Manuskrip Melayu



 4,600 manuskrip tulisan jawi belum dikaji 
Oleh Siti Haliza Yusop
27 Oktober 2015

KUALA LUMPUR: Sebanyak 4,600 manuskrip bertulisan jawi dalam pelbagai bidang ilmu yang menjadi koleksi Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) masih belum dikaji sehingga ke hari ini.

Ketua Pengarah PNM, Nafisah Ahmad, berkata koleksi manuskrip itu dikumpulkan sejak 30 tahun lalu, iaitu ketika penubuhan Pusat Kebangsaan Manuskrip Melayu PNM pada tahun 1985.

Katanya, manuskrip itu merakamkan ketamadunan Melayu dan khazanah keilmuannya yang berharga untuk diketengahkan khususnya kepada orang Melayu.

"Bagaimanapun, koleksi naskhah ini sehingga kini masih menunggu untuk diselidiki dan digali oleh pencinta manuskrip serta budayawan di negara ini.

"Saya amat berharap penemuan baharu yang ditemui daripada manuskrip ini dapat memanfaatkan masyarakat khususnya generasi moden hari ini," katanya kepada BH selepas merasmikan Wacana Sulalatus Salatin Siri Keenam di PNM di sini, hari ini.

Yang turut hadir Ketua Pusat Dokumentasi DBP, Kamariah Abu Samah mewakili Ketua Pengarah DBP, Datuk Awang Sariyan.

Wacana bersiri anjuran PNM dan DBP itu ialah lanjutan daripada rumusan Seminar 400 tahun Sulalatus Salatin yang sebelum ini diadakan pada tahun 2013.

Wacana itu bertujuan membincangkan keunggulan Sulalatus Salatin yang diwartakan sebagai warisan dunia Memory of the World Register oleh Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) pada tahun 2001.

Nafisah berkata, meskipun sudah berusia lebih 400 tahun, naskhah Sulalatus Salatin kekal relevan dan menjadi sumber penting dalam pengkajian sejarah kegemilangan dan ketamadunan Melayu.

 "Karya ini menjadi sumber rujukan penting dalam menelusuri susur galur atau asal Kesultanan Melayu.

"Keunggulan Sulalatus Salatin ini bukan saja dikaji sarjana dari Timur, bahkan mereka dari Barat termasuk pengkaji dari Perancis, England, Belanda, Jerman dan China.

"Ia jelas menunjukkan karya ini adalah satu karya besar menyebabkan ilmuwan dan pengkaji daripada pelbagai disiplin ilmu terus menyelongkar dan mengupas kandungannya daripada pelbagai sudut," katanya.

bhonline


Comments