaitu selepas tamat peperiksaan Sijil Rendah Peperiksaan pada tahun 1986.

Tindakan tersebut mendapat tentangan keras daripada bapanya yang mahu dia meneruskan pembelajaran, namun Shamsuri tetap dengan keputusan tersebut.

“Ketika itu, saya hanya fikir mahu belajar baiki kereta dan kerja sebagai pomen. Saya tidak pernah mengimpikan sebarang kerjaya profesional lain,” terangnya.

Risiko yang diambil oleh anak kelapan daripada 13 adik-beradik itu ternyata berbaloi kerana dia berjaya memiliki tiga buah bengkel membaiki kereta yang dikenali sebagai Haraz Auto Service pada usia 45 tahun.

Lebih membanggakan, ketiga-tiga bengkel milik Shamsuri yang terletak di Taman Sri Gombak, Batu 17 dan Batu 18, Rawang, Selangor itu adalah khusus untuk membaiki kereta mewah seperti Mercedes Benz, BMW, Volvo, Audi dan Volkswagen.

Menerusi perniagaan yang sering dimonopoli oleh kaum Cina itu, dia berjaya meraih pendapatan yang lumayan. Kini, dia mempunyai pekerja seramai 14 orang.

Kejayaan yang diraih oleh Shamsuri tidak datang bergolek sebaliknya, dia melalui pelbagai onak dan duri untuk mencapai kedudukan ketika ini.

Cerita bapa kepada 13 orang cahaya mata itu, perjalanan kerjaya membaiki kereta bermula selepas dia menjalani kursus jangka pendek anjuran Majlis Amanah Rakyat (Mara) di sebuah bengkel di ibu negara ketika berumur 17 tahun.

Sebaik menamatkan kursus, dia memilih untuk bekerja di sebuah bengkel khusus membaiki kenderaan jenis Volvo di Cheras, Kuala Lumpur kerana terlalu minat dengan kereta-kereta mewah.

Cabaran

Dia ditawarkan gaji permulaan sebanyak RM2,000. Jumlah itu sudah dianggap tinggi pada masa itu bagi seorang mekanik biasa.

“Saya mula bekerja sebagai pekerja bawahan di bengkel khas Volvo selama tiga tahun. Selepas itu, saya beralih ke bengkel membaiki kenderaan Mercedes Benz dan BMW yang terletak tidak jauh dari bengkel lama selama tiga tahun.

“Bekerja di bengkel seperti ini mempunyai cabaran tersendiri. Ia memerlukan ketabahan dan kecekalan terutamanya ketika melakukan kesilapan. Jika berlaku sedikit kesilapan majikan perlu menanggung kerugian besar.

“Bagi memahirkan diri dan mengurangkan kesilapan, saya sanggup bekerja lebih masa setiap hari selama lima jam tanpa mengharapkan sebarang bayaran daripada majikan. Selalunya, selagi kereta tidak siap, saya tidak akan pulang,” jelasnya.

Kegigihan Shamsuri itu melayakkannya memegang jawatan sebagai penyelia di sebuah syarikat membaiki kereta Mercedes dan BMW di Selayang, Selangor pada tahun 1999.

Selepas setahun berkhidmat di syarikat itu, lelaki berketinggian 155 sentimeter itu mengambil keputusan berhenti dan membuka bengkel pertama di Taman Sri Gombak dengan modal permulaan sebanyak RM8,000.

Perhatian


Shamsuri turut mengeluarkan rangkaian cecair untuk melindungi komponen-komponen penting dalam kenderaan.

Jelas Shamsuri, pada peringkat awal, kebanyakan pemilik kenderaan mewah kurang yakin dengan kemampuannya. Namun, berkat sifat ikhlas dan jujur dalam perniagaan, kurang setahun bengkel itu dibuka, dia mula mendapat perhatian daripada rakan taulan dan pelanggan bengkel-bengkel sebelum ini.

“Tanpa modal tersebut, rasanya sukar bagi saya memperoleh keyakinan pelanggan baharu. Ia merupakan asas dan resipi dalam mana-mana perniagaan.

“Saya juga sentiasa menggunakan alat ganti tulen berbanding tiruan. Walaupun harganya agak mahal, ia lebih selamat dan tahan lebih lama,” terangnya sambil maklumkan kebanyakan pelanggan tinggal di sekitar Lembah Klang.

Hasil keuntungan dan bantuan kewangan daripada Mara, Shamsuri berjaya membuka cawangan kedua yang terletak di Batu 17, Rawang pada tahun 2004.

Disebabkan sambutan memberangsangkan dan peningkatan jumlah penggunaan kenderaan mewah, Shamsuri telah menyewa sebuah gudang berkeluasan 90x70 meter persegi yang mampu memuatkan 14 buah kereta dalam satu-satu masa.

Gudang terletak di Batu 18, Rawang dan beroperasi sejak Julai lalu itu merupakan cawangan ketiga Haraz Auto Service.

“Alhamdulillah, saya berjaya membuka cawangan ketiga dan ia merupakan anugerah Allah SWT.

“Menerusi ketiga-tiga bengkel ini juga, saya mahu menurunkan kemahiran membaiki kereta mewah kepada remaja Melayu yang berminat,” terangnya.

Bak kata pepatah Melayu, bumi mana yang tidak ditimpa hujan. Begitu jugalah dalam dunia perniagaan, pasti ada waktu jatuhnya.

Sepanjang hampir dua dekad aktif dalam perniagaan itu, Shamsuri pernah mengalami kerugian besar disebabkan pembekal alat ganti yang memberi barangan tiruan.

“Saya pernah rugi banyak apabila semua kereta yang dipasang alat ganti tiruan itu terpaksa dipulangkan oleh pemilik. Saya terpaksa tukar balik kepada alat tulen.

“Ia kerana susah hendak bezakan antara alat tulen dan tiruan. Selepas didesak, baru pembekal maklumkan ia merupakan barang tiruan,” ceritanya sambil memaklumkan, dia mengambil masa selama sedekad untuk mahir diri membaiki kereta mewah.

Mengulas mengenai perancangan masa depan dalam perniagaan, Shamsuri memaklumkan, dia bakal bekerjasama dengan sebuah syarikat di Jerman bagi membawa masuk secara terus cecair pelindung enjin dan kotak gear pada tahun depan.

Ia sekali gus menjadikan dia usahawan bumiputera pertama di negara ini yang mempunyai lesen membawa masuk cecair-cecair berkenaan.

“Kini, saya memiliki beberapa cecair pelindung yang diperoleh daripada pengedar di negara ini dan dipek semula dengan menggunakan jenama Haraz Oil.

“Saya memperkenalkan cecair-cecair itu kepada para pelanggan saya bagi melindungi kenderaan mereka.

“Kebanyakan pelanggan berpuas hati selepas menggunakan cecair ini,” katanya sambil menunjukkan deretan cecair pelindung lengkap untuk kegunaan kereta.

kosmo

Comments

Post a Comment