bila hutan terbakar

Pembakaran hutan undang kepupusan


SABAN tahun negara berdepan dengan satu fenomena pencemaran yang berlaku akibat sifat tamak dan kerakusan manusia.

Jerebu yang terhasil akibat pembakaran hutan di Kepulauan Sumatera, Indonesia dan Borneo telah membawa ancaman kesihatan kepada negara di sekitarnya. Sepanjang tempoh pencemaran itu, respon masyarakat sangat radikal, malah kerajaan juga telah bangkit dengan bantahan supaya aktiviti haram itu dihentikan.

Dalam kekecohan manusia menegakkan hak mereka untuk memiliki ruang udara bersih dan menggalas tanggungjawab bagi memastikan kesihatan diri serta keluarga terjaga, nasib yang menimpa hidupan liar khususnya orang utan seperti dilupakan.

Pembakaran lebih daripada 10,000 hutan kecil di negara jiran itu turut memberi kesan kepada hidupan tersebut tatkala habitat mereka telah diceroboh dengan rakus oleh tangan manusia.

Kebanyakan insiden kebakaran difahamkan telah dilakukan secara sengaja oleh pihak yang tidak bertanggungjawab, bertujuan mengosongkan tanah untuk meraih keuntungan.

Pengarah Eksekutif Orang utan Outreach yang berpejabat di New York, Amerika Syarikat, Richard Zimmers berkata, keadaan yang berlaku merupakan satu ancaman besar buat spesies seperti orang utan berikutan kebanyakan lokasi yang dibakar merupakan habitat penting haiwan tersebut.

“Gejala ini merupakan satu bencana yang dahsyat buat populasi orang utan. Kebakaran tersebut menyebabkan tempat tinggal mereka musnah.

“Antara habitat yang terjejas ialah Taman Negara Sabangau, Kalimantan, Indonesia,” katanya dalam satu kenyataan berkenaan ancaman jerebu terhadap orang utan.

Tambahnya, pihak Orang utan Outreach turut melahirkan rasa bimbang terhadap jumlah orang utan yang telah mati akibat bencana itu.

Seperti manusia, orang utan dan hidupan liar terancam lain juga memerlukan udara dan tempat tinggal untuk memastikan kelangsungan hidup.

Pelepasan gas karbon dioksida antara 15 hingga 20 tan sehari dari rantau Indonesia itu telah mencipta kepulan awan asap yang menjadi punca kepada jerebu.

Selain bertarung nyawa berhadapan dengan kemaraan api, kelangsungan hidup orang utan turut tergugat apabila habitat yang dimamah memaksa mereka untuk keluar ke kawasan penempatan manusia.

Hampir keseluruhan orang utan dewasa yang menyelamatkan diri dari kebakaran hutan telah dibunuh oleh pemburu haram dan hanya sebahagian sahaja yang berjaya menyelamatkan diri.

Pengurus Komunikasi Ibu Pejabat Organisasi Penyelamat Haiwan Antarabangsa di Britain, Lis Key memberitahu, api dan asap antara ancaman kepada orang utan.

“Orang utan liar dan yang dilindungi telah terjejas akibat aktiviti pembakaran hutan yang melanda habitat mereka.


ORANG utan bukan saja terdedah dengan kepupusan bahkan habitat mereka juga tergugat.

“Sebahagian daripada mereka menderita akibat masalah saluran pernafasan yang boleh membawa maut manakala terdapat anak-anak orang utan yang ditemui mengalami penyahhidratan dan kekurangan zat kerana kekurangan sumber makanan serta udara bersih,” ujarnya yang kini membuka pusat rehabilitasi untuk lebih 125 orang utan yang cedera di Ketapang, Kalimantan.

Bahaya

Pihaknya juga telah menempatkan 10 ekor orang utan liar yang dijumpai terkandas berdekatan kawasan pertanian ladang kelapa sawit dan tapak pembasmian hutan.

Hal ini lebih mendatangkan bahaya kepada spesies terancam itu yang sering diburu oleh pemburu haram dan dijual di pasaran gelap.

Baru-baru ini, Pasukan Penyelamat Haiwan Antarabangsa, menemui seekor anak orang utan, Gito, di dalam sebuah kotak setelah dibiakkan di bawah terik matahari.

Laporan penyeludupan Orang utan turut mengisi laman berita di Malaysia pada Julai lalu selepas sepasang anak Orang utan telah diselamatkan dalam operasi Ops Taring III. Mamalia itu telah dihantar pulang ke Indonesia pada Oktober baru-baru ini.

Tahun lalu, Great Apes Survival Partnership juga telah mengeluarkan satu laporan berkaitan penemuan orang utan dan beberapa ekor mawas yang dijual sebagai haiwan pameran sebuah zoo serta beberapa pusat pameran haiwan di China.

Keprihatinan terhadap ancaman pembakaran hutan terhadap hidupan liar khususnya Orang utan turut dikongsi oleh Tabung Hidupan Liar Sedunia Malaysia (WWF Malaysia).

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif WWF Malaysia, Datuk Dr. Dionysius Sharma, kesan yang dihadapi oleh hidupan liar amat meruncing, malah ia juga menjejaskan perkembangan populasi haiwan.

Terjejas

“Keperluan manusia dan haiwan terhadap alam adalah seiring dari segi keperluan persekitaran sihat, namun hidupan liar bergantung pada hutan sebagai habitat mereka.

“Faktor kesihatan merupakan perkara utama yang terjejas tetapi hakikatnya ia lebih daripada itu dan masalah lain bagi hidupan liar ialah kegagalan pembiakan serta kecacatan kelahiran,” katanya.


MALANG. Ada orang utan yang mengalami cedera parah dan mati akibat kebakaran hutan.

Selain orang utan, hidupan liar lain seperti lebah hutan, kelip-kelip, kumbang, kelawar, rama-rama dan hidupan laut antara haiwan yang turut terjejas dengan masalah pembakaran hutan dan jerebu.

Ini berikutan kebanyakan haiwan tersebut merupakan agen pendebungaan kepada tumbuhan hutan dalam penghasilan makanan dan pendebungaan.

Secara saintifik, pendebungaan silang membantu sekurang-kurangnya 30 peratus tumbuhan dunia dan 90 peratus tumbuhan liar untuk hidup subur dan tanpanya tumbuhan makanan buat hidupan liar akan mati.

Selain itu, tumbuhan turut terhalang daripada menerima cahaya matahari berikutan penembusan yang terhalang dek kepulan asap di permukaan langit. Keadaan ini menjejaskan pertumbuhan tumbuhan makanan sekali gus memberi kesan kepada mamalia pemakan buah dan burung memandangkan sumber makanan mereka mengambil masa lebih lama untuk matang, berbunga dan menghasilkan buah.

Seperti orang utan, burung enggang juga tergolong dalam kategori burung pemakan buah dan kesan daripada itu akan meningkatkan potensi kepupusan hidupan itu.

Dengan pembasmian yang telah memusnahkan tumbuhan hutan dan kesan kualiti udara yang membahayakan, secara keseluruhan hidupan di luar lingkaran bermasalah turut menerima tempias yang buruk.

Keseimbangan ekosistem dan produktiviti turut terjejas apabila jerebu juga mengganggu komunikasi antara haiwan di darat. Hidupan laut pula berisiko terhadap pengasidan laut yang mengganggu kitaran rantaian makanan.

Selagi isu jerebu dan pembakaran hutan berterusan, kesan ini semakin berkembang kepada tahap lebih serius. Malah, perbezaan tahap trofik memberi kesan kepada rantaian makanan yang berkaitan dengan ekologi pemakan hidupan liar dalam jangka masa panjang.

Sharma memberitahu, pihak WWF Malaysia turut menggesa pihak bertanggungjawab di Asia Tenggara termasuk Malaysia untuk membendung ancaman utama bukan sahaja buat warisan alam semula jadi tetapi untuk kepentingan manusia sejagat.

Usaha juga perlu dipanjangkan dalam mengurangkan aktiviti pembakaran hutan yang menjadi punca utama kepada fenomena tahunan pencemaran jerebu.

kosmo

Comments