pelagak ngeri

Pelagak ngeri tidak popular, di balik tabir

Oleh NABIHA MOHD. YUSOF
Foto NASIRRUDDIN YAZID


SELAIN berlatih secara kerap, pelagak ngeri perlu melakukan aksi yang sedikit mencabar.

Pelagak ngeri wanita, Ilya Iryani Shuib, 29, melalui banyak pengalaman pahit ketika mula-mula menceburkan diri dalam aktiviti ekstrem itu.

Selain mendapat tentangan yang hebat daripada kedua-dua ibu bapanya, dia turut dicemuh masyarakat sekeliling kerana dianggap ingin berlagak kuat seperti lelaki.

“Pada mulanya, kedua-dua ibu bapa saya tidak begitu setuju dengan keputusan saya untuk menjadi pelagak ngeri kerana saya anak perempuan dan tidak sesuai melakukan aksi-aksi berbahaya.

“Lama-kelamaan, mereka merestui kerjaya saya setelah melihat keupayaan untuk melakukan aksi itu,” ujar Ilya Iryani yang mula menceburkan diri pada tahun 2008.

Anak ketiga daripada enam adik-beradik itu berkata, profesion tersebut dianggap sebagai satu pengalaman baharu. Ini kerana minatnya begitu mendalam terhadap sukan-sukan lasak.

Ilya Iryani aktif dalam bidang permotoran dan menerusi acara itu, dia berkenalan dengan Penerbit Stunt Legends, Mark Eady.

“Ketika itu, saya tidak tahu bagaimana skop kerjaya sebagai pelagak ngeri. Setelah diceritakan oleh Eady, barulah saya tergerak untuk mencuba nasib. Ia merupakan pengalaman terbaik bagi saya,” tuturnya.

Bagaimanapun, anak kelahiran Selangor itu turut mempunyai pengalaman pahit seperti terbabit dalam kemalangan sejak bergelar pelagak ngeri.

Cedera

Dia mengalami kecederaan pada tangan kirinya ketika melakukan aksi ekstrem dalam tahun ini, sekali gus menyebabkan jari hantunya patah.

Namun, Ilya Iryani tidak serik dan menganggap kecederaan itu berlaku akibat kecuaian sendiri ketika melakukan aksi.

Selain itu, dia juga pernah dicemuh kerana ingin berlagak kuat seperti lelaki, kononnya bidang tersebut hanya sesuai untuk kaum Adam.

Penunggang motosikal khususnya pelesit rempit kadang-kadang mencabar gadis bertubuh langsing itu hanya kerana dia menunggang motosikal motocross.

Ketika melakukan latihan secara bersendirian, Ilya Iryani akan mencari satu tempat yang luas dan kosong untuk berlatih.

Namun, dia akan dihalau oleh sesetengah penduduk setempat dan pihak polis kerana mengganggu ketenteraman persekitaran.

“Saya ingin berlatih kemahiran menunggang motosikal di samping membuat aksi mudah seperti wheelie, burnout dan 12 o’clock tetapi dicemuh.

“Saya terpaksa berpindah-randah untuk mencari lokasi yang sesuai. Jadi, saya tiada tempat latihan khusus,” tuturnya.

Bagaimanapun, Ilya Iryani tetap tabah dan berbangga kerana wanita berhijab sepertinya dapat melakukan aksi lagak ngeri yang setanding dengan lelaki.

Sementara itu, pelakon terkenal Hollywood, Vin Diesel mengakui, dia semakin berhati-hati untuk melakukan aksi lagak ngeri sejak tragedi meragut nyawa yang menimpa salah seorang pelagak ngeri, Harry O'Connor ketika di set penggambaran filem pada April 2002.

“Kejadian itu telah membuka mata keseluruhan kru perfileman supaya lebih mengutamakan keselamatan dan mengatur aksi-aksi yang selamat,” katanya.

Prinsip itu turut menjadi pegangan pelagak ngeri kelahiran Gold Coast, Australia, Cameron Ambridge, 37.

Ambridge mengakui, aksi-aksi lagak ngeri yang dilakonkan oleh pelagak profesional tampak senang tetapi ia mampu mengundang bencana jika tidak dilakukan dengan betul.

Keselamatan

Antara pelagak negeri yang menyertai sesi latihan dan pelancaran Stunt Legends di Tanjung Malim, Perak baru-baru ini.

“Oleh sebab itu, kesemua pelagak ngeri perlu mengutamakan keselamatan walaupun mereka telah berpuluh-puluh tahun menceburkan diri dalam bidang ini,” kata Ambridge ketika ditemui Kosmo! pada sesi latihan pelatih lagak ngeri dan pelancaran Stunt Legends di Tanjung Malim, Perak baru-baru ini.

Tambah Ambridge, semua pelagak ngeri sama ada amatur atau profesional terdedah dengan persekitaran baharu walaupun melakukan rutin aksi yang sama setiap hari.

Misalnya, melakukan aksi di tempat latihan tidak sama dengan beraksi pada set perfileman atau melakonkan secara langsung dan terbuka depan orang ramai.

“Keselamatan harus diutamakan meskipun pelagak ngeri melakukan aksi dalam filem yang banyak menggunakan teknik CGI (Computer-Generated Imagery),” jelasnya.

Kadar bayaran untuk setiap pelagak ngeri berbeza-beza iaitu bergantung pada pengalaman bekerja. Misalnya, Ambridge dibayar mengikut filem yang dilakonkan.

Bagi pelagak ngeri tempatan pula, bayaran hampir sama seperti mereka memegang jawatan eksekutif iaitu lebih kurang RM30,000 setahun.

Selain itu, ia juga merupakan platform kerjaya bagi individu yang mempunyai minat terhadap aktiviti lasak dan ingin mencari pengalaman baharu.

Hal ini kerana aksi yang dianggap paling mudah seperti tergantung di udara menggunakan tali juga mampu mengundang kecederaan jika tidak berwaspada.

Ambridge menceritakan, lagak ngeri bukan satu karier yang boleh membuatkan seseorang individu itu popular kerana mereka bekerja di belakang tabir.

Profesion itu tidak sama seperti pelakon utama atau pelakon tambahan biasa. Dalam perfileman, orang ramai hanya mengetahui nama pelagak-pelagak ngeri.

Melainkan lagak ngeri dilakukan sendiri oleh pelakon utama seperti Tom Cruise yang melakukan aksinya sendiri dalam filem Mission Impossible.

Kemahiran

Dalam kebanyakan kes, pelakon utama tidak digalakkan melakukan sendiri aksi ngeri kecuali mendapat arahan atau kebenaran daripada pengarah filem itu.

Pada masa sama, pelagak ngeri perlu cepat belajar kemahiran-kemahiran yang baharu supaya bersedia ketika membuat penggambaran atau beraksi secara langsung.

“Tiada istilah one man show dalam profesion ini kerana semua pelagak ngeri perlu bekerjasama dalam menjayakan sesebuah filem,” kata Ambridge yang pernah beraksi dalam filem-filem terkenal seperti Mad Max: Fury Road dan Pirates of The Caribbean.

Mengulas mengenai kerjaya lagak ngeri, Ambridge berkata, kesemua pelagak ngeri mempunyai latar belakang yang berbeza-beza dan tidak semuanya daripada bidang perfileman.

Dia pernah bekerja di taman tema Movie World, Gold Coast, Australia sebelum memulakan karier sebagai pelagak ngeri. Kini, dia telah menceburkan diri dalam industri itu selama 18 tahun.

Tambahan pula, skop profesion itu sangat luas dan setiap kali beraksi, ia merupakan pengalaman baharu. Contohnya, pelagak ngeri yang bagus boleh melakukan pelbagai aksi termasuk dalam permotoran.

Pelagak ngeri atau stuntman berasal dari Perancis yang dikelai sebagai cascadeure. Terma itu digunakan sejak sekian lama dan merupakan gelaran bagi ahli-ahli sarkas. Penjugel merupakan pelagak ngeri yang pertama.

Filem pertama yang mempunyai aksi lagak ngeri ialah The Count of Monte Cristo pada tahun 1908. Dalam filem itu, pelagak tersebut perlu terjun ke dalam laut.

Revolusi pelagak ngeri semakin lama semakin berkembang dan menjadi aspek penting dalam industri perfileman. Tambahan pula, isu keselamatan dalam lagak ngeri juga diperketatkan.

Bagaimanapun, lagak ngeri masih suam-suam kuku dalam industri perfileman di Malaysia dan profesion itu kurang mendapat sambutan.

Sementara itu, pelagak ngeri baharu, Abdullah Syukur Ramli, 28, begitu teruja kerana terpilih menjalani berlatih aksi-aksi ngeri bersama Ambridge.

“Sebelum ini, saya pernah menjadi pelagak ngeri dalam filem KL Gangster 2 tetapi kali ini, saya berasa bertuah kerana dapat menimba lebih banyak ilmu mengenai lagak ngeri bersama pelagak antarabangsa.

“Profesion ini mampu membawa saya pergi lebih jauh dan saya berharap golongan muda tempatan akan cuba untuk menceburi diri. Ia pengalaman yang sukar diperoleh,” jelasnya.

kosmo online

Comments