Nobat Diraja Perak


Nobat Diraja Perak
Oleh MUHAMAD RAFIQ ABDUL RAHMAN


“Hanya keturunan Kalur yang boleh memainkan alat nobat diraja Perak,” tegas Ketua Nobat Diraja Perak, Toh Setia Guna Abdul Aziz Yahya, memulakan perbualan. Mengikut adat istiadat Perak, sultan tidak dianggap berdaulat sehingga ditabalkan dengan bunyi-bunyian nobat.

Nobat merupakan satu daripada 19 alat kebesaran diraja Perak. Mengikut sejarah, perkataan nobat berasal daripada bahasa Parsi, naubat, yang bermaksud sembilan jenis. Menurut Aziz, yang dimaksudkan dengan sembilan jenis itu ialah alatannya, iaitu nafiri, serunai, gendang nengkara, gendang nobat (gendang nyenyalu), gendang penengkah, dua pemukul gendang, lapik nengkara dan pemukul nengkara. Namun begitu, di Perak, bilangannya hanya lima. Antara alatan nobat tersebut, gendang nobat yang paling dihormati.



Ahli nobat diraja Perak dan Selangor mestilah dalam kalangan keturunan kalur.

Mengikut sejarah, nobat mula dimainkan sejak zaman kesultanan Sultan Muzaffar Shah. Nobat merupakan kumpulan “pancaragam” diraja yang diguna pakai sejak zaman-berzaman untuk istiadat pertabalan raja. Negeri lain yang mempunyai kumpulan nobat diraja ialah Kedah, Terengganu dan Selangor.

Yang menariknya, ahli nobat diraja Selangor pun berasal daripada keturunan Kalur dari Perak. Hal ini bermula apabila Raja Lumu, anak Daeng Chelak dari Bugis yang dikatakan akan bergelar Yang di-Pertuan Selangor, telah diundang oleh Sultan Muzaffar Shah III ke Kuala Bernam. Kehadiran rombongan Raja Lumu disambut dengan penuh adat istiadat diraja secara besar-besaran, termasuklah pukulan nobat dan tiupan nafiri.

Undangan tersebut bertujuan untuk menguji sama ada Raja Lumu benar-benar berketurunan raja yang berdaulat ataupun sebaliknya. Setelah melalui pelbagai ujian, akhirnya Sultan Muzaffar Shah III mengesahkan pelantikan Raja Lumu sebagai Sultan Salehuddin Shah sementara Daeng Loklok bergelar Datuk Maharaja Lela Husin. Rentetan daripada peristiwa itu, nobat dijadikan sebagai alat diraja Selangor dan disimpan di Balai Nobat Diraja, Istana Alam Shah.

Sejak itu, keturunan Kalur yang menetap di Kampung Pulau Tiga, mukim Kampung Gajah, Perak, dilantik secara turun-temurun sebagai pemain nobat diraja Selangor. “Datuk dan bapa saya merupakan pemain nobat diraja Selangor, manakala saya berkhidmat di Perak,” jelas Aziz yang ditemui di rumahnya di Kampung Gajah.

Ujar Aziz, sejak dahulu lagi, memang keturunan Kalur diberi tanggungjawab untuk memainkan nobat diraja. Aziz, yang mula berkhidmat di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar, sejak tahun 1966, turut menyatakan bahawa belum ada pernah keturunan lain, selain Kalur, yang memohon jawatan sebagai pemain nobat diraja.

“Sejak berkhidmat hampir 49 tahun, belum pernah pula saya dengar dan lihat orang mengatakan bahawa mereka yang bukan daripada darah keturunan Kalur yang memegang atau memainkan nobat akan menerima musibah,” terang Aziz yang kini mengetuai 13 orang ahli kumpulan nobat diraja Perak.

Hal ini berlaku kerana semua alatan nobat sejak dahulu diurus secara keseluruhan oleh ahli pasukan nobat diraja dan disimpan di istana kerana keistimewaannya sebagai alat kebesaran diraja. Pada zaman dahulu, nobat disimpan di kawasan khusus yang dipagari bulu ayam dan mereka yang cuba menceroboh kawasan tersebut akan dihukum dan didenda. Yang unik tentang nobat ialah alunan muziknya tidak mempunyai not lagu yang khusus, seperti kumpulan pancaragam moden. Alunan iramanya hanya diingati dalam minda.


“Terdapat 16 rentak dalam alunan muzik nobat. Untuk mempelajarinya bukan boleh dipaksa atau menghadiri kelas khusus, tetapi minat ini datang dengan sendirinya tanpa diduga,” kata Aziz yang menyertai kumpulan nobat diraja seawal usia 15 tahun.

Antara 16 rentak tersebut, yang biasa dimainkan hanya beberapa rentak, seperti Gendang Berangkat, khusus ketika sultan berangkat keluar masuk majlis istiadat, Nobat Tabal semasa majlis pertabalan sultan, Puteri Mandi Mayang ketika sultan bersiram tabal di Panca Persada dan Lenggang Che Kobat.

Selain digunakan untuk istiadat pertabalan, nobat turut dialunkan rentaknya semasa sultan mencemar duli dalam majlis tertentu. Sebagai contoh, ketika majlis Menjunjung Duli, nobat akan dimainkan sepanjang acara berlangsung. “Di Perak, nobat akan dibunyikan pada hari tertentu, seperti tiga hari sebelum umat Islam berpuasa, enam hari sebelum menjelang Hari Raya Aidilfitri, dan tiga hari sebelum Hari Raya Aidiladha,” cerita Aziz.

Hal ini sebenarnya dilaksanakan sejak dahulu lagi. Oleh sebab itu, sebagai tradisi yang unik di Perak, alunan muzik nobat masih terus dimainkan pada tarikh-tarikh tersebut. Tidak ketinggalan, pada pagi hari pertama Aidilfitri, nobat akan dimainkan bagi mengiringi sultan yang akan bersembahyang sunat Aidilfitri di Masjid Ubudiah, Kuala Kangsar.

Mengikut adat, nobat mula dimainkan dengan tiupan nafiri yang disusuli tiupan serunai, pukulan gendang nengkara, gendang nobat dan gendang penengkah. Ketua kumpulan ini dikenali sebagai Toh Setia Guna, manakala pembantunya Toh Setia Indera.
nobat mula dimainkan dengan tiupan nafiri yang disusuli tiupan serunai, pukulan gendang nengkara, gendang nobat dan gendang penengkah.


Nobat mula dimainkan dengan tiupan nafiri yang disusuli tiupan serunai, pukulan gendang nengkara, gendang nobat dan gendang penengkah.

“Syarat wajib untuk menjadi ketua ialah orang itu mestilah berpengalaman dan paling kanan dalam kalangan ahli. Yang paling utama ialah dia boleh memainkan semua alatan nobat,” jelas Aziz. Hal ini dikatakan demikian kerana ketua akan mengepalai sesuatu acara dan melalui arahan ketua sahaja, jenis rentak lagu dialunkan oleh ahli kumpulan.

Tegas Aziz, tiada upacara jampi serapah dilakukan sebelum muzik nobat dialunkan. Hanya doa selamat memohon kelancaran majlis dilakukan dalam kalangan ahli nobat. “Kami tidak menjalankan upacara bakar kemenyan atau perasap barang nobat; semua itu tahyul dan kami tidak mempercayainya,” ujar Aziz.

Mengikut adat Lembaga Negeri Perak, rangka yang digunakan dalam membuat gendang berasal daripada teras kayu jerun dan kulitnya diperbuat daripada kulit tumur. Walau bagaimanapun, hal ini telah bertukar dan rangka untuk alatan sekarang diperbuat daripada kayu keras dan kulitnya daripada kulit kambing atau lembu. Serunai pula diperbuat daripada kayu cengal dan nafiri daripada kepingan perak.

“Percaya atau tidak, alatan nobat yang digunakan semasa majlis istiadat pertabalan Sultan Perak ke-35 tempoh hari tidak pernah ditukar sejak tahun 1966, malah arwah bapa juga pernah menyatakan bahawa sejak zaman moyang saya lagi, alatan yang sama digunakan,” cerita Aziz lagi.

Menurut Aziz, majlis pertabalan pada bulan Mei yang lalu merupakan yang kedua disertainya kerana semasa Sultan Idris Iskandar Shah ditabalkan sebagai Sultan Perak ke-33, dirinya belum lagi menyertai kumpulan nobat diraja. Apabila ditanya tentang lagu yang dimainkan sepanjang pertabalan Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, Aziz tidak lokek untuk berkongsi pengalaman tersebut.

Jelasnya, seperti adat terdahulu, selagi sultan belum ditabalkan, nobat diraja tidak akan dimainkan. Lagu Nobat Tabal dimainkan sebagai tanda sultan telah ditabalkan. Setelah itu, ketika sultan berangkat meninggalkan majlis, lagu Raja Berangkat dimainkan.

Ketika majlis Tabal Adat, iaitu proses mengambil air di tujuh kuala, nobat dimainkan bermula di anjung istana sehingga rombongan tiba di jeti. Lagu Nobat Khamis dialunkan kerana proses tersebut berlaku pada hari Khamis. Semasa Toh Seri Nara Diraja (Pawang Diraja) mengambil air di kuala Sungai Kangsar, lagu Anak Raja dimainkan.

“Lagu Anak Raja hanya dimainkan semasa Pawang Diraja memulakan upacara mengambil air di kuala Sungai Kangsar. Selepas itu, nobat tidak dibunyikan,” terang Aziz. Setelah proses mengambil air di tujuh kuala selesai, rombongan yang pulang ke istana untuk meletakkan air tersebut di Panca Persada diiringi alunan muzik nobat dengan lagu Lenggang Che Kobat.
Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzudddin Shah dan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim ketika Istiadat Siram Tabal di atas Panca Persada, pekarangan Istana Iskandariah, Bukit Chandan turut memerlukan pasukan nobat.


Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzudddin Shah dan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim ketika Istiadat Siram Tabal di atas Panca Persada, pekarangan Istana Iskandariah, Bukit Chandan turut memerlukan pasukan nobat.

Ketika istiadat Tabal Pusaka, lagu Gendang Berangkat dimainkan sewaktu sultan berangkat ke balairung seri dan semasa meninggalkan balairung seri. Istiadat Bersiram Tabal yang berlangsung di perkarangan istana turut memerlukan pasukan nobat.

“Lagu Gendang Berangkat dimainkan sehingga Tuanku Sultan tiba di Panca Persada sebelum lagu Puteri Mandi Mayang berkumandang sepanjang istiadat Bersiram Tabal,” kata Aziz. Semasa istiadat Santapan Nasi Berastakona, nobat tidak dimainkan kerana inilah amalan turun-temurun. Walau bagaimanapun, ketiga-tiga proses itu mengambil masa yang cukup lama, hingga lewat pagi.

Pada hari seterusnya, iaitu istiadat menziarahi makam di sekitar Perak, hanya nafiri yang akan bersama-sama sultan berada di atas Balai Gambang. “Nafiri akan ditiup sekali-sekala sepanjang berada di atas Balai Gambang sebagai pemberitahuan kepada rakyat tentang keberangkatan Tuanku Sultan,” ujar Aziz.

Mengikut adat terdahulu, alatan nobat tidak dibenarkan melepasi sempadan Perak.

Namun begitu, untuk istiadat di Beting Beras Basah, semua alat nobat tidak mengiringi sultan. Hal ini dikatakan demikian kerana mengikut adat terdahulu, alatan nobat tidak dibenarkan melepasi sempadan Perak. Menurut Aziz, hal ini menjadi pantang larang yang

Apabila ditanya tentang pengalaman manis semasa menganggotai kumpulan nobat diraja Perak, Aziz menyatakan kekagumannya terhadap ahlinya yang cukup berdisiplin semasa bertugas sehingga mendapat pujian daripada sultan. “Nobat sudah sebati dalam diri saya, sehingga apabila sudah bersara, saya pun masih memainkan alat tersebut,” cerita Aziz.

Kini tradisi pewarisan nobat keturunan Kalur sudah mengalir kepada dua orang anak lelakinya, iaitu Nurul Nizam, 33 tahun, dan Norazni, 27 tahun. Yang menariknya, semasa pertabalan Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, mereka telah pun memulakan tugas sebagai ahli nobat diraja Perak. “Nobat tidak boleh dimainkan oleh orang perempuan dan mesti dimainkan oleh lelaki sahaja,” tegas Aziz kepada penulis dan tanda berakhirnya pertemuan kami berdua.

Lagu Nobat

- Raja Berangkat (Gendang Berangkat)
- Puteri Mandi Mayang
- Rama-rama Terbang Tinggi
- Kumbang Si Kumali (Kumbang Kembali)
- Arak-arak Atandis (Enteals) (Arak-arak Utandai)
- Aleh-aleh Panjang
- Alek-alek Pandak
- Dang Gendang
- Lenggang Che Kobat
- Jong Ber-aleh
- Anak Raja Membasuh Kaki
- Gendang Perang
-Nobat Tabal
- Nobat Raja
- Nobat Khamis
- Nobat Subuh

Lagu Nobat Subuh, Nobat Khamis, dan Nobat Raja hanya boleh dimainkan pada sebelah pagi dan petang. Lagu Puteri Mandi Mayang pula hanya dimainkan ketika menyambut ketibaan bulan Ramadan (tiga hari berturut-turut), iaitu pada petang 28, 29 dan 30 Syaaban setiap tahun.

Raja Berangkat (Gendang Berangkat) ialah lagu yang dimainkan ketika sultan berangkat mencemar duli dalam majlis upacara rasmi.

Nobat diraja Perak hanya dimainkan untuk upacara atau istiadat yang berikut:

- Sesuatu yang berkaitan dengan peribadi Sultan Perak
- Ketika pertabalan Sultan Perak dan Raja Permaisuri Perak
- Tabal Pusaka
- Bersiram Tabal
- Hari Meletak Kerja (menyambut perayaan ulang tahun keputeraan sultan Perak)

Cerita tradisi

Pada zaman purbakala, nobat dijaga oleh jin. “Jin Kerajaan” namanya. Oleh itu, nobat tersebut tidak boleh dimainkan begitu sahaja, tidak boleh mengata sesuatu yang kurang baik mengenainya, dan tidak juga boleh memukulnya kalau tidak dengan sebarang maksud tertentu. Untuk mendekatinya atau menyentuhnya sahaja dengan tiada sesuatu maksud pun tidak dibenarkan. Harus diingat bahawa alatan itu mempunyai daulat kebesaran dan kepercayaan negara. Jika sesuatu yang tidak baik dilakukan terhadapnya, nescaya orang yang melakukannya akan menerima balasan. Oleh hal yang demikian, alatan nobat itu masih dipuja dan dimuliakan, malah masih dianggap sebagai keramat.

klikweb



Paluan nobat bergema, istiadat penuh tradisi
6 Mei 2015



Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menghunus Pedang Cura Si Manja Kini pada istiadat pertabalan, hari ini. - Foto Ihsan Jabatan Penerangan Malaysia.

KUALA KANGSAR - [DIKEMASKINI] Istiadat Tabal Adat bagi pertabalan Sultan Perak XXXV Sultan Nazrin Shah berlangsung di Istana Iskandariah, Bukit Chandan di sini hari ini dalam suasana penuh tradisi dan adat resam Kesultanan Melayu Perak.

Istiadat Tabal Adat yang menandakan kesinambungan teraju pemerintahan Perak itu bermula dengan para jejawat yang membawa masuk masing-masing 16 lembing dan payung kerajaan mengambil tempat di kiri kanan Balairung Seri.

Paluan nobat yang memainkan lagu 'Raja Berangkat' serentak mengiringi keberangkatan tiba Sultan Perak dan Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim yang masing-masing lengkap berpakaian songket kuning diraja.

Terdahulu Sultan Nazrin Shah menerima Hormat Diraja yang diiringi lagu kebesaran negeri Perak Darul Ridzuan oleh pasukan pancaragam Tentera Laut Diraja Malaysia di dataran istana pada pukul 9 pagi.

Baginda kemudian berkenan memeriksa Kawalan Kehormat pasukan Rejimen Askar Jurutera Diraja Divisyen 2 sebelum istiadat tersebut diteruskan di Balairung Seri.

Sultan Nazrin Shah segak dengan persalinan yang dilengkapi, antaranya, tanjak, Rantai Bunga Nyiur (rantai panjang berkerawang seperti bunga nyiur yang dipakai bersilang) dan Pontoh Bernaga (sepasang gelang yang disarung di lengan kanan dan kiri Sultan Perak) manakala Tuanku Zara memakai antara lain tiara, Agok (kalung emas), Dokoh (perhiasan emas berpermata) dan Pontoh Ular Lidi - kesemuanya merupakan Perkakasan Kebesaran Kerajaan Negeri.

Pasangan diraja itu diiringi Raja Muda Perak Raja Jaafar Raja Muda Musa serta Raja Puan Besar Perak Raja Nor Mahani Raja Shahar Shah, Raja Di-Hilir Perak Raja Iskandar Dzulkarnain dan Raja Puan Muda Perak Tunku Soraya Sultan Abdul Halim.

Orang Kaya-Kaya Seri Adika Raja Shahbandar Muda Datuk Ir Mohamad Othman Zainal Azim menghadap Sultan Perak bagi memohon perkenan untuk memulakan istiadat disusuli bacaan ayat-ayat suci al-Quran oleh Radhi Kamarul Hailan, yang merupakan tenaga pengajar al-Quran di Perak.

Orang Kaya-Kaya Imam Paduka Tuan Datuk Dr Muhammad Afifi Al-Akiti yang menatang al-Quran diiringi seorang Panglima dan dua Bentara masuk ke Balairung Seri bagi mempersembahkan kitab suci itu kepada Sultan Nazrin Shah di singgahsana yang dihiasi bunga emas pada kiri dan kanannya.

Sultan Nazrin Shah kemudian mengucup al-Quran dan meletakkannya di atas tempat khas yang disediakan di sebelah kanan baginda.

Istiadat Tabal Adat diteruskan dengan Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja Jeneral (B) Tan Sri Mohd Zahidi Zainuddin membaca Watikah Permasyhuran Pertabalan Sultan Perak yang ditatang oleh Setiausaha Dewan Negara Perak Toh Amar Seri Diraja Datuk Ayob Hashim.

Seusai pemasyhuran dibacakan, Raja Chik Muda Pawang Diraja mengambil peranan mempersembahkan Pedang Cura Simanja Kini kepada Sultan Perak, yang kemudian mencabut pedang itu daripada sarung sebelum mengucupnya.

Mohd Zahidi kemudian mengangkat sembah dan melaungkan 'Daulat Tuanku' sebanyak tiga kali diikuti sekalian hadirin.

Sejurus itu, Nobat dipalu serentak dengan tembakan meriam 21 das dilepaskan.

Toh Seri Nara Diraja Mohd Shah Nong Chik kemudian naik ke singgahsana mempersembahkan 'Mestika Embun' dan menyunting 'Cap Halilintar' (mohor yang diperbuat daripada perak) ke telinga kanan Sultan Perak sambil membisikkan 'Rahsia Nisab Sultani' (asal-usul Sultan).

Selepas itu, istiadat Pemasyhuran Penganugerahan Gelaran Raja Permaisuri Perak diteruskan dengan bacaan watikah pemasyhuran oleh Mohd Zahidi.

Tuanku Zara Salim bangun menyembah Sultan Nazrin Shah yang kemudian menyemat 'Bunga Pencawa Pencara' di kepala Raja Permaisuri Perak.

Apabila selesai pengisytiharan dibacakan, sekali lagi Mohd Zahidi mengangkat sembah dan melaungkan 'Daulat' sebanyak tiga kali diikuti sekelian hadirin serta paluan nobat.

Raja Muda Perak Raja Jaafar Raja Muda Musa serta Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir masing-masing mempersembah ucapan tahniah dan taat setia bagi pihak raja-raja dan Orang Besar Perak Darul Ridzuan serta mewakili kerajaan dan rakyat.

Sultan Nazrin Shah kemudian berkenan menyampaikan titah bersempena istiadat pertabalan baginda.

Istiadat Tabal Adat diakhiri dengan bacaan doa oleh Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria diikuti Mohamad Othman menghadap Sultan Perak untuk menyembah istiadat selamat disempurnakan.

Turut berangkat menyaksikan istiadat pertabalan Sultan Perak XXXV ialah bonda Sultan Nazrin Shah, Raja Permaisuri Tuanku Bainun.

Hadir sama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor serta Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri Puan Sri Norainee Abd Rahman.

Keberangkatan keluar pasangan diraja dari Balairung Seri diiringi paluan Nobat lagu 'Raja Berangkat' menandakan Istiadat Tabal Adat Sultan Perak sempurna dijalankan.

Sultan Nazrin Shah dan Raja Permaisuri Perak kemudian berangkat ke dewan santapan istana bagi majlis santapan tengah hari.

Pertabalan Sultan Perak XXXV, yang merangkumi enam istiadat utama iaitu Meletak Kerja, Tabal Adat, Tabal Pusaka, Menziarah Makam-makam Diraja, Mencecah Kaki di Beting Beras Basah dan Menutup Kerja, menonjolkan keunikan serta kekayaan adat Kesultanan Melayu Perak yang diwarisi sejak 1528. - Bernama

sinarharian

Comments