Johari Salleh dan Rahimah Kassim : Tokoh Melayu

 “Gelang tangan patik hadiah perkahwinan ayah bonda patik ikhlas menyampaikan kepada Tunku, sebagai dijadikan wang untuk Tunku ke London.
 -Datuk Siti Rahimah Kassim

“Ya Datin, apa yang saya boleh bantu…begini Joe…MCA ada lagu, MIC ada lagu tetapi UMNO belum ada lagu. Daripada itu saya terus dapat tangkap kenapa beliau telefon saya hari itu. Kemudian saya jawab ok Datin ‘considered done’,” 
-Dr Johari Salleh

Dr Johari Salleh, Siti Rahmah Kassim Dinobat Tokoh Melayu Terbilang UMNO 2015
Oleh : Azman Abas & Zylan Mohamed

KUALA LUMPUR 11 Mei – Pencipta lagu UMNO, ‘Bersatu, Bersetia, Berkhidmat,’ Datuk Dr. Johari Salleh dan penyumbang gelang emas kemerdekaan, Datuk Siti Rahmah Kassim menerima anugerah Tokoh Melayu Terbilang 2015 bersempena ulang tahun UMNO ke 69 hari ini.

Anugerah berkenaan disampaikan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak pada majlis sambutan ulang tahun UMNO 2015 yang berlangsung di Dewan Merdeka, PWTC.

Johari Salleh yang kini berkhidmat sebagai Felo Utama Pusat Kebudayaan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) ketika ditemui UMNO-Online, tidak menyangka dengan anugerah tersebut diberikan kepadanya.



“Saya tidak sangka langsung UMNO akan memberi anugerah ini kepada saya sebab saya cipta lagu ini pada tahun 1986 adalah ikhlas untuk UMNO… saya cipta secara sukarela… saya cipta kerana saya sokong UMNO dan ini satu penghargaan yang cukup besar buat diri saya kepada UMNO.

“Wang ringgit tidak langsung terlintas pada saya… apa pun saya sungguh terharu dan tidak menyangka langsung dengan anugerah ini. Alhamudulillah lagu ini kekal daripada dulu hingga ke hari ini dan berharap akan kekal hingga ke anak cucu. Itu sudah cukup bagi saya,” katanya dalam wawancara Ekslusif sempena Ulang tahun UMNO 2015 di pejabatnya.

Mengimbau kembali detik beliau mula-mula mencipta lagi, Johari berkata beliau menerima panggilan daripada isteri Presiden UMNO pada waktu itu, Datin Dr Siti Hasmah Mohd Ali.

“Pada masa itu saya mempunyai syarikat penerbitan iaitu Josal Music, pada satu hari saya menerima panggilan yang berbunyi: Assalamualaikum Joe…Ya siapa tu…ini Asmah … Asmah mana…Datin Asmah …baru saya teringat isteri Tun Dr Mahathir.

“Ya Datin, apa yang saya boleh bantu…begini Joe…MCA ada lagu, MIC ada lagu tetapi UMNO belum ada lagu. Daripada itu saya terus dapat tangkap kenapa beliau telefon saya hari itu. Kemudian saya jawab ok Datin ‘considered done’,” katanya.

Seterusnya tambah Johari, beliau mula mencari profile UMNO dan menggubah lagu berkenaan dalam tempoh yang singkat untuk diserahkan kepada Setiausaha Agung UMNO pada waktu itu, Tan Sri Sanusi Junid di bangunan Parlimen.

“Saya abstrak apa yang patut daripada profile UMNO untuk dijadikan senikata lagu dan apabila siap saya bersama kakitangan saya melakukan langkah seterusnya hinggalah siap lagu UMNO dan pertama kali dinyayikan pada Perhimpunan Agung UMNO 1986.

“Alhamdulillah pimpinan UMNO menerima lagu tersebut dan paling penting saya sekurang-kurangnya saya dapat ‘contribute’ perjuangan UMNO. Itulah peranan kecil saya kepada UMNO,” katanya.

Di akhir perbualan UMNO-Online bersamanya, beliau berharap orang Melayu seharusnya memberikan sokongan kepada parti berkenaan.

“UMNO bukan parti baru. UMNO cukup matang dan telah banyak berjasa kepada orang Melayu. Saya tidak pandang parti lain, Bagi saya UMNO selama-lamanya. Kita nak sayangkan Tunku Abdul Rahman yang bawa kemerdekaan tidak boleh kerana telah meninggal maka sekurang-kurangnya tunjukkanlah sayang kita kepada UMNO,” ujarnya.

Sementara itu, Siti Rahmah pula terserlah semangat juangnya membebaskan negara dari tangan penjajah ketika pengajiannya di Madrasah Al-Huda, Pulau Pinang lagi.

Beliau dilahirkan di Kampung Batu Hampar, Rembau, Negeri Sembilan pada 30 November 1926 merupakan salah seorang wira yang tidak didendang khususnya berjuang menentang Malayan Union dalam usaha memerdekakan tanah air.

“Saya akan terus berjuang, sehingga negara mencapai kemerdekaan“, itulah kata-kata hikmat beliau yang menjadi pegangannya ketika itu.

Demi cinta yang amat mendalam terhadap agama, bangsa dan tanah air, beliau sanggup berbuat apa sahaja dalam memastikan kemerdekaan negara tercapai. Beliaulah menjadi insan pertama yang menyerahkan barang kemas bagi membantu Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj ke London untuk menuntut kemerdekaan.

“Gelang tangan patik hadiah perkahwinan ayah bonda patik ikhlas menyampaikan kepada Tunku, sebagai dijadikan wang untuk Tunku ke London.

“Saya menyeru para hadirin hadirat, emas boleh dibeli tetapi kemerdekaan tidak dapat dibeli, sila berkorban,” kata beliau ketika menceritakan kembali detik-detik bersejarah tersebut di Dewan Hang Tuah, Bandar Hilir, Melaka.

Bekas guru di Sekolah Perempuan Melayu Sungai Star, Parit Buntar, Perak serta ibu kepada lima orang anak ini mendapat sokongan padu daripada suaminya Allahyarham Ustaz Mohd Majzub Haji Yunus di dalam perjuangannya.

Beliau juga pernah dilantik menjadi Pegawai Penerangan UMNO Malaya di bawah kepimpinan Allahyarham Tun Hussein Onn dan Tan Sri Syed Jaafar Albar.

Ketua Kaum Ibu Bahagian Rembau ini menjadi wanita pertama sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri di Negeri Sembilan, kawasan Terentang, dari tahun 1959 hingga 1969 atas tiket Perikatan.

Perjuangan beliau mendapat pengiktirafan dengan dianugerahkan Tokoh Wanita UMNO Malaysia, Tokoh Ibu Mithali Peringkat Negeri Sembilan, Tokoh Wanita Perkim dan Srikandi Negara, serta darjah kebesaran seperti Ahli Mangku Negara dan Johan Setia Mahkota.

Kini, tokoh ‘gelang kemerdekaan’ yang berusia hampir 90 tahun ini tetap aktif menyumbangkan tenaga dan pemikiran dalam kecemerlangan anak bangsanya sebagai Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Negeri Sembilan dan Mubarak Negeri Sembilan.

BIODATA : DATO’ DR. JOHARI SALLEH

Dato’ Johari Salleh dilahirkan pada 9 Februari 1940 di Geylang, Singapura. Anak lelaki Mohd Salleh Bin Mohamad yang berasal dari Melaka dan Puan Munarah Shuib.

Beliau mula belajar muzik dan menggubah lagu daripada ayahnya sendiri serta dari seorang guru muzik bernama Saaban Saliman.

Mendapat Diploma in Music (Composition and Arrangement) daripada Berklee College of Music, Boston, USA.

Bermula sebagai Pemuzik Tetap Radio Malaya pada tahun 1961, kemudiannya sebagai Pengarah Muzik RTM pada tahun 1976.

Selepas meninggalkan RTM beliau menjadi Pengarah Urusan Syarikat Josal Music Sdn Bhd sehingga tahun 1986. Seterusnya beliau menjadi Pengarah Muzik Orkestra Kuala Lumpur dan Perunding Muzik Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.

Beliau banyak berkarya dalam bentuk muzik simfonik untuk digunakan oleh orkestra-orkestra besar seperti dari Sepanyol, Orkestra Sinfoni Kebangsaan Malaysia dan Kuala Lumpur Symphony Orchestra. Beberapa karya simfoni Dato’ Johari Salleh pernah dipersembahkan oleh The New York Symphonic Ensemble, Singapore Symphony Orchestra, St.Pittersburg Philharmonic Orchestra dari Russia dan Cadaquez Symphony Orchestra.

Di antara sumbangan beliau di dalam lagu-lagu tanahair adalah lagu UMNO `Bersatu Bersedia Berkhidmat’ , serta lagu-lagu untuk penyanyi popular era 70-an dan 80-an seperti Tan Sri S.M. Salim, Suhaili Shamsuddin, Frankie Cheah, M Rizal, Yasmin Yusuff, Herman Tino, Hanafiah Yunus, Shidee dan Rahimah Rahim.

Pada 9 Ogos 2010, Dato’ Johari Salleh dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (Kesenian) Universiti Kebangsaan Malaysia.

Kini berkhidmat sebagai Felo utama Pusat Kebudayaan Universiti Kebangsaan Malaysia.


BIODATA : DATO’ SITI RAHMAH KASSIM

Tarikh Lahir : 30 November 1926 (Umur: 89 tahun)
Tempat Lahir : Kampung Batu Hampar, Rembau, Negeri Sembilan
Nama Suami : Ustaz Mohd Majzub bin Haji Yunus (Meninggal Dunia Tahun 1983)
Bilangan Anak : 5 orang

Pendidikan
: Sekolah Perempuan Melayu Sungai Star, Parit Buntar, Perak
: 4 Thanawi, Madrasah Al-Huda, Pulau Pinang

Pengalaman
: Guru Sekolah Perempuan Melayu Sungai Star, Parit Buntar, Perak
: Guru Agama di Sekolah Perempuan Terentang, Rembau, Negeri Sembilan
: Pegawai Bank (Malay National Banking Corp. Limited, Rembau, Negeri Sembilan
: Pegawai Penerangan UMNO Malaya (1946 – 1957)
: Wakil Rakyat Kawasan Terentang, Rembau (1959 – 1969)
: Naib Yang Dipertua Angkasa Malaysia
: Ahli Lembaga Pengarah Bank Rakyat Malaysia

Persatuan
: Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Negeri Sembilan
: Ahli Majlis Tertinggi Perkim Malaysia
: Pengerusi Mubarak Negeri Sembilan
: Ahli Majlis Tertinggi Mubarak Malaysia
: Ketua Wanita UMNO Cawangan Terentang
: Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Ibu Tunggal Negeri Sembilan
: Pengerusi Lembaga Kebajikan Perempuan Islam Daerah Rembau
: Pengerusi Koperasi Kaum Ibu Rembau Utara Berhad

Anugerah
: Tokoh Wanita UMNO Malaysia
: Tokoh Maal Hijrah Daerah Rembau (2002)
: Tokoh Wanita Perkim (2005 & 2013)
: Anugerah Pengkisahan Sejarah ‘Wira Tak Dicanang’ (2010)
: Tokoh Jubli Emas Perkim (2010)
: Srikandi Negara (2014)

Pingat Kebesaran
: PJK, PMC, PPN, DSN, DSNS, JP, KMN, AMN, JSM

Alamat Pejabat : PERKIM Negeri Sembilan, No. 73, Jalan Seri Rahang 3,
Taman Sri Rahang, 70100 Seremban

No. Tel / Faks : 06-7630278




umnoonline


Konsert Penghargaan Buat Johari Salleh Himpun Artis Terkenal
11 Januari 2015 12:30 AM


Konsert Maestro Datuk Johari Salleh bakal menemui penonton pada 7 Februari  di TV2.


PETALING JAYA: Pengarah muzik dan komposer terkenal Datuk Johari Salleh tidak menjadikan usianya sebagai penghalang untuk tampil dalam sebuah persembahan khas iaitu Konsert Maestro Datuk Johari Salleh.

Johari, 75, bakal menampilkan 12 buah lagu hasil ciptaannya yang telah mengangkat namanya dalam bidang muzik dengan penampilan khas artis seperti Nassier Wahab, Datin Alyah dan Johana Johari.

Rakaman konsert berkenaan telah pun dilakukan pada pertengahan Disember tahun lalu di Auditorium Perdana, Angkasapuri, Kuala Lumpur.

Konsert diterbitkan Ashidah Abd Hamid, Unit Hiburan TV RTM ini bakal menemui penonton pada 7 Februari depan, pukul 9.00 malam di TV2.

Persembahan itu diadakan sebagai penghargaan kepada Johari atas sumbangan dan perkhidmatannya di Radio Televisyen Malaysia (RTM) sebagai Pengarah Muzik kedua pada 1976 selepas tertubuhnya Orkestra RTM.

Antara artis yang terlibat dalam Konsert Maestro Datuk Johari Salleh.

Konsert itu dianjurkan oleh RTM bersama Pusat Kebudayaan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan dengan kerjasama Orkestra Kuala Lumpur (OKL-DBKL).

Lagu-lagu Berdebar Rasa Hati dan Papaku dipersembahkan oleh Johana sementara Alyah menyanyikan lagu Kau Yang Terindah dan Hati Lebur Jadi Debu.

Penyanyi Nassier Wahab pula mendendangkan Dunia Ku dan Gadis Kota serta berduet dengan Johana menerusi lagu Kata Sepakat.

Sebanyak tiga buah lagu lagi dipersembahkan secara instrumental dalam bentuk simfoni orkestra iaitu Overture Simfonietta Cempakasari, Ilusi Sekapur Sireh dan Tari Tualang Tiga.

mstar 


Sebuah persembahan Orkestra RTM pada tahun 1973 untuk majlis perasmian Auditorium Besar (Perdana) Angkasapuri. Persembahan dipimpin oleh Ybhg. Datuk Johari Salleh dan lagu dinyanyikan oleh Biduanita Saloma bersama iringan Violin oleh Hamid Kassim.

Comments