30 Nov 2015

Al-Fatihah Buat Pak Yus

 Anak muda yang penuh cita-cita. Dari desa ke kota mencuba bakat seni terutama dalam lakon teater dan lawak. Bersama Tauke, teman akrab mencipta kumpulan Jambu. Pernah menjadi juara Raja Lawak Musim Pertama. 

Takdir penentu segala

Hari ini anak muda itu telah pergi.

Al-Fatihah Buat Pak Yus



Persembahan terakhir Pak Yus Jambu
mohamadridzuan@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Final Raja Band di Dataran Merdeka, di sini, malam tadi menjadi pentas akhir pelawak popular Allahyarham Yussry Edoo, 39, atau Pak Yus Jambu membuat persembahan sebelum dia meninggal dunia di Hospital Selayang akibat serangan jantung kira-kira 12 tengah malam tadi.

Dalam program anjuran Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) itu, Yus bersama kumpulan muziknya Lima Bara tampil sebagai artis jemputan dan menyanyikan tiga lagu.

Pemain dramnya, Norazhar Buyong atau Pak Cu berkata, ketika membuat persembahan Yus yang juga penyanyi kumpulan itu agak agresif.

“Dia melompat-lompat dan ada sekali dia duduk di atas ‘bass drum’ di depan saya. Sebaik persembahan selesai, Pak Yus hilang dan kemudian kami dapati dia sudah berada dalam kereta.

“Ketika itu dia duduk bersandar tanpa berbaju. Diakelihatan penat tetapi tetap bersembang dengan kami seperti biasa," kata Pak Cu yang juga anggota kumpulan XN3 dalam program Maharaja Lawak pada 2011.

Pak Cu berkata, Yus mengajaknya menaiki kereta bersama untuk pulang. Turut berada di dalam kereta berkenaan ialah dua bekas peserta Maharaja Lawak iaitu Jon daripada kumpulan Ekzos dan Mie (kumpulan Shake).

“Ketika tiba di Jalan Kuching, dia tiba-tiba meminta pendingin hawa ditutup dan membuka tingkap kereta. Dia juga tiba-tiba tidak sedarkan diri. Kami cuba kejutkannya tetapi perutnya sudah keras. Kami yang panik akhirnya membuat keputusan membawanya ke Hospital Selayang,” katanya.

Pak Cu berkata, ketika di hospital doktor memaklumkan degupan jantungnya sudah berhenti.

“Kira-kira setengah jam kemudian doktor memaklumkan Yus sudah meninggal dunia,” katanya.

Difahamkan, Yus menghidap kencing manis dan darah tinggi selain turut mengalami masalah jantung.

Jenazah Yus dibawa ke kampung halamannya di Perlis awal pagi tadi dan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Nurul Iman, Kampung Nesam dekat Bintong, selepas solat Zohor, hari ini.

MyMetro

Jenazah Yus Jambu Selamat Dikebumikan


Jenazah pelawak Yus Jambu atau nama sebenarnya Yussry Bin Edoo selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Nesam, Bintong, Perlis kira-kira jam 2.30 petang tadi.

Allahyarham Yus, 39, sebelum itu tiba di kampung halamannya sekitar jam 11.45 pagi sebelum disembahyangkan selepas solat Zohor di Masjid Nurul Iman, Kampung Nesam.

Dianggarkan lebih 3,000 orang yang terdiri daripada ahli keluarga, sanak saudara, sahabat handai dan kenalan artis dan peminat dari seluruh negeri Perlis kelihatan membanjiri kawasan masjid dari 10 pagi untuk menantikan ketibaan jenazah.

Antara kenalan artis dan juga pelawak serta pelakon seperti Achey, Angah, Atu, Tauke, Hairi Safwan dan Akim AF turut menghadiri majlis pengkebumian itu.

Pemenang tempat pertama program Raja Lawak musim pertama ini menghembuskan nafasnya yang terakhir kira-kira jam 12.15 malam sewaktu perjalanan ke Hospital Selayang selepas dilaporkan terkena serangan sawan dan seterusnya tidak sedarkan diri.

Ketika tiba di bahagian Zon Merah, Unit Kecemasan, pihak doktor mengesahkan Yus Jambu telah pun meninggal dunia.

Menurut rakan serumahnya seperti yang dilaporkan Berita Harian Online, Allahyarham Pak Yus sebelum ini pernah mengalami masalah jantung dan kecing manis.

Teks Oleh: Khalid Rahman

astrogempak

 Pak Yus, Kami Akan Sentiasa Merinduimu


Pemergian pelawak Pak Yus atau nama sebenarnya Yussry Bin Edoo pastinya dirasai para peminat dan kalangan artis yang sama-sama berjuang dalam dunia komedi tanah air.

Siapa sangka, pelawak berbakat kelahiran negeri Perlis ini pergi meninggalkan kita tanpa sebarang tanda-tanda masalah kesihatan yang serius.

Namun Allah SWT lebih menyanyangi insan yang cukup disenangi oleh umum ini untuk pergi menemui illahi walaupun dalam usia yang masih muda.

Lebih terkesan dengan pemergian Allahyarham Pak Yus semestinya rakan karib yang juga salah seorang ahli kumpulan Jambu iaitu Tauke.

Kehilangan Pak Yus sudah pasti memberi kesan yang amat mendalam buat Tauke yang merupakan antara duo lawak paling ideal kegemaran ramai.

Malah ada di antara kalangan selebriti tanah air turut meluahkan rasa sedih dan terkejut dengan berita pemergian Pak Yus.

Antaranya penyanyi Mawi yang turut mengingatkan kita tentang kematian dan mengakui akan selalu merindui Allahyarham Pak Yus.

“Roh tetap akan tetap meneruskan perjalanan. Esok lusa kita pula akan menyusul . Itu Pasti! Akan selalu rindu kau Pak Yus,” jelas Mawi seperti dipetik menerusi status akaun Facebook miliknya.

Selain itu, pengacara dan pelawak Jihan Musa menyifatkan Pak Yus seorang yang berhati mulia dan disenangi ramai.

“Dia seorang yang berhati mulia dan baik. Rasanya sukar untuk orang membenci Pak Yus kerana ramai yang senang dengan keletahnya yang sangat bersahaja,” luah Jihan Musa.

Lebih mendalam apabila apabila pengarah dan pelawak, Afdlin Shauki turut memberi kata-kata terakhir buat Pak Yus yang juga merupakan salah seorang peserta program Super Spontan All Stars baru-baru ini.

“Innalillah wainna illaihi rojiuun. Al-fatihah. Rehat sahabat... Rehat. Semoga Allah meletakkan roh mu bersama roh-roh org beriman. Al-fatihah,” tulis Afdlin Shauki di laman Facebook miliknya.

Selepas ini tiada lagi ayat-ayat lawak ‘random’ Pak Yus lagi yang bakal kita saksikan seperti “Boleh Tuju Lagu?”, “Muka Legend, Hati Cute”, “Apa Pun Tak Boleh”, “Siti Nur Enjoy” dan banyak lagi.

Terima kasih Pak Yus. Peminat komedi tanah air pastinya akan merindui lawak-lawak anda yang semestinya sukar dicari.

Semoga kau tenang di sana. Hanya doa yang akan sentiasa mengiringimu.

Al-Fatihah.

Teks Oleh: Khalid Rahman

astrogempak



"Aku Melawak Bukan Kerana Nama" Dendangan Terakhir Yus (Jambu)
30 November 2015
Oleh: KEMALIA OTHMAN


Yus Jambu meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Selayang.


PETALING JAYA: Pelawak Helmi The Gimmick memberitahu nyanyian terakhir Allahyarham Yus Jambu ketika di Konsert Raja Band yang diadakan di Dataran Merdeka pada malam Ahad menyentuh perasaan penonton.

Helmi berkata, arwah menyampaikan lagu yang dipopularkan oleh Datuk Ramli Sarip berjudul Bukan Kerana Nama, namun ditukar lirik yang menyelitkan beberapa nasihat kepada orang ramai.

"Ketika dia menyanyi lagu tersebut saya sendiri rasa sebak kerana cara nyanyian serta lagu tersebut diubah liriknya seperti memberi nasihat buat kali terakhir.

"Lagu yang sepatutnya dinyanyikan lirik 'aku menulis bukan kerana nama', ditukar kepada 'aku melawak bukan kerana nama' serta lirik lain yang banyak menyentuh nasihat. Saya tidak sangka itu adalah kali terakhir saya berkongsi pentas dengannya," ujarnya ketika dihubungi mStar Online, di sini, Isnin.


Helmi tersentuh nyanyian terakhir Allahyarham Yus Jambu.

Helmi berkata, dia yang bertindak sebagai pengacara pada malam tersebut memberitahu arwah menyampai tiga buah lagu termasuk lagu tersebut.

Bagaimanapun, katanya, arwah tidak banyak bercakap dan kelihatan pucat sepanjang persembahan malam itu.

"Dia sangat lain, selalu jika saya melawak dengannya pasti dia sambut, tetapi tidak semalam. Dia banyak diam dan wajahnya pucat.

"Saya tanya adakah dia tidak sihat, namun katanya, dia agak penat," katanya.
Sementara itu, Helmi berkata, arwah juga merupakan seorang yang perahsia dan tidak memberitahu tentang penyakit yang dihadapinya.

"Saya kenal dia ketika satu pentas Raja Lawak musim pertama dan dia seorang yang suka menyendiri. Ketika di hospital semalam pun saya ada bertanya kepada keluarganya tentang penyakit tersebut.

"Keluarganya mengakui dia ada mengihidap sakit jantung dan asma," ujarnya.


Karyawan akan beri bantuan sokongan kepada keluarga Allahyarham Yus Jambu.


Sementara itu Presiden Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan), Datuk Freddie Fernandez berkata, terkejut apabila dimaklumkan tentang berita pemergian pelawak yang banyak memberi kerjasama dengan Karyawan.

Katanya, sebagai penganjur, dia juga agak terkilan kerana tidak dimaklumkan tentang penyakit pelawak tersebut.

"Kita kehilangan seorang bintang yang sentiasa beri sokongan kepada Karyawan. Allahyarham tidak pernah menolak jika diminta membantu sebarang majlis anjuran Karyawan.

"Secara jujur memang ada sedikit kesal kerana tidak tahu dia ada masalah kesihatan, kalau tahu kita tidak minta dia nyanyi banyak lagu malam tadi, namun ajal maut itu sudah ditentukan tuhan," ujarnya.


Jenazah Allahyarham sudah selamat tiba di Perlis dan bakal dikebumikan selepas Zuhur.


Freddie berkata, dia sedang merancang untuk memberi sokongan dan sumbangan kepada keluarga Allahyarham dalam masa terdekat.

Pelawak Yus Jambu atau nama sebenarnya Yussry Edoo, 39, meninggal dunia akibat sesak nafas di Hospital Selayang kira-kira pukul 12.30 pagi Isnin.

Allahyarham meninggal ketika dalam perjalanan ke hospital selepas mengadakan persembahan di Konsert Raja Band di Dataran Merdeka, malam Ahad.

Jenazah telah dibawa pulang ke kampungnya untuk dikebumikan selepas Zuhur di Tanah Perkuburan Islam, Kampung Nesam, Batu Pahat, Kangar, Perlis.

mstar

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

© 2011 mimbar kata, AllRightsReserved.

Designed by ScreenWritersArena