kembara masjid

Bersihkan 140 buah masjid dalam 9 bulan

Oleh MOHD. SHAZWAN YUSOP
Foto Mohd. Shaharani Saibi


BERBEKALKAN dua buah troli pengangkut barang, topi sebagai pelindung panas mentari dan kibaran bendera negeri Selangor di sisi beg sandang, tiga anak muda melangkah penuh yakin menuju ke Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (SSAAS), Shah Alam, Selangor.

Raut wajah mereka tidak lekang melempar senyuman sambil tangan melambai kepada keluarga dan petugas media yang menunggu bagi menyambut kepulangan mereka selepas 239 hari mengembara ke seluruh Semenanjung Malaysia.

Masjid berkubah biru putih itu merupakan destinasi terakhir kepada kumpulan pejalan kaki A Day Without Tomorrow (ADWT) yang dianggotai oleh Annas Aiman Jaffry, 27, adiknya, Muhammad Aidil, 24, dan rakan karib mereka, Hizamuddin Alidin, 25.

Tiga sahabat karib kelahiran Sabak Bernam itu telah mengharungi laluan sejauh 2,353 kilometer bagi menzahirkan niat murni mereka membersihkan masjid.

Pengembaraan itu juga memberi peluang kepada mereka bertiga mengenali lebih dekat sejarah dan tempat-tempat menarik di negara ini.

“Alhamdulillah, hasil pengembaraan ini, kami berjaya membersihkan 140 buah masjid di sekitar Semenanjung Malaysia dan dapat mengeratkan silaturahim dengan masyarakat setempat.

“Ini merupakan masjid terakhir dalam pengembaraan kami. Saya amat sedih kerana akan berpisah dengan mereka selepas hampir sembilan bulan mengharungi cabaran dan dugaan bersama,” ujar Annas Aiman bertindak sebagai jurucakap kumpulan.

Katanya, idea untuk mengelilingi seluruh Semenanjung Malaysia itu sudah terbuku di dalam hati sejak 2012.

Pada mulanya, mereka bertiga merancang untuk mengembara menggunakan basikal kerana lebih mudah dan cepat.

Selepas berbincang, akhirnya mereka mengambil keputusan mengembara dengan hanya berjalan kaki sambil membersihkan masjid bagi mendekatkan diri dengan Allah.

“Semasa bertugas sebagai pengawal keselamatan, saya sering terfikir, mengapa seseorang perlu terperangkap dalam rutin harian yang sama?

Idea

“Soalan itu juga diajukan oleh rakan-rakan dan mereka menyatakan bahawa jika mahu melihat dunia luar adalah dengan mengembara. Maka, dari situlah tercetusnya idea untuk kembara ini,” ceritanya.

Annas Aiman yang merupakan bekas pelajar sebuah kolej swasta di Lembah Klang berkata, pengembaraan mereka bermula di SSAAS sebelum bergerak ke Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.

Kemudian, mereka bertiga membelah laluan Banjaran Titiwangsa menuju ke Pantai Timur dengan memasuki Pahang, Terengganu dan Kelantan sebelum ke negeri-negeri di sebelah utara tanah air.

Sebaik tiba di masjid terpilih itu, mereka melakukan kerja-kerja amal bermula pukul 8 pagi sehingga waktu zuhur. Antara kerja pembersihan yang dilakukan termasuklah mencuci tandas, menyapu sampah, membersih halaman dan mengecat bergantung kepada keperluan masjid itu.

“Menerusi kembara ini, kami ingin menyampaikan mesej kepada masyarakat bahawa masjid bukan milik imam dan bilal tetapi semua perlu memainkan peranan mengimarahkan tanpa mengira status atau latar belakang sosial.

“Lagi pula, tiada siapa yang akan melarang kita jika ingin menyumbang sesuatu kepada masjid yang merupakan rumah Allah,” terangnya sambil memaklumkan kos pengembaraan tersebut berjumlah RM5,000 yang dibiayai sendiri.

Sepanjang pengembaraan tersebut, pelbagai pengalaman pahit manis telah dilalui oleh tiga sahabat itu.

Jelas Hizamuddin antara pengalaman manis yang tidak dapat dilupakannya ialah saat menyambut Hari Raya Aidilfitri bersama keluarga angkat di Sungai Petani, Kedah.

Ujar bekas kerani di sebuah syarikat swasta itu, walaupun terpaksa menyambut hari raya berjauhan dengan ahli keluarga, namun ia cukup bermakna dan tidak akan dilupakan sepanjang hayat mereka.

“Ini kali pertama kami bertiga menyambut hari raya tanpa insan tersayang di sisi. Namun, kesedihan seakan-akan tidak terasa kerana kami dilayan dengan baik oleh keluarga angkat.

“Kami bukan sahaja berpeluang merasai juadah popular di sebelah utara seperti ketupat palas dan laksa malah dibawa bersama berkunjung ke rumah saudara-mara mereka (keluarga angkat) sehingga ke Perlis,” jelasnya sambil tersenyum mengenangkan peristiwa tersebut.

Detik-detik sukar

DARI kiri: Hizamuddin, Muhammad Aidil dan Annas Aiman mencuci tandas di masjid SSAAS.

Selain pengalaman manis, mereka bertiga turut merasai detik-detik sukar sepanjang pengembaraan.

Antaranya, telefon pintar salah seorang daripada mereka hilang ketika membersihkan masjid.

Begitupun, menurut Hizamuddin, selepas puas mencari di sekeliling masjid, tiba-tiba seorang anak muda datang berjumpa dengan mereka dan memulangkan kembali telefon pintar tersebut.

“Saya tanya kepada pemuda itu, kenapa kamu pulangkan kembali telefon ini? Dia hanya memohon maaf dan meminta kami mengambil kembali telefon itu.

“Sehingga saat ini, kami tidak pasti apa yang menggerakkan hati anak muda tersebut untuk memulangkan semula (telefon) tersebut,” ujar anak bongsu daripada empat adik-beradik itu.

Walaupun pengembaraan tersebut kelihatan seperti pengembaraan spiritual, mereka menerima sokongan menjangkaui sempadan agama dan bangsa.

kosmo online

Sewaktu di Port Dickson, Negeri Sembilan mereka terpaksa menaiki teksi selepas menziarahi Muzium Tentera Darat. Pemandu teksi berketurunan India tidak mengenakan caj tambang sebagai tanda sokongan.

Respons serupa diterima di sepanjang perjalanan bila pemandu kenderaan membunyikan hon sambil melaungkan kata-kata semangat Malaysia Boleh, 1Malaysia dan seumpamanya.

Ada juga anak muda yang memberhentikan kenderaan semata-mata untuk berselfie dan tidak kurang juga yang menghulurkan bantuan wang ringgit sebagai bekalan.

Pihak pengurusan masjid-masjid yang dikunjungi juga tidak lokek untuk menghulurkan bantuan dari segi keperluan penginapan, makanan dan kewangan demi menjayakan hasrat mereka.

Sementara itu, mengulas mengenai perancangan masa depan, Hizamuddin memaklumkan mereka bercadang mengembara ke Sabah dan Sarawak.

Katanya, perancangan tersebut masih lagi pada peringkat awal dan jika tidak ada sebarang masalah ia akan bermula pada awal tahun depan.

“Menerusi pengembaraan ke Sabah dan Sarawak maka baru lengkap satu Malaysia. Di sana, mungkin kami tidak akan berjalan kaki kerana jarak dari satu kawasan ke satu kawasan begitu jauh,” terangnya lagi.

Sementara itu, Pegawai Unit Pengurusan Masjid Jamek Sultan Hishamuddin, Sabak Bernam, Mohd. Zulhafif Misran, 35, memuji usaha murni yang dilakukan oleh tiga anak muda tersebut.

Katanya, menerusi usaha yang dilakukan oleh mereka diharap lebih ramai anak muda yang ingin menabur bakti dengan melakukan kerja amal di masjid.

“Saya memuji semangat mereka bertiga walaupun masa mereka menabur bakti di masjid agak singkat dan terhad.

“Usaha ini diharap dapat membuka hati kepada golongan remaja untuk lebih mendekatkan diri dengan rumah Allah,” ulasnya.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=1013&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_01.htm#ixzz3oq9sY7v9
Hakcipta terpelihara

Comments