6 Oct 2015

Orkestra RTM

Sejarah Orkestra RTM


AHMAD NAWAB (kiri, depan) ketika menyertai Orkestra Radio Malaysia di bawah pimpinan Johari Salleh pada tahun 1966.

SELAMA lima dekad wujud di Malaysia, Orkestra RTM merupakan orkestra tertua negara. Kewujudannya sangat penting kerana ia antara pemangkin perkembangan industri muzik tempatan yang telah melahirkan ramai komposer berbakat dengan lagu-lagu malar segar sehingga ke hari ini.

Orkestra RTM juga boleh dianggap sebagai khazanah negara kerana ia boleh dijadikan rujukan dalam bidang muzik tempatan dalam usahanya memartabatkan lagi industri muzik tempatan.

Perjalanan yang bermula pada tahun 1961 dengan nama asalnya Orkes Radio Malaysia yang ketika itu dipimpin oleh Tan Sri Ahmad Merican telah memperlihatkan perbezaan dan kualiti daripada kumpulan muzik yang wujud pada ketika itu.

Rumah Persekutuan yang masih tersergam di Jalan Raja, Kuala Lumpur sehingga ke hari ini menjadi monumen bersejarah apabila lokasi itu merupakan tempat kelahiran dan membesar Orkestra RTM.

Apabila operasi Radio dan Televisyen Malaysia disatukan pada tahun 1969, nama Orkestra Radio Malaysia ditukar kepada Orkestra RTM dan ia bertapak di Kompleks Angkasapuri sehingga sekarang.

Selepas 50 tahun banyak nama besar dan tokoh dalam bidang muzik dilahirkan oleh Orkestra RTM yang juga menyumbang kepada industri muzik tanah air seperti Jimmy Boyle, Osman Ahmad, Datuk Ahmad Nawab, Kasim Masdor dan R. Ismail.

Selepas Tan Sri Ahmad Merican, tanggungjawab mengepalai orkestra tersebut diteruskan oleh Alfonso Soliano (Pemimpin Orkes Radio Malaysia 1961 - 1965), Gus Steyn (Pemangku Pemimpin 1967 - 1969), Datuk Johari Salleh (Pengarah Muzik 1965 - 1983), Datuk Ahmad Dasillah (Pengarah Muzik 1984 - 1999), Ruslan Mohd. Imam (Pemimpin Orkestra RTM 1978 - 1995) dan Datuk Mokhzani Ismail (Pengarah Muzik Orkestra RTM 1999 - kini).

Alfonso Soliano

Pemimpin Orkes Radio Malaya ini dilahirkan di Filipina, mahir bermain piano, pencinta irama jazz dan menjunjungi irama Melayu dalam perspektif yang berbeza. Ia terlihat pada awal pimpinannya sebelum kemerdekaan pada tahun 1956 yang ketika itu dikenali sebagai Orkes Tiga Serangkai yang turut dianggotai oleh Mahadzir Yassin, pemain double bass dan JJ.Vilinguez, pemain dram bagi menyediakan rancangan muzik untuk siaran radio.

Alfonso juga menggubah lagu Negaraku. Daripada sebuah lagu sentimental ke lagu yang menyuntik semangat patriotism, lagu Terang Bulan diberi nafas baharu menjadi lagu kebangsaan yang hari ini dikenali sebagai Negaraku. Semua sedia maklum, lagu Negaraku sebagai lambang visi kreatif Tunku Abdul Rahman, Perdana Menteri pertama Malaysia dan Bapa Kemerdekaan yang pertama kali melancarkan Negaraku mengiringi laungan merdeka selepas bendera Union Jack diturunkan.

Gus Steyn

Gus Steyn atau nama sebenarnya Gustaaf Nicolaas Steyn berasal dari Zaandam, Belanda. Banyak menyumbang kepada Malaysia menerusi penghasilan lagu-lagu patriotik, meskipun dia sebenarnya adalah seorang warga Singapura. Gus Steyn yang juga merupakan seorang konduktor orkestra dan pemain piano yang baik, dianggap antara komposer dan penggubah terbaik Malaysia selama lebih 30 tahun. Beliau juga bijak menggandingkan irama Malaysia bagi persembahan orkestra, antaranya lagu Kaparinyo Suite. Dibesarkan dan mendapat pendidikan awal di Belanda, Gus Steyn juga mendalami ilmu muziknya di tanah kelahirannya sebelum berhijrah ke Jakarta pada tahun 1940-an dan bekerja sebagai pemuzik.

Pada 1958, dia ke Singapura dan dilantik menjadi Pengarah Muzik di Radio TV Singapura. Semasa revolusi program pada tahun 1962, skim pemotongan gaji di Singapura menyebabkannya terpaksa berhenti kerja. Gus kemudiannya berhijrah pula ke Australia dan bermain muzik di kelab malam. Pada 1966, Tan Sri Dol Ramli dan Tan Sri Ahmad Merican telah ke Australia dan bertemu Gus Steyn, lalu menawarkannya bekerja bersama Orkestra RTM. Di Kuala Lumpur, Gus Steyn dilantik menjadi Timbalan Pemimpin di bawah seliaan Datuk Johari Salleh. Karya istimewanya, Overtue Samudra turut dimasukkan ke dalam kurikulum muzik formal Sijil Pelajaran Malaysia yang diperkenalkan pada tahun 1972.

Datuk Johari Salleh



ORKESTRA Radio Malaysia pada tahun 1970 yang dibarisi 49 anggota.

Datuk Johari Salleh bertanggungjawab mengambil alih kepimpinan Orkestra RTM pada tahun 1965, selepas lima tahun di bawah pimpinan Alfonso Soliano. Dalam usaha memantapkan Orkestra RTM, Johari yang dilahirkan di Geylang, Singapura, pada 9 Februari 1940, melanjutkan pelajaran di Berklee College of Music di Boston pada tahun 1967. Sebelum menyertai Orkestra RTM, Johari mengumpul banyak pengalaman dengan bekerja di kelab malam di Singapura. Johari yang sangat mengagumi idolanya, Alfonso Soliano dan Jimmy Boyle.

Meminati lagu klasik, jazz dan pop, Johari menjadikan Due Helinton sebagai sumber inspirasi kepada karya jazz. Sementara itu, Tom Jones dan Henry William khusus untuk lagu pop. Johari turut mengagumi seniman agung, Tan Sri P. Ramlee dan Saloma yang merupakan sahabat baiknya semasa di Singapura. Di bawah pimpinan Johari Orkestra RTM terus memacu peranannya sebagai landasan mengembangkan seni persembahan dan muzik tanah air.

Datuk Ahmad Dassilah

Datuk Ahmad Dassilah Mohd. Yussuf merupapan pemuzik hebat bermain saksofon, flut dan klarinet di pentas. Beliau menjadi penerbit di Unit Hiburan Radio pada tahun 1967 yang mana itu merupakan impiannya.

Dipilih menjadi nakhoda baharu Orkestra pada tahun 1984 dan bertanggungjawab sebagai Pengarah Muzik RTM. Berkat ilmu yang dipelajarinya semasa melanjutkan pelajaran di universiti ternyata Dassilah membawa kejayaan yang besar kepada Orkestra RTM.

Datuk Mokhzani Ismail

Pengarah muzik kelahiran Perlis pada usia tujuh tahun, Datuk Mokhzani Ismail diberikan sebuah piano oleh ayahnya, Ismail Ariffin. Mokhzani mula berjinak-jinak membuat persembahan dengan bermain bersama-sama band di kampungnya di Perlis untuk majlis kenduri kahwin atau ketika majlis keramaian.

Tahun 1960-an, tidak terdapat sekolah seni muzik, sungguhpun begitu berkat semangat yang cekal, Mokhzani belajar sendiri sambil dibantu oleh ayahnya.

Pada usia 18 tahun, Mokhzani melanjutkan pelajaran ke Maktab Ilmu Khas. Istimewanya Mokhzani, beliau pelajar yang mahir mampu bermain apa sahaja lagu hanya menerusi pendengaran telinganya. Tahun 1982, beliau menjadi guru di Perlis.

Mokhzani meletak jawatan pada tahun 1986 mendapat biasiswa yang membawa Mokhzani terbang ke Boston melanjutkan pengajian di Berklee College of Music dalam bidang penggubahan orkestra. Selepas tiga tahun menuntut ilmu di luar negara dan lulus dengan Magna Cum Laude, Mokhzani kembali ke Malaysia pada tahun 1990.

Seorang kenalan lama Mokhzani telah memperkenalkan Mokhzani kepada Pengarah Orkestra Radio Televisyen Malaysia (RTM), Datuk Ahmad Dassilah. Detik itulah menjadi permulaan kepada penglibatan beliau dengan Orkestra RTM.

kosmo



Orkestra RTM 50 tahun


MUNGKIN tidak ramai generasi baru sedar, Orkestra RTM adalah pelopor kepada muzik yang besar dan 'grand' sejak ia ditubuhkan pada 1961.

Ketika itu, konduktor Alfonso Soliano bersama Tan Sri Ahmad Merican mengetuai Unit Muzik di Radio Malaya dan menjadi individu yang bertanggungjawab membangunkan kumpulan pemuzik profesional itu.

Pencapaian Orkestra RTM terus menjadi kebanggaan ramai apabila melahirkan pemuzik profesional seperti Datuk Dr Johari Salleh, Datuk Ahmad Nawab, Wan Ahmad, Ahmad Idris dan Jimmy Foong.

Kini, selepas lima dekad bertahan, Orkestra RTM terus relevan apabila meraikan sambutan jubli emasnya pada tahun ini.

Ketua Pengarah RTM, Datuk Ibrahim Yahaya berkata, kepemimpinan badan muzik ini yang masuk generasi kelima di bawah Pengarah Muzik, Datuk Mokhzani Ismail adalah kesinambungan terhadap era kegemilangan RTM.

"Sejak saya menyertai RTM, saya berazam menukar persepsi masyarakat terhadap orkestra RTM milik badan kerajaan semata-mata. Sebaliknya, orkestra ini sudah berjaya melahirkan ramai pemuzik profesional dan mengiringi ramai penyanyi handalan tanah air sejak ia ditubuhkan pada 1961.

"Seperti baju batik juga, ia dianggap berimej 'belia' tetapi ia sebenarnya boleh menjadi satu 'trend' jika kita pasarkan dengan baik," katanya.

Bagi Mokhzani, apa yang dilakukan pemuzik orkestra ini terhadap perkembangannya bukan suatu yang singkat. Usaha menampilkan pemuzik profesional lahir daripada kumpulan ini mengambil proses yang panjang.

"Kita berbangga kerana orkestra ini dianggotai pemuzik tempatan dan mereka sebenarnya menjadi milik masyarakat. Sempena sambutan ulang tahun ini, kami mahu merakyatkan orkestra ini.

"Ini merangkumi pelbagai aktiviti hingga ke sekolah mahupun universiti. Sebolehnya, saya tidak mahu Orkestra RTM dilihat sebagai milik stesen TV kerajaan tetapi adalah milik masyarakat.

"Sesuai dengan tema mendidik, menghibur dan inspirasi, kami mahu menjalinkan kerjasama erat dan mungkin dapat bekerjasama dengan Tourism Malaysia untuk membawa pemuzik terbabit ke luar negara bagi mempromosikan muzik Malaysia," katanya.

Sempena sambutan Jubli Emas itu, Orkestra RTM turut tampil dengan album baru, Gemilang 50 menampilkan 16 lagu iaitu Airmata Berderai, Jauh-Jauh, Ikan Kekek Suite, Getaran Jiwa, Rancak Bertemu, Apabila Kau Tersenyum, Overture Taman Gemalasari, Sungai Pahang, Makan Sirih, Santubung Suite, Pantai Gurauan, Tanah Pusaka, Nasi Goreng Suite, Penawar Rindu dan Simfoni Gemilang.

Mokhzani berkata, mereka juga memberi penghargaan kepada pemuzik terdahulu seperti Alfonso Soliano, Johari Salleh dan Gus Steyn. Album ini diedarkan Erama Music.

Pelancaran album ini disempurnakan Timbalan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Senator Datuk Maglin Dennis D Cruz di Auditorium P Ramlee, Angkasapuri, Kuala Lumpur, baru-baru ini. Hadir sama, Pengarah Urusan Erama Music, Datuk Affendi Mohd Hamdan.

Acara ini antara 11 aktiviti dirancang sempena sambutan Orkestra RTM kali ini. Antaranya program lapan episod, Menuju Gemilang di TV1 bermula 4 Februari ini, Konsert Gemilang 50 Tahun di Istana Budaya (IB) dan pelancaran 'coffee table' Orkestra RTM 50 Tahun - Menyelusuri Zaman (1 April).

rtm


50 tahun penuh gemilang



ORKESTRA yang cukup sinonim dengan Radio dan Televisyen Malaysia (RTM) sebagaimana yang dikenali hari ini sebenarnya bermula dengan nama Orkes Radio Malaysia.

Ketika mula-mula ditubuhkan pada tahun 1961 oleh Tan Sri Ahmad Merican, ia berkonsepkan big band yang dianggotai seramai 13 ahli yang tertumpu dalam kelompok keluarga peralatan muzik yang dikenali dalam bahasa Inggeris iaitu brass (contohnya seperti trompet), saxes (contoh, saksofon) dan rhythm (contoh,dram).

Ahli orkestra tersebut kemudian bertambah dengan penambahan ahli muzik peralatan muzik bertali (contoh, biola) bermula tahun 1965 dengan 25 orang ahli.

Di antara tahun 1967 sehingga 1969, keanggotaannya berkembang kepada 38 orang dengan berkonsep studio orkestra. Pada 1969, namanya mula dikenali sebagai Orkesrta RTM.

Tidak dinafikan pada awal kemunculannya Orkestra RTM sangat popular dalam kalangan pendengar radio sementelah waktu itu radio merupakan satu-satunya elemen hiburan yang mampu dimiliki rakyat ketika itu.

Malah, sebahagian besar lagu-lagu yang berkumandang di corong-corong radio serta kaca televisyen ketika waktu itu dihasilkan oleh Orkestra RTM.

Ramai pemuzik ternama juga lahir menerusi orkestra ini seperti Datuk Ahmad Nawab, Jimmy Boyle, Osman Ahmad, Kasim Masdor dan R.Ismail.

Berbangga dengan kewujudannya sehingga hari ini, Orkestra RTM telah menerima penghargaan daripada Malaysia Book Of Records sebagai orkestra paling lama bertahan di Malaysia (1961 - 2011).


Bukan itu sahaja, bagi menghargai dan meraikan usia 50 tahun Orkestra RTM, telah diadakan Konsert Gemilang 50 Orkestra RTM yang dibuat secara rakaman baru-baru ini dan ia akan disiarkan kepada penonton pada 1 November ini di TV2 pada pukul 9 malam.

Perubahan

Bertemu dengan salah seorang komposer ternama yang juga tokoh Orkestra RTM iaitu Datuk Johari Salleh yang berkhidmat sebagai pengarah muzik orkestra dari tahun 1965 sehingga 1983 beliau memberitahu, Orkestra RTM kini sudah melangkah jauh berbanding era awalnya dahulu.

“Dulu pelbagai idea dan perancangan yang ada tetapi dek kekangan teknologi ketika itu, ia terhalang. Jika dulu kita tidak ada multi track recorder dan komputer untuk memudahkan kerja, jadi semuanya harus dibuat secara manual.

“Rakaman sesebuah lagu dibuat secara langsung, kalau seorang pemain muzik salah, kita harus ulang semula sehingga mendapat rakaman bersih,” katanya.

Ketika dulu, kejayaan Orkestra RTM hari ini menjadi idamannya, selain daripada kecanggihan teknologi, beliau juga mengimpikan sebuah studio yang berkualiti tinggi serta memiliki pemain muzik profesional.

“Zaman saya tidak sempat, kalau dulu sukar untuk kita mencari pemain muzik yang profesional dan memiliki pengetahuan luas mengenai muzik tidak seperti sekarang yang mana sekolah muzik ada di mana-mana sahaja.

“Jadi, apa yang kita terpaksa lakukan adalah mencari dan mengumpul pemain muzik dari pelbagai tempat untuk disatukan dalam orkestra. Sekarang, sudah tidak ada masalah, ramai graduan bidang muzik telah dilahirkan. Apa yang kita perlu buat hanya uji bakat dan mengambil yang terbaik sahaja, kuasa untuk memilih itu sudah ada,” ulas Johari yang kini merupakan Felo Kanan di Pusat Kebudayaan dan Pusat Permata Pintar Negara di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi, Selangor.

Johari yang merupakan bekas graduan Berklee College of Music, Boston, Amerika Syarikat turut terharu apabila beliau merupakan salah seorang tokoh orkestra yang menerima penghargaan pada Konsert Gemilang 50 Orkestra RTM.

Peringkat antarabangsa


Pengarah muzik Orkestra RTM, Datuk Mokhzani Ismail yang mula berkhidmat dari tahun 1999 mempunyai tugas berat untuk meneruskan kelangsungan Orkestra RTM. Tugasnya adalah menjenamakan semula orkestra dengan mengambil ahli-ahli muzik muda dan berkelulusan universiti tempatan dan luar negara.

Ujarnya, dalam zaman moden hari ini terlalu banyak persaingan daripada segi medium hiburan muncul, malah, genre lagu yang diminati oleh masyarakat tempatan juga semakin bertambah.

“Bagi meneruskan minat masyarakat terhadap orkestra, kita harus mengikut arus dan juga perkembangan semasa. Hari ini pelbagai genre lagu boleh dimainkan bersama dengan orkestra bermula dengan tradisional sehingga ke rock.

“Ramai yang beranggapan muzik orkestra untuk golongan berada dan ada yang menganggap muzik orkestra membosankan apabila ia dialunkan secara instrumental. Sebab itu kami sering menggabungkan penyanyi popular dan orkestra.

“Malaysia bukan seperti di Amerika yang mana orkestra mempunyai peminatnya yang tersendiri. Di sini kami yang harus keluar menemui penonton supaya boleh lebih dekat dengan rakyat.

“Bukan mudah untuk mengekalkan Orkestra RTM sehingga ke hari ini jika kualitinya tidak ada. Saya berbangga kerana dalam banyak-banyak orkestra yang ditubuhkan untuk sebuah stesen televisyen di Asia, Orkestra RTM paling lama bertahan dan juga masih aktif sehingga ke hari ini,” ujarnya lagi mengenai orekstra yang dianggotai oleh 35 orang pemuzik itu.

Tahun 2010 tidak dapat dilupakan oleh Mokhzani apabila Orkestra RTM melancarkan RTM Jazz Orkestra.

Orkestra jazz ini telah banyak merantau jauh dengan mengadakan persembahan di Jakarta Jazz Festival dan juga Java Jazz Festival yang mana itu merupakan festival terbesar yang turut menglibatkan ramai pemuzik Jazz terkenal dunia.

"Pihak kami telah menggandakan usaha untuk memperkenal Orkestra RTM ke peringkat antarabangsa dan bersyukur ketika kami mengadakan persembahan di luar di bawah nama Malaysia.

“Untuk menjadi orkestra terulung itu bukan mustahil tetapi untuk mencapai impian itu, usaha keras diperlukan. Saya mengharapkan yang terbaik dan sokongan berteruskan agar Orkestra RTM terus wujud di bumi Malaysia,” katanya yang akan menjadi konduktor muzik untuk konsert pemuzik jazz terkenal Amerika, Chris Botti di Dewan Philharmonik Petronas pada 6 Disember depan.

Suntikan baru

Penyanyi pop terkenal, Jamal Abdillah sering kali membuat persembahan dengan Orkestra RTM, malah ketika dia menjadi juara Bintang RTM 1979, dia turut menyanyi dengan iringian orkestra tersebut.

Akui Jamal, bukan semua penyanyi boleh menyanyi dengan irigan pemuzik orkestra kerana satu kesalahan sahaja akan merosakkan keseluruhan orkestra.

“Menyanyi dengan orkestra berbeza dengan band muzik biasa, pemuzik orkestra mereka main muzik ikut not lagu, sama juga dengan penyanyi yang turut ada not seperti pemuzik. Kalau salah masuk ketika menyanyi, susah untuk pemuzik ikut balik rentak kita kerana mereka ikut not muzik seratus peratus.

“Latihan amat diperlukan kalau ingin menyanyi dengan orkestra. Justeru itu, penyanyi tidak boleh melakukan sebarang kesalahan ketika menyanyi. Saya mempunyai banyak pengalaman menyanyi dengan orkestra dan tidak secara langsung ia juga mendidik saya untuk menjadi penyanyi yang bagus,” jelas Jamal.

Apabila ditanya apakah yang perlu dilakukan oleh Orkestra RTM supaya mereka lebih maju, jawab Jamal: “Orkestra RTM perlu suntikan baharu, maksud saya ia harus mengikut perkembangan semasa dan tidak boleh tersekat dengan konsep orkestra itu sendiri.


JAMAL sedang beraksi pada Konsert 50 Tahun Orkesrta RTM.

“Kalau dulu mungkin ia amat popular dan diterima ramai tetapi hari ini, persaingan dengan medium hiburan muzik lain terlalu banyak. Jika ingin terus hidup dan gemilang, mereka harus lakukan sesuatu yang berbeza dan menarik minat orang ramai,” jelasnya.

Merakyatkan muzik orkestra

Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Rais Yatim yang ditemui sejurus rakaman Konsert Gemilang 50 Orkestra RTM pula berkata, Orkestra RTM mempunyai masa depan yang cukup cerah untuk dikembangkan bukan sahaja untuk pemuzik profesional tetapi juga untuk seluruh rakyat Malaysia.

“Orkestra RTM sudah merentas zaman dan melalui pelbagai cabaran. Bagi saya muzik orkestra ini mampu dirakyatkan buat semua rakyat Malaysia. Kita boleh perkenalkan muzik kepada orang di luar sana dengan mengadakan konsert jelajah merentas desa dan yang paling penting alat muzik tradisional kita juga antara komponen utama orkestra ini.

“Selain mendekatkan diri dengan rakyat, menerusi perancangan yang khusus juga ia boleh menarik minat golongan muda dan remaja terutamanya untuk berkecimpung dalam bidang muzik.

“Ini kerana selama ini orkestra dianggap muzik yang mahal walhal ia sesuai untuk semua golongan kerana boleh mendendangkan pelbagai genre lagu daripada pop sehinggalah ke tradisional,” kata Rais.

Tambahnya, dia berbangga kerana Orkestra RTM mampu bertahan sehingga ke hari ini. Menerusinya muncul ramai pemuzik berbakat untuk menghasilkan muzik-muzik terbaik sebagai khazanah negara.

“Tiada lama, tiada baharu, ungkapan itu paling sesuai kepada pelapis baharu yang meneruskan alunan muzik mereka dengan Orkestra RTM, secara peribadi saya rasakan kewujudan orkestra ini masih relevan meskipun sudah menjangkau usia 50 tahun,” ucap Rais lagi.

kosmo

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

© 2011 mimbar kata, AllRightsReserved.

Designed by ScreenWritersArena